Catatan 10 Disember 2008: Awan dan Gadis Pemandu Teksi

Posted by Tukya Labels:

Subhanallah, belum pernah saya melihat keindahan sekaligus kekaguman seperti ini. Entahlah kalau orang lain, terutama Angkasawan atau pilot-pilot lain.

Setinggi 16 ribu kaki dari paras laut dalam perjalanan balik dari KL ke Penang, saya melihat keajaiban ini dengan dada yang sebak dan berSubhanallah. Maha Agung Tuhanku. Awan gemawan di bawah kapal terbang yang saya naiki bagaikan kapas-kapas bersih dihampar di atas padang. Ia sangat lembut, gebu, bersih, semacam berolak tetapi tidak bergerak.


Saya teringat puisi Usman Awang bagaimana beliau ingin memintal awan gemawan menjadi selendang kekasihnya dalam puisi kekasih.

Saya diruntun agar terjun saja dari kapal terbang, mau berguling dan bermain dengan bidadari di atas hamparan awan gemawan itu. Sangat mempesonakan.

Bukan apa…

Ketika menaiki teksi dari Bangunan TH Selborn Jalan Tun Razak, pemandunya seorang gadis. Masyaallah, saya sangat teruja bagaimana seorang gadis boleh menjadi pemandu teksi.

Apapun, setelah berbual panjang ketika menghantar saya ke DBP dan kemudiannya mengambil saya ke Airport pula, barulah saya sedar, betapa anak gadis yang berasal dari Gurun ini, berkelulusan Electrical Engineering, pernah bekerja kilang dan kemudiannya terus membawa teksi sekitar KL.

Saya tersangat kagum. Kegigihannya, kemahuannya dan kesanggupannya menjadi manusia kerdil di tengah kota, kemudian bercita-cita besar dan tinggi. Dia berbangga dengan kerjaya itu.

Ketika melihat awan yang terhampar di bawah perut kapal terbang setinggi 16 kaki dari paras laut, termimpi saya bagaimana kalau saya cempung gadis pemandu teksi ini, meminta ia mengepak menari di tengah awan gemawan ini. Bagaimana saya merajut dan memintal awan gemawan ini menjadi selendang suteranya, kemudian meminta ia berguling-guling dalam kapas putih awan-awan ini. Haahhh, pasti mempesonakan.


Hahh, alangkah indahnya dunia ini. Bukankah ini satu landskap panorama yang agung bagi orang muda dalam kemabukan bercinta. Bagaimana kalau ruang yang terhampar olak alun awan sutera ini diperuntukan kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan Taman Mewah di Ulu Klang?

Tiba-tiba gadis pemandu teksi yang saya lemparkan ke gumpalan awan gemawan yang seperti kapas di tengah padang, di bawah perut kapal terbang itu membentak:

- Kenapa mesti membantu mereka? Kenapa mesti wujud tabung bantuan kecemasan?

- Kenapa? Saya bertanya sambil menghambatnya di ruang tengah bilik yang dipenuhi awan gemawan itu.

- Untuk apa kita bantu, jika mereka bertaraf antarabangsa?
- Untuk apa kita bantu, jika mereka di bukit mewah?
- Mereka ke sana bukan kerana kemiskinan, tetapi kerana kemewahan.
- Mahukah bantuan kita sekampit beras, sedangkan duit simpanan di bank ratusan ribu?
- Mahukah kita berikan sehelai cadar, sedangkan selimut mereka bagaikan awan gemawan berapun sutera?
- Sepadankah bantuan sebiji bantal, jika katil dan cadar mereka berjenama Rozel?
- Mahukah bantuan kita, jika tilam kita setebal satu inci, sedangkan karpet mereka tebal tiga inci?
- Mahukah mereka pemberian perabut kita, kalau perabot mereka sama besar dengan ruang dapur rumah kita?
- Mahukah pemberian selimut kita, kalau kain langsir mereka sepuluh kali ganda mahalnya?
- Terimakah bantuan penempatan kita di balai raya, kalau hotel mewah tempat mereka menginap?
- Mahukah bantuan kita, kalau daftar barangan mereka agar tidak dirompak, melebihi RM30 ribu?
- Kesalkah kita tentang bantuan kita, kalau home teater di ruang tamu mereka, sama dengan belanja lima tahun anak kita ke universiri?
- Kenapa tidak kepada mangsa banjir di Kelantan atau di Pahang?
- Mereka komplen kepada menteri, kita komplen kepada JKK.
- Kita tenggelam basikal atau motor Honda, sedangkan Mercedis mewah mereka hanya kemek di pintu kiri.
- Kita tenggelam kebun sayur, mereka tenggelam taman orked.
- Wajarkah katak nak bantu ular tedung, mahukah?

