Bangkitlah Melayu!

Posted by Tukya Labels:

Bangkitlah Melayu!
POORRRAAAHHH!

-Azizi Hj Abdullah *

Rasanya tidaklah tepat kalau kita bercakap tentang Melayu dan nasib Melayu pada masa ini. Apa lagi apabila kita bercakap dengan emosi dan fanatik keMelayuan yang kononnya Melayu itulah bangsa utama dalam dunia tetapi dalam masa yang sama ada Melayu yang cuba mendainasorkan pula Melayu ini.

Malaysia sebuah negara yang sedang menuju ke satu arah penyatuan bangsa walaupun tidak penyatuan bahasa. Perdana Menteri ke 6, Datuk Seri Najib awal-awal lagi memulakan dengan cogankata ‘Satu Malaysia’ yang membawa erti, bangsa juga harus disatukan, bukan di etnik-etnikkan dalam bacaan politik.

Tak mengapa jika kita pulun dan rengkuh menaikan taraf kehidupan Melayu tetapi bukan mengungkit-ungkitkan tentang kehebatan Melayu yang tidak boleh berbuat apa-apa itu. Kehebatan bukan jenama yang membantu kemajuan. Kehebatan kadang-kadang satu ego dari orang yang kalah.

Maka kerana itu kita rasa Utusan Malaysia keluaran Rabu 15hb April 2009 pada muka depannya dengan tajuk ‘Bangkitlah Melayu!’ sangat tidak kena dari segi kontennya walaupun ia saruan yang baik dari segi tajuknya.

Penyimpangan konten ini tidak membantu perpaduan satu Malaysia yang dikehendaki oleh Perdana Menteri. Ia lebih menyemarakkan lagi api perkauman pada hal akhbar Utusan Malaysia adalah satu-satunya akhbar yang cukup memelihara perpaduan, tidak buruk sangka dan mesra rakyat.

Bagaimana pun kita tidaklah mahu melihat dari sudut ini sangat kerana kita tahu Utusan Malaysia sangat matang dalam soal perpaduan dan mengaitkan hubungan antara kaum melalui media massa. Kita tidak ragu ini.

Tapi apabila Utusan Malaysia menginterviu (mewawancara) beberapa orang yang kononnya dianggap ‘tokoh’ yang mencerminkan kononnya mereka pejuang bangsa Melayu, amatklah tidak kena dan ia boleh diketawakan oleh orang.

Bercakap tentang nasib orang Melayu, pembelaan dan ketuanan orang Melayu, kita hendak bertanya siapakah itu Datuk Ibrahim Ali? Datuk Ibrahim Ali adalah presiden satu jemaah (NGO) yang kononnya membela kepentingan orang Melayu.

Tetapi anda harus ingat, memimpin sebuah NGO kemudian suara pemimpinnya sangat lantang, ia bukanlah pertubuhan yang mempunyai ribuan ahli. NGO seperti ini kadang-kadang mesyuarat AJK pun tidak cukup korum.

Bantahan dan kenyataan akhbar yang cukup hebat tetapi hakikatnya kadang-kadang kenyataan itu di tulis sendiri ketika mata tidak mahu lena dan bukan keputusan padu dari kumpulan.

Kenyataan-kenyataan tentang Melayu kini sebenarnya bukan sesuai lagi dilempar ke akhbar. Ia sepatutnya menjadi pembungkus nasi lemak sahaja. Sekarang ini, bercakap tentang apa saja jenama ‘Melayu’ ia adalah pembunuh Melayu itu sendiri.

Contoh yang paling ketara sekarang ialah pejuang Bahasa Melayu. Siapakah yang menembak ges pemedih mata? Jawabnya Melayu. Siapa yang mengeluarkan perintah? Jawabnya Melayu. Siapa yang memukul, mengheret Melayu? Jawabnya Melayu dan siapa pula yang jadi mangsa? Jawabnya Melayu.

Apakah keadaan ini tidak boleh dibetulkan sesudah beberapa lama?

Ternyata Datuk Ibrahim Ali melalut hanya kerana ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan bahawa beliau amat kepingin kembali kepada Umno. Baginya Umno adalah Melayu yang perlu dihidupkan dan Melayu Umno ini tidak akan pupus. Maka untuk membuktikan beliau darah Melayu yang kuat, lalu didesak supaya yang bersifat Melayu mesti dijaga dan diberi perhatian.

Baginya Umno adalah satu-satunya badan yang boleh dan mampu membela Melayu. Ditujukan harapannya kepada Umno. Tetapi yang anihnya, YB yang sangat kental berdarah Melayu, boleh tonggang langgang, cabut lari dari Umno. Pada hal jika ia memiliki keMelayuan yang hebat, Umno tidak boleh ditinggalkannya atau Umno tidak boleh menyahkannya.

Yang pelik lagi kini beliau mula tersengih pula kepada Umno. Apa erti perjuangannya di luar Umno?

