Forum & Filem Pendek Sangeetha

Posted by Tukya Labels:

Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan menganjurkan "Forum & Filem Pendek Sangeetha" di Galeri Ilmu, Tingkat Bawah, Menara DBP pada 14 Julai 2007 (Sabtu), 9:00pagi.

Program ilmu ini akan menampilkan Azizi Haji Abdullah, Dr Rajantheran Muniandy (Universiti Malaya) dan K. Balasubramaniam (Gabungan Persatuan Penulis Tamil Malaysia) untuk membicarakan secara terperinci, mendalam, kritis dan terbuka novel Sangeetha (DBP: 2006).

Forum yang bakal dikemudi Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB turut dijangka menjadi hangat apabila meneliti novel Sangeetha dari sudut penerimaan idea, mesej, budaya dan kisah percintaan warga emas berlainan kaum dan agama.

Bagi memeriahkan lagi majlis, sekumpulan pelajar subjek Bahasa Malaysia dari Kolej The One Academy (TOA), Bandar Sunway akan menayangkan filem pendek yang mereka adaptasi daripada novel Sangeetha; selain mempamerkan poster, kad undangan dan komik yang dihasilkan berdasarkan novel berkenaan.

Novel Sangeetha karya Azizi Haji Abdullah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada khalayak pembaca dan peminat sastera. Novel ini telah dibicarakan dalam majlis anjuran DBP Wilayah Utara, diulas dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 22 April 2007 serta diulas dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) pada 28 April 2007.

Namun, perbincangan terhadap novel ini masih belum menyeluruh, mendalam dan terbuka dari aspek sastera, budaya, agama dan masyarakat yang ditampilkan dalam novel berkenaan. Maka, Kavyan telah mencadangkan supaya suatu sesi forum diadakan bagi membicarakan Sangeetha secara lebih mendalam, menyeluruh dan terbuka.

Perbincangan dalam bentuk forum ini menampilkan seorang perantara dan tiga ahli panel; dan dikendalikan seperti program bicarawara. Penonton dan hadirin juga diberi ruang dan peluang untuk berinteraksi bersama perantara dan ahli panel.

Sesi forum secara profesional yang disarankan oleh Kavyan diyakini mampu mencetuskan sedikit polemik yang sihat dalam media massa, sekaligus menarik perhatian masyarakat umum pelbagai kaum untuk membaca novel Sangeetha dan seterusnya memperkatakan isu-isu dalam novel ini secara lebih terbuka.

"Forum & Filem Pendek Sangeetha" terbuka kepada umum dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi info@kavyan.cjb.net atau 012-3368142.

Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia

Uthaya Sankar SB
012-3368142

uthayasb@yahoo.com.my
www.uthayasb.cjb.net

0 comments: