Belajar Dari Matematik Itik

Posted by Tukya Labels:

BELAJAR DARI MATEMATIK ITIK
-Azizi Hj Abdullah


Suasana politik sekarang semacam orang demam kepialu. Sesekali terdengar mericau, sesekali terdengar mengerang. Dalam mericau dan mengerang ini sesekali rasa hendak tergelak pula. Dahsyatnya bahang kepialu.

Jika kepialu panasnya melebihi had, maka kehangatan politik juga menunjukan sudah melebihi had. Seperti kata Tan Sri Musa Hitam baru-baru ini, parti politik (merujuk kepada Umno) sudah lama. Sudah tua. Orang tua tentu sudah nyanyuk. Di antara tabiat nyanyuk ialah mericau dan bercakap tak ketahuan kepala ekur.

Saya yang turut sama-sama meniti tua, turut sama merasai kenyanyukan ini.

Ada 3 perkara yang melucukan dalam kelamkabut kepialu politik dan percaturan sekarang. Kita tidak mengikut ‘skill’ dan tidak mengikut matematik yang betul. Kita rasa jika semua orang politik mengambil iktibar dan belajar dari matematik itik dan burung tentunya tidak kelihatan mericau dan nyanyuk sekarang ini.


1. Sang itik walaupun berpuluh ekur, apabila balik dari sawah ketika hampir senja, matematiknya tetap terpelihara. Cuba lihat itik-itik ini. Tak seekur pun mendahului yang lain. Tak seekurpun keluar barisan. Sangat tertib lengguk keteknya walaupun lambat. Jika seekur melangkah batu, yang di belakangnya tetap juga melangkah batu.

Matematik itik, jika ada orang mahu mengkaji, sepanjang mana pun barisannya, jarak antara seekur dengan seekur tetap sama. Nyatalah itik-itik yang dijadikan Allah ini mempunyai peraturan. Tidak ada yang tua mahu dahulu dan tidak ada pula yang muda minta didahulukan.

Matematik itik juga menepati waktu. Tidak ada dalam perkiraan minit dan jam mereka terlewat hendak masuk reban. Pembelannya tidak perlu risau. Cukup waktu sampailah dia.

Alangkah bagusnya jika manusia politik kita bermartematik seperti itik? Tidak ada yang cemburu, tidak ada yang mahu mendahului, yang tua walaupun di belakang, dia tetap patuh kepada jarak lengkahnya dengan yang hadapan, manakala yang belakangnya tetap tidak menyepak kaki kawannya yang hadapan.

Alangkah indahnya jika orang politik kita seperti itik pulang petang. Senyap-senyap balik, beratyur dengan jarak yang ditentukan. Sampai reban masuk. Esok masing-masing bertelur untuk menunjukan hasil mahsulnya.
Tetapi sekarang kebanyakannya ayam. Nak bertanding tawar diri, seolah-olah ‘aku’ lebih layak dari oramng lain. Berkokoklah sepanjang negara.

2. Semalam sementara menunggu Isya, saya menonton National Geoghrafi. Subhanallah, ajaibnya bagaimana burung (saya tak pasti burung apa, tetapi macam Belatuk) yang berparuh panjang, mencari makan dengan menangkap ikan di tasik atau di sungai hanya dengan kepintaran paruhnya sahaja. Subhanallah.

Bayangkan, tercangok di atas pokok, memerhati sekian lama ke arah permukaan tasik atau sungai yang tentunya hampir 20 meter. Kemudian dengan ketajaman indera matanya, sang burung yang segak kacak dengan bulunya berwarna warni itu dapat melihat ikan-ikan yang berenang di dalam air atau hampir permukaan air yang tentu hampir satu meter pula jaraknya dengan permukaan air.

Tetapi burung itu sangat pintar matematiknya. Perkiraannya tepat. Dia mampu menghetung secara matematik kelajuan layahan terbangnya menjunam ke permukaan air dan mampu juga dengan kiraan matematiknya, sekilas mana cepat ikan-ikan itu dapat mengelak.

Ertinya, secara matematik, kelajuan menjunamnya, menyelam ke permukaan air diyakininya lebih cepat dari kilas elak ikan-ikan di dalam air.

Bayangkan bagaimana si burung ini menghetung matematiknya. Bagaimana ketepatan ‘skill’nya Sedangkan kalau Encik Phua Kem Meng yang arif dengan skill dan matematiknya pun apabila hendak menibar jala ikan keli, sering hampa kerana ketika tibaran jala itu, ikan keli lebih cepat membenam dirinya ke dasar selut daripada tibaran jala Encik Phua

Alangkah...alangkah bagus dan bijaksananya kalau orang politik kini pandai bermatematik seperti burung di dalam program Nasional Geografi itu atau seperti tertib itik berbaris.