Hahhh, saya tersedar. Terakhir saya dijerkah, mahukah bantuan kita kalau tempat penempatan tidak setanding seperti hamparan awan gemawan yang kau lemparkan saya ke sini?

Allahu Akbar. Subhanallah!

21 comments:

  1. NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE

    kah,kah,kah. Macam filem hindustan.

  1. Unknown

    Tulisanmu dan gaya tari bahasamu amat menarik sekali.. Bagiku, ia berkesan dan amat terkesan kepada madu'u baru.. Gunakanlah ia sebagai 'tool' untuk menarik manusia kepada kehidupan 'beragama' di dunia ini dan kehidupan 'selesa' nun di sana nanti sepertimana umat 'Arab tertarik dengan gaya bahasa 'Kalam Allah' yang begitu unik sekali..

  1. Anonymous

    sdra nginap srengenge dan rosidi,
    kadang-kadang yang kecil itu sebenarnya besar dan yang besar itu orang tidak pernah memandang kecil.
    terima kasih rosidi.

    azizi abdullah

  1. sidra kamar aisa

    terima kasih sekolah, terima kasih pak azizi. sebahagian diri saya dewasa oleh tulisanmu. :)

  1. DeeN

    Yang kecil bisa menjadi bermakna jika dilakukan dengan keikhlasan. Penerimaan? Lantaklah jika mereka menerima tanpa rela ataupun untuk menjaga air muka. Cuma hati kadang2 sakit kalau mereka tidak tahu berterima kasih, jikapun tidak kepada sesama makhluk cukuplah kepada DIA Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Wallahu'alam.

    Er..sekarang ni ramai driver teksi dari kalangan hawa. Driver bas pun ada gak. :} Salam Eidul Adha, Pak Azizi.

  1. Anonymous

    HNH Kelantan.
    Alhamdulillah. Suatu coretanidak yang menusuk kalbu puitis yang jarang dimiliki insan biasa yang mampu menjiwai dan menghayatinya tetapi tetapi tidak mampu mengukirnya.Tahniah kepada ustaz dan teruskan dengan gelumang seni yang tiada penghujungnya.Wallahu A'lam.

  1. Unknown

    Saya pun berfikir begitu. Bunyinya zalim, tetapi wajar.

  1. Anonymous

    salam tuk ya...
    sudah lumrah manusia yg hidup bermandi susu, takkan sanggup terpalit lumpur.. bila terima kejutan sedikit cepat melatah.. tak tolong rasa salah tp bila dah tolong pun ttp dipersalah..sudah masalah tambah masalah..terkadang rasa tak mahu jadi kaya.takut kena penyakit haloba dan tak tahu dek untung.. lupa yg miskin..lupa bersyukur bahwa nikmat Tuhan bukan semata-mata 'percuma'!

    hasmora,
    taman bukit angkasa

  1. CUCU TOK KEDU

    Hanya mereka yang berilmu dapat menikmati lantas menilai kehebatan Allah mencipta alam dan isinya.

    Allah jua yang Maha Menghetung dan Maha Berkuasa boleh meletakkan hambanya di atas dan dibawah lagi cepat dari sekelip mata. Konfayakon!

    Moga Allah menjauhkan kita dari ujianNya yang tidak termampu oleh kita tanggungi sebagai hamha yang amat dhaif ini.

  1. Anonymous

    Sdr.

    Apakah erti pada mereka yang mewah dengan nilai hidup seorang pemandu teksi? Pernahkah mereka memikirkan tentang lara miskinnya petani, buruh dan nelayan? Pernahkah mereka menjejak kaki ke lembah yang dilanda banjir? Pernahkah mereka menghayati tangisan anak yang menunggu kepulangan bapa dari perantauan untuk mencari sesuap nasi, dalam ertikata kais pagi makan pagi, kais petang makan petang? Pernahkah mereka bertanya berapa zakat harta yang mesti dikeluarkan tahun demi tahun? Atau pernahkah mereka menderma untuk membasmi kemiskinan rakyat? Pernahkah mereka berarak di jalan raya menuntut keadilan agar kehidupan rakyat terbela? Atau pernahkah mereka memberhentikan tawa hilai mereka di pesta untuk mendengar rintihan rakyat yang derita di rumah pangsa dan kampung terpinggir? Pernahkah mereka menangis .....?

