Sang Wahabi Mencari Tuhan

Posted by Tukya Labels:

Cerpen; Mula tulis 23hb November 2009 3 ptg

-Azizi Hj.Abdullah



(Cerpen ini tersiar di Mingguan Malaysia 13 Disember 2009)


Sangat pantas orang menuduhnya Wahabi. Tapi dia tidak peduli. “Kalau nak bercakap tentang Tuhan, mana tauliahnya?” tanya orang masjidnya.

Puncanya sejak dia balik dari di Mesir dan Jordan. Orang hairan kerana dia solat tak baca Qunut dan tidak pula buat tahlil. Yang lebih menjadi masyarakat mesjid marah, dia tak mau pakai sifat dua puluh. Yang peliknya orang menuduh dia ke Mesir bukan belajar sangat tentang agama tapi belajar main biola kepada murid penyanyi Abdul Wahab. Kerana itu ke mana-mana saja dia bawa biola, malah ke masjid pun dibawanya biola. Dia gesek biola belakang masjid. Bermula dari situlah dia digelar Wahabi- Sang Wahabi.

Dia tergelak sampai terkencing cerit-cerit.

Dia kurus melengking macam tempinis tercacak dalam paya, kulitnya hitam. Kalau pakai jubah putih, serban putih berketayap merah, nampak macam orang Sudan cari bini hilang. Linglong sana, linglong sini.

Dia mahu satu pendekatan majhu mengajak masyarakatnya mencari Tuhan dan ingin berdakwah, berceramah bersama gesekan biolanya, sama ada di masjid atau di terus masuk ke dalam rimba. Dia ingin mengajak jemaah berbincang, bukan tunduk mendengar bacaan kitab. Dia tidak mahu masyarakatnya mentahqikkan keujudan Tuhan dengan akta dan syeksen.

Dia tidak mahu lagi berkisar hanya perkara sunat. Dia tidak mahu berlarutan membahas Muktazilah, membahas Jabariah, bertegang urat tentang Wahabi tapi sekaligus menolak ulama-ulama lain. Ada yang mencari Tuhan secara taklid bukan mengkaji. Itulah yang hendak dibetulkan.

Pak Mat Siak di antara orang yang tidak respon pun. Telinga kanannya tetap pekak.

Kalau boleh dia mahu hentikan perbalahan tentang mazhab kewujudan Tuhan, tentang qadim dan azali Tuhan, tentang qodo qadar Tuhan. Dia mahu hentikan soal sunat muakad dan sunat haiat.

Dia tidak mahu lagi para tuan guru menambah pahala-pahala sunat, memanjang soal haram makruh, mengabaikan janji hanya dengan kalimah Insyaallah. Tuan guru bukan penyukat iman.

“Nak ke mana?” tanya Pak Mat Siak petang itu bila dia memberi tahu dia tidak lagi mahu menggesek biola di belakang masjid. Ketika itu Pak Mat Siak yang pekak telinga kanan sedang melipat sejadah selepas solat asar. Sudah 71 tahun.

“Nak cari Tuhan!”
Pekak Pak Mat tidak memberi apa-apa riaksi.
“Saya mahu cari tuhan di tempat lain!” ulanginya.
“Kenapa?”

Dia tak menjawab pun. Dia balik ke rumah usang peninggalan ibubapanya yang dilanda Thunami dulu. Esok selepas subuh di masjid dia akan berangkat. Dia mahu memeram lena semau-mau. Tapi tanpa disedari, lenanya telah membawa dia meredah rimba malam. Dia mula sesat dalam gelap.

Anih, tidak ada siapa pun yang mengganggu. Ada asap putih berat, mengangkat diri sendiri dan hilang tak semena-mena. Kehijauan pokok sangat mententeramkan. Ada curam sungai yang air jernih mengalir. Berjajaran pokok-pokok tinggi seperti memagari tebing. Di sekitar agak lapang dengan pokok-pokok balak dan sedikit semak rotan dan akar-akar tempat kera lutung bergayutan.

Ketika itulah dia sudah terhibur dengan muzik alam; kicau burung dan unggas. Bunyi tamparan dedaun dan geselan batang-batang pokok buluh dan ranting sangat mengasyikan. Dia mula membaca matematik jengkauan pacat-pacat dan batang-batang balak, menulis note muzik dedaunan, melakar lukisan kulit-kulit pokok dan bernyanyi bersama deru angin rimba.

Dimemulakanlah gesekan biola tuanya. Dia ingin benar-benar mencari Tuhan tanpa membawa kitab-kitab yang sudah lama menjadi krisis ulama.

Hari itu cuaca sangat lembab. Embun semalam masih belum kering lantara matahari di puncak gunung dilindungi awan gemawan dan kabus tebal.

Wahab pun melakukan relaksi untuk menghilangkan rasa lelah dan jenuh setelah lenguh menyenget dagu dan bahu diperut biola. Mulanya dia membiar telinganya dimasuki bunyi geselan batang buluh lemang di tepi curam turun ke sungai. Bunyi geselan itu sangat menakjubkan. Kemudiannya dia menggesek biolanya dan dia mendengar sendiri gesekan itu. Dia tidak mahu terpengaruh dengan Bach, dengan Schubert, dengan Mozart, Chopin, Brahme, Strauss. Cuma dia membiar pancainderanya menghirup bunyi sungai yang mengalir air di bawah curam dengan bisikan irama The Bluee Danube.

Subhanallah...lalu dia terbisik sendiri. Gesekannya rupa-rupanya tidak sia-sia. Memang benar dia tidak sia-sia mencari Tuhan. Dengan seluruh perasaannya dia menolak dan menarik tali biolanya dengan jari terketar-ketar, menggeletar, dengan siku menyiku dan apitan bahu dengan dagu. Dia telah membentuk rasa dan jiwanya sendiri. Dirasanya ada semacam perasaan yang kian menjelma halus, melalui gesekan.

Apakah dia sudah hampir dengan Tuhan?

Dia tidak tahu tetapi terasa ada satu nikmat yang terkulum. Beberapa ekur punai tanah nampak terbang dan hinggap di ranting kecil, kemudian turun ke tanah, menapak satu-satu dengan terpesona.

‘Subhanallah...’ bisiknya. Terlupa ia akan tuduhan Wahabi hanya sanya kerana dia tidak baca Qunut.

Kali ini dia mahu meleburkan keindahan alam dan Tuhan menjadi satu: Wahdaul wujud, dalam satu perasaanya yang komplek dalam dirinya. Begitu dia menggesek dalam suasana bening sepi itu.

Sangat sulit hendak digambarkan, jika Pak Mat Siak pekak telinga kanan ada di sisinya. Tetapi apapun dia sudah dapat merasa adanya Tuhan di hadapannya, sedang menyaksikan satu ketauhidannya. Rasa-rasanya dia semakin berjaya mengenal Tuhan melalui muziknya.

Apakah dia ‘riligius?’ yang mengenal Tuhan? Hahhh, soal bentuk dan zat Tuhan bukan persoalan penting tetapi mengakui dengan nekad dan sesungguhnya itulah sangat penting. Bukan soal Jabariah lagi, bukan soal Muktazilah lagi, bukan soal Ahlussunnah juga. Maturidi, Asy’ari, Ibnu Arabi atau Hallaj bukan persoalan. Yang penting dia semakin merasai dari muzik yang bersih heningnya.

Konsepsi hubungan alam, musik dan Tuhan akan muncul dalam fikirannya nanti. Dia yakin wujudnya Tuhan dalam dirinya.

Tapi apapun, dia tetap yakin bahawa keindahan itu dapat dirasakan melalui muzik, sama seperti keindahan itu dapat dirasakan melalui penglihatan, dirasakan melalui pendengaran dan semunya ciptaan Tuhan. Dia teringat ayat 190-191 surah Al Imran: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang mempunyai fikiran, iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau maka hindarkanlah kami dari siksa api neraka.”

Dia meneruskan menggesek lagi dengan takun dalam keadaan fana, zauq dan pasrah. Sewakytu menghirup teh misai kucing yang tak bergula itu, terdengar burung hantu sahut menyahut. Dia meneliang kepalanya. Yang pelik bukan sahut menyahut, tetapi seni bunyi susara itu menyebabkan suara itu bersahutan. Ada bunyi desir daun-daun dari pokok tinggi yang dikocak angin. Memang bunyi menderu yang menggerunkan. Tetapi ketakutannya timbul adalah kerana kedahsyatan hambatan angin dari gunung, menerkam dan menghinggut lembut dedaun sehingga desirnya membangkit satu macam perasaan makhluk lain.

‘Subhanallah...’

Tiba-tiba dia teringat pada satu malam Tuan Guru Syaikh Akhbar, guru bulanan masjid, membaca kitab tentang zat Rabbul Jalil. Bab-bab Uluhiah, bab Rububiah. Kemudian tak semena-mena Tuan Guru itu membeluk bacaannya. Ia menyindir secara tidak langsung kononnya tak bau syurga mereka yang main musik, apa lagi sampai membawa benda maksiat itu ke masjid.

Memang pun pada satu petang, selepas asar dia menggesek biolanya di sebuah bangku belakang masjid, berhampiran kubur pula bersama Pak Mat Siak pekak telinga kanan.

“ Mereka asyik dan lagho. Asyik dan lagho itu sahabat syaitan.” demikian hujah Tuan Guru itu.

