Adaptasi Sangeetha Mengecewakan

Posted by Tukya Labels:

Kepada Pengunjung Blog

Kami siarkan tulisan berikut untuk pengetahuan anda yang berminat dalam adaptasi.

-Pengelola Blog.


Adaptasi Sangeetha Mengecewakan

Oleh RAZALI ENDUN

Usaha beberapa orang teman pengiat dan aktivis sastera mengetengahkan Sangeetha di kaca tv merupakasn satu usaha yang murni. Sangeetha ialah novel hasil karya sasterawan Azizi Hj. Abdullah dan telah memenangi hadiah Mastera pada tahun 2007. Usaha ini telah mendapat kerjasama RTM dan pada Hari Raya Ketiga, Sangeetha telah ditayangkan di TV2 selama hampir dua jam.

Ini bukan usaha pertama sebuah novel diadaptasi menjadi sebuah drama tv. Malah sebelum ini novel Sasterawan Negara S. Othman Kelantan bertajuk ‘Juara’ telah di filemkan dengan tajuk, ‘Jogho” arahan U-Wei yang dilakonkan oleh Khalid Salleh. Begitu juga ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ karya SN Datuk Shahnon Ahmad pernah difilemkan sebelum ini. ‘Cinta Medina’ karya Abu Hassan Morad juga diadaptasi ke drama tv.

Menadaptasi karya sastera seperti novel, cerpen dan yang sepertinya untuk dijadikan drama tv dan filem pernah menjadi polemik di kalangan pengiat sastera dan filem. Ramai berpendapat ianya satu usaha yang baik seperti banyak dilakukan oleh pengusaha-pengusaha filem Hollywood . Hanya dengan cara itu para penonton dapat menikmati hasil sastera melalui lakonan, yang kesannya tentu sekali melebihi daripada hasil pembacaan.

Tidak kurang ramai juga para sasterawan yang berasa kecewa kerana usaha itu seringkali tidak menepati maksud dan aspirasi pengarang. Ianya seolah-olah tidak ada kesinambungan interaksi di antara pengarang, penulis skrip dan yang paling utama pengarah dan para pelakon yang mendukung watak-watak di dalam karya sastera tersebut. Penulis skrip, pengarah dan para pelakonnya tidak dapat menjiwai aspirasi pengarang.. Kebanyakan usaha menadaptasi ini, tidak terkecuali Sangeetha yang ditayangkan baru-baru ini, tidak dapat menepati hasrat pengarang serta novel tersebut sehingga ianya menjadi hasil yang amat mengecewakan.

Dua pelakon utamanya iaitu Derus dan Sangeetha gagal melahirkan emosi dan perasaan orang tua yang kesepian dan kesunyian, seperti apa yang terkesan di dalam pembacaan novel tersebut. Jalil Hamid sebagai Derus dan pelakon wanita India (lupa saya namanya) tidak dapat menzahirkan perasaan dan gelodak kesepian orang tua pada ketika menempuh alam kepikunan dan pada masa yang sama tidak mempunyai anak. Sangeetha adalah garapan emosi dan konflik dalaman dua orang tua yang masing-masing menanggung dan menyembunyikan perasaan dalam menghadapi kesuyian dan kesepian itu. Meskipun ianya bukan semestinya elemen cinta, namun perasaan dan rasa rindu terhadap sesuatu yang tersembunyi ini gagal dilakonkan oleh kedua-dua pelakon utamanya.

Penulis skrip, Zakaria Ariffin, meskipun pada keseluruhannya tidak mengecewakan, namun ada beberapa aspek penting yang terlepas pandang beliau. Seharusnya, sebelum kematian Viralal dipaparkan adegan permainan tabla dan dagga seperti yang terdapat dalam halaman 3 novel berkenaan. Alat muzik seperti tabla, dangga dan gambus adalah elemen penting dalam hubungan perasaan dua budaya dan bangsa yang berbeza. Malah petikan gambus dan pukulan tabla tidak menarik iramanya. Tidak terkesan langsung melodinya.

Dailog Viralal kepada isterinya Sangeetha ketika bermain kedua-dua alat muzik itu sangat terkesan dan seharusnya dipindahkan ke dalam skrip. Ungkapan itu berbunyi, “Di sini rumahmu. Di sini kita hidup dan di sini kita mati. Kita lupakan debu dan angin kita di sana ( India ). Kita senang di sini. Kita cari makan di sini. Kita mengaut harta benda di sini. Lupakan sahaja di sana .”

Kesilapan ini mungkin bukan oleh penulis skrip. Menulis skrip bagi drama tv ini amat mudah kerana dailognya amat sedikit. Ianya lebih kepada pengarahan dan lakonan para pelakonnya. Gerak geri para pelakonnya untuk menzahirkan konflik dalaman yang sedang bergelodak di antara kedua-dua warga tua sepatutnya menjadi fokus utama dalam drama tv ini. Inilah yang gagal ditonjolkan.

Ada beberapa kemungkinan kenapa pengarah dan para pelakon drama ini gagal dalam membawa watak dan aspirasi pengarang. Pertama, pengarah dan para pelakonnya tidak membaca novel tersebut, sekadar membaca dan menghafal skrip yang disediakan. Mengadaptasi hasil sastera daripada novel dan cerpen kepada drama tv dan filem tidak sama dengan penulisan skrip untuk kedua-dua medium itu. Ianya tidak cukup menghayati dan menghafal skrip sahaja, akan tetapi pengarah dan para pelakonnya mesti membaca karya sastera itu supaya dapat menghayati watak-watak di dalam karya itu. Tanpa membacanya, maka watak-watak yang dibawa menjadi hambar.

Kedua, pemilihan pelakon untuk mendukung watak tidak tepat. Jalil Hamid tidak dapat membawa watak Derus seperti dalam novel tersebut. Walaupun pelakon wanita India itu sebagai Sangeetha tidak terlalu mengecewakan, namun dari aspek pengarahan yang lemah, maka drama itu menjadi kurang menarik.

Pengarah gagal memfokuskan aspek penting dalam novel ini iaitu ketika Derus membisikkan Dua Kalimah Syaadah di telinga Viralal dan Sangeetha. Kamera seharusnya membuat ‘close-up’ ke memek muka kedua-dua watak itu ketika dibisikkan kalimah suci itu di telinga mereka. Scene ini gagal direalisasikan secara berkesan yang membuatkan impaknya menjadi hambar. Tambahan pula Derus ketika menemui ajalnya hanya mengucap kalimah itu untuk dirinya sahaja, bukan di telinga Sangeetha seperti yang diminta.

Ketiga, penulis skrip, pengarah dan krew tidak mendapatkan pandangan pengarang ketika penulisan skrip dan penggambaran dilakukan. Ini terbukti apabila saya menghubungi Azizi sebaik sahaja usai menonton drama tv ini. Beliau juga melahirkan rasa kecewanya seperti juga saya kecewa dengan persembahan yang tidak menepati seperti di dalam novel. Katanya, tarikh penggambaran pun beliau tidak tahu. Mungkin kerana itulah maka pengarah serta pelakon tidak dapat menyelami aspirasi pengarang dalam karyanya.

Mungkin mereka mengaplikasikan, teori ‘the death of the author’ yang diperkenalkan oleh Roland Barthes dalam aspek ini. Bagi saya teori ini tidak tepat dan tidak relevan. Pengarang sesebuah karya masih relevan kerana pengarang tidak boleh dipisahkan dengan karyanya. Ini bukan soal karya itu dibicarakan, tetapi karya pengarang itu dipindahkan dari satu medium ke medium yang lain. Justeru, pengarangnya masih ada hubung kait dalam pengkaryaannya.

Kesimpulannya, Sangeetha lebih terkesan melalui pembacaan novel ini daripada dipindahkan ke kaca tv. Gelodak emosi dan perasaan Derus serta Sangeetha dalam novel itu berjaya menusuk sanubari pembaca ketika membacanya. Azizi berjaya menggarap emosi dua warga tua dengan berkesan di dalam novelnya. Sangeetha melalui drama tv terlalu hambar dan tidak dapat dihayati seperti di dalam novel itu. Bukan semua karya sastera berjaya diadaptasi ke drama tv dan filem; Sangeetha ini satu contoh yang nyata.

Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah Bilangan 0119, 19-25 Okt. 2008


*Razali Indun seorang penulis bebas dalam bidang politik, sastera. Banyak buku-bukunya sudah terbit sama ada politik atau novel.

9 comments:

  1. asalbayu

    PADA 28.8.2008 sekitar jam 3.00 petang, Ruhie Isma sms minta hadhir di Auditorium Taman Budaya, Alor Setar untuk jadi extra sebuah drama terbitan RTM. Lebih kurang jam 5.30 petang Ruhie telefon maklumkan ada perubahan tempat iaitu di Auditorium RTM, Kompleks Mu’adzam Shah, Jalan Kuala Kedah. Manakala masa tidak berubah iaitu pada jam 8.30 malam. Juga dimaklumkan supaya dibawa bersama salinan kad pengenalan depan dan belakang atas kertas bersaiz A4 tanpa dipotong kerana pihak produksi akan menyimpannya sebagai dokumen.
    Untuk masuk ke kompleks tersebut sebenarnya kena ambil pas atau lapor diri di pondok pengawal terlebih dahulu. Sebelum ini telah beberapa kali saya ke sana sama ada untuk menandatangani kontrak penerbitan drama apabila naskhah yang dikemukakan hendak dirakam di studio. Ruhie memaklumkan bahawa Ida (Setiausaha Kreatif Utama Budaya Anak Seni – KUBAS) akan berada di sana bagi menyelesaikan masalah tersebut jika berlaku sebarang kesulitan. Dalam hati saya berkata, ‘KUBAS yang dihubungi oleh pihak produksi rupanya’.
    Lebih 10 tahun lalu iaitu sebelum diserang strok (angin ahmar) pada 17.9.1999 saya pernah beberapa kali terlibat dengan produksi drama sebagai extra juga selain ikut terlibat dengan teater. Aktiviti seumpama itu terhenti berikutan dengan kemelesetan ekonomi yang turut dirasa tempiasnya oleh kalangan syarikat penerbitan drama. Serangan strok yang saya alami juga telah membataskan penglibatan saya dengan bidang berkenaan.
    Lepas menunaikan solat fardu Maghrib, saya bergegas ke destinasi seperti yang dimaklumkan. Suasana lengang sahaja dan pondok pengawal tiada sesiapa sewaktu saya tiba. Seketika kemudian, Ruhie tiba bersama anaknya, Andi yang memandu motokar. Kami terus ke bangunan kompleks yang juga lengang. Lalu saya menelefon Saiful Azwan (Pon) iaitu suami Ida untuk mendapatkan sedikit maklumat dan dimaklumkan bahawa para anggota KUBAS sudah ada di auditorium. Lalu Ruhie ajak saya terus ke sana.
    Sewaktu tiba di luar auditorium didapati beberapa orang sudah berada di situ. Antaranya termasuklah Abu Bakar Ahmad, seorang yang telah beberapa kali terlibat dengan produksi drama tv dan teater. Saya lantas berbual dengannya. Antaranya ialah mengenai DJ RTM Kedah, Allahyarham Azarudin Othman (Pak Din) kerana bila berada di situ saya lantas teringat kepadanya. Mana tidaknya? Dialah yang telah menerbitkan drama berdasarkan naskhah drama radio sulung saya untuk slot Sandiwara Radio berjudul ‘Sekali Bara Kugenggam’ lebih 10 tahun lalu. Sebak juga saya ketika itu.
    Hampir jam 10.00 malam barulah kelihatan para pelakon dan crew tiba dan kami diminta masuk ke auditorium untuk diberi taklimat. Saya disuruh menukar pakaian dengan memakai sut Melayu lengkap dengan sampin dan bersongkok.
    Setelah meneliti rupanya drama yang hendak dilakukan penggambaran itu diadaptasi daripada novel SANGEETHA karya Azizi Haji Abdullah dan naskhahnya ditulis oleh Zakaria Ariffin (Zek).
    Saya diminta naik dan duduk di pentas mengambil peranan sebagai orang kenamaan (vip) bagi menjayakan anugerah kepada Sangeetha selaku Tokoh Warga Tua 2007. Sementara menunggu giliran beraksi saya menyuarakan teguran berhubung dengan pemakaian ungkapan Warga Tua yang kurang tepat. Ungkapan yang tepat ialah WARGA EMAS.
    Menurut pihak produksi ungkapan itu adalah berdasarkan naskhah yang sudah tentu bersandarkan sumber asal iaitu novel karya Azizi itu. Barangkali Azizi juga tidak menyedari hal itu.
    Pada 7.9.2008 saya menonton sebuah drama di RTM berjudul RINDU BERLALU dan para pelakon antaranya Abu Bakar Omar, Badrul Munir, Rosnah Johari dan Abu Bakar Juah yang melakukan penggambaran di Pusat Jagaan Warga Emas Cheras lantas ingatan saya tersorot kepada produksi drama Sangeetha dan berharap tidak ada kritikan berhubung dengan penggunaan ungkapan Warga Tua itu bila ia ditayangkan kepada khalayak kelak.
    Saya juga dimaklumkan bahawa mengikut perancangan awal, penggambaran hendak dilakukan di Auditorium Taman Budaya, tetapi oleh sebab ia melibatkan kos terpaksalah dibuat di Auditorium RTM itu. Sebelumnya dirancang akan diadakan di Dewan Wawasan Jitra, juga tidak sesuai kerana ia terlalu luas.
    Melihat kepada kaedah penggambaran yang menggunakan landasan (dolly) saya nyatakan bahawa jika ia dibuat di Auditorium Taman Budaya tentulah timbul kesulitan yang agak serius. Di sana kata saya ruang di hadapan pentas yang sempit menyulitkan kerja-kerja penggambaran selain terdapat keadaan ‘cerun’ (slop) dari pintu ke pentas. Dengan keadaan sedemikian, kerja-kerja penggambaran bukan tamat menjelang jam 12.00 malam malah mungkin hingga dinihari.

    Ketika drama berkenaan ke udara pada 3 Oktober 2008 saya tidak menontonnya kerana sedang dalam
    perjalanan dari Lenggong, Perak ke Alor Setar setelah pulang berhari raya di kampung isteri saya. Khabarnya adegan yang saya terlibat itu telah ditiadakan. Saya tidak kecewa berkaitan dengan perkara tersebut dan kebimbangan terhadap isu yang mungkin dipertikaikan oleh penonton kelak. Saya mengucapkan syabas kepada Sdr Kasim yang membuat ulasan. Memang saya kenal dengan beliau. Pada kesempatan ini saya ingin mengajak beliau singgah di http://esastera.com dan meneliti karya kawan-kawan dari Kedah dan lain-lain negeri. Salam pasca Aidilfitri.

  1. CUCU TOK KEDU

    Abang Azizi!

    Dari pengalaman kon! Segagah mana pun pengadaptasian novel ke drama tv, ianya tidak kesampaian.

    Bukan kerana tiada daya kreatif pengskripnya atau pun tiada daya kesinambungan idea antara penulis novel dengan pengkarya kaca tv.

    Kerana apa? Utamanya kerana kos pembikinannya. Kos pembikinan inilah yang menghalang pengangkatan karya novel ke kaca tv.

    Oleh itu adalah menjadi pandangan berupa peringatan kepada pengkarya novel-novel yang baik yang mempunyai falsafah, berprinsip ke arah sebuah karya untuk masyarakat bertamaddun, maka pengadaptasian haruslah diberikan kepada layar perak (filem).

    Kerana filem memberikan kos yang berpadanan untuk mengangkat sesebuah karya novel yang bermutu walaupun ada sedikit-sedikit pengubahan untuk pensesuaian hasil filem yang memerlukan tarikan penonton membayar tiket ke pawagam namun ianya tidak akan merosakkan atau merendahkan martabat mutu sesebuah novel dari seseorang yang mahu menyampaian isi prinsipnya antaranya Ranjau Sepanjang Jalan dan Langit Petang!

    Pantang larang dari pihak stesyen penyiar juga memintas keinginan pengadaptasian untuk sehala dengan karya sesebuah novel bermutu!

    Dalam suasana begini apakah tidak teringin ahli-ahli filem mengangkat novel: SENJA BELUM BERAKHIR?

    Maaf pada semua jika komen kon ini menyinggung mana-mana pihak terutamanya Abang Azizi dan sdr Zakaria Ariffin!

    http://rp-semantan blogspot.com.

  1. Anonymous

    Cucu Tok Kedu
    Terima kasih. Ingat kot tak minat nonton drama.
    Untuk pengetahuan,'Senja Belum Berakhir' sudahpun di Panggung Dramakan' oleh RTM tahun...saya tak ingat tapi arahan Allahyarham Rusli Jalil. Saya bersama-samanya di kampung saya Bt Meryam. Drama tu berjaya. Saya sendiri yang tulis skrip tu.
    -abang azizi

  1. CUCU TOK KEDU

    Abang Azizi.

