ITNM: YANG MERAH ITU SAGA

Posted by Tukya Labels:


Pertemuan ITNM dengan Sasterawan Negara & SEA Write Award pada 18 Mei 2008

Tak semena-mena 2hb Jun, Anwar, seorang pegawai ITNM (Institiut Terjemahan Negara Malaysia) telefon. Kemudian esoknya 3 Jun, ketika berada di kaki Gunung Bungsu bersama seorang pelajar UM yang nak buat PhDnya, telefon lagi.

Tanyanya, Pak Azizi nak bawa isteri tak? Kami nak tempah tiket, hotel dan jemput di KLIA pada 14 Jun untuk menonton teater ‘Mana Setangginya’ di Istana Budaya, beritahu Anuar. Saya jawab, saya malu nak makan belanja ITNM, sampai bawa bini.

Ini tentu Pengarah Urusannya, Mohd Khir Ngadiron suruh tanya, fikir saya.





Mohd Khir Ngadiron


Sebenarnya bukan kerana pelawaan ITNM setiap kali ada upacara lalu kepada semua penerima anugerah SEA Write Award, Sasterawan Negara dan lain-lain dijemput, maka saya menulis tentang ITNM ini.

Saya mengenali ITNM hanya pada 18 Mei 2008 tahun lalu di mana ITNM jemput semua sasterawan SEA Write Award/ Sasterawan Negara di Pan Pacific membincang apakah boleh novel-novel yang terpilih diterjemah ke bahasa asing. Kemudian setiap kali ada upacara yang bersangkutan buku, sehingga Majlis Tahlil untuk aruah SN juga saya dan sasterawan lain dijemput.

Terakhir di Hotel Sahangrila di Putrajaya, pelancaran buku terjemahan, yang dirasmikan oleh TPM.

Saya rasa ITNM ini telah memain peranan dan cukup merasa bertanggung jawab untuk memperkenalkan sastera Malaysia ke mata dunia dan berusaha pula menterjemah/menerbit buku-buku asing ke bahasa Malaysia.

Menunai tanggung jawab ini bukan mudah. Tetapi melalui Pengerusinya Dato’ Wan Hashim yang selalu melawak pasal saya ini orang Pas, dan daya usaha Pengarah Urusannya Mohd. Khir Ngadiron, ramai penulis dan saya sendiri melihat jangkauan ITNM ini harus dipuji.

“Bukan pasal banyak duit, tapi kami merasa bila lagi kalau kita sendiri tak lakukan,” kata Mohd Khir Ngadiron, yang selalu saya berseloroh: ITNM banyak duit.
Memang pun. Selain dari tanggung jawab terhadap sastera Malaysia ke mata dunia, ia satu usaha memertabatkan sasterawan Malaysia. Maka kerana itu buku-buku penulis Malaysia akan ada di pasaran antara bangsa. Dr. Mohamad Hj Salleh dan lain-lain penterjemah sudah lama pulun, merengkuh menterjemah.

Saya teringat Dewan Bahasa dan Pustaka. Bukan kerana tidak pernah dilakukan hal seperti ini, tetapi melihat dari sudut pengiktirafan, kawalselia sasterawan, nampaknya ITNM mungkin lebih ke hadapan.

Sudah puluhan buku-buku yang sudah diterjemah oleh ITNM dan ia tidak pula sia-sia. Bukanlah untung sangat dari segi komersial, tapi ia melegakan.

Ingin nak memuji Pengarah Urusannya. Bukan kerana baik dan menjemput sasterawan ke KL tetapi beginilah rasanya jika ia berterusan, Insyaallah ITNM akan menjadi satu institusi buku dan sastera Malaysia terkenal di mata dunia. Tetapi tentu akan terbantut kiranya tanggung jawab ini tidak diteruskan oleh orang seperti Mohd. Khir Ngadiron. Kerana itu secara peribadi, Pengarah Urusan seperti ini perlu dipanjangkan usia aktiviti dan kreativitinya.

Perlukah Dewan Bahasa turut memain peranan? Ini soal lain pengurusan dan pengarah. Tapi alangkah bagusnya kalau Dewan Bahasa juga memperkemas dan menyusun semula strukturnya. Pengarah baru Dewan Bahasa nampaknya orang yang mampu dan mahu, tapi itulah mungkin beliau hanya sekadar dua tahun.

Ini satu penyakit dasar kerajaan yang melantik atau menaik pangkat pegawainya. Kalau asyik sambung,sambung kemudian berhenti, ganti orang lain, sampai bila perancangan itu boleh berjalan lancar. Bukankah elok seseorang pegawai tingginya diletak kepada mereka yang mempunyai hayat kerja yang panjang untuk membuat perubahan dan kemajuan.
Sudut inilah yang menyebabkan saya menulis ini. ITNM perlu meneruskan usahanya dan penerusan ini mestilah dari mereka yang meneroka peringkat awal lagi.

Hahhh, tak pasal-pasal memuji ITNM, kenapa?

Bukan memuji tetapi ingin melihat usaha ini mesti diteruskan dan kepada sasterawan tidak dipandang sebelah mata. Amin!

7 comments:

  1. dilaga

    Sdr Azizi,

    Siapa saja tentunya gembira apabila dihargai selayaknya. Siapa saja. Semacam anak-anak dan gula-gula. Betul manusia mesti dihargai seperti sepatutnya. (Oleh sebab itu Ustaz tak perlu risi dengan layanan istimewa ITNM ini).

