Mitos Melayu Dan Pemerintah

Posted by Tukya Labels:

Mitos Melayu Dan Pemerintah
Azizi Hj Abdullah

Puisi Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang tentang orang Melayu ada berbunyi:

(1)
Melayu itu orang yang bijaksana,
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak.

-Usman Awang.

Isi puisi di atas merupakan satu mitos dari penulis yang hidup dalam dua zaman, sebelum merdeka dan selepas merdeka yang nilaifikirnya dicanai oleh zaman lama dan zaman moden.

Dari segi gaya lenggang lenggok, sahlah puisi di atas adalah puisi tentang orang Melayu: orang Melayu dari darjat rendah sehinggalah ke darjah paling tinggi.

Orang Melayu juga dikatakan bangsa paling malang, di malangkan oleh penjajah, oleh pemerintahnya sendiri dan oleh bangsanya sendiri dan oleh pemimpinnya sendiri. Oleh kerana bangsa Melayu dijajah sejak berabad-abad, maka tepatlah malang Melayu ini disebabkan oleh penjajah. Tetapi setelah merdeka, walaupun ada ikrar pemimpin mahu mengisi kemerdekaan, ada pula yang mengatakan berkewajipan memerdekakan pemikiran, memerangi sikap berjiwa hamba untuk menjadi rakyat benar-benar merdeka.

Selepas 50 tahun lamanya, pemimpin Melayu terus mempimpin, menjadi teraju, menjadi penguasa. Tidak ada orang lain yang berbangga dengan kuasa, melainkan pemimpin Melayu Umno dengan slogan yang dicipta sejak bertahun-tahun kononnya menjaga hak kepentingan Melayu, memertabatkan Melayu, mencerdikan Melayu, mematangkan Melayu.

Dalam pada itu, sekangkang demi sekangkang tanah hak Melayu hilang. Hak istimewa terlucut. Bahasa tak bermertabat. Semakin banyak penyamun dan perompak dalam ekonomi. Suara semakin susut. Kera di hutan disusukan kerana tamak kuasa.

Apabila mengulangi hari Kemerdekaan, bangsa Melayu diasaktubi supaya cerdik dan faham agar menjadi bangsa yang merdeka akal fikirnya. Begitu juga mana-mana acara sambutan rasmi, separuh rasmi, maka seperti tidak sah dan lengkap jika tidak dimasukan persembahan hiburan, konsert dengan artis-artis; seperti merekalah pembina tugu kemerdekaan dan merekalah tonggak mengisi kemerdekaan. Maka jadilah sambutan bertaraf kebangsaan, bertaraf negara sebagai mitos-mitos. Para pemimpin yang kononnya bertanggung jawab tentang budaya bangsa, menjadikan artis-artis sebagai pemitosan kebesaran dan kemegahan budaya.

Lalu dengan takdir Allah, 8 Mac 2008, kuasa yang dikatakan kuasa Melayu semacam jadi satu trajidi. Dikatakan Melayu sudah terhakis tetapi sebenarnya yang rebah ialah para mitos , pemitosan, kemitosan Melayu dalam Umno, sampaikan melalut melilau dan menjerit mengatakan bangsanya sudah hilang ketuanan. Benarkah? Puisi Usman Awang sudah lama menyindir:

Bijaksana bersulam jenaka. Kurang ajar dalam bersantun. Menipu penuh sopan, penakut bukan kerana tak berani tetapi ia telah dididik; biar jadi penakut dari berani berlawan-lawan.

Maka jadilah seperti mitos dahulu kala:

Baik budi anak si Randang
Dagang lalu ditanakkan
Tiada berkayu rumah diruntuhkan
Anak pulang kelaparan
Anak dipangku diletakkan
Kera di hutan disusui
Dagang pergi anak terhutang
Beras habis padi subsidi.


Sayang saya bukan seorang penganalisis yang tekun tentang bangsa dan tidak punya disiplin ilmu sosiologi. Tapi rasa-rasanya pemimpin Melayulah, baik semasa pra merdeka dan selepas merdeka, proaktif kemerdekaan, mengisi kemerdekaan, zaman pembangunan, zaman wawan sehinggalah sampai kepada gemilang terbilang.

Merekalah mencipta mitos Melayu sehinggalah tercipta korikulum bersepadu bagaimana sebahagian besar bangsa Melayu telah ditipu, diperbodoh, di zalimi dan lain-lain sifat seperti bait-bait puisi di atas,terutamanya mereka yang menjadi pemimpin nombor satu, nombor dua, nombor tiga dan pokka-pokka seperti kata pribahasa Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu yang ditulis oleh Tenas Effendy terbitan Dewan Bahasa. Pemimpin jenis ini dikatakan pemimpin jenis abu:

Bagai abu di atas tunggul
Tegaknya goyah duduk tak betul
Ditiup angin ia terpantul
Kuku tajam taring tumpul
Beban di bahu tak terpikul
Menjalankan amanah hatinya mantul
Duduk di majlis di hujung bendul.
Memimpin negeri bencana timbul
Negeri rosak umat terpukul
Dijadikan tua tak ada guna
Dijadikan induk tak ada faedah
Memimpin negeri umat sangsara.

-Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu: Tenas Effendy DBP MS 28.

Kekalahan BN (khususnya Umno) dalam pilihanraya ke 12 yang lalu, jika mahu dikatakan satu mitos untuk sejarah akan datang, amatlah wajar. Jika ada cerdik pandai mampu menulis cerita mitos, maka memitoskan pemimpin Umno tentulah sama dengan mitos mematikan Raden Kelang dan juga mitos slogan ‘hidup Umno’ ‘hidup Mahathir’ dan ‘hidup Paklah.’

Memang pun, menjelang 8 Mac 2008, akan wujudlah mitologi Umno dan pemimpin Umno. Inilah yang menarik dan mitos seharusnya diperkemaskan lagi agar menjadi khazanah warisan kemitosan untuk anak cucu masa depan.

Tidak ada yang cukup menarik seperti Umno. Maka sangat layak Umno dan pemimpinnya dimitoskan oleh mitologi bagaimana kemitosan dan pemitosan mereka. Parti Negara pimpinan Dato’ Onn Jaafar tidaklah hebat mitosnya. API, PKM, SEBERKAS, dan lain-lain parti, juga tidak sehebat mana jika mahu dimasukkan ke dalam pengertian mitos. Pas pun tidak sebehat mana tetapi seakan memahat sedikit demi sedikit mitos-mitos itu.

Tetapi Umnolah yang sangat hebat. Lima bintang harus diberi tentang kemitosan Umno dan para pemimpinnya.. Mereka bukan saja patut dimitoskan soal perjuangan tetapi soal pendidikan terhadap rakyat juga menjadi mitos yang malang.

Dalam Umnolah terdapat ahli lompat keluar kemudian lompat masuk. Dalam Umnolah para pemimpin selepas menjadi pemimpin, keluar parti. Ini satu mitos yang tidak ada pada orang lain. Malah akan terjadi mitos yang lebih hebat tentang kemitosan dan pemitosan, apabila pemimpin nombor satu keluar parti dan bertelagah dengan mantan pemimpin nombor satu. Mitos yang boleh diangggap lucu ialah mantan nombor satu masih kacau-kacau dan terkecur air liur.

Semua mitos-mitos Umno dan pemimpin pelik-pelik belaka. Apa lagi kalau dilihat kemitosan dan pemitosan yang dilakukan terhadap bangsa mereka sendiri. Di antara yang pelik yang akan menjadi mitos oleh kemitosan dan pemitosan pemimpin ialah:

  • - Beragama Islam, tapi tak suka kepada Islam.

  • - Agama Islam tapi mencipta istilah Islam lagi.

  • - Berbahasa Melayu tetapi menolak bahasa sendiri.

  • - Berbahasa Melayu, bercakap tidak berbahasa Melayu.

  • - Mantan tak sedar mantan. Bekas tak hormat dulang.

  • - Ketika berkuasa tak fikir pun orang kata. Selepas berkuasa, macam langsung tak berdosa.

  • - Minta rakyat berjimat tapi mereka sendiri boros.

  • - Ada minyak dijual keluar. Dalam negeri beli pula.

  • - Ada air jual murah beli mahal pula.

  • - Ada wilayah diserah.

  • - Dasar polis menjaga keamanan tapi selalu menunggu perhimpunan aman.

  • - Tubuh tabung tetapi bocor.

  • - Mahu hapuskan rasuah.Melayu pula yang banyak rasuah.

  • - Bagi subsidi baja, harga beras dinaikkan.

  • - Ada pokok padi, berasnya import.

  • - Ada jelapang, di dalamnya kosong.

  • - Tetap harga silling, tak boleh turun, naik tak apa.

  • - Gula minyak tak cukup tapi bila harga naik, lebih pula.

  • - Beri subsidi pertol kepada rakyat, dalam subsidi ada komisen.

  • - Gaji belum naik, harga barang sudah naik.

  • - Petani kena beli beras. Nelayan kena beli ikan. Penternak makan ayam sakit.

  • - Bantah kenaikan harga minyak tapi tidak mahu ikut buat bantahan.

  • - Esok harga minyak naik, malam berebut isi penuh tangki.

  • - Bersungut harga barang tinggi tapi pantang buka pasar raya baru, sejak pagi sudah beratur.
Di atas adalah di antara sikap Melayu dan pemimpin Melayu yang mungkin menjadi mitos. Dalam Hikayat Abdullah yang ditulis setelah tahun 1843, digambarkan tentang Melayu seperti di bawah:

“Mereka begitu jauh untuk menjadi lebih pandai dan jesteru mereka semakin bodoh. Yang paling utama ialah kebengisan dan kekejaman penguasa Melayu yang menindas, khususnya terhadap rakyat mereka sendiri. Saya melihat bahawa mereka selalu diperintah oleh orang bangsa lain, seperti ikan kecil yang satu-satunya nilai yang dimilikinya menjadi makanan kan besar.” (Hikayat Abdulla)

0 comments: