CATATAN 1 & 2 NOVEMBER 2008
-azizi hj abdullah
-azizi hj abdullah
31 Oktober 2008, jam 6 petang kelamkabut terkam ke Lapangan Terbang Bayan Lepas nak ke Kuantan, jadual penerbangan 7-40 petang. Tetapi bila chek in, haram jadah sungguh. Pihak Firefly kata penerbangan 7.40 pagi tadi.
Macam mana boleh jadi begini? Tempahan tiket 7.40 petang, kapal terbang dah cabut 7.40 pagi. Ini jadual apa.
Bertengkar jugalah dengan penjadualnya. Tetapi mereka budak-budak. Sikit-sikit jawabnya KL, KL, KL. Akhirnya tiket diberi untuk 1 November jam 7.40 pagi. Rupa-rupanya pertukaran jadual tidak diberitahu kepada saya. Siapalah kita ni.
Terkam pula sebelum subuh takut jambatan Pulau Pinang sesak semput. Alhamdulillah, sampai juga ke Kuantan hampir 9 pagi dan dijemput oleh seorang pemuda Yusman, terus ke Chalet Kampung Serandu Kuala Selangor Kuala Sungai Pahang.
1 November 2008 pertemuan santai PAKSI (Persatuan Seniman PAKSI rakyat, Pengerusinya Dinsman) dengan segelintir penulis Pahang dan Nelayan Pantai juga Persatuan Nelayan Perahu Kecil Sungai Pahang.
PAKSI yang diperkasakan oleh seorang insiyur (Ir) Sdra Kasim Mohamad di situ sangat memberi makna untuk menilai kejayaan bagaimana PAKSI telah berjaya merembat rakyat biasa ke kandang seni sastera,puisi dan memberi pengertian pentingnya budaya seni.
Bayangkan mereka yang hidup seharian menolak perahu ke laut, menempuh ombak gelombang, menarik pukat dan pulang melonggokkan kepada peraih ikan, tiba-tiba berada di dalam perhimpunan santai membaca puisi dan bergelak ketawa dalam siri mencairkan pemikiran.
Nelayan Perahu kecil sedang menikmati jamuan.
Memang tidak memberi makna apa-apa kepada perserta Nelayan Perahu Kecil untuk meratah ketam segar, ikan pari segar dan sejenis ikan seperti temenung yang manis rasanya dengan cicah air asam, kerana bahan-bahan itu merekalah yang menyediakannya. Tetapi mereka mendapat mengecap pula kehalusan budi seni apabila turut meluah betapa mereka tidak mengerti puisi tetapi sangat indah mendengarnya.
Perhimpunan PAKSI dengan tunjangan kuat oleh Sdra Kasim Mohamad dan dibantu oleh kawan-kawannya seperti Yusman, kemudian pasak tunjangnya dikuatkan lagi oleh Mazlan, satu-satunya orang penting dalam Persatuan Nelayan Perahu Kecil Kuala Pahang. Dengan usahanyalah turut hadir berjemur embun Pengerusinya Wan Mohd. Kasmadi dan Setiausahanya Rosli Rani.
Wan Mohd. - Pengerusi Nelayan
Di kawasan Chalet Kampung Serandu, Tanjung Selangor yang tidak jauh dengan Kuala Pahang PAKSI dengan kaum nelayan berperahu kecil menghabiskan program yang sangat asing bagi mereka sejak jam 11 pagi hingga 11 malamnya.
Mereka menikmati pantun dari pemantun HMS Abu Bakar, syair Nelayan Pantai, syair Kuala Pahang, cerita Sejarah Pahang, sejarah Kuala Pahang.
Cikgu Aziz - sejarahwan Kuala Pahang
Saya langsung tak sangka bertemu dengan pengunjung blog saya yang bernama Kun, Cucu Tuk Kedu dan Cikgu Aziz yang kononnya menganggap saya idolanya kerana membaca Memoir Seorang Guru.
Catatan santai pertemuan sempena puncak Syawal sebenarnya tidaklah istimewa sangat. Biasalah kepada mana-mana pertubuhan.
Di jety Kuala Pahang untuk ke muara.
Tapi perjumpaan PAKSI dengan nelayan di Chalet Kampung Serandu Kuala Pahang, kemudian melalut pula membawa kami ke muara Sungai Pahang, melihat pulau singgahan Tun Tuah yang melarikan Tun Teja.
Kasim Mohamad.
Kasim Muhamad, seorang penulis cerpen dan rencana kritis pada satu ketika memborong novel saya Memoir Seorang Guru ratusan naskhah. Saya bertanya untuk apa dia memborong. Katanya dia mahu menghadiah kepada masyarakat nelayan, orang kampung di tempat dia bertugas (Sebagai seorang Insiyur satu syarikat ternama, bekas Pengarah JPS Perlis, asal Sg.Patani Kedah) dengan harapan masyarakat nelayan mampu memahami sastera.
Kemudian usaha gigih saudara Mazlan yang diberitahu sebagai Bendahari Persatuan Nelayan Perahu Kecil, orang agama, imam dan aktivis masyarakat. Dia juga dengan kawan-kawannya menjadi pasak bantu kepada Kasim Mohamad ini.
Prof. Dr. Abdullah Hasan sedang berucap.
Lalu terkedu saya dan kawan-kawan dari Kuala Lumpur seperti Dinsman, Pn Ainon Mohamad dari penerbitan PTS, Prof Dr. Abdullah Hasan, Hasni dari DCP, Razali Indun, Suria Janib dan lain-lain. Bertemu juga dengan cerpenis Daengramliakil, Azli Lee.
Rupa-rupanya mengakrab seni pusi dengan nelayan bukanlah sukar.
Kesan yang luar biasa dan biasa itu saya bawa balik ketika hujan renyai-renyai di Lapangan Terbang Kuantan jam 9 pagi setelah semalaman tidur di pejabat seorang sahabat.
Terima kasih nelayan dan masyarakat Kuala Pahang. Insyaallah saya akan sampai lagi.
5 comments:
salam ustaz..,
saya dapat rasa perasaan ustaz, masa check-in tu, tau-tau tak dak flight.sebab saya pernah alami kejadian yang sama,dan buta-buta budak tu kena penampaq(betapa syaitan ketawa gembira dengan apa yang saya buat)apa saya tumpang gembira sebab,orang baik macam ustaz ni,Allah sentiasa jaga di-mana semua program berjalan lancar ikut jadual.
p/s: hari raya baru ni berpeluang melawat kawasan rumah Tuk Ya dan kawasan sekitar..,sapa sangka terasa begitu asing bila lihat keadaan sekeliling,tak lagi macam tahun 70.
Abang azizi yang dihurmati.
Maaf saya tidak dapat hadir di majlis tersebut kerana ada urusan parti yang tidak boleh dielakkan!
Bagaimana pun segala perkembangannnya saya ekori!
terima kasih pada tukya...
catatan tukya akan saya ikuti...
saya mewakili nelayan pantai mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pak Ustaz kerana sanggup turun berembun bersama kami, meratah si temenung ,menghirup air asam dan yang penting sanggup berkongsi duka bersama kami. saya ,mazlan dari 3pk dan saya ada hantar komen tentang isra' mi'raj.
Tahniah atas program di situ. Teringat kembali nostalgia di Kampung Bentan dan Serandu kerana disinilah bapa saya dan adik beradiknya dilahir dan dibesarkan. Boleh dikatakan sepanjang pantai hingga ke Kampung Marhum ramai lagi saudar mara tapi apa kan daya sudah lama tidak berkunjung disini.
Yg pasti suatu ketika saya cukup suka mengeledah almari bapa saudara yg sarat dengan buku diKampung Bentan tu. Banyak buku sastera dan majalah. Hmm...masih lagikah pondok kecil beliau disitu saya pun tidak pasti. Yg pasti saya disunatkan disitulah dan dimandikan dikali tepi dan arwah moyang saya dikebumikan di perkuburan situ.
Moga sastera merentasi sosio budaya.
Din
Post a Comment