    Kesinambungan kepimpinan ini hanya menjadi masalah besar apabila membiaknya dan tercokohnya budaya berpilih-pilih:

    Habuan, hukuman, deraan, tindakan disiplin dll dipaksa supaya melalui proses berpilih-pilih ini.

    Hatta rakyat yang memberikan pandangan yang berlainan juga dilayan berdasarkan konsep berpilih-pilih ini.

    Kesannya amat jelas. Demi untuk hidup, maka semua yang besar nafsunya perlu segera menjadi pengampu. Dan inilah manusia yang kadang-kadang dipilih untuk memimpin.

    Apakah ada pembodek yang berani berkata dan membuat kerja-kerja yang benar? Beranikah dia membuat perubahan?

    Dan di dalam masyarakat yang memiliki budaya begini, apakah akal@helah sesetengah pemimpin institusi awam yang begitu mengidam sekali agar perkhidmatannya disambung tatkala dia mencecah usia bersara wajib.

    Apakah akalnya supaya terus dilantik?

    (Memang benar, bukan semua yang berbuat demikian semata-mata kerana habuan......)

    Ah, kenapa sampai ke sini??..ustaz ada menaruh harap agar DBP mampu melakukan sesuatu. Dalam suasana dan budaya yang ada sekarang?

    Mengikut firasat tukang tilik saya, dalam waktu terdekat ini mungkin ada kucing yang bakal bertanduk.

    Wallahuaklam.

  1. Anonymous

    dilaga

    saya tak berapa faham ibarat dan tamsil tuan. tajam hunusnya, bisa tusuknya,parah lukanya dan berkilau sinarnya.
    jangan-jangan sindir saya dan ada sesuatu yang bergolak tak? anda pun saya tak tahu, apakah orang ITNM atau DBP atau awam.
    tak apalah, kadang-kadang main bodek pun ada untungnya.
    -azizi abdullah

  1. D'Rimba

    Semoga ramai yang ingin martabatkan bahasa Melayu dan bidang sastera negara. Ustaz mai KL, saya nak jumpa bolehka? Rumah saya dekat jugala dengan Istana Budaya.

  1. Tepi Sungai Batu

    Tuan,
    Teruskan kerja tuan, jangan hiraukan orang nak kata apa.
    Maaf kerana Pak Man tiba-tiba saja komen, tanpa beri salam terlebih dahulu.
    Assalamualaikum.

  1. dilaga

    Sdr. Azizi,

    Mohon maaf jika yang disampaikan menjadi lain tafsirannya.

    Cerita mudahnya, begini:

    Tahniah kerana memaparkan usaha-usaha ITNM dalam memperkasakan karya di dalam bahasa Melayu. Rasanya semua ini sukar terlaksana tanpa iltizam kepimpinannya. Tak ada salahnya paparan ini. Ia menjadi motivasi kepada pemimpin yang diamanahkan. Sdr telah membantu. Berapa ramaikah yang sudi, ingat, peduli dan iktiraf seperti yang sdr lakukan? Berapa ramai orang hebat-hebat di dalam pelbagai bidang yang kadang-kadang begitu yakin bahawa mereka di puncak kehebatan semata-mata kerana kehebatan dirinya.

    Perkara kedua yang begitu menyedihkan ialah kerosakan pelbagai intitusi kita kerana pelbagai faktor. Salah satu daripada faktor tersebut ialah menjadikan kepimpinan institusi sebagai habuan untuk para pengampu. Hampir segala-galanya di bawah mentari Malaysia dijadikan habuan, hatta NGO pun tidak lagi selamat. Semuanya punah.

    Akibatnya?

    Begitu banyak sekali tikus yang sudah menjadi pomen labu:

    Pomen bahasa
    Pomen undang-undang
    Pomen pendidikan
    Pomen itu
    Pomen ini..

    Hatta,

    Di kampung-kampung pun sudah berlembaga para pomen baru di bawah institusi yang namanya Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung , JKKK

    Apakah akan maju kita dengan kepimpinan para tikus ini??

    Akhir sekali ,

    Bila lagikah kita (termasuk para tikus) akan insaf dan sedar bahawa jika segala-galanya kita niagakan (seperti dan termasuk agama, bahasa dan lain-lain) tunggulah saat kemusnahan total kita.

    Apakah usaha kita?

    Katakanlah secara berterusan bahawa tikus tidak diperlukan di dalam institusi..

    Kita perlukan para pemimpin yang insaf bahawa amanah kepimpinan mereka bakal disoal apabila kita semua kembali..

    Wallahukalam..

  1. Anonymous

    sdra dilaga
    Ooooo, baru faham. Terima kasih.
    Dan sebenarnya saya dah faham perangai yang ada dalam mana-mana institusi, hatta kementerian pun. banyak bodek wangkang, banyak ampu jolok.
    maaf kerana saya sering komen ITNM. bukan apa saya lihat ITNM ni agak lain sikit. tapi mungkin tafsiran saya terhadap pengarah urusannya tak berapa betul. apapun saya hormatinya.

    tak apa, saya amat setuju komen sdra. saya dapat agak sdra ni siapa.hanya sanya kita mahu martabat sesuatu yang hak itu menjadi haknya.
    salam
    azizi abdullah

  1. saleeh rahamad

    awatlah cikgu susah sangat nak faham cerita dilaga tu.. saya pun tak faham asalnya haha.
    apa pun saya menyanjung kecergasan dan kecerdasan ITNM sekarang. tahniah kepada pengurusnya dan kakitangannya juga yang cemerlang. moga organisasi lain pun sehebat itu kalau tak lebih pun. inilah kesan daripada pemilihan orang yang tepat untuk kedudukan tertentu.