Jauh di sudut hatinya dia sangat-sangat berharap orang seperti Tuan Guru itu perlu keterbukaan minda. Ketika di Banjarmasin dulu dia berhadapan dengan golongan yang berpegang kepada pasifis dan philantropis. Dan dia sangat terbuka dengan soal-soal ini. Maka dia pun mencari guru yang mampu menghuraikannya, di samping mengusung biola buruknya dalam pra mencari Tuhan. Seorang guru falsafah memberitahu, bahawa terminologi pasifis berarti cinta damai. Tidak ada manusia berfikiran normal yang tidak cinta damai. Terutama di saat begitu banyak kekerasan dan permusuhan ditampilkan dan dikedepankan.

“Engkau carilah Tuhan. Ia dalam kelembutan, ia dalam kemanusiaan dan ia dalam keindahan,” kata guru falsafah berjanggut itu.

“Kemanusiaan?” tanyanya kembali tetapi biolanya dipeluk erat Habuk putih bertaburan di perut biolanya. Semakin di gesek, semakin dekat rasanya dengan Tuhan. Semakin di gesek dengan penuh asyik dan fana, terasa akrab Tuhan semakin menjadi. Maka diberkas kukuhlah taqarubnya setiap kali jejarinya mengeding melentik dan mengedik-ngedik di leher biolanya itu. Dia sangat memelihara gripnya.

Tiba-tiba dia berhenti menggesek. Dia ingin memberi hormat seperti berada di tengah persembahan harmoni dari okestra yang sangat mempersona. Terdengar bunyi gesekan meneru-neru, berderau-derau, berkecipak berderum-derum. Kelepak-kelepak, prap-prap-prap dan kemudiannya menderu menderum lagi.

Lalu dia memfanakan dirinya. Melepas perasaannya dari tambatan segala macam ikatan aqaid dan akhirnya dia terjelepok fana.

Maha Suci Tuhan. Geselan itu mengeluarkan bunyi yang indah. Subhanallah, Walhamdulillah, Walaila ha illallah.

Kemudian disambut oleh kecipak daun-daun dari dahan dan ranting pokok banir. Daun-daun itu bertamparan sesama sendiri, tanpa cemburu dan sakit hati. Mereka menceding-ceding, mengedik dan menampar-nampar dan kemudiannya ada yang beralah, melayah turun dari tangkainya, melayang-layang dan menghanyutkan sehelai bersama air yang mengalir tenang. Maka daun itupun membiarkan hanyutan helainya. Terombang ambing ke kiri ke kanan. Tertampan tersangkut dan kemudiannya meluncur. Bunyi mengalirnya sangat damai. Beriringan, berkelocak lembut sampaikan tidak jemu mendengarnya.

‘Subhanallah....’

Digeseknya pula berkali-kali. Menarik menolak dengan dagu terkial-kial, mulut terherot-herot. Bahu kanannya melonjak bagaikan bonggol kecil. Rasa-rasanya dia sangat taqarrub dengan Rab. Dia pun menelaah Rubbubiah. Menyusul pula pertumbuhan rasa dan zauqnya seperti kanak-kanak normal. Dirunutnya sungguh-sungguh. Terasa seperti ibunya bersenandung mesra. Terasa seperti seorang perempuan Paulina Koch yang mengajar Einstein menggesek biola di hadapannya.

Rasa-rasanya selesai sudah ia mencari Tuhan, merafak rasa lalu bertaqarrub. Yang menjadi persoalan sekarang, bagaimana ia hendak membawa balik bunyi rasa yang penuh muhibbah itu untuk memberitahu masyarakat daerahnya bahawa, kita terlalu lama rugi mempersoalkan hal-hal kecil.

Apakah mereka mahu terima kalau diberitahu tentang Einstein menemui Tuhan. Apakah mereka mahu terima tentang Aristotle, Plato, Kant, Socrates, Pythagoras, Confucius, Lao Tze atau Budha, bagaimana mereka mencari Tuhan? Bagaimana mereka yang menemui Tuhan melalui musik, filsafat, sains?

Anih, kebanyakan masyarakatnya hanya tahu Lailahaillallah tetapi tidak menemui Tuhan di dalamnya., seperti juga mereka berkata Muhamad Rasulullah tetapi tidak tahu fungsi sunnahnya. Bagaimana kalau pulang nanti dia berkata dia sudah menemui Tuhan lewat muzik alam rimba yang anih, seperti Al Hallaj mengakui Tuhan ada di dalam bajunya, seperti Hamzah Fansuri menemui Tuhan di dalam rumahnya?

“Hahhhh!” tiba-tiba dia terkejut. Ada sesuatu yang mengejutkannya. Maka dibacalah dengan lancar doa bangun tidur seperti yang di ajar oleh Rasulullah: “Alhamdulillahilllazi, Ahyana, Ba’da Ma Amatana Wa illahin nusyur.”