Maka tidaklah ada si tua yang sudah pencen dari jawatan tinggi politiki, berhora hore mengacau melebur suasana politik yang ditinggalkannya. Cubalah tanya apakah hasil dari mengacau satu barisan itik-itik yang mahu pulang ke reban?

Berbagai diucapkannya sedangkan ucapnya itu jika mahu kembali secara matematik, dia juga sebenarnya pernah melakukan apa yang dia kata tidak betul itu. Dia tidak jadi itik yang bermatematik, menghetung masa belakang dengan jarak masa depan, yang memberi erti pintar bagaimana pun masa lalu, realitinya sudah lampau usia subsidi. Jika diangkat semula jadi Menteri Perdana pun,lembik atas kerusi sahaja.

Mungkin yang dibangga ialah pemikiran. Tetapi secara matematik, sebutlah apa saja yang dia komplen tak betul, pada hal yang itu jugalah yang dia lakukan dulu. Ambil saja contoh ISA. Katanya tak patut, sedangkan dia dulu juga buat ISA. Katanya billout tak relevan, waktu dia dulu pun buat billout. Katanya politik wang, sedangkan waktu dia dululah yang bermula politik wang. Katakan tidak ada kebebasan akhbar, ketika dulu lebih dari sekarang tak bebas. Apa lagi, cakaplah apa-apa pun, secara matematik, kira balik apakah dua kali lima atau lima kali dua? Jawabnya sama.

Yang inilah menyebabkan orang simpati pula kepada ketua barisan itik yang lengguk longlai lemah lembut terangguk-angguk.

3. Di sana sini ada pemimpin bahagian tersengih terkerisin minta media siarkan pengakuan, pengumuman, tawaran, pelawa diri untuk menjadi calon. Maaf, ini bukan pasal pencalonan pemimpin Umno, tetapi yang hendak jadi pemimpin politik.

Secara matematiknya, kalau sudah tahu angkaa 12 itu tidak melayakan diri untuk bertanding, buat apalah semawa diri, komplen sana komplen sini. Tidakkah terasa malu apabila orang tidak bertanya 30 itu mencukupikah atau tidak, tiba-tiba dia yang baru ada 3, menawarkan untuk melebihi angkaa 30. Ini matematik apa namanya?

Yang sudah tahu dia tidak layak, mengapa mencari helah menawarkan diri juga. Kalau sudah tahu angka 5 tidak akan jadi 10, tak perlulah mencari pakar matematik untuk mencukupkan 10. Angka 5 sudah cukup menyedarkan diri.

Tetapi beginilah rentak tari politik sekarang. Kebijaksanaan bermatematik politik tidak ada. Perihal tawar menawar hendak mejadi pemimpin seperti ini, sebuah buku tulisan Tenas Effendy, bertajuk ‘Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu,’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam buku itu memberitahu siapakah pemimpin? Diterangkannya dengan kaedah matematik juga, katanya: Yang didahulukan selangkah. Yang ditinggikan seranting. Yang dilebihkan serambut. Yang dimuliakan sekuku.

Bukan mustahil jika anda menjawab, saya tidak bertemu pun pemimpin seperti ini. Jika begitu, pemimpin bagaimakah yang anda hendak memilih? Memilih tidaklah sukar kerana sudah ada yang menawar diri. Yang penting anda kena berfikir hendak meilih pemimpin seperti apa?

Adakah hendak memilih pemimpin yang berkeperibadian: Banyak Tahunya? Banyak Tahannya? Banyak Bijaknya? Banyak Cerdiknya? Banyak Pandainya? Banyak Arifnya? Mulia Budinya? Banyak relanya? Banyak Ikhlasnya? Banyak taatnya? Mulia Duduknya? Banyak Sedarnya? Atau Banyak Tidaknya?

Buku Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu dalam bab Kepantangan Pemimpin menyebut betapa adanya pemimpin bertabiat: Mengejar pangkal mau menjilat. Mengejar harta mau melata. Mengejak kedudukan mau melendan. Mengjar pengaruh mau bergaduh.

Dalam mesyuarat berbantah-bantah. Dalam berunding tuding menuding. Dalam helat cacat mencacat. Sesama keluarga laga melaga. Sesama kawan makan memakan. Sesana sahabat sebat menyebat. Sesama bangsa paksa-memaksa.

