(Khairiyah Ghazali)
Bicara karya menjadi wadah bagi golongan akademik dan penggiat sastera khususnya pengarang menyampaikan ilmu yang tersirat dalam karya yang dibicarakan. Dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut DBPWU telah menganjurkan majlis bicara karya Sangeetha di tiga buah negeri di Wilayah Utara iaitu di Pulau Pinang pada 27 Februari 2007, Perlis pada 4 April 2007 dan di Kuala Kangsar, Perak pada 14 April 2007. Majlis anjuran bersama DBPWU dan Persatuan Penulis Pulau Pinang, Pusat Sumber Pendidikan Negeri Perlis dan Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada khalayak yag hadir.
Objektif utama program adalah untuk memperkenalkan karya terbaru terbitan DBP, memperkenal penulis kepada khalayak serta meningkatkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat. Di samping itu melalui penganjuran program seumpama ini , para pembaca dapat memahami makna yang tersirat dalam setiap karya sastera seterusnya mereka akan lebih menghargai nilai setiap karya sastera yang dihasilkan dengan penuh kepayahan, keperitan dan penyelidikan yang teliti oleh pengarang buku berkenaan.
Novel yang dibicarakan ialah Sangeetha, karya Azizi Haji Abdulllah, merupakan projek penulisan beliau semasa menjadi Penulis Tamu DBP pada tahun 2005. Menurut Saudara Azizi, dalam usaha beliau menghasilkan buku setebal 516 hlmaman ini, skrip Sangeetha telah melalui proses pembetulan sebanyak lapan kali, iaitu bersamaan lapan naskhah. Ini bererti beliau telah menulis Sangeetha sebanyak 3,288 hlmaman. Bagi beliau terhasilnya Sangeetha, bererti seluruh kekuatan, tenaga dan perasaan sepanjang pengalaman menulis beliau sejak 1960-an telah dicurahkan kepada Sangeetha. Semasa membicarakan tentang proses kreatif Sangeetha, beliau tidak menafikan bahawa untuk melahirkan sebuah novel perlu melalui proses penulisan yang amat menyiksakan namun hasilnya ialah kepuasan. Bagi beliau “proses berkarya merupakan satu proses yang tidak pernah dihargai orang tetapi menuntut seribu pengorbanan sama ada daripada segi masa, idea, sikap dan tenaga yang tidak ternilai harganya”.
“Membaca Sangeetha telah membawa kita untuk merasai sendiri erti sebuah kesepian. Penerokaan sepi sepanjang bab telah membuktikan kehebatan Azizi sebagai penulis untuk menyusur dan memasuki dunia sepi seorang wanita tua. Waktu dan suasana juga memainkan peranan yang paling penting dalam menggambarkan sunyi dan sepi yang dialami dan dirasai Sangeetha. Misalnya, pada waktu malam yang sering menghantui Sangeetha, hingga menyebabkan beliau benar-benar merasa perlunya Derus hadir dalam hidupnya. Ini digambarkan oleh pengarang dengan panjang lebar,
...”Malam bertambah malam. Sepi pun semakin bertambah. Yang terdengar cengkerik di pagar yang berlumut. Pokok-pokok sawa tentu sudah tidur. Pokok rambutan juga tentu sudah tidur. Mungkin daun-daun tua ada yang gugur tetapi yang hijau pasti segar apabila embun mula gerimis...”(hlm. 159).
Walaupun Derus hanya datang sesekali sahaja, namun kehadirannya dapat juga menghilangkan kesepian dan kesunyian dalam hati Sangeetha.
.”...Derus yang datang menyiram pokok-pokok, menyapu daun-daun kering di hlmaman, dan membakarnya, mengisikan air dalam makanan merbuknya, mengibas habuk-habuk badan kereta serta menghidupkan enjinya sekali...”
Azizi amat berjaya menggambarkan kesepian dan kesunyian pada diri kedua-dua watak utama Sangeetha iaitu Derus, 70 tahun dan Sangeetha 80 tahun. Lewat novel ini, kesepian , kesunyian, pengharapan dan penantian banyak kali diolah oleh pengarang seperti mana yang dihadapi Sangeetha sejak akhir-akhir usianya. Kadang-kadang kesepian, kesunyian, pengharapan dan penantian ini diperjelaskan begitu panjang lebar dan terperinci sekali bagi menghidupkan watak hero dan heroinnya yang sepi.
