Kembali Menjadi Budak

Posted by Tukya Labels:

Memang pun sepatutnya dia ke situ. Dan Khunsa Datin Suriram sebagai anak bungsu merasa bertanggung jawab malah perlu ditempatkan di situ. Atas nama dan status memang patut pun. Sebagai negarawana jika tidak di luar negara, di situlah yang selayaknya.

Di situ ada segala-galanya kecuali seberkas nyawa. Khunsa Datin Suriram yakin di situ juga ada segumpal nyawa yang sekian lama dirizabkan selain syarat kenagarawana jika berlaku sakit yang memerlukan rawatan.

Maka keputusan Khunsa Datin Suriram amat tepat. Bukanlah kerana ‘selama air hilir, selama gagak hitam’. Bukan kerana nagarawana yang sekutuk beras basah, tetapi mungkin selama sepatung cebok, sementara bangkak bengkuk jantung jantang, turisluka,merobok meneneh sembuh.

Maka kemasukkan negarawana pun dihebah oleh media walaupun kekanda kekandih Khunsa Datin Suriram tidak setuju dihebuhkan. Kepada media harian Simbahdakyah ditaklimat minta lapor yang positif-positif sahaja. Kemudian melalui media juga Khunsa Datin Suriram meminta sekelian rakyat berbagai agama berdoa kepada tuhan-tuhan masing-masing.

Negarawana ayahandanya bukan sakit cirit birit. Bukan kerana berak tahi keras. Bukan sebab mengah makan nangka madu atau sakit tonsel. Negarawana sakit dalam. Kena bedah. Sudah 20 kali bedah, kali ini termasuk 21 kali.

Khunsa Datin Suriram yang kecil kemetot itu yakin, lima kali bedah lagi pun ayahandanya boleh terima. Sebagai negarawana, ayahandanya mempunyai ketahanan yang luar biasa. Dulu ketika menjadi negarawana nombor satu, ayahandanya telan pil kuda kepang lima biji sehari kerana mahu bekerja kuat.

Ketika permintaannya supaya sekelian penganut berbagai agama berdoa kepada tuhan masing-masing kerana di negarawana ini mempunyai berbagai anutan, pastinya pula banyak tuhan, maka tidaklah salah masing-masing meminta keselamatan kepada tuhan-tuhan mereka.

Ketika itulah para mufti-muftiwan di semua negeri-negeriwan, ulama-ulamawan, menteri-menteriawan yang berstatus-statusan sebagai penasihat tidak secamca tahi pun berani tegur. Semua tersentot macam kepala kura patah terkejut memerang.

Masing-masing tunduk koro lokhom. Sepatutnya mereka kenalah tanya juga berapa ramai tuhan di negarawana kita sampai mahu minta doa kepada tuhan-tuhan lain? Bagaimana kalau ada seorang tuhan lain yang memberi sembuh? Tidakkah tuhan lain cemburu kerana mereka juga dianggap sebagai tuhan yang berkuasa?

Sayang tak seorang pun tampil membantah. Tapi tak apa. Mufti-muftiawan adalah agamawan-agamawana global-glokal yang gamaknya di belakang ia menendang kita, bila di depan ia mengeting kita, jika di tengah ia berpusing ligat pula.

Memanglah, memanglah mufti-muftiawan, ulama-ulamawan dan menteri-menteriawan ramai kaki bodek, tukang ampu kerana masih menganggap menengadah matahari atau menganggap menempuh baik, ditempuh istimewa lagi, durian tak apa-apa, timun jugayang binasa atau memang mereka dari golongan bercikun-cikun kuku. Tak ada seorang mufti-muftiawan, penasihat agamawan yang sanggup berkata baghal! bangang bahlul! haprak! kepada Khunsa Datin Suriram.

Bagi Khunsa Datin Suriram, menyelamatkan nyawa seperti menyelamatkan orang tenggelam. Di situ bagi Khunsa Datin Suriram adalah instituit penyambung tali hayat.

Tapi sehari selepas dimasukkan ke wad ICU , barulah Khunsa Datin Suriram sedar bahawa ayahanda negarawananya mula berubah wajah dan tubuh. Tak disangkanya berubah perangai, berubah cakap, berubah senyum, berubah kelip kelopak mata, berubah gelambir di halqum, berubah degup hati, berubah renung. Tenaga kudanya dulu pun sudah jadi anggup-anggip. Tidak lagi seperti ayam indarus. Dan yang lebih nyata sudah jelas bangkah kening.

