Cinta luar biasa Sangeetha

Posted by Tukya Labels:

Pengulas : AZLINARIAH ABDULLAH

SEORANG rakan mencadangkan saya supaya menekuni novel ini. Ia telah diterbitkan pada 2006 tetapi masih lagi popular dan sangat istimewa, kata rakan saya itu. Kesempatan mengunjungi pesta buku baru-baru ini, saya mencari dan membeli novel itu.

Benar, kisah cinta dalam novel tersebut luar biasa. Kalau mengikut latar biasa, novel cinta sudah pasti mengenai muda-mudi berkongsi angan-angan, mimpi dan mabuk angau. Atau setidak-tidaknya pada latar biasa juga, novel cinta berkisah tentang siswa-siswi berkasih, ada konflik lalu bersatu selepas tamat pengajian. Tetapi novel Sangeetha, tanpa meninggalkan ‘klise’ genre itu sendiri, adalah mengenai pergolakan rasa cinta warga emas, hidup kesunyian lalu sengsara menjadi sahabat lantaran ketiadaan suara hilai anak-anak penyambung zuriat.

Kalau menurut laras biasa juga, novel bergerak kerana kisah cinta watak-wataknya terjalin susulan wujudnya persamaan - sama umur, cita rasa, rupa, darjat, agama dan budaya. Tapi dalam cinta luar biasa garapan penulis novel ini, Sangeetha mencintai Derus. Sangeetha, berbangsa India manakala Derus berbangsa Melayu. Lebih luar biasa, Sangeetha jauh lebih tua daripada Derus, perbezaan usia sehingga 10 tahun. Sangeetha, 80, manakala Derus, telah 70 tahun melayari hidup sebagai orang bujang. Derus posmen pencen, sebatang kara, tiada harta benda untuk dibanggakan, tetapi dia tetap menyimpan rasa pada Sangeetha, wanita yang menjadi hartawan, punya rumah sewa keliling pinggang selepas ditinggalkan suaminya Viralal.

Inilah yang luar biasa mengenai kisah cinta dalam novel Sangeetha ini. Pendek kata, ia merentas sempadan usia dan budaya, darjat dan rupa selain harta, maka sebab itu ada kelainan. Lupakan bahasa-bahasa ‘lentok’ merayu rindu dendam, kasih tercurah. Itu asmara anak-anak muda. Yang ada dalam novel ini ialah percubaan di antara kedua-duanya untuk saling menempatkan diri dalam orbit kehidupan yang sama-sama pikun lagi sunyi. Sangeetha cuba sedaya upaya mahu mencintai ‘gambus’ agar dapat sama-sama menyertai kehidupan Derus. Derus pula menunjukkan minat kepada ‘tabla’ dengan harapan dia berupaya menghabiskan sisa usia pikun dalam hayat Sangeetha. Sementara itu, tidak banyak yang menggerakkan cerita dalam novel setebal 560 halaman ini.

Ia cuma terdiri daripada watak utama Sangeetha dan Derus. Cerita dikuatkan sekali sekala dengan watak Viralal, suami Sangeetha yang meninggal dunia selepas diislamkan oleh Derus. Lohong, kesepian dan kepikunan menjadikan Sangeetha dan Derus terperangkap dalam percintaan yang luar biasa di penghujung hidup mereka. Anehnya, cinta mereka sebenarnya tidak diluahkan, maknanya cinta terpendam.

Yang menyegarkan penceritaan dalam novel ini ialah dengan simbol dua budaya - India dan Melayu, cukup simbolik digambarkan oleh Azizi menerusi kehadiran alat muzik seperti tabla, gambus dan danga.

Selain simbol muzik, pembaca dapat meneka perasaan cinta mereka berdua menerusi simbol burung merbuk, kucing bernama Meo, kereta Morris Minor dan rumah limas.Emosi dan psikologi warga emas dilamun cinta, pergolakan perasaan, peperangan jiwa dan batin dilukis secara halus tapi penuh seni oleh penulisnya dalam novel ini.

Sebagai contoh, Azizi menggambarkan gelodak jiwa dan batin Sangeetha kerana rindukan Derus menggunakan simbol-simbol itu pada halaman 251.

‘‘Sama sekali tidak ditakuti akan dunia utopia tetapi sangat sengsara apabila hujung hidup tidak memberi apa-apa makna. Yang dirasai kini, kunjungan Deruslah sangat-sangat memberi makna dalam hidupnya, sejak kematian Viralal.

‘‘Meratus dan beraww-aww merbuk pun kerana Deruslah. Meo yang mengiau pun kerana Deruslah dan tabla yang ditingkahnya tanpa irama tertentu pun kerana Deruslah.’’

Watak-watak pendukung lain ialah, Meena adik kepada Sangeetha, Husin yang menyewa bilik serumah dengan Derus, Raja serta Mamat, pemandu dan Karim kelindan lori sampah.

Mengenali tulisan-tulisan Azizi sebelum ini seperti Seorang Tua di Kaki Gunung, beliau tetap mengolah dan menggunakan bahasa indah dalam setiap novelnya. Begitu juga Sangeetha.

Selain elemen luar biasa, yang menjadikan novel ini sukar berhenti daripada selera membaca sehingga ke penghujungnya ialah kekuatan, keindahan lenggok bahasa.

Dalam novel ini, barangkali kerana yang bercinta ialah orang tua, maka lebih banyak kiasan daripada berterus terang. Tambahan pula, bukankah adat yang muda memendam rindu, orang lama menanggung rasa. Pantun-pantun klasik terdapat di setiap bab. Setiap pantun secara halus menggambarkan perasaan watak penggerak novel itu, sama ada Sangeetha atau Derus.

Misalnya di bab 4, bagi menggambarkan rasa dan jiwa Sangeetha dan Derus, Azizi menulis pantun berbunyi begini: ‘‘Rama- rama hinggap di pagar; Bunga pundak di lingkar siapa; Sama-sama membersih sangkar‘; Sama-sama terjebak di sangkar rasa.’’

Sungguh, apabila selesai menekuni novel ini, saya sendiri boleh sahaja mengangkatnya sebagai novel cinta luar biasa. Kemudian rakan saya itu tadi memberitahu lagi, novel Sangeetha dipilih sebagai pemenang tempat kedua, kategori bukan fiksyen dalam Anugerah Buku Terpilih.

Sedikit mengenai anugerah itu, ia adalah anjuran Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM). Menurut panel juri yang ditugaskan menilai lebih 60 judul buku bagi anugerah tersebut, Sangeetha dipilih kerana ia memaparkan sisi luar biasa dalam mengetengah tema cinta antara manusia.

Judul : Sangeetha

Pengarang : Azizi Abdullah

Harga : RM35

ISBN : 983-62-9329-9

Penerbit : Dewan Bahasa

dan Pustaka (DBP)

1 comments:

  1. RoseSlot2020


    เครดิตฟรี slot online slot online ฟรีโบนัสเพียบ
    https://www.live22easy.com/