Azizi mengolah perasaan Sangeetha yang berusaha menghilangkan kesunyian dan kesepian dengan adanya harapan dan penantian yang menjadi perantara. Misalnya digambarkan dengan kehadiran Derus yang sering berkunjung ke rumah besarnya berupaya mengurangkan rasa sunyi dan sepi dalam dirinya. Dia hanya sekadar hanya mahukan Derus berada di rumahnya sahaja.
.”...dia tak harapkan apa-apa dari Derus, kecuali Derus ada di hlmaman atau menambah air dan padi merbuknya, jadi drebar sekejap atau...jika Derus tidak lakukan apa-apa pun tak mengapa. Cukup sudah Derus ada dan dia boleh nampak di mana-mana...” (hlm 142)
Demikian antara isi kandungan kertas kerja yang dibentangkan oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Muhd Mansur Abdullah dalam Program Bicara Karya Sangeetha karya Haji Azizi Abdullah pada 27 Februari 2007, bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.
Selain memperkatakan tentang psikologi orang tua yang sunyi dan sepi, Datuk Mansur juga meyakinkan pembaca melalui kertas kerja beliau bertajuk Sangeetha Dalam Diri Pengarangnya, bahawa “Azizi menulis sesuatu yang dia benar-benar tahu”. Menurut beliau lagi “ Penerokaannya mendasar ke akar umbi, dan inilah yang menguatkan lagi teknik dan gaya penceritaan Azizi dalam semua novelnya. Kadang-kadang kita terasa seperti tidak ada yang tercicir atau tertinggal langsung sesuatu perkara itu di dalam diskripsinya. Begitulah cara penerapan dan pemaparan novelis yang saya kagumi dalam setiap penulisannya yang saya ikuti. Kepuasan ini terserlah apabila kita selesai membaca novelnya hingga ke sudah!”.
Penghayatan watak Sangeetha dan Derus yang sunyi dan sepi ini disokong oleh teori kemanusiaan yang disampaikan oleh Dr. Ratna Roshida Abdul Razak dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk Sepi Sangeetha:Satu Pendekatan Kemanusiaan.
“Menurut Maslow kasih sayang dan harga diri adalah dua keperluan asas untuk setiap individu. Kedua-dua perkara ini perlu terlebih dahulu dimiliki sebelum peringkat terakhir dari tingkat-tingkat keperluan diri tercapai. Keperluan harga diri ini ialah satu perasaan berkaitan dengan harga diri dan keupayaan peribadi.
Maslow juga menegaskan keperluan kepada kasih sayang dan perasaan kepunyaan (sense of belonging) adalah penting untuk menghilangkan perasaan kesunyian atau keterasingan. Sehubungan dengan itu sikap Sangeetha yang ingin mendapatkan kasih dari Derus dikira sesuatu yang normal bagi seorang yang berada dalam kesunyian, iaitu lima tahun setelah kematian suaminya, Viralal”. Ini diperjelaskan seperti berikut:
.”... Dia tidak pernah berasa bosan membilang bilah-bilah hari tua. Betapa hidupnya yang terasing itu tetapi dia tidak pernah berasa terasing bersama Derus lelaki tua, posmen bersara yang tidak berkahwin itu. Sesekali seperti Viralal dirasakannya. Akan tetapi kadang-kadang seperti Deruslah yang ditunggunya...” (Hlm. 29)
“‘...Kemunculan Derus selalunya dirasai seperti berada di dalam kota indah yang tidak jemu...” (Hlm. 63)
Dalam situasi seperti ini, jelas Maslow, individu ini akan menikmati kesepian dan akan hanya menikmati hubungan yang mendalam dengan insan yang terdekat sahaja. Dengan kata lain, individu seperti ini tidak memerlukan ramai insan lain untuk bersamanya”.
Justeru, berlandaskan ini jugalah maka lahirlah Sangeetha:Bukan Cinta Biasa, iaitu kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr. Siti Hajar Che Man. Kedua-dua kertas kerja yang memfokuskan sepi seorang tua dan cinta luar biasa ini dibentangkan dalam program bicara novel anjuran DBPWU dan Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) , pada 14 April 2007, bertempat di Pejabat Pelajaran Daerah, Kuala Kangsar.