Bertolak dari seorang YB ini, muncul lagi beberapa Melayu yang merasa Melayu mereka tidak selamat kini. Bagaimana pun Melayu mereka hanya akan bangkit, mereka akan membuat kenyataan (tetapi tidak pernah berjuang) jika didapati Melayu mereka tertekan. Tertekan ini pun bukan Melayu keseluruhan tetapi tentu ada kait dan cakukan dengan mereka sendiri.

Setidak-tidaknya apabila mereka melaung Melayu, kerana mereka orang Melayu, akan terbukalah mata Umno yang mereka sebenarnya masih Melayu.

Lainnya, apa yang diucapkan oleh Datuk Mohamad Aziz dari Sri Gading, apa yang diucapkan oleh Osman Abu Bakar yang tidak ada istilah lain dalam dirinya melalinkan Umno, apa yang diucapkan oleh YB Mohd Khir Toyo, yang diucapkan oleh Sayed Anuar Sayed Moahamd, Datuk Rais Yatim bukan kerana mereka orang Melayu, bukan kerana mereka perlu menempelkan isu itu ke Parlimen, tetapi mereka adalah pemimpin dari suara terpendam yang cuba hendak dicairkan di perhimpunan atas isu-isu yang dianggap segar.

Misalnya Sdra Osman Abku Bakar hanya Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).Tak seorang pun bertanya sebagai sebuah badan bertindak, berapa ramai keahlian untuk bertindak? Begitu juga dengan NGO lain yang ternyata sebagai penjerit dan melolong begitu-begitu sahaja untuk membuktikan kepada kerajaan yang mereka penyokong kuat.

Bagaimana pun mereka bukan NGO yang menyokong perpaduan dan kebangkitan Melayu sebaliknya mereka penyokong hipokrit Umno untuk sesuatu tujuan.

Kerana itu sebarang apa sokongan mereka, ia tidak bermula dari bahan teras yang menguntungkan negara atau membawa kepada kebaikan rakyat sebaliknya menyokong dengan jeritan parau sebaik-baik saja Umno bersuara.

Sifat NGOkah cara seperti ini?

NGO-NGO seperti inilah, terutama BBPM sering kehilangan arah kerana terlampau gila dan fanatik sehingga mereka menganggap NGO mereka sahajalah yang mampu bersuara tentang Melayu dan sangka mereka semua Melayu akan menyokong mereka.

Pada hal NGO seperti ini tidak ada dasar dan prinsip sebagai sebuah NGO yang berkualiti. Perjuangan membela Melayu sudah lama berjalan, iaitu sejak tertubuhnya Umno. Ke mana perginya hala tuju ahli NGO Umno selama ini?

Apapun, kita sepatutnya merasa janggal menempek tentang Melayu dalam alam global, kerana keciciran orang Melayu disebabkan ada pertubuhan Melayu itu sendiri yang tidak bertanggung jawab.

Orang Cina hanya menipu Melayu ketika menimbang padi untuk diangkat naik ke atas lori. Orang India menipu orang Melayu ketika membilang botol yang dimasukkan ke dalam guni. Tapi orang Melayu menipu Melayu ialah penyelewengan projek, kemudahan asas yang dibantu oleh keranaan. Orang Melayu menipu secara berangkai. Dari kepala kontartor hinggalah kepada sub-subnya dan sehingga kepada pencatat. Orang Melayu menipu Melayu, sampai sanggup mengubah peta pilihanraya. Orang Melayu menipu Melayu sampai sanggup menyediakan perangkap jerejak besi. Orang Melayu penipu Melayu sanggup memadan catatan dan akta.

Lalu jika Badan Bertindak Perpaduan Melayu mendapat projek membantu Melayu, ia belum tentu selamat kerana di dalamnya ada Melayu.

Oleh yang demikian, Melayu tidak boleh diharap membantu Melayu. Kekuatan orang Cina dalam ekonomi, mereka bukan mengharap seratus peratus bantuan orang Cina, sebaliknya konsep terbuka mereka, daya saing mereka bersifat antara bangsa. Tidak seperti Melayu, daya saing mereka ialah pegawai atasannya saja.

Untuk kesekian kalinya kita sangat berharap Utusan Malaysia tidak lagi akan menyiarkan berita sebegitu rupa. Ia tidak membantu kepesatan perpaduan. Yang harus diingat, perpaduan bukan pengubat sakit perpecahan orang Melayu, kesetabilan orang Melayu tetapi perpaduan semua kaumlah yang menjadi asas kuat kesetaliban orang Melayu.

Sebagai perbandingan, pengukuhan sebatang tiang bukan saja simen yang dibancuh, simen yang diasak tetapi juga perlu kepada susunan bata dan cukupnya bancuhan pasir yang betul.

