Sangeetha: Bukan Cinta Biasa

Posted by Tukya Labels:

Sangeetha: Bukan Cinta Biasa
Mendalami Erti Cinta Dua Dunia




Dr. Siti Hajar Che Man dari USM sedang menyampaikan kertas kerja SANGEETHA di Pejabat PPD Kuala kangsar pada 14 April 2007
Dalam siri Bicara Karya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama PPD Kuala kangsar dan Karyawan Perak.

Perserta bicara karya, Pegawai PPD Kuala Kangsar,Karyawan Perak, Dr.Ratna USM Pegawai Pengarah Dewan Bahasa Wilayah Utara



Pengenalan: Mengenali Azizi dan karya-karyanya.

Apabila dipelawa oleh Pn. Khairiyah dari DBP, Wilayah Utara untuk membicarakan karya terbaru Sdr.Azizi, ada dua perasaan yang bergolak dalam diri ini, pertama, saya sedikit risau [orang utara kata seriau] kerana sejujur-jujurnya saya tidak pernah bersemuka secara “eye to eye” mahupun “face to face” dengan beliau, tapi pernah melihatnya dari jauh dalam seminar dalam negeri mahupun seminar antarabangasa, di mana beliau sebagai peserta seminar dan saya sebagai pembentang kertas kerja. Risau ini kerana dari desas-desus yang dapat saya tahu Azizi ini orangnya kuat mencarut. Dalam masa yang sama, teman-teman pernah menyatakan bahawa Azizi, orangnya banyak cakap, tidak sombong, pandai bercerita, ikhlas, suka melawak hingga tak kering gusi barang siapa mendengar sembangnya [orang utara kata kelolo]. Sifatnya ini terbukti apabila saya sendiri mengalaminya ketika menghadiri Seminar Antarabangsa Teori dan Kritikan Serantau II,di Hotel Parkroyal 2003 yang lalu.

Keduanya, saya cukup enjoy bila membaca cerpen-cerpen Azizi. Selalunya saya nak tergelak atau tersenyum sendiri dengan gaya beliau bercerita. Hakikatnya saya mengenali Azizi lebih berdasarkan kepada hasil karyanya. Justeru saya amat bersetuju dengan pandangan Muhd. Mansur Abdullah yang menyatakan bahawa “Azizi menulis apa sesuatu yang dia benar-benar tahu” [blogspot. com/2007].

Dalam menulis karya, Azizi sangat prihatin dan amat faham serta mahir dengan apa yang ingin dicetuskan. Justeru hasil karyanya sangat cermat, teliti, detail, jelas dan berkesan. Diskripsinya rapi seolah-olah kita sebagai khalayak dapat merasakan kehadiran sesuatu yang ingin disampaikan beliau. Pengamatannya sangat tajam, penerokaannya hingga ke akar umbi. Dari pengalaman saya meneliti dan menganalisis karya pengarang-pengarang tertentu, saya dapati gaya Azizi hampir menyamai gaya Shahnon Ahmad. Persamaan ini dapat dilihat dari segi pemilihan latar, isu yang diketengahkan, penggunaan lohgat bahasa daerah, gaya penyampaian, ayat yang berulang-ulang dan ayat yang pendik-pendik serta pilihan nama-nama watak yang unik. Namun di antara kedua mereka sudah tentu ada bezanya. Beza yang paling ketara ialah cara dan bagaimana Azizi menamatkan ceritanya. Inilah kelainan bahkan juga satu keunikan Azizi yang tiada tandingan.

Bacalah novel atau cerpen, akhiran cerita pastinya amat menganggu emosi khalayak. Penamatan ceritanya ada ketikanya menyebabkan kita akan mengeleng-gelengkan kepala, terkejut badak, terkejut beruk [kata orang sekarang] , tak sangka, boleh sakit jantung!. Bacalah novel Seorang Tua di Kaki Gunung, lihat bagaimana watak utama dimatikan, bacalah cerpen “Mohd. Dhuha”,“Tulang Pekasam Ikan Puyu”,”Wau Kepala Burung”,“Tersungkap”, “ Kerana Mak, Pak Hang Kawin Lain” “Paku Payung Limau Mandarin”, “Beruk”, “Sakinah” dan banyak lagi karya beliau. Telitikan cara beliau mempersembahkan cerita, membawa dan mengalunkan khalayak dengan jalan cerita secara bersahaja, gaya bahasa yang berulang-ulang, ayat yang ringkas tetapi masih memperlihatkan kesinambungan cerita, kita mengikuti jalan cerita dengan senang dan relax, tetapi secara tiba-tiba khalayak dikejutkan secara mendadak, ceritanya berakhir secara luar duga.

Itulah Azizi. Dan gaya seperti ini tidak pernah berubah. Pada hemat saya kekalan gaya seperti ini amat bagus untuk mengekalkan identiti Azizi. Dengan memahami cara beliau berkarya, pastinya sekiranya karya itu tidak bernama, saya masih dapat mengenali atau mengecam bahawa karya itu milik Azizi. Walaupun umum mengetahui bahawa Azizi memiliki banyak nama gelaran antaranya, Haji, Anita, Ibnu Abdullah, Jamong, Qalam Adly, Tukya, Susilawati dan Shahrulmanjarishah. Penamatan cerita yang diolahnya kerap menganggu emosi pembaca sudah menjadi trend beliau, stail penamatan cerita secara luar-duga itu tiada siapa yang dapat menirunya. Walaupun ada di kalangan pemerhati dan pengkritik menyatakan, “mereka akan mengenal pasti cara saya menamatkan cerita dalam keadaan gopoh, terburu-buru hendak sudah’. [Dewan Sastera,Jun, 1999: 96] Malah Shahnon pernah menyatakan kepada Azizi, “ hang ni kalut” [ibid]. Namun dalam Sangheeta masalah “hang ni kalut” tidak berlaku.

Sangheeta: Sekilas Pandangan

Dalam pengamatan saya, inilah novel Azizi yang agak tebal dan panjang berbanding dengan hasilan kreatif yang lain. Novel ini diselesaikan dalam 20 bab dengan setebal 560 halaman. Setelah membaca dan meneliti intipati dan persoalan novel ini, jelaslah pada saya penghasilan novel ini bukannya mudah atau dibuat secara tangkap muat. Saya yakin untuk menghasilkan novelnya kali ini, Azizi banyak membaca, membuat penyelidikan, pengamatan, membuat semakan dan interview, melakukan kerja lapangan, mengumpul data dan maklumat. Sesuailah dengan kedudukannya pada waktu menghasilkan novel ini sebagai Penulis Tamu , justeru novel ini adalah di bawah projek Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka 2005. Hal ini dapat saya kesan terhadap beberapa perkara yang saya kira sangat unik untuk difahami dan diketahui apatah lagi untuk dijadikan bahan karya, umpamanya:

1. merincikan nama alat muzik klasikal India tabla dan dagga, cara dimainkan oleh Viralal dan Geetha, gerak tari dan jari-jemari, ukuran tal yang tetap dan berulang-ulang,paluan tal 6 ½ dan 8 ½, manakala tintal paluannya 4-4-4-4. Cara Geetha bermain ialah laya iaitu cuma satu gaya, namun dia juga boleh bermain melaya secara vilambit, ataupun secara madhyam atau drut. [rujuk hal 74-75, 282,dan 382]

2. cara Azizi mendiskripsikan rumah limas potongan Perak yang besar tetapi disulami rasa sunyi, sepi, dan ada waktunya melahirkan rasa damai dan bahagia. [rujuk hal. 10]

3. menyenaraikan ubat-ubatan yang diberikan Viralal kepada burung antaranya ubat amplexol, canary post, gowvt, juvero power, supervit drop. [rujuk hal 110]

4. cara Derus menjaga sangkar burung [rujuk hal. 110] dan mengubati merbuk dalam kesakitan secara tradisional [ rujuk hal. 518]

5. merincikan jenis hiasan sebagai pelengkap untuk memakai sari seperti kapel di lengan, kolusu di kaki dan mukuti di hidung.

6. setiap permulaan bab dimulakan dengan pantun 4 kerat,gurindam dan seloka orang bercinta yang banyak dipetik dari Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat Malim Deman.

Ternyata research yang dijalankan ini membuktikan bahawa pandangan orang ramai, pengkritik, golongan mahupun andaian Azizi sendiri terhadap gayanya mengarang selama ini yang beranggapan bahawa Azizi seorang “penulis yang tidak mempunyai disiplin secara khusus dalam sesuatu perkara atau digolongkan sebagai penulis yang “tangkap muat” dan menjadikan tulisan saya tidak kuat”[Dewan Sastera, Jun 1999: 96], TIDAK benar sama sekali. Sangeetha telah melahirkan wajah penulisan Azizi yang baru! yang cermat, berhati-hati dan tersusun dengan rapi.

Apakah yang dimaksudkan dengan Sangeetha?

Tanggapan awal saya apabila dihadiahkan novel ini, saya meneliti kulitnya depan dan belakang, melihat seorang wanita bertudung dan dilengannya ada beberapa urat kapel, selendang yang bersambung dengan sari, saya cuba menelah bahawa tulisan Sangeetha di kulit novel itu ialah nama seorang perempuan India. Tidak lebih dari itu. Cuma terlintas di hati saya “apa pula Azizi nak tulis ni…” Saya menjadi lebih teruja apabila menghantar anak ke sekolah, saya menemui tulisan nama di baju sekolah anak-anak India mencatatkan nama Sangeetha. Lalu saya terfikir nama ini mesti ada sesuatu yang istimewa! Lalu saya bertanyakan beberapa aci tukang cuci yang bertugas di bangunan tempat saya bekerja, rakan-rakan setugas yang berbangsa India, apakah maksud Sangeetha?

Kemudian saya mengambil kesempatan bertanyakan beberapa ibubapa di kalangan masyarakat India yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah, mengapa mereka memilih untuk menamakan anak mereka Sangeetha. Mulanya mereka hairan dan terpinga-pinga, namun saya menjelaskan kedudukan dan tugas yang harus saya selesaikan. Mereka rata-rata memberikan makna yang sama iaitu “sang” ialah muzikal yang cukup harmoni dan merdu, dan “geetha” ialah rentak atau irama atau rhtym. Oleh itu “sang” dan “geetha” tak boleh dipisahkan seperti kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, “lagu dan irama tak boleh dipisahkan, kalau dipisahkan rosaklah [pincanglah] iramanya.” Oleh itu Sangeetha bermaksud irama muzik yang merdu dan harmoni. Terlintaslah di hati dan fikiran saya “patutlah dalam novel ini terlalu banyak asosiasi dan adaptasi emosi cinta dipindahkan dan ada waktunya diterjemahkan melalui tepukan dan tamparan jari jemari ke atas tabla dan dagga serta petikan gambus untuk menunjukkan kemuncak cinta seseorang itu”.

Dalam kes ini cinta Sangeetha kepada Derus diperlihatkan seolah-olah Sangeetha berada dalam keadaan “trance” ketika dia memukul tabla dengan tingkah tal, tintal secara vilambit. Tulis Azizi, “apa yang merasuk Sangeetha dia tak tahu”, mengapa Sangeetha bersikap begitu? Itulah kusut serabut yang bermain di kepalanya. Mungkin esok, esoknya dan esok, esoknya lagi Sangeetha akan melakukannya lagi [hal. 81]. Dalam hal ini Sangeetha solah-olah telah dikawal oleh “id”, lalu proses sublimasi telah berlaku dengan menterjemahkan cinta menerusi irama musik sangeetha dalam keadaan “unconscious”, dan emosi cinta Sangeetha berada di kemuncak fantasi cinta yang sangat indah.

Saya masih teruja untuk membongkar rahsia Sangeetha. Lalu saya melayari internet. Akhirnya saya temui bahawa Sangeetha adalah sebuah persatuan yang tidak mementingkan keuntungan. Umpamanya Society for Indian Classical Music St. Louis, Missouri, USA, Pertubuhan Sangeetha of the United Kingdom sebuah pertubuhan sukarela di bawah Croydon Council. Sangeetha juga diasosiasikan kepada Tamil Actress Gallery atau Sangeetha Tamil Movie Songs. Pada dasarnya Sangeehta ialah music, dan ia juga satu gelaran, disebutkan sebagai “ title awarded to an expert Carnatic Musician by the Music Academy of Chennai. It is one of the highest honours a Carnatic Musician can receive.” Umpamanya Indrajit Banerjee yang menerima gelaran Sangeetha kerana beliau dinobatkan sebagai “A” grade artist of the All India radio, Ustad Rashid Khan, disebut sebagai “the young maestro, is one of the leading torch-bearers of Indian classical music” dan Unni Krishnan, beliau mahir membuat susunan muzik dari klasikal musik kepada semi-classical.

Itulah hebatnya makna Sangeetha sepertimana hebatnya Sangeetha dalam novel Sangeetha. Dalam menterjemahkan karektor Sangeetha dalam novel ini, nampak gaya Azizi memahami erti sangeetha, justeru penceritaannya selari dengan erti Sangeehta dalam konteks global dan fahaman masyarakat India. Justeru Sangheeta, is actually all about music or music of love yang cukup harmoni.

Apakah erti cinta?

Semua orang biasa berkasih, kata yang pernah diucapkan atau kadang-kadang payah untuk dilafazkan ialah “I love you” atau “aku cinta pada mu” , atau aku sayang padamu”. Ramai orang berkata dengan cinta manusia sengsara, dan dengan cinta manusia bahagia. Kadang-kala cinta diibaratkan “benci tapi rindu”. Secara ilmiahnya, Josh Mc Dowell menyebut, “cinta sebagai sesuatu yang diharapkan semua orang. Tanpa cinta manusia tidak sempurna. Kehilangan cinta manusia akan menjadi putus asa”. Cinta itu sebetulnya bukan sesuatu yang boleh diukur dengan nombor tetapi boleh dianalisis kedalamannya dengan melihat antara lain sejauhmana seseorang itu bercinta. Justeru lahirlah dalam bentuk angka 1,4, 3 bermaksud 1 ialah untuk I, 4 untuk love dan 3 untuk you.