Menurut Dr. Siti Hajar, “Namun dalam konteks Sangeetha, semua definisi cinta berbaur menjadi satu bentuk cinta luar biasa. Azizi telah menjalinkan cinta luar biasa yang tak pernah terfikir di kalangan manusia bahawa ia boleh berlaku. Tetapi di tangan Azizi, cinta luar biasa ini telah dan boleh berlaku. Justeru saya namakan esei ini sebagai “Cinta Luar Biasa”.
Luar biasa ini membawa maksud, tidak biasa, di luar norma-norma masyarakat, tidak pernah berlaku, tak mungkin berlaku, jalinan cinta misteri dan pelik. Inilah yang berlaku di antara Sangeetha dan Derus. Mengapa emosi cinta mereka dikatakan pelik, ganjil atau yang luar biasa atau tak biasa berlaku? Antara sebabnya ialah,
- cinta ini terjalin secara gerak tubuh badan.
- cinta ini terjalin antara lelaki Melayu dan wanita India.
- cinta ini antara lelaki Islam dan wanita Hindu. cinta ini terjalin antara perempuan tua dan lelaki tua.
- cinta ini terjalin antara lelaki tua yang lebih muda daripada wanita tua.
- cinta ini terjalin antara lelaki tua yang tidak pernah berkahwin dengan seorang balu.
- cinta ini terjalin antara majikan dan kuli.
- cinta ini terjalin antara dua amalan budaya yang berbeza.
- cinta itu terjalin antara gaya hidup yang berbeza.
- cinta itu dialirkan melalui irama muzikal yang lahir dari dalam jiwa.
- cinta ini terjalin antara lelaki miskin dengan wanita kaya,
- cinta ini terjalin antara lelaki yang hidup sederhana dengan wanita dermawan/hartawan.
Dalam satu kerja lain bertajuk Sangeetha: Satu Bacaan Psikoanilisis yang dibentangkan oleh Dr. Rahimah Abdul Hamid dalam program yang sama di Perlis, beliau telah menyatakan bahawa “...berdasarkan pemahaman ringkas tentang struktur psiki manusia oleh Frued, aspek id dalam novel ini boleh dilihat melalui kisah Sangeetha yang kosong jiwanya dan kesepian setelah kematian suaminya Viralal. Memang sewajarnyalah Sangeetha mengalami perasaan seperti itu kerana kehidupannya dengan Viralal, meskipun tanpa anak, sentiasa diisi dengan cinta dan kasih sayang. Meskipun Sangeetha dan Derus sama-sama tertarik antara satu sama lain, namun ego iaitu prinsip realiti sentiasa mengawal tindak-tanduk dan perlakuan mereka berdua.
Ego menerbitkan fikiran waras pada diri mereka berdua akan kepikunan masing-masing. Malah, ego juga mengawal perlakuan mereka supaya tidak kelihatan serong pada pandangan masyarakat iaitu Karim dan Mamat yang bekerja dengan Majlis Bandaran sebagai pengutip sampah; Husin yang tinggal menyewa di rumah sewa Sangeetha bersama Derus; dan Raja yang bekerja sebagai penjual botol dan suratkhabar terpakai adalah antara orang yang curiga kepada Derus kerana begitu setia bekerja dengan Sangeetha. Lantaran kecurigaannya, Husin misalnya pernah bertanya,
“Pak Derus bawa perempuan tua India. Tak pelikkah jadi kulinya?” [hlm. 211].
Malah Husin juga pernah menyindirnya bahawa orang tua pencen sepertinya seharusnya tekun membaca al-Quran dan ke masjid beribadat. Sementara itu, Karim pula pernah berkata dengan celuparnya,
“Kalau nak bawa perempuan pun, carilah yang muda sikit. Ini....” Lalu Karim ketawa berdekah-dekah [hlm. 211].
Walaupun Derus menyimpan perasaan terhadap Sangeetha, tetapi jika diteliti dengan cermat, dalam banyak keadaan, Derus dikawal oleh psiki sedarnya. Lantaran itulah, Derus tidak pernah mengambil kesempatan untuk bermesra-mesraan dengan Sangeetha, walaupun dia mempunyai peluang yang terbuka luas untuk berbuat demikian ketika berada di rumah Sangeetha.