Perpaduan dan kebangkitan Melayu bukan bergantung kepada seperti saranan NGO berbau perkauman. Perkauman hanya boleh membantu Melayu perkauman. Melayu tidak boleh membantu memperkuatkan bangsanya dengan isu-isu perkauman tetapi mestilah keluar dari kepompong perkauman. Caranya mudah; Umno mesti membantu semua tetapi jangan abaikan bangsanya. NGO-NGO seperti BBMP atau Pewaris jangan menyempitkan Melayu dengan dasar kebangsaan yang sempit. Baja yang paling baik tidak memberi makna kepada pokok bunga jika di tanam dalam pasu yang sempit. Akarnya tidak sampai ke mana.

5 comments:

  1. Anonymous

    Sdr. Azizi,

    Apabila cap Melayu mereka dagangkan....

    Cap Melayu itu mereka jaja mengikut musim dan pema:
    Pilihan raya umum atau musim jujuh bersidang. Ketika itu cap Melayu laku jika dilelong-obral. Dari kisah Melayu hilang ketuanan, tanah rezab kian susut( mereka terlupa merekalah lelong-gadai), Melayu itu dan ini..Melayu yang dhaif, Melayu yang melarat, kata mereka di bumi sendiri.

    Lalu, kata mereka, Melayu perlukan pembela. Melayu mesti miliki sang juara. Melayu, jerit mereka lagi, benar-benar dalam bahaya!!

    Celaka, begitu licik direkacipta tipu perdaya.

    Tak payahlah kamu berda'ah
    Buang, lemparlah jauh-jauh topeng-topeng puaka:
    yang kamu kejar projek
    yang kamu ligan pangkat
    yang kamu terkam jawatan

    yang kamu alah tanggung dan jawab

    umno melompat (bukan leap frog)
    umno membakar (bukan sampah)
    umno pelupa (itu kena tanya orang yang hobinya keluar-masuk)

    umno itu pakar bahasanya:
    rakyat berpecah belah: tak sokong umnolah tu
    politik wang: rasuahlah maknanya
    rakyat bersatu padu: umno/bn kuatlah ertinya

    utusan, tv, penat aja kalian memutar belit
    percayalah, rakyat saban hari semakin bengang.

    salam..barajiwa.
    17hb april 2009

  1. Anonymous

    sdra barajiwa

    terima kasih. luapan semangat dan kesedaran yang tak ramai orang faham

    azizi

  1. yus_anakmelayu

    salam. Minta izin untuk memetik artikel ini bagi pengisian blog saya =) Salam ziarah untuk Ayahanda Azizi. Sudi-sudilah melawat blog saya yang tak seberapa.

  1. melahak

    Bercakap mengenai ketuanan Melayu memanglah satu yang sedap didengar oleh orang yang berbangsa Melayu dan tak sedap didengar oleh badan empunya yang bukan Melayu..Tapi sedarkah kita itu semua adalah retorik yang tergolong dalam satu ruang lingkup yang amat terbatas dek disebabkan oleh pengaruh sebuah parti politik terunggul kononnya "Pembela Melayu". Masihkah kita ingat peristiwa juak - juak dan puak - puak Umno dulu berdemonstrasi berhari - hari di bawah KOMTAR di Tanjung (Penang) sedikit masa lalu???? Bagaimana spesies Melayu ini bangkit dengan semangat yang berkobar - kobar disebabkan oleh cadangan yang diajukan oleh Ketua Menteri Guan Eng mempromosikan tender terbuka??? Maka berduyun - duyunlah orang Melayu bersatu berpiket ..ada yang dapat duit , ada yang dapat hampaih..dsb nya. Tapi cukup sedih jika ada seorang pejuang Melayu sendiri dari parti yang dikatakan Pejuang Bangsa menghapuskan kuota 30% yang diperuntukkan kepada bangsa mereka sendiri !!! Tak la pulak saya nampak berduyung - duyun orang berpiket , menghunus keris membantah penghapusan kuota nie !! Mana perginya mereka - mereka yang dulunya melalak - lalak memperjuangkan Melayu ??? Mana perginya Pemuda Umno ??? Prowaris ?? NGO ??? dan yang sama waktu dengannya ??? Adakah disebabkan oleh kemajuan atau pun tahap kita dah mampu bersaing di pentas yang terbuka sejak Mac 2008 ??? Atau adakah ini satu lagi retorik parti pemerintah nak mengaut undi bukan Melayu ??? Sedarlah sedikit , walaupun tanpa kuota 30% bangsa lain dah pun jauh kedepan. Bagi saya ini cuma akan lebih memudaratkan daripada membantu...Entahlah..sedih sangat sebab terlalu ramai mereka yang boleh dikategorikan sebagai "pengampu".

  1. Anonymous

    Itulah realiti perjuangan Melayu. Adakah salah kalau saya katakan Melayu ni sifatnya memang suka kena tipu? Kalau bangsa lain tak tipu pun Melayu sama Melayu pun dia tipu juga. Entahlah..