Menurut seorang ahli dalam bidang human intelligence cinta itu terdiri daripada 3 komponen iaitu intimacy, passion dan commitment dan melalui konsep itulah cinta boleh diukur. Cinta melahirkan sejenis kebahagiaan bersama, kerelaaan bersama, bukan meminta tetapi keikhlasan. Cinta adalah saling menghulurkan hati budi masing-masing, merasa bahagia dalam dunia cintanya disebut oleh Seniman Agung P.Ramlee sebagai “dunia ana yang punya”.

Cinta itu merupakan anugerah sekaligus kutukan, menghadirkan rasa bahagia dan kesedihan. Tiap saat dihinggapi kegembiraan saat-saat bersama dengannya dan kesedihan saat harus berpisah dengannya walaupun hanya untuk beberapa saat. Senyum saat melihatnya, mendengarnya dan air mata ketakutan untuk berpisah ataupun perpisahan itu sendiri melanda. Cinta itu merupakan sesuatu perbuatan yang membawa reaksi penumpuan terhadap sesuatu yang dicintai, lebih tepat penumpuan yang melibatkan kasih sayang. Lazimnya, sayang boleh ditujukan kepada semua objek yang ada di dunia ini sama ada hidup atau tidak hidup. Umpamanya, menyayangi seekor burung, menjaga pokok-pokok bunga ros sebagai tanda sayang pada alam semula jadi.

Cinta juga mempunyai pengertian yang mendalam. Kasih sayang boleh wujud tanpa cinta, tetapi cinta mesti wujud bersama kasih sayang. Cinta lebih ditujukan kepada sesama manusia. Biasanya perkataan cinta merujuk kepada sesuatu yang disayangi lebih dari diri sendiri. Sebagai contoh mencintai seseorang kekasih. Seseorang itu sanggup berkorban, bersusah payah demi seseorang atau mementingkan diri kekasih lebih dari dirinya maka ia boleh dikatakan layak digelar cinta. Bahkan dikatakan bahawa cinta tidak boleh wujud tanpa kehadiran nafsu yang boleh digambarkan sebagai sesuatu yang memberi galakkan dalam melakukan sesuatu perkara. Byrne [1987] menyatakan bahawa pengalaman cinta itu berubah mengikut masa dan umur. Namun dapat dikatakan bahawa cinta itu misteri sifatnya, abstrak dan sukar ditentukan sehinggalah pasangan itu saling menyatakan. Dan ini bergantung kepada hati dan kekosongan atau citarasa di antara individu itu sendiri, sama ada apa yang diinginkan itu tercapai atau tidak.

Cinta itu dikatakan amat indah sekiranya apabila pasangan mengetahui keadaan pasangannya yang sebenar dan menerima seadanya tanpa mengurangkan suasana bahagia dan gembira ketika sebelum mengetahui cacat cela, atau susah payah pasangannya. Namun di kalangan orang Islam, cinta paling agung ialah cinta pada Tuhan, cinta pada rasul, cinta pada ibu-bapa, cinta sesama saudara Islam. Berbicara tentang cinta, lazimnya apa yang berlaku ialah cinta yang terjalin antara yang rata-ratanya bukan muhrim. Telitikan kata-kata ahli sufi Jami yang menerangkan kepada anak-anak muridnya bahawa “sekiranya seorang tua itu meninggalkan dunia tanpa merasai nikmat cinta, alangkah rugi hidupnya, oleh itu mulakan hidup dengan bercinta biarpun cinta itu bermula sesama manusia, kemudian pindahkan peritnya erti perpisahan itu kepada peritnya berjauhan untuk hadir/berada dengan di sisi Allah . Oleh itu jangan jauhi diri anda dari bercinta.”

Demikianlah juga cinta dalam konteks Kesusasteraan. Dalam hal ini Kesusasteraan ialah satu cabang kesenian yang berteraskan cinta; cinta kepada keindahan, dan cinta kepada kebenaran. Oleh itu karya kesusasteraan diciptakan oleh para sasterawan termasuklah Aizizi Hj Abdullah adalah untuk membangunkan peribadi manusia supaya cintakan keindahan dan kebenaran. Cinta ini mempunyai pelbagai martabat, darjat, nilai, maruah dan mutu memuncak kepada cinta yang paling murni dan abadi iaitu cinta kepada Maha Pencipta.

Namun dalam konteks Sangeetha, kesemua definisi cinta itu berbaur menjadi satu bentuk cinta luar biasa. Azizi telah menjalinkan rasa cinta luar biasa yang tak pernah terfikir di kalangan manusia bahawa ia boleh berlaku. Tetapi di tangan Azizi, cinta luar biasa ini telah dan boleh berlaku. Justeru saya namakan esei ini sebagai “Cinta Luar Biasa”. Luar biasa ini membawa maksud, tidak biasa, di luar norma-norma masyarakat, tidak pernah berlaku, tak mungkin berlaku, jalinan cinta misteri dan pelik. Inilah yang berlaku di antara Sangeetha dan Derus. Mengapa emosi cinta mereka dikatakan pelik, ganjil atau yang luar biasa atau tak biasa berlaku?

Antara sebabnya ialah,
1. cinta ini terjalin secara gerak tubuh badan.
2. cinta ini terjalin antara lelaki Melayu dan wanita India.
3. cinta ini antara lelaki Islam dan wanita Hindu.
4. cinta ini terjalin antara perempuan tua dan lelaki tua.
5. cinta ini terjalin antara lelaki tua yang lebih muda daripada wanita tua.
6. cinta ini terjalin antara lelaki tua yang tidak pernah berkahwin dengan seorang balu/janda.
7. cinta ini terjalin antara majikan dan kuli.
8. cinta ini terjalin antara dua amalan budaya yang berbeza.
9. cinta itu terjalin antara gaya hidup yang berbeza.
10. cinta itu dialirkan melalui irama muzikal yang lahir dari dalam jiwa.
11. cinta ini terjalin antara lelaki miskin dengan wanita kaya,
12. cinta ini terjalin antara lelaki yang hidup sederhana dengan wanita dermawan/hartawan.

Mengapa Sangeetha dan mengapa orang tua menjadi pilihan Azizi?

Ketika memulakan bacaan terhadap novel Sangeetha, saya sebenarnya telah menulis sebuah artikel berjudul “Eksplorasi Nyanyok dalam karya kreatif” dan tumpuan kajian saya lebih kepada watak Su Usul dalam novel Tunggul-Tunggul Gerigis karya Shahnon. Kemudian dalam masa yang sama saya sedang menyelia seorang pelajar sarjana yang juga berminat untuk mengkaji psikologi dan dilema orang tua dalam novel-novel Melayu. Dalam kajian kami itu langsung tidak terlintas untuk memperlihatkan orang tua yang selalu disebut sebagai warga emas masih berminat untuk bercinta. Hal ini juga kerana pengarang-pengarang kita jarang menyelongkar jiwa orang tua seperti yang berlaku dalam watak Derus dan apatah lagi menyelami emosi wanita tua India dan beragama Hindu!

Lazimnya, pengarang-pengarang kita masih dalam “comfort zone” dan agak stereotaip apabila membicarakan tingkah-laku orang tua. Umpamanya watak orang tua dalam novel Musim Sepi, Senjakala, Ranjau Sepanjang Jalan, Seorang Tua di kaki Gunung, Hari-Hari terakhir Seorang Seniman dan Anjang Aki. Namun setiap watak tua dalam novel-novel tersebut masih memperlihatkan ketajaman dan falsafah yang tersendiri di kalangan para pengarangnya. Misalnya Anwar Rihdwan, AIi Jusoh, Baharuddin Kahar apatah lagi mesej yang tersirat serta idea-idea yang payah ditafsirkan dengan kata-kata seperti yang diungkapkan oleh Shahnon Ahmad. Berbicara tentang orang tua, kerap kali mereka sering dikaitkan dengan kata-kata “rumah kata pergi, kubur kata mari”.

Selain dari orang tua dilihat secara lumrahnya mengalami penyakit nyanyok, lupa, sakit lutut, tak larat, lenguh-lenguh, sakit pinggang, tak lalu makan, sunyi dan cepat kecil / jauh hati. Selalunya dalam kesusasteraan barat telah memberikan kita imej orang tua yang cukup menarik dan menyayat hati, umpamanya dalam The Old Man and the Sea, Lear and Santiago. Namun, menerusi Sangeetha, Azizi telah memberi wacana baru dalam membicarakan orang tua sebagai bahan kreatif.

Pada mulanya, Sangeehta muncul sebagai sebuah cerpen yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Februari, 2005 hal. 62-66 dan diberikan ilustrasi oleh Sdr Ranzen yang melukiskan gambar tabla,gambus, sebuah rumah usang, seorang wanita India dan seekor kucing. Namun Azizi mengakhiri cerpen ini seperti berikut, “ memang perempuan tua dan kucingnya sudah lena” [hal. 66]. Kemudian cerpen ini telah dibuat ulasan ringkas oleh Muhd. Mansur Abdullah dalam Dewan Sastera Mac, 2005 hal. 67-68 atas tajuk “Kesedaran Kendiri melalui Gelodak Jiwa”. Saya juga terkesan satu kritikan yang panjang dan amat menarik serta menyeluruh dibuat oleh Muhd. Mansur Abdullah berjudul “Sangeetha dalam Diri Pengarangnya” dimuatkan dalam http://aziziabdullah.blogspot.com/

Setelah selesai menelaah Sangheeta, saya teringat pesanan seorang pengkritik Barat yang terkenal bernama Vernon Scannell dalam bukunya berjudul How To Enjoy Novels. Beliau berpesan, the reader must be prepared to exercise his own imagination, his intelligence, sympathies, moral judgement and powers of cocentration; the experience is challenging and, when the novel encountered ia a masterpierce, it will be disturbing, even painful. The great novel may force us to question long-held assumption about reality. We will, to some extend, be changed by it just as we would be changed by significant events, in live experience.

Berdasarkan kepada pesanan itu, saya bersedia dengan pelbagai kesan rasa, justeru timbul beberapa perkara di kotak fikiran saya antaranya mengapa Sangeetha boleh jatuh hati kepada Derus? Sangeetha berusia 80 tahun, manakala Derus berusia 70 tahun. Derus tidak pernah berkahwin, seorang bekas posmen pencen, membantu Viralal untuk membersihkan rumah, kereta moris minor, menjaga burung merbuk dan halaman rumah Viralal dan Sangeetha. Hubungan mereka terlalu baik. Manakala Sangeetha seorang wanita kaya, setelah kematian Viraral, dia menjadi janda kaya, hartawan dan dermawan terkenal di merata dunia hasil dari sumbangannya untuk pelbagai pertubuhan dan anak-anak miskin. Setelah kematian Viralal dalam keadaan ia memeluk agama Islam, disaksikan pula oleh Derus dan jururawat dalam ambulan, Sangeehta tiada berasa sesuatu yang pelik atau marah atau tidak suka dengan Derus.

Walhal, dalam dunia realiti yang berlaku sekarang sudah pasti akan timbul huru-hara dan rasa tidak puas hati hingga membawa kepada rusuhan dan caci-mencaci sehingga mayat yang dikebumikan diminta untuk dikorek semula bagi mempastikan tanah kubur!

Persoalan lain yang menarik minat saya ialah bagaimana novel ini boleh dilihat dari pandangan psikoanalisis, bukan saja seperti yang dihuraikan oleh Muhd. Mansur Abdullah mengenai psikologi orang tua tetapi juga dilihat konsep asas Freudian dan feminine psychology oleh Karen Horney. Kerap kali ungkapan Freud what do women really want ytelah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan wanita. Hal ini kerana menurut Freud, golongan lelaki memiliki “penis” yang dicemburui wanita menyebabkan terjadinya iri hati di kalangan mereka disebutnya “penis envy”. Adakah selepas kematian Viralal, timbul iri hati Sangheeta terhadap Derus?

Untuk menjawab persoalan ini kita telitikan pula idea yang dicadangkan oleh Karen Horney yang dinobatkan sebagai “ the most important women in the history of psychology”. Kajian beliau memfokuskan kepada “envy”. Justeru beliau berpendapat bahawa, “ that if a women envied a man it was because of his social status.” Untuk itu beliau mencipta istilah “womb envy” yang bermaksud “ that men envy women because of their ability to have children. Men then compensate for that inability through achievement in other domains” [Burger, 1997:130]. Bagaimanakah kedua-dua situasi ini dapat dikesan dalam watak Derus dan Sangeetha? Adakah Sangeehta mempunyai sifat-sifat dan emosi yang menjurus kepada “penis envy”? Atau adakah Derus mempunyai sifat-sifat dan emosi yang menimbulkan “womb envy” kepada Sangeetha?

Kajian sains membuktikan bahawa wanita yang telah berumur setua Sangeetha mempunyai pelbagai masalah biologi dan fizikal. Di usia itu pastinya Sangeetha mengalami menopause, osteoporosis, cardiovascular disease dan seksualiti. Hal ini turut dijelaskan dalam kajian Johnson dan Troll [1992]. Mereka telah “found that among people over 85, the women had more health problems than the men even though their husband had more power than their wives” [Turner dan Troll,1994: 18]. Namun dalam Sangeetha, Azizi menafikan kenyataan tersebut. Viraral telah mati pada usia 80 tahun sedangkan Sangeetha masih hidup dengan ingatan dan kekuatan fizikal yang mengagumkan. Malah ilusi cintanya pada Derus semakin kuat. Lihat saja keinginan dan naluri cinta kasih Sangeetha terhadap Derus yang diterjemahkan dalam bentuk igauan dan mimpi indahnya bersama Derus yang tidak pernah melalui dan memahami pengalaman dan alam berumahtangga. Sedangkan Sangeetha pula cuba menggembalikan saat indah bersama Viralal, yang kini pasangan barunya ialah Derus. Petikan di hal 186-187 dan hal. 446 membuktikan keinginan yang terpendam,

Di atas kerusi goyang itu Sangeetha duduk terhenyuk kerana sudah merasai kepikunan tenaga daripada usianya sendiri. Dia cuba menghirup udara petang. Dia adalah janda lama seorang lelaki yang sangat kerja kuat, sehingga harta pusakanya diwarisinya seratus peratus. Kerana kemurahan suami, maka dia yang bergelar janda telah menerima penghargaan yang luar biasa, yang tidak pernah diimpikan dalam hidup.

Dia adalah hartawan dan dermawan, yang sudah memboroskan masa hidupnya dengan tabla dan dagga, dengan merbuk dan kucing dan yang tidak diketahui oleh sesiapa, dia telah melepaskan sisa hidupnya bersama Derus, lelaki 10 tahun lebih muda daripadanya, seorang posmen pencen, yang snagat setia taatnya menghasibkan masa muda dan masa tuanya kerananya, kerana membajai kepikunannya. Lelaki itulah yang sangat mengerti tentang perasaan pikunnya yang seboleh-bolehnya hendak mengembalikan kemudaannya semula. [hal. 446]

Telitikan pula secara sedar bagaimana Sangeetha membuat persiapan dan persediaan dengan memakai apa saya yang menjadi kegemaran dan kesukaan Derus, dan menanti kedatangan Derus sepenuh harapan, [hal 186-187]

Maka dengan penuh keyakinan tentang Derus akan datang dan Derus akan suka melihat apa-apa yang dipakainya, dia pun menyaung kali kemerah-merahan. Merah buah manggis. Sayangnya kalil itu agak longgar. Tak mungkin kaili semakin besar. Apakah pinggangnya semakin kurus atau segala gelambir isi perut menjadikan kaili itu boleh dikisar dan dipusing? Diambil sari berwarna kuning. Rasa-rasanya sari kuning dengan kaili merah manggis sangat kena. Manakala kain sari seperti kelumbung disilang ke paras bahu. Sari itu merah darah, juga dirasanya sangat kena. Dia melihat cermin. Cermin tidak ketawa.

Apa lagi? Diamatinya benar-benar. Hari itu dia mahu memakai selengkapnya walaupun bukan hari jadi seperti yang dikehendaki oleh Viralal dulu. Diambil pula kapel, dimasuknya satu-satu. Tidaklah sukar kerana tangan dan lengan yang semakin tua itu semakin kurus. Kapel itu amat longgar.

Dengan bertongkat sebagai membantu kelemahan tuanya, Sangeetha ke ruang tengah tetapi kemudiannya berpatah balik ke dapur. Dia berdecit-decit beberapa kali memanggil Meo. Diambillah susu di dalam peti sejuk, diambilnya seekor ikan temenung dan diletakkan berhampiran pintu belakang.


Namun Derus belum juga sampai. Merajukkah Derus? Tak mungkin. Derus bukan orangnya. Si tua itu tidak pernah merajuk.
(hlm. 186-187)

Demikianlah juga kekuatan ilusi dan fantasi cinta Derus terhadap Sangeetha, begitu asyik dan mendalam yang menurut Azizi hingga ke tahap fana. Kedua-dua mereka tidak nyanyok, masing-masing bertenaga, mempunyai ingatan yang kuat, mungkinkah kestabilan memori itu datangnya dari nafas cinta yang boleh memberikan tenaga baru? Kerana kuasa cinta apa saya boleh berlaku. Situasi ini dapat dilihat dalam petikan berikut 327-330,

Tiba-tiba petikan gambus terhenti. Terdengar Derus batuk-batuk.
Sangeetha terdongak. ‘Derus!’ Tapi suara itu tidak keluar. Yang terasa biji halkumnya saja bergerak turun naik. Yang terasa sekitar rumah seperti berpusing dan basikal Raleigh pemberian Viralal dulu juga seperti berpusing-pusing. ‘Derus …’ Dipanggilnya sekali lagi tetapi suara panggilannya terperosok ke dalam juga. Jauh di sudut hati.

Batuk-batuk tidak terdengar lagi. Bunyi petikan satu tali ke satu tali seperti hendak mencari key terdengar pula dan kemudian petikan itu bersambung-sambung membentuk satu irama yang aneh kemudian bertali arus dengan petikan penuh geram.

Sangeetha merangkak ke satu tangga lagi. Mujurlah tidak ada siapa yang lalu di situ. Husin pun mujur tidak keluar. Rumah itu mempunyai tangga dan ruang rumah tangga. Apabila bunyi petikan itu semakin menggila, Sangeetha seperti mendapat satu tenaga baru kerana dirasanya di muka pintu Derus sedang mendepa tangan menyambutnya, tetapi malangnya Derus yang sedang memetik gambus itu agak jauh di muka pintu tidak menyedari kedatangannya.

Lantai ruang rumah tangga itu pun berpasir. Sari hitamnya sedikit kotor. Apabila disedarinya Derus tidak menyedari kedatangannya, dia semakin berani berengsot-engsot sehingga sampai ke bendul tangga kedua. Alangkah … alangkah terkejutnya apabila dia melihat fananya Derus. Kemunculannya di bendul pintu sehingga dia menyerangguh melepaskan lelah, Derus masih tidak menyedarinya. Rasukan apakah Derus pagi itu dia tidak tahu. Derus dilihatnya mendongak-dongak dengan gelengan kepala, mencebik bibir tuanya, terherot-herot mulutnya sampai terleleh air liur.

‘Derus….’ Dia sebak melihat Derus tetapi suaranya tetap terkunci di dalam.

Derus tetap juga tidak menyedari kemunculannya di muka pintu, dan dia menyerangguh di bendul memerhati dengan penuh hairan. Dilihatnya Derus mengapuk kukuh perut gambus, di bawah ketiaknya, tersenget bahunya dan tangan yang memetik seperti menggoncang satu pancang yang kuat manakala jari-jari tangan kirinya meretih melompat-lompat, menekan-nekan, sesekali direntap hingga hampir ke perut gambus dan kemudiannya menggesek pantas hingga ke leher gambus. Kadang-kadang jari-jari Derus dilihatnya seperti jengkauan lintah paya.
Dilihat dalam konteks psikoanalisis Freud, beberapa konsep utama perlu difahami untuk memperjelaskan bagaimana perkembangan gender boleh berkembang. Dalam hal ini terdapat empat konsep iaitu:

a] how relationships develop and are transformed. Hal ini boleh dinilai bagaimana bermulanya hubungan Sangeetha dan Derus pada peringkat awal hinggalah semakin intim selepas kematian Viraral.

b] levels of consciousness. Tahap-tahap kesedaran ini juga dapat dikesan bagaimana emosi rindu dan kasih bertaut dalam irama muzik Melayu [gambus] muzik klasikal India dagga dan tabla. Bahkan ilusi dan fantasi cinta Derus dan Sangeetha berselang-seli berlaku dalam keadaan “conscious” dan “unciousness”. Ada ketika mereka dapat mengawal diri, ada kalanya fantasi dan ilusi mereka hanyut.

c] ways of processing experience. Hal ini dapat dilihat bagaimana proses cinta mereka dibentuk , berkembang dan berakhir. Satu cara yang dapat dikesan ialah irama muzik telah menterjemahkan emosi cinta mereka.

d] defense mechanisms. Konsep ini dikembangkan oleh anak perempuan Freud iaitu Anna Freud. Ia merujuk kepada bagaimana “unciousness strategies” digunakan untuk menjaga kesedaran diri. Juga konteks ini dapat dikesan bagaimana Derus memelihara rasa cintanya dengan bersolat, berdoa dan ada waktunya dipindahkan kepada memelihara Sangeetha seperti memelihara merbuk.