Tidak ada orang yang akan tahu kalau dia masuk ke dalam rumah Sangeetha dan bermesra-mesraan dengan wanita pikun yang kesepian itu kerana rumahnya agak terpencil dari jalan raya dan dari pandangan orang ramai. Pernah Sangeetha mempelawanya tidur di rumahnya:
“Rumah aku ni pondok burukkah? Engkau boleh bermalam di rumah buruk aku ni kalau tak sempat balik” [hlm. 349]. Namun, egonya menyuruh dia pulang ke rumahnya. Meskipun berikutnya Derus ada bermalam di rumah Sangeetha, tetapi mereka tidak berdua-duaan kerana pada ketika itu Meena ada bersama di rumah limas besar potongan Perak itu [hlm. 371].
Selain itu, ada masa-masanya ego Derus menyedarkannya bahawa dia hanyalah kuli di rumah Sangeetha. Lantas, dia akan memanggil Sangeetha dengan panggilan puan, misalnya: “Kita nak ke mana, puan?” [hlm. 215]. Dalam ketika-ketika tertentu pula, Derus berasa ‘Sangeetha semacam kakaknya... walaupun sudah 70 tahun. Pernah dia memanggil “Kakak Geetha” pada suatu ketika. Sangeetha tidak terkejut pun, malah tersenyum’ [hlm. 52]. Perasaan begini tentulah tidak dibalut oleh desakan seks, sebaliknya oleh hubungan pekerja dengan tuannya, atau simpati yang mendalam kerana tuannya itu telah begitu tua dan perlukan perhatian.
Melihat kepada Sangeetha pula, meskipun hatinya begitu tergoda kepada Derus, begitu kesepian dan ingin Derus sentiasa mendampinginya, namun egonya menyedarkannya supaya berpijak di alam realiti bahawa dia bukan anak gadis lagi. Kesedaran inilah juga yang menyedarkannya supaya tidak memaksa Derus untuk duduk di sampingnya ketika dia menerima anugerah penghargaan daripada Menteri di Dewan Masyarakat Penyayang kerana sumbangan dermanya yang banyak terhadap masyarakat.
Memperkatakan superego pula, psiki moral ini pada dasarnya begitu ketara pada watak Derus. Jika diamati, agamalah yang menuntun jiwa Derus agar menjaga perilakunya supaya tidak melewati batas-batas agama yang hak apabila berada bersama dengan Sangeetha.
Oleh yang demikian, ketika Derus berasa Meena sudah menguasai seluruh kehidupan dan rumah Sangeetha, perasaan hampanya kerana tidak lagi dapat sebebas dulu mendekati Sangeetha dipindahkan kepada Allah s.w.t. Hal ini bermakna perasaan cinta sesama manusia yang berteraskan prinsip keseronokan telah dipindahkan Derus kepada cinta yang berteraskan prinsip moral bagi menemukan cinta yang lebih tinggi, suci dan abadi. Sebab itulah ketika Meena memberitahunya Sangeetha sakit tenat, Derus dapat mengekang keinginannya yang membuak-buak untuk menemui Sangeetha dengan cara mendekatkan lagi dirinya kepada Allah s.w.t.. Dalam keadaan yang benar-benar sedar akan ketidakupayaannya untuk menyihatkan Sangeetha kembali, Derus semakin kuat beribadat. Selain bersembahyang hajat, doa yang tulus turut dipanjatkan kepada Allah swt agar Sangeetha kembali pulih.
Walau apa pun pandangan-pandangan sarjana di atas, Azizi, lewat kertas kerjanya berjudul Nikmat Dalam Kepayahan, ketika memperkatakan tentang proses kreatif Sangeetha, beliau menegaskan bahawa “perkara pokok yang akan saya tulis ialah pertemuan ‘perasaan’ dua warga tua dan saya mesti olah dengan perasaan juga tanpa mengait sedikit pun perkataan ‘cinta’ “.
Lantas Dr. Sakinah Abu Bakar dalam kertas kerjanya berjudul Pergeseran Budaya Dalam Sangeetha menyatakan bahawa Azizi sengaja membentuk perbezaan dalam watak-wataknya misalnya Sangeetha wanita kaya, Derus lelaki miskin, Sangeetha majikan, Derus kuli dan beberapa lagi perbezaan yang menjadikan ia “cinta luar biasa” (seperti kata Dr. Siti Hajar) untuk menggambarkan kerumitan dalam komunikasi antara dirinya sebagai pengarang, “Sangeetha sebagai sebuah hasil seni yang bervariasi dengan pembaca. Hal ini kerana setiap inti wacana yang ingin dipaparkan; seperti pertembungan nilai hasil paparan watak dapat dihubungkan dengan wacana lain yang ingin disampaikan oleh pengarangnya.