Dia sebenarnya sangat terlewat bangun. Selesai mandi dan berwuduk, dia bergegas ke masjid sambil mengilik biola buruknya. Niatnya, akan digesek semula biolanya di belakang masjid ketika siak menyapu sampah atau sesudah dia juga membersihkan tandas masjid atau selepas solat dhuha.

Dan memangpun terlewat. Tak sempat masbuk. Sebaik saja Takbirratul ehram, imam pun memberi salam. Selepas wirid dan doa, semua jemaah beredar. Masjid tinggal lengang kecuali siak yang pekak telinga kanannya saja.

“ Pak Mat,” panggilnya ketika duduk di kerusi simen hadiah dari Majlis Bandaran, di bangsal belakang.

Pak Mat, siak tua yang baru memegang penyapu hendak menyapu lantai berpaling kepadanya. Kebetulan panggilannya di sebelah kiri.

“Saya dah jumpa Tuhan. Kali ni saya nak beritahu semua. Tuhan kita satu!” katanya dengan nada seperti biasa.

Siak Pak Mat memang bebal orangnya. Apapun diberitahu, walaupun dia tidak dengar, dia tetap angguk.

“Pak Mat faham?”
Siak tua yang pekak itu mengangguk-ngangguk.
“Pak Mat selalu jumpa Tuhan?”
Pak Mat siak tua itu menangguk-ngangguk.
“Baguslah. Malam ni saya nak ajar semua jemaah. Saya nak beritahu saya jumpa Tuhan.”
Siak tua itu angguk-angguk juga.
“Pak Mat faham?”
Anggul-angguk juga.
“Saya nak ajar melalui main biola. Saya nak beritahu mengenal Tuhan melalui muzik, faham?”

Pak Mat tetap mengangguk. Tapi kemudiannya Pak Mat meneliang mukanya, meletak tapak tangan ke telinga kanannya. “Apa ? Kau kata apa tadi?” tanyannya dengan kuat.

“Laaa...Astaghfirullahal azim,” dia beristighfar kerana sangkanya Pak Mat sudah dengar semuanya.

“ Maaflah, dua tiga hari ni telinga Pak Mat semakin tersumbat,” kemudian dia beredar.

“Laa...” dan kemudian Sang Wahabi pun menggesek biolanya perlahan-lahan.


SELESAI.
-----------------------------------------------------------------------------------------
Selesai menulis 245hb Nov 2009 11;50 pagi di CAP

18 comments:

  1. Abi Qalam

    Salam Tukya,

    Saya suka sungguh karya ini, mengingatkan saya tentang pengalaman ayah saya sendiri yang juga penggesek biola dan menemui makrifat melaluinya, melalui nyanyian 'Ilahi antal ma'sudi wa redhoKa Mathlubi, A'tini mahabbataKa wa ma'firataK' dibawah bimbingan murshidnya Syaikh Ismail.

    Tetapi izinkan saya Tukya untuk mendalami isu yang diketengahkan Tukya ini. Bagi saya yang membaca karya ini, saya dapat lihat ada 2 kutub yang disatukan, sangat bertentangan sifat antara duanya iaitu gambaran terhadap yang di-cop Wahabi dan satu lagi Faqir yang Majzub dari istilah tasawwufnya.
    Kedua bertentangan kerana hakikat sifat-sifat yang di-cop sebagai Wahabi itu sendiri menentang akan wujudnya konsep Wahdatul Wujud(istilah yang difahami Wahabi sebagai Syirk) mahupun Wahdatus Syuhud( istilah tasawwuf yang sebenarnya), kemudian Wahabi sentiasa bersikap Ultra dalam menentang muzik, apatah lagi biola.

    Namun apa yang jelas pada saya karya Tukya kali ini saya faham sebagai karya Tasawwuf yang tinggi nilainya. Kerana batin karya ini ialah perjuangan Wahab untuk membebaskan dari kekangan konsep, prinsip dan budaya untuk bermusyahadah akan tuhan, bagi mencapai Ainul Yaqin. Dan ini adalah sangat jelas ciri-ciri salik yang majzub.

    WaLlahu a'lam.. maaf tukya, ini hanya pendapat budak-budak sekolah atap..

    Salam Tukya..

  1. aslina_bidadari

    Salam Tukya,
    Saya setuju dengan Abi Qalam. Sedikit penambahan, setelah selesai membaca karya Tukya tempohari bagi saya karya ini sedikit keliru. Wahabi sedikit pun tidak akan mengizinkan kita mendekatkan diri kita dengan Tuhan melalui peralatan Muzik apatah lagi yang bergesek dan bertali. Itu ahli maksiat kata mereka dan muzik itu haram bagi mereka. Jadi mana mungkin sang Wahabi menggesek biola...Kecuali dia mengubah pegangannya.