Keempat konsep ini berfungsi dengan mengambilkira tiga konsep tradisi dalam kriitikan psikoanalisis Freud iaitu id, ego dan super-ego. Id “is entirely unconciousness”, id juga adalah “reservoir of libido, it”s functions to fulfill the primordial life-principle” yang disebut Freud pleasure principle. Manakala ego lebih bertindak sebagai saring atau penapis dan ego” is governed by the reality principle, sementara super-ego disebut sebagai morality principle.

Dalam bahasa yang mudah, id menjurus kepada kebinatangan, super-ego mengarah manusia ke arah kemalaikatan dan ego memelihara keseimbangan manusia dengan sifat-sifat kemanusiaan. Lalu bagaimanakah ketiga-tiga zon psikik ini berfungsi dalam diri Sangeetha dan Derus. Dalam hal ini terdapat beberapa situasi di mana ego sudah tidak dapat menyeimbangkann antara zon id dan zon super-ego, kerana kemuncak cinta Sangeetha terhadap Derus dan begitu juga kemuncak cinta Derus terhadap Sangeetha telah memasuki zon id. Lihat saja perasaan cinta mereka berdua di hal 391-394 bertaut menjadi satu:,

‘Engkau adalah hartawan dan dermawan yang baik dan memboros kepikunan hanya untukku’
Sangeetha malu-malu dalam rasa bangga. Apakah benar kata-kata Derus ini? Mengapa malam ini baru berpeluang menyatakannya?

‘Tidak seperti hartawan lain, aku rela menghabiskan usiaku bersamamu. Mahukah engkau bersamaku?’

Sangeetha seakan-akan tidak percaya bahawa Derus yang melafazkannya. Dia yang duduk tundukl melengkung memaksa tuanya supaya tidak ketara, memilin-milin bucu bantalnya. Dia mendiamkan diri seketika tetapi disaranya Derus sudah berada di bawah keteduhan hatinya. Bujukan Derus menjadikan dia membungkam. Lalu terasa Derus memegang tangannya, meramas-ramasnya.

‘Mahukah engkau mengunyah luluh daun-daun hari tuaku?’

Dia terasa Derus duduk di sisinya di tubir katilnya. Ahh, kepikunannya. Apakah ini satu ulangan masa muda? Tidak, ini bukan Viralal yang bermisai melengkung ke atas, yang berbadan tegap, berbulu dada. Ini Derus, lelaki yang menghambat tuanya, yang sekian lama barangkali menyimpan dendam rasa.

Lalu dia pun berasa tidak perlu lagi menyiapkan kelengkapan istimewa. Cukup apa yang ada. Yang perlu hanyalah Derus yang diidamkan sekian lama tetapi tak terluah sejak lama juga. Cukup rasanya dengan bau wangi minyak yang dipakai ke majlis tadi dan bau badan mandian bunga-bunga di dalam tab. Cukuplah dengan kehangatan tubuh waktu dinihari. Dia pun baring dalam keadaan malu tetapi kepikunannya mengajar ia menjadi berani. Derus terkedu dan memandangnya dengan aneh.

Dalam cahaya samar pantulan dari bilik air dan balkoni, tubuh tua itu tidak sangat nampak kedutnya. Derus pun macam tidak peduli. Tidak ada sungutan tidak bagus sehinggaka ketiak pun tidak terasa tengit peluh.

‘Hidup sebenarnya,’ bisik hatinya tetapi tidak pun didengar oleh Derus ketika dia menyentuhi Derus.

Maka bilik yang sarat dengan desahan keluh dan resah tadinya bertukar menjadi silihan nafas kencang. Derus mempermainkan jari-jari yang sering memagut syahi or gab dan maidan. Untuk pertama kali Derus menimang-nimang kalung di lehernya, yang dipakai ke majlis semalam. Dia ingin tersenyum tetapi tidak berseri kerana kerepot dan kebam bibir tuanya. Tiba-tiba dia teringat bagaimana Viralal mengucupnya dengan penuh kegelian kerana serabut tajam misaim Viralal. Dan kini, ternyata misai dan janggut Derus tidak terjaga dan kulit pipinya yang tua berkedut dengan garis-garis panjang, tikaman bulu janggut dan misaim Derus terasa mjal-mejal sahaja. Sangeetha teringat ciuman seperti itulah dua puluh tahun yang lalu, satu ciuman terakhir daripada Viralal. Lalu dia pun membalas dengan meletak tangannya ke bahu Derus sebagai membuktikan tindak balas kemesraan, dia mendekap bibir kerepotnya ke pipi Derus.

‘Jangan!’ kata Derus terengah-engah.
‘Kau sudah pun melakukannya, Sangeetha.’
‘Tidak.’

Keaktifan Sangeetha seperti dia telah meninggalkan kepikunannya 10 tahun yang lampau. Akan tetapi Derus terkapai-kapai kerana tidak memiliki pengalaman luar biasa.

‘Aku sudah tua,’ gumamnya dan ternyata rasa-rasanya dia akan kecundang terlebih dahulu kerana penat semputnya. Tetapi Derus juga tidak memenuhi syarat seperti lelaki lain. Mungkin kerana pertama kali dan kesempatan yang ada sangat terburu-buru. Dia merasa, menggagahi dirinya dan memaksa Derus mengagahi perasaannya bukanlah ubat kuat.

Akhirnya dia terkulai dan tidur di atas lengan Derus yang lumpuh keaktifannya. Dia terbaring dengan kesal tetapi dia berasa puas kerana adanya kesepaduan rasa. Bukankah Derus tidak menolak? Akan dibiarkan Derus terkelepek sampai pagi.

Hal yang sama berlaku dalam diri Derus yang menggilai Sangeetha dengan penuh rasa berahi yang tidak pernah dialaminya. Lihat petikan di 174-175 dan 388, kedudukan ego sebagai penapis dan pengimbang zon psikiki manusia gagal berfungsi. Derus hanyut dalam lamunan menuju ke zon id, sehinggalah lamunannya tersedar setelah terkejut ada benda jatuh di bilik Sangeetha. Benarlah kata orang cinta itu buta, cinta tidak mengenal usia. Namun dalam banyak situasi, zon ego berjaya mengawal rasa cinta kedua-dua watak ini untuk berada dalam zon super-ego. Kemuncak cinta dan naluri seks mereka di transformasikan kepada irama muzik tabla, dagga dan gambus, bahkan simbol cinta itu dipindahkan kepada burung merbuk. Lihat petikan 518-519] yang menyaksikan kesungguhan Derus mengubati merbuk yang dalam kesakitan.