    http://tokperan.blogspot.com

  1. Anonymous

    kEPADA:
    Nginap Srengenge, Rosidi,Sidra Kamar, DeeN,Sifu, Cucu Tok Kedu,Seladang:
    Sebenarnya cerita ini belum habis. Benarlah kata, jangan memuji sesuatu hari jika belum tiba maghrib.
    Selepas saya pulang, dua kali SMS dan sekali lagi SMS saya dirayu kononnya kesempitan wang dan minta saya mengirimnya RM200.
    Wah, rupanya ada Pokka di balik bata.Tak sangka cerita pendfapatan RM100 bersih sehari, tiba-tiba kesempitan wang kononnya bapa buat kenduri aruah di kampung. Tak kesianke?
    -azizi

  1. Ibnu Ahmad al-Kurauwi

    Tuk Ya,
    Dialah yang telah menciptakan kematian (awal+sementara) dan kehidupan (kemudian+berkekalan) untuk diuji, siapa dalam kalangan kamu yang sebaik-baik amalan.

  1. Anonymous

    Al Khurauwi,
    Saya ke DBP 15hb yang lalu. Tak jumpa pun.
    Salam


    azizi

  1. cahaya petunjuk

    assalammualaikum pak azizi,
    saya baru pulang dari sri cmpaka suites cheras semalam.
    Sehari bersama pak azizi adalah detik-detik berharga yang tak dapat saya lupakan.Perkongsian pengalaman yang menkjubkan. Mengenali seorang penulis yang berjiwa kental di usia mudanya ;-)dan bersemangat untuk mengeluarkan ilmu di dada amat-amat saya kagumi.

    jazakallahu khoiran kasira
    pak azizi, saya tgh menghadam Sanggetha dan Harga Sebuah Maruah kini. Akan saya publish novel pak azizi di kampung Kerpan saya....

  1. Anonymous

    Anakanda Cahaya Pertunjuk,

    Baguslah kalau baca dengan kritis. Novel tu bukan untuk orang kerpan saja, tapi seluruh manusia yang teraniaya.

    Menulislah nanti dengan rajin dan bersungguh-sungguh.Saya gembira memberi ceramah kepada anda semua.
    Pak Azizi

  1. Anonymous

    Assalamualaikum syeikh;
    Satu persoalan yang timbul, kenapa begitu bersungguh-sungguh bantuan dihantar? Sedangkan sebuah rumah mereka sama nilai dengan puluhan rumah orang miskin di Kpg Gunung Bongsu,Kpg Badang, Kpg Cerok Kedah, Kpg Ceruk Menanti! Ahh...aku khuatir segala bantuan itu akan memenuhi trak pengangkut sampah majlis perbandaran apabila keadaan mereka sudah stabil atau belum sempat sampai ke pintu rumah mereka.Em...catatan itu hebat dan menggetarkan.

  1. Anonymous

    AmerHmzah,
    Saya pun berpendapat sama, bukan bererti tidak berperikemanusiaan.

    Bukan sekadar 10 buah rumah di Gunung Bungsu. Rumah di GB berapa harganya sangat. Barangkali 10 buah harganya 50 ribu, tapi kereta mereka saja ratusan ribu.
    gitu kan?

  1. Cikli

    salam tuk ya,

    di atas awan itu juga, alkohol tin dan gelas dihidangkan kepada sesiapa tak kira apa agama, oleh gadis cantik seagama.

  1. Unknown

    Salam Jiwa Hamba,
    Suatu pengamatandaripada seorang insan yang prihatin.Mempersonakan.
    Gadis yang begitu kental semanagatnya mesti lawa orangnya kalau tidak takkan tuk ya begitu terbuai dengan keindahan tarian atas awan.
    Betuui!Betuui!Betuui! macam Ipin yang membetuuikan Upin.

  1. Anonymous

    Husin PakTongko,

    Apa hai pula. Tak lawa pun tapi menarik. Menarik tentang helah dayanya.
    Kalau Paktongko jumpa pun, mesti terpesona.

    azizi

  1. Unknown

    Several series of louis vuitton have been through special protective procedure when louis vuitton bag are produced by artisans to prevent dusk and stain, so you’d be more cautious to keep the protecting layer during cleaning. A Louis vuitton bags is a status of endless fortune and timeless luxury. To prolong the glorious journey, you should serve it as a long-term investment and it certainly will repay you juicy interests with the longevity of your lv .