Jika begini tabiat, siapakah pemimpin dari kalangan yang menawarkan diri dalam keadaan ‘sudah menjelang asar’ kata Tan Sri Musa Hitam, yang sebahagian besar kini sedang membuat matematik, hendak memilih siapa?

Tenas Affendy dalam buku Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu memberitahu jenis pemimpin. Dan inilah deretan itik yang ada, yang sudah hilang matematiknya ketika berbaris hendak masuk reban.

Dikatakan Pemimpin Abu: Bagaikan abu di atas tunggul, tegak goyang duduk pun tak betul. Ada Pemimpin Acah: Sebarang kerja terkacah-kacah, duduk resah tegak gelisah,ke sana mengacau ke sini mengacah. Ada Pemimpin Agak: Hati bimbang dan banyak agak, kerja tak ada rancangan banyak, masa habis teragak-agak. Pemimpin Agul: Lakunya buruk perangai tak betul, masyarakat dihasung rakyat diagul, hati berulat akal pun tumpul, bencana datang fitnah pun timbul. Pemimpin Aib: Pemimpin tidak beraib malu, Fikiran menyalah hati berbulu, awak bodoh berlagak tahu, orang berlebih ia cemburu. Pemimpin Ajun: Kerja asyik mengajun orang, ini tak boleh itu dilarang, jalan lurus ia melentang, negeri rosak rakyat berhutang. Pemimpin Alah: Ke tengah ke tepi ianya kalah,hati kecil ilmu pun rendah, negeri rosak rakyat berbantah, dijadikan induk orang berbantah. Pemimpin Alat: Lupa diri tak ingat rakyat, di mana untung di situ mendekat. Pemimpin Alih: Adat ditukar undang dialih, diberi nasihat ia berdalih, negeri rosak rakya tpun jerih. Pemimpin Ampas: Ialah pemimpin bagaikan ampas, manis terbuang sedapnya langkas, tidak dapat menjalankan tugas. Pemimpin Ampu: Sukalah mengampu, mengambil muka ia tak malu, penderitaan orang tak mahu tahu,kesenangan diri yang ia buru.

Ramai yang menawar diri untuk menjadi pemimpin, ia sangat lain dari cara pemilihan pemimpin mengikut Islam. Tapi sayang tak seorang pun mengikut cara Abu Bakar, Umar atau sahabat yang lain di zaman sahabat Rasulullah.

Jangan pelik dalam ramai yang menawar diri, ada yang bersifat pemimpin: Pemimpin Amuk: Suka mengamuk, rakyat pun teruk, fikiran suntuk, hati busuk, di beri formula ia mengutuk. Pemimpin Angguk: Ke mana pun terangguk-angguk, pendirian goyah akal penyuntuk, dalam negeri orang beramuk, dalam majlis orang mengutuk. Pemimpin Angkuh: hati busuk akal tak senonoh, mana yang jernih menjadi keruh. Pemimpin Antah: bagaikan antah di dalam beras, dengan rakyat tiada senafas. Pemimpin Antan: Menumbuk menindas kiri dan kanan. Pemimpin Antuk: menjalankan tugas hatinya busuk, negeri rosak rakyatpun teruk. Pemimpin Arang: Berkata tidak memandang orang, mulut besar banyak temberang. Pemimpin Asal: Turun temurun ianya kekal, umpama kayu ia berpangkal, tuahnya ada maruah pun kebal. Pemimpin Asap: Negeri yang terang menjadi gelap. Pemimpin Badak: Muka tebal kulit badak ke hulu membohong ke hilir membengkak, ke laut menipu ke darat melagak.

Sebenarnya banyak lagi tamsil ibarat tentang pemimpin ini mengikut Tenas Affendy. Bagaimanapun cukuplah rasanya sekadar renungan untuk membuat kiraan matematik dalam masa congak mencongak ini.

Tiba-tiba dalam keadaan calon-calon pemimpin menawar diri, ada pula calon yang merasa kecewa dan sudah merasai ‘hayat mautnya’ saat-saat terakhir seorang politikus, lalu dia pun mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan bahawa dirinya bersih tetapi orang dikelilingnya yang kotor.

Pulakkk! Orang begini tidak pula ada dalam kamus pemimpin yang ditulis oleh Tenas Affendy. Lalu kita pun fikir, tidak ada lagilah masalah pemimpin yang telah membakar jambatan kayu tetapi dibinanya pula jambatan simen.