“Merbuk sudah segar, dan tentu Sangeetha juga sudah sihat”. Setiap pergerakan merbuk adalah reflection Sangeetha. Manakala Sangeetha pula berfikir, “membawa balik merbuk untuk berubat sama sahaja dengan mencempungnya untuk berubat. Mengubati merbuk sama saja mengubatinya yang dalam kepikunan. Tetapi ada yang tidak dapat diubatinya dalam kepikunan itu ialah kerinduan” [hal. 508]. Tanggapan ini dibuat dalam keadaan “unconscious” melalui tindak-tanduk sublimasi yang berada dalam takungan libido. Dalam kes ini, zon-psikik Sangeetha dan Derus dikawal oleh Ego untuk berada dalam super-ego. Mereka tidak melanggar norma-norma yang telah ditentukan oleh masyarakat. Demikan juga perasaan yang sama dipindahkan kepada mandian merbuk di hal. 123-125, Telitikan petikan di hal 498-500 yang memperlihatkan kerinduan Derus kepada Sangeetha,

Apakah Sangeetha juga begitu?

Dan apabila dia mendongak mengamati betul-betul merbuk yang diam di dalam sangkar di hujung alang semurup pisang sesikat itu ternyata merbuknya seperti murung.

Murung jugakah Sangeetha?

Ternyata merbuk itu seperti selesema.

Selesema jugakah Sangeetha?

Merbuk itu seperti meluruh.

Merohoi jugakah semangat Sangeetha?

Benar-benar sekali merbuk memang berpenyakit tetapi Derus tidak tahu penyakit apa. Maka dengan hati-hati dia mengginjat kaki di undakan, diambilnya sangkar itu tanpa menggegarkan sedikit pun kedudukan merbuk, lalu terduduk dengan perasaan yang cukup terharu. Jika Sangeetha juga begitu, alahai … ya Allah ya Rabbi…. Maka Derus pun menyedut-nyedut air hidungnya yang hendak meleleh keluar. ‘Geetha …’ bisik Derus dengan segala susah payah memeluk sangkar yang dirasanya dia seperti mencempung Sangeetha yang kurus kecil itu. Memang … memang Sangeethalah yang dicempungnya kerana Sangeetha dengan merbuk adalah satu; Sangeetha dengan tabla adalah satu; Sangeetha dengan Meo adalah satu dan Sangeetha dengannya adalah satu.

Melihat Azizi melalui bahasa dalam Sangeetha.

Salah satu cara untuk mengenali atau mengecam bahawa karya itu milik Azizi Hj Abdullah ialah pengungkapan bahasanya. Namun ada waktunya khalayak sedikit keliru atau berteka-teki kerana pada pandangan saya, gaya bahasa Azizi ada juga persamaannya dengan Shahnon Ahmad. Sebagai contoh stail ini dapat dikesan di hal 441, 443 dan 470. Pembinaan ayat dibina dengan terma dan loghat Kedah, ayat yang pendik-pendik, berulang-ulang, berselang-seli dengan gaya ironis, sindiran dan makna yang mendalam. Setiap terma yang dipilih dan ayat dibina dapat sampai maksudnya kepada khalayak seolah-olah gambaran itu hidup dan segar. Itulah kelebihan Azizi. Penelitiannya detail dan benda yang dianggap remeh diketengahkan dan diambil peduli supaya nampak sempurna. Sikap kepeduliannya itu patut dicontohi. Saya dapat mengutip beberapa contoh ayat yang memperlihatkan kecekapan Azizi untuk mempersembahkan maksud tertentu. Setiap satu ayat itu pastinya berbau pengaruh persekitaran dan latar belakang Azizi, antaranya,

1. … Apabila mata tua mereka bertentangan lalu mereka terkerising kemudian terus ketawa.(hlm. 133)

2. Berdecit tidak, berdecip tidak. Berdecuh tidak, berdecup tidak. Apalagi decur-decut. (hlm. 498)

3. …. Pasti Sangeetha ada di dalam, mungkin terkedang melayan kepikunannya.(hlm. 496)

4. Tetapi jangkaannya meleset. Tiba-tiba Meena muncul di pintu bilik dengan dua tangan menyanggah daun pintu dan bertanya, “Masih penat? Letih? Mengah? Kalau macam itu kita ke klinik!”
Dia tercungap-cungap oleh kekalutan pertanyaan yang dilontar kepadanya.(hlm. 508)

5. … Kalau tidak silap, anjing itulah juga yang pernah diligannya, selalu apabila masuk dengan lidah terjelir-jelir melalui pintu pagar yang terkeleweh.(hlm. 526)

6. “Tangan seluk jubur ayam!” tempik Derus dengan ketawa yang kuat.(hlm. 527)

7. … Dan tidak pernah ada dalam kamus hidupnya mayang menolak seludang. Dia rela menjadi kain basahan sehelai, timah sesuku, kalau tak timah pergi terasa mendapat: demi Viralal, demi Sangeetha sejak dulu. Tetapi itulah, sejak Meena muncul, dirasanya Sangeetha bersikap limau masak seulas. Walau bagaimanapun buat sementara waktu dia tidak kisah. Biarkan Sangeetha sedar sendiri. Satu hari Sangeetha akan tahu juga betapa tembaga menunjukkan senam, besi menunjukkan karat, keris menunjukkan pamur, manikam menunjukkan cahaya.(hlm. 527-528)

8. Terherot-herot mulutnya, mengebam-ngebam bibirnya. Melenggok-lenggok kepalanya, mengangguk-angguk pula dan apabila air liurnya berlenja, disedutnya sampai habis. (hlm. 174-175)

9. …. Birha daripada balutan baldu hijau, terkeremot terpelonok tidak dijaga. Petang itu segala-galanya tidak dipedulikan. Dibiarkan begitu-begitu tentang vadi yang kendur, tentang guli yang tergesak, tentang kuri yang terkeleweh atau gajra yang berubah. Semuanya tidak memberi makna.(hlm. 149)

10. … Dia datang dalam keadaan amukan rebut rindu tak tertahan, dari keloi suara batin yang ingin menyatukan dua irama menjadi satu.(hlm. 451)

11. … Meena menembab telinganya ke bibir mulut tetapi Meena hanya mendengar suara seperti itik nila.(hlm. 458)

12. … Jari-jarinya seperti dikarau oleh wayar magnet; berkerekot seperti besi pencakar sampah.(hlm. 458)

13. Sangeetha hanya menguyukan matanya yang digenangi air. Air liurnya berlenja-lenja di tepi bibir. Ada sedikit buih-buih.(hlm. 459)

14. … Mahu ditingkah-tingkah sekali dua, biar dengung dan kelepong-kelepang bunyi itu sampai ke rumah Derus.(hlm. 462)

15. … Pengalamanlah yang berwaspada. Sesekali terkejut apabila terdengar seakan-akan decit-decap, decuh-decup atau decur-decut.(hlm. 469)

16. Berdecit tidak, berdecip tidak. Berdecuh tidak, berdecup tidak. Apalagi decur-decut.(hlm. 498)

17. … Derus tentu tidak mahu kelaku kelayaknya dengan Meena dapat dilihatnya. Mungkin. (hal. 474)

