Komen Drama Sangeetha

Posted by Tukya Labels:

Para Pengunjung Blog

Novel SANGEETHA karya Azizi Hj Abdullah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, dipilih oleh Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) sebagai Anugerah Hadiah Sastera Mastera 2007. Sempena Aidilfitri 1429, hari raya ketiga, Jumaat 3 September 2008 jam 10 pagi, Sangeetha telah dijadikan Telefilem (Panggung Drama) oleh RTM dengan kerjasama Dewan Bahasa. Sangeetha diadaptasi lewat skrip yang ditulis oleh Zaharia Arifin, seorang penulis teater.

Melalui blog ini, seorang penonton telah komen dan cuba membandingkan antara visual dengan cerita bertulis.

Ada baiknya anda yang menonton Sangeetha ini turut memberi komen.
-Pengelola Blog.



SANGEETHA: DARI NOVEL KE PANGGUNG DRAMA TV

Kassim Muhamad.*

Saya rasa mereka yang menonton "Sangeetha" pagi Jumaat 3 Sep 2008 itu gelisah.Apa lagi mereka yang sebelum ini membaca novel Sangeetha yang diangkat sebagai novel Asia Tenggara bagi tahun 2007.

Persoalannya berapa ramaikah rakyat Malaysia kita yang mampu melihat sesebuah karya itu di luar tempurung mata kasar? Rasanya mereka telah bertanya: Mana aksinya? Mana ceritanya? Kalau di dalam Muhammad Dhuha karya dan skrip Azizi yang pernah disiarkan beberapa kali oleh Astro, kita melihat betapa tragisnya nasib Dhuha yang cacat itu terkorban dilanggar oleh gurunya sendiri; kita dapat melihat "ceritanya." Kita tersentuh oleh tragedinya.

Di manakah unsur-unsur tragis itu di dalam "Sangeetha"? Saya masih ingat bagaimana satu ketika dulu para penulis di Indonesia memperkatakan kenapa dan mengapakah novel yang difilem seperti "Apa yang kau cari Palupi" gagal di mata penonton. Khalayak kita juga belum terdidik untuk melihat di luar tempurung mata kasar. Kita, sebagai sebuah bangsa belum digilap untuk menikmati yang indah-indah dan seni. Kita, sebagai satu bangsa adalah peminat setia budaya hiburan yang melampau, penganut setia hedonisme.

Saya tidak terkejut jika ramai rakyat kita yang HANYA (ertinya tidak membaca novelnya) menonton pagi itu sama sekali tidak mengerti kenapakah "Sangeetha" telah diangkat sebagai sebuah karya cemerlang yang diiktiraf. Mereka yang tidak membaca novelnya sukar mengerti kesepian jiwa-jiwa tua Derus dan Sangeetha!

Sebenarnya saya membuat ulasan ini (dan diedar keliling kepada teman-teman yang lain) kerana beberapa sebab:

1) Pada pandangan saya drama itu akan jauh lebih berhasil jika yang terlibat adalah pelakon-pelakon seperti Rosyam Nor dan Fauziah Nawi. Walaupun Jalil Hamid tidak mengecewakan tetapi entah kenapa kepada saya 'tampangnya' Jalil Hamid sentiasa memberikan gambaran Hamid Gurka yang lucu! Mungkin Abu Bakar Omar (?) lebih mengesankan sebagai Derus(?). Adakah Sangeetha benar-benar dapat merasakan betapa sunyi dan sepinya dirinya mengharungi hari-hari tuanya? Siapakah pelakon India Malaysia yang berkemampuan setara Fauziah Nawi atau Wan Maimunah? (Sekadar contoh) Tak ada?

2) Umumnya karya besar berkemungkinan menjadi tawar apabila ia dipindah bentuk (teater atau seluloid). "Langit Petang"nya A. Samad Said ialah salah lagi contoh. "Juara" S. Othman Kelantan, bagaimana? Di dalam "Juara" kita temui orang teater Khalid Salleh.

3) Orang-orang awam seperti saya (yang sangat mengharapkan agar kita lebih celik budaya) amat mengharapkan agar tangan-tangan pemerintah kita turut terlibat membimbing masyarakat kita supaya lebih berbudaya dan mantap jati dirinya sebagai bangsa yang merdeka. Yang amat menyedihkan ialah kita lupa bahawa pembangunan itu termasuk budaya dan sastera. Sdr Dinsman telah memaparkan dengan tepat sekali di dalam kolumnya, di dalam Harakah bahawa peruntukan menebang pokok Majlis Perbandaran itu jauh lebih bagus dari sebarang program budaya! Malah aspek ini tidak difikirkan sama sekali. Lebih parah, media perdana kita baik cetak apatah lagi elektronik seolah-olah berlumba-lumba menghedonismekan seluruh rakyat jelata sepanjang masa. Bayangkan, kalau mungkin kentut artis pun mahu mereka rakam, busuk ataupun wangi!

4) Masyarakat kita mesti dididik menjadi manusia yang lengkap. Jasmani semata-mata tidak mencukupi. Roh kita mesti diangkat, dibajai agar menjadi besar dan gagah. Bayangkan kejadian merogol bergilir-gilir oleh kumpulan muda mudi menjadi begitu sadis dan tidak berperikemanusiaan sekali! Remaja jenis apakah yang negara kita bakal lahirkan? Pemerintah kita mestilah serius menangani masalah-masalah seperti ini. Seni dan budaya ialah salah satu kaedahnya.

5) Salah satu kaedahnya ialah mengangkat karya besar seperti "Sangeeta." Dan masyarakat kita perlu dididik untuk melihat keindahan seni di luar tempurung apa yang biasa dilihat dengan mata kasar. Kembalikan pelajaran sastera sebagai pelajaran utama. Sains ada teknologi saja TIDAK mencukupi dalam membina sebuah bangsa yang gagah.

Saya telah melalut terlalu jauh...biar saya berhenti dulu. Tahniah di atas drama TV "Sangeeta" itu, walaupun saya sedih: Drama itu tidak berhasil memberikan impak yang sepatutnya. Benarlah seperti yang disebut Roland Barthes, pemikir Perancis itu di dalam "The death of the author," Azizi hanya mampu melihat bagaimanakah manusia lain telah kerjakan karyanya!


Sekian.
-------------------------------
* Penulis ialah seorang Insiyur (Ir) Mantan Pengarah JPS dan kini bertugas di Pekan Pahang dengan MRCB.

6 comments:

  1. Unknown

    Salam Ustaz

    Sebagai murid dah tentu saya mengikuti perkembangan ustaz.Sangeetha novel terbaik tetapi sukar untuk diadaptasi kesebuah visual atau drama yang baik:-

    1.Skrip
    2.Arahan
    3.Lakun Layar

    Jika mereka ini bukan penulis sebenar agar sukar mereka menafsirkan apa yang ingin disampaikan oleh penulis.

    Pembaca novel ini ada peminat atau pengikut ustaz.Mereka kenal dengan gaya bahasa dan menghayati novel dengan imiginasi minda.Bila ianya diterjemahkan melalui layar,agak sukar pembaca novel menerima apa yang telah dibaca.

    Agak sukar memahami "SANGEETHA" di TV dari yang dihayati di novel.Suasana hari raya yang ceria dihidangkan cerita memberatkan minda.Agak sukar menarik perhatian penonton ditambah pula dengan kegelutan untuk solat Jumaat.

    Harap pihak RTM mengulang tayang pada waktu yang sesuai.

  1. Anonymous

    Assalamualaikum ustaz:
    Memang sudah saya jangkakan akan jadi begitu. Bukan baru karya sastera difilem/dramakan dan amat jelas; gagal. Bukan gagal dari sudut filem/drama tetapi gagal menyampaikan apa yang ingin disampaikan oleh pengarang sebagai pemilik asal karya. Mungkin juga dilakukan dalam keadaan gopoh-gapah dan kurang kajian demi mengejar tayangan sempena Idulfitri. Apapun tahniah ustaz atas pengiktirafan MASTERA.

  1. azlin

    akum en.azizi haji abdullah atau wakilnya..saya wan azlin haslinda dari QUEST SERVICES. kami sedang menterjemah novel SANGEETHA daripada bahasa melayu kepada bahasa inggeris untuk klien kami iaiatu ITNM.kami perlukan sedikit bantuan dari pihak tuan untuk mengetahui beberapa perkataan yang tidak difahami dalam novel tersebut..saya harap pihak tuan dapat membalas comment saya ke alamat email saya iaitu myquests_wah@yahoo.com atau mazlin_hazlinda@yahoo.com. kami perlaukan jawapan dari pihak tuan dengan kadar segera..jasa dari pihak tuan amat saya hargai..saya akan menunggu email dari pihak tuan..terima kasih..

  1. CUCU TOK KEDU

    Abang Azizi yang dihurmati.

    Salam. Selamat Hari raya, maaf zahir batin.

    http://rp-semantan.blogspot.com

  1. Anonymous

    Cucu Tok Kedu
    Selamat hari Raya. maaf jua abang mohon.
    Pada 31 Oktober sampai 2 November ni abang ada di Pekan Pahang.Ada pertemuan penulis blog dan perjumpaan PAKSI. Kalau ada masa bolehlah kita jumpa. Teringin nak berbual.
    Saya sampai di lapangan terbang Kuantan +- jam 8 malam.
    salam
    azizi abdullah

  1. Pegawai Khalwat

    Tuan Haji,

    Sayang sekali saya tak dapat menonton telefilem Sangeetha dek berebut dengan anak saudara yang nak tengok program hiburan raya lain.

    Kerana tak mahu mengeruhkan suasana raya dengan tangisan, maka saya terlepas menontonnya. Harapnya ada ulang tayang oleh RTM.