Tiba-tiba seorang pemimpin di sebelah lain menawar peluang kerjaya kepada pemimpin yang kecewa itu. Anih, sekaligus akan dianggaplah sekian ramai orang bahawa partinya itu satu parti yang mulia, tiba-tiba merendahkan mertabatnya menjadi parti ‘tong sampah’ yang boleh menerima hampas dan plastik busuk.

Kita tidak tahu apa maksudnya? Ajakan jujurkah itu? Pelawaan menyindirkah itu? Sangat hebat dan bergunakah pemimpin yang kecewa itu lalu diajak masuk ke dalam partinya?

Ini pun satu penyakit, bagaimana pemimpin parti yang sangat seronok mengeluarkan kenyataan, sampai tidak bermatematik secara logik; adakah 4 itu lebih baik dari 10 atau 8 banyak dari 12.

Demikianlah beberapa matematik yang sesekali membawa lucu kepada kita sejak akhir-akhir ini.

5 comments:

  1. SITI

    Owh, comelnya itik2 itu. :)

    Seronok betul membaca kupasan ini. Amatlah tepat untuk menggambarkan politik semasa, yang saya kira, sudah jelik untuk menatap dan mendengar tentangnya.

    Huh!

  1. cucupakkasim

    salam ustaz..
    panjang macam novel lah..tapi tak pa,dapat juga input..depa ni(merujuk kepada pemimpin-pemimpin united malays national organisation yang merupakan PENCURI BESAQ,yang telah mencuri hasil negara dan hak-hak rakyat sejak 51 tahun lalu)mana boleh ikut macam itik.kalu ikut mathematik itik lambat la nak kumpui hasil-hasil yang di-curi tu,apa-apa pun kita mesti HIDUPkan SOSIALISMA..!

  1. barajiwa

    Ustaz,

    Alam ini amat besar maknanya buat siapa saja yang mahu berfikir..

    Pasang surut air laut,

    Lapis pemisah air laut-air sungai di kuala

    Ikan salmon yang menongkah arus menghulu untuk bertelur dan mati..kemudiannya

    Kerbau kesayangan yang pulang ke kandang setiap petang kerana teringatkan air garam yang bakal dihidangkan tuannya

    Kita boleh terus senaraikan ceritera alam ini sehingga kiamat..

    (Kalau tak salah Baha Zain juga pernah menulis tentang bahasa binatang ini). Dalam konteks seperti ini saya teringatkan sesuatu..

    Teman saya Phuah pernah berkata:

    Alangkah zalimnya yang mencipta alam ini jika kita benar-benar mati begitu saja..

    Katanya lagi, yang menzalimi orang lain, bermewah-mewah sedangkan yang dizalimi tidak selalunya perolehi kesempatan untuk mendapatkan pembelaan yang adil..

    Lantas teman saya ini bertanya: "Adakah kehidupan kita di sini sia-sia??"

    Tepat sekali pemerhatian disipilin matematik itik yang ustaz paparkan. Ada sesuatu buat santapan jiwa kita yang kian hari semakin lemas dikepung kebendaan.

    Sekian, sekadar nasi tambah..

  1. PuJanGGaJaLanaN

    Teringat saya akan Gurindam 12 Raja Ali Haji...

    Raja muafakat dengan menteri,
    seperti kebun berpagarkan duri.
    Betul hati kepada raja,
    tanda jadi sebarang kerja.
    Hukum adil atas rakyat,
    tanda raja beroleh anayat.
    Kasihan orang yang berilmu,
    tanda rahmat atas dirimu.
    Hormat akan orang yang pandai,
    tanda mengenal kasa dan cindai.
    Ingatkan dirinya mati,
    itulah asal berbuat bakti.
    Akhirat itu terlalu nyata,
    kepada hati yang tidak buta.

    Tahniah buat Ustaz Azizi -yg muda sedikit cuma drp abah saya, Cikgu Mie Jitra ;)

    Marilah sama2 kita kembali kpd Sunnatullah...

  1. Anonymous

    Whether you are looking for sports replica watches, rolex submariner replica, you've come to the right place at www.swisswatcheszone.com. Our replica replica watches have high grade, the low price superiority. On this site you will find the latest model Swiss Replica Watches .Our customers are provided by a Satisfaction Guarantee offer for all replica watches. All Longines Watches 1:1 quality . Also in and so on what? Quickly rushes to purchase our Chanel J12 Watches , your choice cannot be wrong!GRAHAM Watches IWC Watches Rolex daytona watches Replica Piaget Watches Montblanc Watches Franck Muller Watches Replica Breitling watches Replica Panerai watches Replica Tag Heuer Watches Breitling Navitimer Watches