18. … Hodohnya bukan sekadar riak wajah yang berkedut, berbibir kepom atau pipi terkelohom tetapi tentu juga membusukkan jiwa dan hati nurani.(hlm. 474)

19. … Ramai orang melihatnya dan menyangka dia tuan baru pada Derus, kata Meena dengan terkukkik-kukkik ketawa sampaikan merbuk pun tertekuku-kuku.(hlm. 475)

20. Tetapi sangat sukar hendak menafikan itu. ketika berada di atas basikal, mengengkiang kedua kaki, dia jadi teragak-agak hendak turun membuka pintu pagar, …(hlm. 495)

21. … Mujur pintu pagar sudah terpelahang kerana Meena tidak menutupnya ketika keluar tadi. (hlm. 496)

Kesimpulan

Itulah antara beberapa aspek yang boleh kita renungi dan kesan hasil dari perincian terhadap emosi cinta dan erti cinta yang terjalin antara dua dunia yang berbeza. Sekali lagi Azizi masih mengekalkan cara pengakhiran luar-duga. Apa tidaknya pembaca dipaparkan dengan Sangeetha yang nazak, Derus pula yang meninggal. Oleh itu hipotesis yang menyatakan wanita mempunyai jangka hayat yang lebih lama dari lelaki dibuktikan oleh Azizi. Pada dasarnya saya kelaskan pengisian novel ini sebagai “macam-macam ada”. Walaupun latarnya hanya sebuah rumah usang, diselarikan pula dengan penghuninya yang tua, sekelilingnya juga flora dan fauna yang tua, lelaki-lelaki seperti Hussin, kalendan dan drebar lori yang “tidak menarik”, pagar rumah yang tua, moris minor yang tua, kemunculan Meena yang juga tua, adalah faktor-faktor yang boleh menyumbangkan sebuah karya yang mejemukan. TETAPI Azizi berjaya menambat emosi khalayak hingga ke penghujung cerita. Itulah sisa-sisa kehidupan orang tua sebenarnya. Azizi berjaya mengungkapkan nilai-nilai kemanusiaan. Aspek kemanusiaan yang paling menonjol akan menjadi sumber penting dalam mana-mana kesasterawan ialah permasalahan kemanusiaan {Shahnon Ahmad, 1992: 150]. Inilah yang diungkapkan oleh Azizi .

Azizi juga berjaya mengubah dan membina gaya baru dalam persembahan Sangeetha. Apa tidaknya, novel ini disulamkan dengan pantun-pantun indah, gurindam dan seloka orang muda memadu asmara tetapi diubahnya untuk orang tua memadu rasa cinta yang terpendam. Pelbagai unsur ironi dan sindiran dapat dikesan, terutama di kalangan tingkah-laku dan sikap watak sampingan yang membawa erti tersirat. Renunglah watak Hussin yang suka memasang radio dengan kuat, Si Manat dan Karim - drebar dan kalendan lori yang suka mengusik Derus dan kemunculan adik Sangeetha iaitu Meena. Mereka adalah watak-watak yang tidak faham perasaan orang tua dan ada waktunya buta seni dan buta cinta! Rumah limas potongan perak dirapikan dengan semua unsur tua, pagar yang tua, basikal yang tua, moris minor yang tua, pokok nangka yang tua, bangku yang tua, sangkar burung yang tua, pokok rambutan yang tua dan dinding kayu yang tua. Secara “subtle” Azizi memberikan keselarian jalan cerita yang cukup mempersona, tetapi ramai yang tidak sedar termasuklah Meena yang mahu mengubah segala unsur nostalgia yang ada dalam rumah itu!.

Itulah Azizi, setebal mana pun cerita yang dikarangnya, Azizi tetap Azizi. Dia mahukan pembaca lebih proaktif justeru beliau menghasilkan novel yang penuh dengan unsur penyelidikan yang rapi. Dengan terhasilnya novel ini, Azizi muncul sebagai pengarang yang berani keluar dari “comfort zone”, melanggar konvensi demi mencipta sebuah invensi yang menyegarkan. Akhiran cerita menjadikan khalayak tidak selesa kerana timbul pelbagai kemusykilan, adakah Sangeetha Islam? Bagaimana dia akan dikebumikan? Fahamkan Meena tentang apa yang tersembunyi selama ini? Adakah persoalan itu akhiran cerita atau masih di tahap klimaks? Kepada Azizi, saya panjangkan nasihat Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, kata beliau [1988:111], kita sebagai pengarang jangan begitu sensitive terhadap apa orang lain kata terhadap karya kita. Tugas kita hanya mengarang dan memperkembangkan daya kreatif semampu yang kita boleh. Kita boleh belajar dari pengalaman-pengalaman kita sendiri.

Bibliografi


A. Rahim Abdullah. 2005. “Pemikiran Azizi Haji Abdullah dalam Karya Cereka”, Dewan Sastera, April 2005: 16-23.
Ali Ahmad. 1994. Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Haji Abdullah. 1999. “Jalan Panjang Mencipta Nama”, Dewan Sastera, Jun 1999: 96-98.
Azizi Haji Abdullah. 2005. “Sangeetha”, Dewan Sastera, Februari 2005: 62-66.
Azizi Haji Abdullah. 2006. Sangeetha. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Barbara F. Turner & Lillian E. Troll. 1994. (ed.). Women Growing Older: Psychological Perspectives. London: Sage Publications.
Guerin, L Wilfred, Labor G.Earle and Morgan, Lee. 1976. A Handbook of Critical Approaches to Literature. London: Harper & Row Publishers.
http:///www.sangeetha.org/Banner.htm
http:///www.sangeetha.org/Spring07_brief.htm
http://en.wikipedia.org/wiki/Feminine_psychology
http://www.webrenovators.com/psych/KarenHorneyoWoman.htm
James E. Birren & K. Warner Schaie. 1977. (ed.). Handbook of the Psychology. New York: Van Nostrand Reinhold Company.
Karen Horney, M.D. 1939. New Ways in Psychoanalysis. New York: W.W. Norton & Company, Inc.
Lore Reich Rubin. Feminine Psychology. By Karen Horney. Edited by Harold Kelman, M.D. New York: W.W. Norton & Co., Inc, 1973. pp 289”. http://www.pep-web.org/document.php?id=paq.045.0148a.
Muhd Mansur Abdullah. “Sangeetha Dalam Diri Pengarangnya”. http://aziziabdullah.blogspot.com/
Muhd. Mansur Abdullah. 2005. “Kesedaran Kendiri Melalui Gelodak Jiwa (Analisis Cerpen Dewan Sastera, Februari 2005)”, Dewan Sastera, Mac 2005: 67-71.
Shahnon Ahmad. 1988. Gubahan Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahnon Ahmad. 1992. Kesasterawanan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian, Kemanusiaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Urus Setia Panel Anugerah Sastera Negara. 2005. (pngr.). Sastera dan Kemanusiaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

1 comments:

  1. Cinta Misteri

    Huraian yg lengkap. InsyaAllah sy akn dptkn novel ini sesudah selesai exam smingguhadapan. Sy peminat novel & nukilan ramlee awang murshid