  1. Tranungdaily

    Salam,

    Menarik sangat. Saya suka novel2 tuan. Antara yg terkesan kpd jiwa saya ialah karya "Ayahanda".

    Buat Aslina, saya rasa ada kekeliruan terhadap pemahaman pegangan wahabi. Mereka yg mendakwa diri sebagai salafi sebenarnya memang agak terbuka dlm soal muzik. Sila teliti tulisan Hamka, ibnul qayyim dll. Dlm bab lain dari ibadah khusus, salafi @ wahabi di mata sesetengah org sangat terbuka. Yang agak keras dgn alat2 muzik ialah yg byk berpegang kpd kitab2 yg diajar di pondok2.

    Malangnya di Malaysia tidak byk pendedahan sebenar apa itu salafi tulin dan apa itu salafi jadian. Yg bawa pendapat syadid(keras)itu, merupakan salafi jadian. Sesiapa yg mengkaji tulisan Syeikh Abdul Qadir al mandili al andunisi dlm kitab Perisai Bagi sekalian Mukallaf akan menyedari perbezaan antara salafi tulin dan yg jadian. Byk kekeliruan dlm isu furu' akidah...

  1. Tranungdaily

    Tambahan buat Aslina,
    Pak Hamka sendiri meminati Mozart sedangkan beliau antara pendokong besar muhammadiyyah(dikenali sebagai wahabi di malaysia).

    al faqir ilallah,
    Sunni

  1. Abi Qalam

    Salam,

    Syaikh Abdul Qadir AL Mandili semasa hayatnya pernah mengajar Sifat 20 dan mengarang Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar al-Asy’ari [pelopor fahaman Wahabi di Perlis]..
    Banyak Tok-tok guru pondok yang menadah kitab dengan beliau di Makkah.

  1. Anonymous

    Sdra,
    Terima kasih di atas komentar anda. Ternyata pengetahuan anda tinggi dan memiliki pemikiran terbuka.Saya terhutang idea kepada anda. Input sangat baik. Abi Qalam bagi saya mempunyai ilmu yang dalam tentang seni dalam keTuhanan. Tak terdaya saya nak kejar.
    Cuma diharap, jangan lihat tentang nama Wahabi. Itu hanya sebagai pembuka perbincangan. Yang penting lontaran, apakah dengan seni musik manusia boleh mengenali Tuhannya?Dalam kristian sudah banyak dibicarakan. Dalam Islam, anda sudah dapat membahaskannya.Bukan soal kebenaran lontaran idea cerpen ini, tapi bolehkah?
    Salam- azizi hj abdullah

  1. Panglima Perang Cyber

    saya nampak kekusutan yang berjaya dizahirkan dalam cerpen tukya yang tajam dan keras kata-katanya itu.

    kekusutan umat hasil kekusutan hati hati yang kosong dari sinaran cahaya iman.

    walau ilmu sudah tinggi melangit.

    saya harap versi sambungan cerpen ini akan muncul..

    dengan lebih segar dan jelas sambungannnya.

  1. Abi Qalam

    Salam Tukya dan semua,

    Maafkan saya, saya ni betui tak mahir bab ketuhanan, yang saya cakap tu adalah yang saya dengaq tok-tok guru dok cakap saja, baru dok merangkak-rangkak meraba-raba mencari jalan menujuNya.

    Dari sudut Fiqh , saya pun tak tau nak jawab lagu mana soalan Tukya tu sebab tak mahir dalam fiqh. Tapi saya dengar kata-kata hikmah ' Jalan menujuNya itu sebanyak nafas makhluq'..

    Cuma mungkin saya boleh kongsi cerita, tapi panjang sikitlah kalau Tukya dan yang lain-lain sanggup baca..

    Saya dulu dalam kategori keras.. sikit-sikit haram sikit-sikit sesat, bidaah dan sebagainya, sebut sufi ka tariqat ka automatik teringat ajaran sesat macam guru Yahya dalam TV.. yang dok Hoy..Hoy Hoy..

    Cuma sampai satu malam, tengah dok rilek pejam mata nak tidoq, dengaq pulak radio yang kawan main punya lah kuat.. haram sungguh!!, kemudian terdengaq satu lagu yang bunyinya..

    Dengan bahasa.. kalimah yang sama
    Puji dan memuja.. dilindung dan dibuka.. rahsia kan tetap rahsia..

    Indah bukan rupa .. harum bukan bunga.. manis bukan gula.. panas bukannya bara.. cintakan tetap cinta..