‘Oh my good,’ keluh Khunsa Datin Suriram yang sangat tahu bangkah kening itu pada hari kedua dimasukkan ke ICU. Bangkah kening yang menonjol di dahi tandanya tanda jahat.

Tapi bukan itu sangat yang dirisau oleh Khunsa Datin Suriram. Ada perkara lain sebenarnya. Sebagai anak perempuan, berdatin berdatun macam mana pun, anak perempuanlah yang kena bela ayahanda bonda kalau sakit. Anak lelaki haram tidak mahu. Apa lagi kalau basuh kencing atau basuh berak. Dan itulah yang dihadapi oleh Khunsa Datin Suriram sedangkan kekanda-kekandawannya hanya jenguk-jenguk, terhendap-hendap saja. Mereka akan menunjuk mesra jika ayahanda mereka dalam keadaan jaga dan boleh bercakap sikit-sikit tetapi jika ayahanda tidur, tidak sedar diri, mereka sering menjauhkan diri.

Itu satu hal. Tapi ada satu lagi yang merisaukan Khunsa Datin Suriram. Bondanya pun tidak sanggup berbuat demikian, apa lagi kekanda-kekandawannya. Tapi mujurlah ketika-ketika tertentu bonda dan kekanda-kekandawannya terus menyokong, bertepuk tangan, mengacah dan mengusik-ngusik sampailah ayahanda negarawana habis hirup setengah mangkuk sup.

Bilik ICU yang disediakan oleh institiut baiki nyawa itu cukup hebat. Namun kehebatan itu tidak lagi dinikmati oleh seorang negarawana sepertinya. Memang dia masuk dalam keadaan sedar, diiringi oleh anak-anak korporat dan leberal,cucu-cucu yang hilang akar budaya. Tapi di dalam dadanya cukup perit, sedu senak,pedih sakit.

Dirasanya dalam dada seperti berombak kumpulan rakyat yang menerajang menghunjam minta sesuatu. Dirasanya seperti jeritan sekumpulan anak-anak Melayu/Islam puluhan ribu yang melihat sekolah-sekolah mereka diroboh dan kitab-kitab mereka terbakar. Dirasanya ketika dia menguap, seberkas demi seberkas bahasanya terongkai dan berserakan di bumi lalu dipijak-pijak oleh segolongan orang. Kemudiannya dia seperti hendak memungut kembali bahasanya dan tutur katanya, tetapi ternyata sudah terlambat. Bahasanya sudah tidak bermertabat.

Kelmarin dulu dan kelmarin dulunya dia tidak ada selera hendak makan walaupun sesudu kuah sup. Kerana itu Khunsa Datin Suriram terpaksa mengajak kekanda-kekandawannya bertepuk tangan dan menyanyi kecil. Bukan apa. Dia terasa setiap kali orang masuk, seperti sekumpulan nelayan pantai hendak menyerbu mencekiknya. Setiap kali orang masuk, terasa semacam rombongan petani yang datang hendak menuntut harga padi dinaikkan. Rakyat yang rumah terbengkalai. Peniaga yang keputusan bekalan.

Tetapi yang paling ditakutinya, ada semacam rombongan raksaksa menyerbu bilik ICU, memecah masuk dengan amarah menuntut dia kembalikan harga maruah bahasa cakapnya. Kemudian datang pula golongan mustadh`afin, berbaris-baris pula anak-anak berkopiah putih menyerah memorendum mengapa pondok dan sekolah mereka diruntuh.

“Hahhhh!”

Tiba-tiba itu yang dirasainya. Apakah ia sudah menjadi seperti penat tukang menempa, besi binasa senjata tak jadi. Atau apakah ia menjadi ular menelan babi, cacing yang bengkak perut. Pada hal dia sebagai negarawana cukup bersikap seperti ular biar mati, tanah tidak lekuk,buluh tidak patah.

Tapi segala loya timbal balik bawah sedarnya itu tidak diketahui pun oleh Khunsa Datin Suriram atau sekelian anakanda-dawananya, apa lagi isteri-isteriawannya. Sekian lama dia menjadi negarawana, masakan hal-hal begitu akan dicatat oleh anakanda atau isteri-isteriawan. Itu kerja sekritariat atau arkib di muzium.