Berhadapan dengan Sanggetha, pembaca terpaksa mengakui akan kualiti kepengarangannya sebagai makhluk berfikir yang homo-sapiens atau manusia moden. Azizi telah memanfaatkan kualiti intelektual dengan kajian dan bahan mentahnya yang dikutip dalam masyarakat seperti seni muzik ghazal yang digerakkan oleh gambus, tabla dan dangga, seni kraf yang memaparkan kecekatan pengukir yang mengukir kepala gambus yang berseni berbentuk kepala kuda laut, kerusi daripada kayu jati yang masih berkilat walaupun digunakan puluhan tahun, rumah limas bentuk perak dalam segala keistimewaannya, emosi yang dilukiskan melalui kemampuan bercerita, menceritakan kembali mengenai kekayaan kebudayaan yang dilakukannya secara seimbang.
Kekayaan budaya merangkumi sudut pandangan setiap watak yang dipaparkan, pemerian alam sekitar yang terdiri daripada alam dan manusianya secara terperinci. Fikirannya cuba menerobos kekayaan jagat raya (macrocosmos), tentang kekuasaan Tuhan, manusia yang dilingkungi adat dan kebudayaan yang berbeza, semuanya memperlihatkan usahanya untuk menerobos kerumitan struktur mental yang ada dalam dirinya (microcosmos) yang merupakan bentuk miniatur (lukisan kecil) daripada jagat raya tersebut.
Pemikiran yang dizahirkan menerusi semua watak yang dipaparkan terbit daripada sensitiviti atau kepekaan pengarangnya terhadap banyak perkara yang berlaku dalam masyarakat. Apakah yang difikirkan oleh pengarang ini sebelum beliau membentuk kisah cinta antara Sangeetha dan Derus? Apakah persoalan cinta orang tua tidak dapat diterima oleh masyarakat kita? Kenapa pula beliau memilih wanita India dan lelaki Melayu? Semua persoalan yang timbul dalam pemikiran pengarangnya merupakan lukisan-lukisan kecil yang kemudiannya ditampilkan menerusi tema yang telah ditentukan, kemudian beliau membentuk insiden-insiden yang direntetkan bagi membentuk plot atau jalan cerita yang menarik”.
Justeru, pelbagai pendapat, tafsiran, mesej serta maksud tersirat yang terkandung dalam novel ini menjadikan Sangeetha sebuah novel yang amat kaya dengan pelbagai persoalan sama ada yang tersurat atau tersurat serta harus dimiliki serta dibaca dengan penuh teliti.
Penggunaan gaya bahasa yang mudah, dan disulami dengan dialek utara yang menarik serta keupayaan beliau mempersembahkan maksud tertentu dengan gaya yang tersendiri menjadikan novel ini bertambah unik dan menyerlahkan bakat kepengarangan Azizi. Sulaman pantun-pantun indah. gurindam dan seloka yang dipetik darik teks klasik seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat Malim Deman pada permulaan bab telah memberi satu gaya baru dalam persembahan Sangeetha.
Seperti ditulis oleh Dr Siti Hajar dalam kertas kerjanya “Itulah Azizi, setebal mana pun cerita yang dikarangnya, Azizi tetap Azizi. Dia mahukan pembaca lebih proaktif justeru beliau menghasilkan novel yang penuh dengan unsur penyelidikan yang rapi.
Dengan terhasilnya novel ini, Azizi muncul sebagai pengarang yang berani keluar dari comfort zon, melanggar konvensi demi mencipta sebuah invensi yang menyegarkan. Akhiran cerita menjadikan khalayak tidak selesa kerana timbul pelbagai kemusykilan, adakah Sangeetha Islam? Bagaimana dia akan dikebumikan? Fahamkan Meena tentang apa yang tersembunyi selama ini? Adakah persoalan itu akhiran cerita atau masih di tahap klimaks?. Oleh itu, bacalah!
1 comments:
เครดิตฟรี joker slot online ฟรีโบนัสเพียบ
https://www.slot4u.com/joker123
Post a Comment