    Masa tu jadi tak torah, berpinaq dan ketaq satu badan tenggelam dalam lagu tu.. bila sampai

    Gelap bukan malam, terang bukan siang.. satu tak terbilang, hanyut tak terenang.. waktu tak terasa.. rindu tak terkata.. asyiknya cinta..

    Saya rasa cahaya terlampau silau dalam pejam yang merenjat satu badan sampai terkencing! Malam tu terlena dalam ayaq kencing sendiri..

    Lepas tu baru dapat tau yang lagunya 'Asyik' dari Damasutra. Aii, power sungguh lagu rock ni. Lagi power dari nasyid!

    Mungkin Tuhan nak ketuk hati saya yang ego tinggit malangit agaknya.. anggap diri sendiri terlalu baik, padahal zahir sahaja.. hati busuk macam bangkai!

    Masa tu lah, alhamduliLlah.. baru terbukak hati nak telusuri jalan ini. Dan, lebih mengejutkan, rupanya RAMAI yang saya pandang rendah sebelumnya adalah ahli ma'rifah.. SubhanaLlah..

    Saya sebelumnya, tak suka zikir kalau lepas solat di surau yang ayah selalu jadi imam. Sebab, saya malu.. ayah selalu zikir kuat bukan main dengan kepala pusing kiri kanan.. Saya komplen kat ayah, awat kuat sangat, macam kena rasuk, tak rasa malu ka.. dia jawab,"Ai, nak sebut nama Tuhan pun nak malu ka?" Saya rasa macam kena penampaq bodo! Baru tau yang saya ni sangat bodo!

  1. Anonymous

    Saudara Abi Qalam

    Ha...ha...haa....bedengung.

  1. Ibnu Anas Al-Kutawi al-Kalantani

    Assalamualaikum.

    Ana ingin menegur sedikit saudara di mana saudara tidak memahamkan pembaca beberapa soal agama secara rinci sehingga boleh menyebabkan kebingungan dan salah faham dalam kalangan pembaca. Wahabi dan wahdatul wujud adalah satu perkara yang amat jauh. Kedua, muzik. Ulama yang digelarkan sebagai Wahabi ramainya amat keras dalam menentang muzik bahkan walau sekadar nyanyian sekalipun. Ini bukan pendapat golongan Wahabi sebenarnya, tetapi ulama Salaf. Sila rujuk kata-kata ulama salaf yang dipetik dalam kitab Ihya' Imam Ghazali meskipun Imam Ghazali merupakan tokoh yang terkenal memharuskan nyanyian. Hujah yang diberikan oleh Wahabi antaranya kata-kata para sahabat sendiri selain hadis Nabi SAW.

    Ketiga, tasawwuf tidak ditentang oleh Wahabi. Yang ditentang hanyalah tasawwuf yang sudah bercampur dengan perkara-perkara yang dianggap bid'ah oleh mereka. Tidakkah kalau kita mengkaji kebanyakan pengikut tarekat melakukan perkara-perkara yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi SAW dalam beribadat dan beragama atau 'mencari Tuhan' seperti kata saudara? Selain itu, banyak unsur-unsur Syiah, mujassimah, musyabbihah, dan wahdatul wujud masuk ke dalam tasawwuf sehingga menggugat akidah pengikutnya. Telitilah karya-karya ulama dalam menghukum tasawwuf seperti Imam Ghazali dan Ibnu Taimiyah rahimahumallah dalam menentang golongan batiniyyah. Bagaimana kalau dengan karya ini orang awam mengambil keputusan mudah untuk menceburi tasawwuf bi'die hasil tulisan saudara?

    Keempat, melalui satu sudut pandangan lagi ana rasa saudara ingin menyindir Wahabi secara senyap-senyap. Banyak fakta yang bertentangan dengan realiti yang berlaku di Malaysia dengan cerpen saudara yang menjatuhkan maruah Wahabi. Tidakkah kita pernah dengar bahawa Syeikh Qardhawi pun digelarkan Wahabi?

    Wassalamualaikum...
    Ana pun penulis cerpen seperti saudara

  1. Anonymous

    Sdra Ibnu Anas Al-Kutawi al-Kalantani.
    Terima kasih kerana melontarkan hujah berdasarkan cerpen SWMT.
    Sebuah hasil kreatif ia bukan matematik, yakni 2x5=10. ia juga bukan sebuah kitab usuluddin atau usul fiq.
    Ia sebuah cerita yang mengandungi idea dll. jadi apabila sdra mempertikaikan isi cerpen ini sebagai sebuah kitab, ia tak akan ketemu hasilnya.
    Hasilnya yang sebenar ialah pertikaian sdra, polimik dan kritikan atau percambahan idea itu sendiri.
    Bagi saya, apabila ada pembaca yang mempertikaikan lontaran idea ini,bererti sampailah maksud saya menulis untuk melihat sejauh mana korek dan selidik kaji pembaca.
    Jika sdra kata tak ada kalangan itu menentang muzik, dan kalangan ini menyukai muzik dan jika anda kata cerpen ini menyindir Wahabi, lhohhh, saya sangat gembira kerana ia sudah membuka jalan berfikir dan berpolimik.
    Ambillah yang betul kerana kreatif bukan hukum.
    Salam.
    dari azizi hj abdullah