    Maksud kon karya besar seperti: SENJA BELUM BERAKHIR ini harus diangkat ke filem bukannya sekadar di kaca tv yang hilang begitu sahaja dengan sekali dua tayangan.

    Apakala karya novel yang bernilai diadaptasikan ke bidang siaran yang kecil dan terbatas musim tayangannya, secara tidak langsung ianya merendahkan kembali martabat sesebuah novel yang hebat itu.

    Kon tertarik dengan: SENJA BELUM BERAKLHIR kerana ianya sebuah novel untuk sepanjang zaman dan ianya adalah hasil karya yang mesti dihayati oleh seluruh generasi rakyat negara ini tidak mengira kaum kerana ianya adalah karya realiti walaupun dicanai wataknya secara sembolik.

    SBB adalah novel pemberitahu kepada rakyat negara ini yang tidak luput oleh zaman.

    Maka amatlah baiknya jika ada produser filem bermegah diri untuk mengangkat SBB, karya yang kon anggap antara karya novel besar ke dunia filem seperti apa yang dilakukan oleh para produser barat!

    Maaf jika rasa pandangan kon tidak sesuai tetapi itulah pandangan kon!

    http://rp-semantan.blogspot.com

    CUCU TOK KEDU

  1. fadz

    takkanlah hasil kerja Zakaria Ariffin seteruk itu? saya tak tonton lagi jadi saya tak boleh komen.. apa2pun syabas kerana kerja adaptasi novel ke drama/filem menunjukkan ada orang (pembikin) yang melihat potensi cerita dilayarkan dan adanya 'populariti' di kalangan massa.

  1. Anonymous

    sdra fazd
    kadang-kadang kita tak tahu apa yang berlaku disebalik tabir. mengadaptasi sangat lain dengan novel. tv sangat terdedah dengan penonton, sedangkan pembacaan terhad. jadi ada yang boleh didedah dan ada yang tidak.
    skrip zakaria arifin bagus, tetapi ada yang didak dijelmakan melalui drama itu. inilah yang ramai tidak tahu.
    contoh: skrip dan cerita, Derus mati ketika menyerangguh muka di tubir katil Sangeetha, lalu mengucap.
    jika dalam drama, mungkin tanggapan bukan Islam, Derus mengajar sanggeetha memeluk Islam. Apa kata penonton bukan Islam. Ini sensitif.
    Ini yang hendak dielak oleh TV.
    salam dari azizi abdullah

  1. Anonymous

    salam sejahtera,
    sewaktu saya berada di tingkatan enam atas di smdso alor setar kedah saya pernah menulis di ruangan surat pembaca berita harian dengan membidas kelaku kelayak erma fatima yang bersemangat untuk mengadaptasikan tenggelammnya kapal ver der wick karya hamka ke layar perak.
    namun hajat beliau tidak kesampaian mungkin dek kerana maklum balas dari para penggiat sastera.bayangkan jikalau erma meneggelamkan pelayaran ver de wick di layar perak maka hancur luluhlah peminat novel tersebut.
    persamaan dalam novel tak akan menyamai kederasan cerita di layar.apatah pada zaman tersebut p.ramlee pun takut nak mengangkat novel tersebut ka layar perak inikan pula pada waktu 94 erma berkobar-kobar untuk mengangkatnya.
    pada saya ia akan menjadi sebuah kekecauan seni.

    maksudnya untuk mengadaptasikan novel bukanlah semudah disangka dan bukanlah senang untuk menyamakan perjalanannya seiring dengan keseronokan membaca dalam novel.berlainan bagi saya.

  1. Anonymous

    sdra awang sulung,
    memang benar tetapi jangan sampai menganggap tidak boleh disutradarakan. soalnya ia mesti menepati dan sutradara itu mesti berkemampuan. lagi satu, kejayanaan ini bukan kepada satu pihak, tapi semua terlibat. pelakon sekarang cari makan, mana ada masa nak baca novel sebelum skrip. pengarah pun macam tu, dia cari makan. hari ini shooting drama A, esok nak shooting drama C pula.
    begitu seterusnya.
    -abang azizi

  1. Allen

    Very nice blog you have herre