Tengahari itu perkara yang sama berulang lagi. Dia langsung tidak ada selera makan tapi meja kecil tetap diletak ditepi katilnya yang sudah sedia semangkuk sup dan bubur paling berzat dalam dunia. Ketika doktor pakar menghampiri, dia hanya memejam mata menahan kepedihan dalam perut.

“Doktor, macam mana dady kami?”

Dia terdengar Khunsa Datin Suriram anak bungsunya bertanya doktor.

“Segala-galanya baik. Jangan bimbang, ayahanda datin akan hidup lebih lama,” beritahu doktor pakar yang dikenali dengan nama Dr Izrael.

Dia yang mendengar hujung-hujung telinga itu dihempap gelisah dan seksa batin. Maklumat dari Dr. Izrael bahawa dia akan hidup lebih lama sama sekali tidak menyenangkan. Dia teringat dihujung tahun-tahun yang lampau, melalui keset yang diberikan kepadanya dari seorang politikus lawannya bahawa dia akan melihat sendiri apa yang telah dilakukannya selama ini dan ketika itu dia akan menyesal. Kerana kerisauannya, dia akan kembali menjadi budak-budak.

Memang pun ketika dia menjadi negarawana dia pernah mengutuk bangsanya sendiri. Dia menzalimi kawan dan lawan. Dengan kuasa yang ada, dia melakukan ketidak adilan dan membuka ruang kepada bangsa lain demi kepentingannya. Bagaimana pun sebahagian besar rakyat tidak menyedari oleh kerana dia menggunakan kaedah Machiavelli, menghalalkan cara.

Dia membodohkan rakyat dengan sokongan demi sogokan sehingga sebahagian besar rakyat tidak tahu menentang, membantah, apa lagi mengkritik. Dia mengajar rakyat setia buta tulis. Dia tunduk kepada tekanan orang lain hanya semata-mata mahu mengekalkan kuasa.

Cuma yang dia tidak percaya tentang khasyaf pemimpin pembangkang itu bahawa dia akan kembali menjadi budak-budak. Masakan dia akan menjadi budak-budak kalau dia memiliki pemikiran hebat, tegas dan bertaraf dunia?

“Dadyyyy! Dadyyy!” Anak bungsu Khunsa Datin Suriram memanggil lembut ketika Dr. Izrael berlalu dari situ. Masa makan sudah tiba.

Dia membuka mata. Kali ini bukan dengan tenaga kuda kepang yang disuntiknya di luar negara. Sudah seminggu terlentang di atas katil ICU tapi media mendakwa dia sudah beransur pulih.
“Kita makan sikit ya, dady.” Ajak Khunsa datin Suriram, kemudian tiga anak lelakinya masuk pula. Tiba masanya mereka turut memujuknya untuk makan.

Dia menyebek dan bibirnya bergerak-gerak.

‘Buka...buka mulut dady.”

Dia teragak-agak hendak buka mulut sebaliknya mengeremot-remot.

“Dady pandai...dady baik. Dady makan sikit ya, nanti dady boleh balik.”

Memang...memang pujukan itu seperti memujuk seorang kanak-kanak merajuk. Tapi dia termakan juga pujuk, lalu di buka mulutnya sedikit.

“Haaa, macam tulah. Buka...buka mulut. Ini bubur, sup. Sedap tau.”
Dan mulutnya pun dibuka. Nampak anak lidah terkodek-kodek. Anak kesayangannya cepat-cepat menyuap.

“Horeeee!” Khunsa datin Suriram bersorak. Bertepuk tangan dan mengucap kata bagus-bagus dua tiga kali. Berkata pandai dua tiga kali. Manakala tiga anak lelakinya bergilir-gilir memuji dan memujuk lagi supaya makan.

Buka mulut dady....buka...dady pandai...dady baik. Sekejap lagi kita makan dadeh pula”

Tapi dia tidak mahu buka mulut lagi. Dia merenung ana kesayangannya seperti hendak memberitahu sesuatu.

“O.k. One.Two. Tree...buka. Buka sikit je. Ni, sup ni sedap. Sup Italy. Bukalah mulut...dady baik...dady pandai...”

Dia seperti hendak berkata bahawa masa untuk dia membuka mulut sudah berlalu. Masa untuk mengecapi kelazatan sudah berlalu. Sudah lama dia membuka mulut dulu, membohongi rakyat, mengguna bahasa-bahasa fasik. Sudah lama dia mengecapi kelazatan yang sepatutnya rakyat yang mengecapnya.

“Dady bagus...dady baik...makan sikit...sikit aje.” Datin Suriram terus memujuk dan kali ini pujukannya benar-benar seperti memujuk seorang kanak-kanak yang ketegar tidak mau makan. Manakala tiga anak lelakinya mengusap-ngusap kepala minta makan sedikit lagi.

“Buka...buka mulut dady...sup ni sedap. Kalau dady makan sikit, dady pandai. Nanti kami nyanyi-nyanyi selamat hari jadi.”
Dia mengeleng-ngeleng kepala. Berkerut-kerut dahinya.

Melihat permintaan dan desakan tidak berubah, Datin Suriram pun bertepuk tangan dan menyanyi lagu ‘Pok Amai-amai’ kemudian meminta kekanda-kekandihnya sama-sama bertepuk.

Dia mula mengkerisin. Membeliak-beliak membuat kelakar. Dia menganga mulut tapi apabila anaknya hendak menyuap, ditutupnya semula. Sekali lagi anaknya menyanyi lagu ‘Rasa sayang Eh’, bertepuk tangan, melenggok-lenggok menari.

Dia pun mula tersenyum dan membuka mulutnya. Suriram cepat menyuap dan kemudian bertepuk tangan memberi pujian.

“Haaa, macam tulah. Pandai pun dady. Dady baik. Kalau makan banyak, lekas besar, sihat.” Kata Datin Suriram sambil mengusap-ngusap dahi sulahnya.

Tiba-tiba Dr. Izrael masuk bersama seorang jururawat. Bersamanya ada sebatang jarum penyintik.

“Doktor, tenguk...tenguk. Dady saya ni rupa-rupanya kena puji, kena nyanyi baru dia mau makan. Hahhh, saya dah tahu formulanya Doktor,” begitu Khunsa Datin Suriram menunjukkan gembiranya.

“Lain kali, kalau jururawat mahu menyuap dady, buatlah macam saya. Dia kena tepuk tangan, puji sikit. Saya fikir dady saya tentu cepat sembuh.”

“Datin,” kata Dr. Izrael’. “Aayah datin sudah kembali ke alam kanak-kanak.”

“Hehh doktor. Ehhh sorry. Kenapa? Nyanyuk?” Datin Suriram sangat terkejut.

“Tidak. Kami sendiri belum dapat puncanya. Maafkan kami. Tapi jangan bimbang, tidak merbahaya. Hayat ayahanda Datin masih panjang. Cuma yang jadi masalah, dia mesti dipujuk macam budak-budak kalau mahu dia makan.” Kata lagi Dr. Izrael.

Memang benar apa yang dilakukannya tadi, betul-betul seperti seorang bayi yang merajuk tidak mahu makan. Memang dia terpaksa ajak dan pujuk, memuji dan mengacah.

‘Kita minta Tuhan panjangkan umur. Dia akan lihat sendiri apa yang telah dia lakukan.’Begitu negarawana teringat satu ketika dulu ketika kemarahan rakyat memuncak.

“Waaa-waaa. Weekk-weekkk- Auuu-auuu,” dia mula mericau mulutnya, seperti seorang kanak-kanak meminta aiskrem. Malangnya tidak seorang pun yang faham.

“Biarkan dia. Dia sedang bercakap tentang kesalahnya dengan rakyat,” kata Dr Izrael.

‘Ya Allah...” Khunsa Datin Suriram terjelepok di sisi katil. Tiga kekanda kekandihnya keluar begitu sahaja. Apakah dia mesti berlakon dengan budak-budak setiap kali mahu menyuap ayahandanya makan?

Ketika Dr.Izrael beredar, Khunsa Datin Suriram hanya mampu mengucap terima kasih. Petang nanti dia akan berlakon sekali lagi menjadi budak-budak.


-SELESAI-

1 comments:

  1. Anonymous

    At the same time, the influential replica handbags logo plays an quite important pole in making replica handbags and wallets very recognizable. Certainly, what really make replica bags and its wallets gain the huge popularity among celebrities is their amazing and fashionable styles, and thoughtful design details. As an illustration, we may take designer replica handbags .