  1. santalia

    Salam. Ramai penentang fahaman golongan yang ingin mengembalikan kesucian Islam (Wahabi) daripada perkara bidaah dan khurafat. Di negara kita golongan yang sangat takut kepada kebangkitan ini ialah mereka yang tergolong di kalangan tokoh-tokoh dan penguasa agama. Tahun ini kerajaan telah memilih tokoh Wahabi yang sangat mereka takuti Dr. Yusof AlQardawi sebagai tokoh Maal Hijrah. Apa komen mereka agaknya. Beranikah mereka menyesatkan Dr Yusof sebagaimana mereka menyesatkan seorang ilmuan Islam Malaysia yang mereka labelkan sebagai tokoh Wahabi?

  1. Abi Qalam

    Salam Tukya..

    Rasa gatai nak tambah pulak.. boleh ka?

    Saya dapat rasakan betapa ramai yang 'terhantuk dindin' dengan lontaran Tukya melalui cerpen ini.. untuk itu saya ucapkan tahniah.

    Dan izinkan saya dalamkan selak kaji terhadap unsur-unsur dalam cerpen ini yang sangat kurang disenangi. (sungguh pun saya sangat sedar karekter ini adalah rekaan penulis, tetapi hakikatnya Allah juga menggerakkannya..)

    Dari sudut positif, saya memandang karekter Wahab sebagai salik yang Majzub. Didalam tasawwuf, terkenal akan Dua jalan menujuNya, pertama adalah kaedah formal latihan ilmu tasawwuf secara sistematik yang dinamakan TARIQAH, manakala yang kedua adalah anugerah Allah kepada hambanya dengan jalan Mazjub, yakni diangkat oleh Allah dalam Jazbah ketuhanan (iaitu mengalami pengalaman rohani mengenai bab-bab ketuhanan).. ni yang tok-tok guru habaqlaa..

    dan tok-tok guru yang arifbiLlah juga mengkhabarkan, bagi yang ditarik secara langsung kedalam Jazbah ketuhanan, maka mereka 'MERASAI' kehancuran selain yang Wujud Mutlak, iaitu Allah SWT, pengalaman inilah yang digelar 'Wahdatul Wujud'. Bukan yang macam hangpa pikiaq tu.. bersatu dgn tuhan laa.. tu yang sesat.. sesat.. padahal tak tau.. 'Wahdatul Wujud' bukan konsep mahupun ilmu jadi tak boleh belajar.. ianya adalah pengalaman yang dirasai.. Macam makan sireh rasa pedaq, makan garam rasa masin..

    Tapi, tok-tok guru arifbiLlah juga mengkhabarkan, apabila kembali kesedaran terhadap 'alam, maka pengalaman itu difahami sebagai 'Wahdatus Syuhud' atau Tauhid Syuhudi, iaitu tingkat tauhid paling tinggi.. nilah yang digelar haqqul yaqin, dan diisyaratkan oleh RasuluLlah melalui hadith terkenal 'Apa itu Ihsan, Ihsan itu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya' Hadith 40 imam nawawi no 2..
    Musykilnya, Wahab menolak sifat 20.. kenapa? Kerana inilah sifat-sifat ahli Majzub, mereka tidak berkehendak ilmu apa pun, kerna dibimbing langsung dari Allah. Padahal, ilmu sifat 20 adalah ilmu asas usuluddin yang diperlukan oleh salik (pengembara kerohanian) melalui jalan tariqat. Kenapa perlu ilmu tauhid ini? Tok-tok guru arifbiLlah menyatakan tanpa asas tauhid yang kuat, amat mudah salik ditipu dlm pengembaraan kerohanian mereka, bahkan Sultan para Wali, Syaikh Qadir al Jilani juga pernah cuba ditipu oleh suara Iblis yg nak menyamar sebagai tuhan..
    Sambung

  1. Abi Qalam

    Sambungan dari atas.. (panjang ni Tukya..)

    Maka bergunanya formula Wujud Qidam Baqa dan seturusnya dan perbahasan sifat-sifat Nafsiyyah, Salbiyyah dan Maani ialah untuk merealisasikan Laa ilaha illaLlah, iaitu nafi isbat. Nafi yaini menidakkan yang selain dari yang wujud mutlak, iaitu sekalian perkara baharu yang berupa jisim aradh jauhar dan yang takluk pada masa dan tempat. Maka barulah si Salik lancar dalam mendaki maqam2 kerohanian, kalau tak, nampak cahaya sikit dah sangka tuhan.. tak ke haru??

    Ok, berbalik semula pada karekter Wahab, tok-tok guru arifbiLlah juga menyatakan yang ahli Majzub macam Wahab ni, tak boleh menuntun dan mengajarkan apa yang didapati secara rohaninya, sebab apa? Sebab pengalaman rohaninya bukan berbentuk ilmu, tetapi berbentuk pengalaman yang tidak boleh digambarkan secara tepat melalui tulisan dan tutur perkataan. Terkecuali jika mereka ini kembali melalui jalan menujuNya secara sistematik dibawah bimbingan murshid yang arifbiLlah, dengan cara ini barulah mereka mahir dengan istilah-istilah dan kemahiran-kemahiran lain didalam melatih hati.

    Nasib baik la Pak Mat tu pekak, kalau tak berulah berdengung.. hahaha

    Salam Tukya
    p/s- Yang saya tulis tu semua didalam ilmu tok-tok guru pondok kita.. cuma kita yang pemalaih dan sombong nak belajar.. Macam saya!

  1. Anonymous

    sdra Abi Qalam,
    Terima kasih kerana menjelaskan dari sudut tasauf.
    Memang kalau kita ambil jalan ini, ia sangat nyata. Saya yang menulis, akan jadi egolah kalau meminta pembaca; sila buka bab ini, sila buka kitab itu. Itu didaktik namanya.
    Saya tak banyak baca bab tasauf, tapi Abi Qalam nampaknya mendalam.
    Cuma satu sahaja yang saya KURANG setuju,katanya:SIFAT 20 ILMU ASAS USULUDDIN YANG DIPERLUKAN OLEH SALIK MELALUI JALAN TARIQAT.
    Bagi saya, sifat 20 hanyalah satu disiplin ilmu dari ulamak usuluddin untuk memudahkan memahaminya. Kerana disiplin ilmu, maka sebab itu ada pula kaedah lain belajar ilmu ini, tidak hanya dengan mengenali sifat 20.
    Ini pandangan saya, apapun ilmu itu baik dan manfaat.
    Terima kasih Abi Qalam.
    -azizi abdullah

  1. Abi Qalam

    Salam Tukya,

    Terima kasih,
    Saya hormat pendapat Tukya, mungkin saya bersikap ditaktik berkenaan kekerasan kenyataan yang saya tulis tentang kaedah ilmu tauhid melalui formula Sifat 20(Ash'ariyyah).

    Tapi ini hanya kerana saya baru mengecapi rahsia keanggunan ilmu sifat 20 itu sendiri. Dan pada saya, Ulama' yang menyusunnya adalah Ahli hakikat.. Namun, apapun kaedah tauhid yang dipegang selagi mana menepati kaedah Jumhur seperti Maturidiy, Tahawiyyah ataupun Athariyyah, maka perlulah kita terima dengan molek.
    Yang kita TENTANG adalah kaedah Tauhid yang SYAZ, membawa kepada penisbahan Allah kepada Jisim atau Aradh atau Jauhar langsung takluk pada tempat dan masa. Sebab, tauhid jenis ini tidak membawa manfaat dalam alam rohani dan dari syar'iy, sepanjang jalan boleh kena tipu, Allahua'lam.

    Salam Tukya

  1. Shakur

    Salaam,

    camno Pak Azizi, Dr Hamka walaupun kaum muda tapi menerima tasawuf, masih lagi menyelusuri kata-kata ahli-ahli sufi hatta Abu Yazid Bustami yang sangat diantikan oleh kaum wahabi tu.

    Dr Hamka fahamannya harmoni dan bukannya nak menjatuhkan org lain.

    org tajdid muda ni dah kena tangkap baru nak sebut nama Dr Hamka. kalau betullah dia perangai macam Dr Hamka, saya sangat pasti tak ada sebab satu negeri pun untuk tak terima dia.

    Kata Dr Hamka "supaya kita dapat rasa sedikit apa yang dirasakan oleh ahli2 tasawuf ini".

    Wahabi totok yg saya faham, tak ada istilah "mencari" dan "sampai".

    Takut2 ianya sangkaan sahaja, sebenarnya mereka itu tak seperti yg kita sangka.

    wallahua'lam

  1. Anonymous

    shakur,

    tanya abi qalam, kalau fekah tak ada tasuf, macam mana?

    orang sekarang memang berilmu, tapi akan jadi melalut jika tak ada tasuf.
    tanya abi qalam, saya sendiri pun jahil tentang ini.
    apapun biarlah tasauf ada dalam fiq, jika tidak dia akan jadi pandai kalam saja. tak warak.
    salam
    azizi