Seorang Melayu Di Tengah Bandaraya

Posted by Tukya Labels:

-Azizi Hj Abdullah


(Cerpen ini tersiar di dalam Dewan Sastera, Disember 2009)

Apabila Sirun mendongak melihat matahari dari lubang-lubang atap zing, matahari tidak nampak. Yang menyilaukan matanya itu ialah cahaya yang terang menembusi lubang-lubang zing buruk itu. Dari pengecaman itulah Sirun dapat mengangak, usia hari baru 8 pagi lebih-lebih sikit.

Menguap dua tiga kali sambil membancuh secawan kopi dengan sebuku roti, sedar tak sedar matahari sudah berubah dari lubang-lubang bumbung zing buruk itu. Mata Sirun tidak berbinau lagi. Yang nampak hanyalah cahaya langit dari lubang-lubang itu.

Di Jalan Dato’ Keramat terdengar deruman kereta sangat jelas. Rumah usang sejak puluhan tahun yang dibeli kemudian dibaiki sekeping demi sekeping papan, kini sudah dikepungi oleh dinding, batu bata, gudang dan kedai. Tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Rumah bumbung panjang dengan sedikit ruang dapur bukanlah besar sangat tetapi Sirun sangat banggsa kerana itulah satu-satunya rumah papan, rumah kayu, rumah beratap zing purba, rumah yang masih mampu menggunakan telaga, masih dapat dipertahankan dalam kawasan bangunan batubata, rumah kedai dan gudang-gudang. Sirun merasa bangga kerana segala-galanya masih mampu dia pertahankan, kecuali satu; dia terpaksa menggunakan tandas curah kerana dia tidak berpeluang lagi menonggek punggung dimana-mana penjuru.

Ramai tuan punya bangunan,rumah kedai dan gudang-gudang merasa hairan, bagaimana Sirun boleh tinggal di atas sekangkang tanah dalam sebuah rumah yang sudah senget, beratap zing berlubang dan berdinding papan itu sedangkan di sekeliling bangunan dan rumah kedai sudah lama memagari kehidupannya. Tempat-tempat lain sudah tidak ada. Mereka menjual tapak rumah mereka dengan harga yang tinggi. Tapi Sirun, yang sudah berusia 78 tahun masih mampu di situ.

Memang sejak asal rumah Sirun seperenggan dengan gudang kilang bijih. Pemisahnya hanya tembuk setinggi tiga meter. Kini gudang bijih yang membuat jongkong itu mula bertukar menjadi tapak komersial dengan bangunan lima tingkat bernama Keramat Times Square, yang tarafnya lebih dari lima bintang.

Sirun apa peduli. Sedikit pun dia tidak dengki , malah dia bangga pula. Pembangunan berlaku di depan kangkangnya. Sebelah depan rumah Sirun ada Mini Kuil Hindu Subramaniam. Dari kepala tangga rumah papannya hanya lima depa. Depan kuil itulah jalan utama bandaraya itu yang senantiasa sebuk. Sirun tidak gaduh pun. Tak ada jalan pun tak apa. Dia cuma keluar dengan basikal buruk.

Di belakang rumah ada gudang besar. Di dalamnya penuh dengan besi-besi buruk, barang terpakai, botol dan tin. Kepala kereta pun ada. Sirun meluat melihat itu. Orang bodoh saja menyimpan besi karat dan botol-botol kosong. Sirun tahu; gudang itu kepunyaan tiga adik beradik dari India yang hampir sama tua dengannya, kecuali abang sulung mereka sudah meninggal dunia.

Di sebelah kiri asalnya tapak sekolah kebangsaan. Sejak Sirun tinggal di situ hampir enam puluh tahun, sekolah itu menempah sejarah yang tersendiri. Pada mulnya ramai pelajar, kemudian apabila bandar berubah menjadi bandaraya, murid-murid Melayu semakin merosot manakala dari kalangan Cina dan India berkurangan. Akhirnya sekolah kebangsaan itu tutup dan tapaknya kini dijadikan pejabat pendidikan.

Sebelah petang Sirun dibingitkan dengan bunyi loceng dari kuil. Di belakang gudang yang menyimpan besi buruk, pukul enam tutup. Di atas tembuk bangunan Times Square itu nampak beberapa ekur tikus merayap melata dengan bebas.

Apa pun Sirun berbangga dengan sejarahnya sendiri. Ketika bekerja di di gudang bijih timah buat jongkong sejak zaman penjajah, yang dulunya bernama Eastern Smelting, lima puluh tahun yang lalu, entah macam mana dia mendapat tawaran dari seorang Benggali, Kumar Sing, kawan baiknya yang tapak rumahnya hendak dijual. Pada mulanya Sirun sangka Kumar Sing melawak sahaja. Tapi Kumar Sing bersungguh kerana kasihan kepadanya sedangkan dia hendak meninggalkan kerja itu.

“Kau bagilah berapa yang kau ada. Itu rumah bukan besar, itu tapak pun bukan besar,” kata Kumar Sing yang berjanggut jambang keputihan itu.

Kerana desakan dan percaya sama percaya, Sirun gagah-gagah beli walaupun duitnya tidak cukup. Bakinya akan dibayar secara ansuran. Ketika Kumar Sing tidak bekerja lagi di kilang bijih itu, Sirun tetap menjelaskan ansurannya. Sebulan selepas berhenti, dia menjelaskan baki dengan wang KWSP.

Kemudiannya bertalu-talulah tawaran demi tawaran dari berbagai pihak menemui Sirun, memintak tapak dan rumah itu dijual saja. Walaupun harganya tinggi tetapi satu pun Sirun tidak terpengaruh. Sirun anggap tapak rumah itulah titik peluhnya dan maruah Melayunya. Akhir sekali datang seorang Cina, katanya tuan punya Keramat Time Square. Tawaran kali ini sangat lumayan. Tapi sayang Sirun tidak terpengaruh juga. Malah Sirun anggap taukeh Cina itu tidak mampu membaca perwatakan Melayunya. Mahu juga dia hendak jerkah kepada taukeh Keramat Time Square yang dia adalah Meyau dan dia sangat bangga dapat tinggal di pusat bandaraya. Mana ada orang Melayu yang mampu tinggal di pusat bandaraya.

Sirun anggap dia sajalah Melayu yang akan hidup dalam apapun keadaan walaupun mengeliat di tengah pusat bandaraya. Biarkan!

Sirun anggap dia sajalah satu-satunya Bumiputera yang tidak termakan pujuk rayu orang asing untuk mengaut kekayaan negerinya. Biarkan!

Sirun anggap inilah saja rumah pusaka, rumah tradisi Melayu yang mesti dipertahankan. Sirun tahu rumah sepertinya tidak ada lagi di bandaraya kalut ini, melainkan rumahnya. Biarkan! Biarkan rumah yang sudah bocor yang berdekatan dengan terbeleduhnya Keramat Times Square. Biarkan rumah senget dari kayu papan yang sudah reput, berada di belakang kuil Hindu Subramaniam. Biarkan berada di belakang gudang besi buruk atau di tepi bangunan lain. Bagi Sirun dia sudah dapat berbangga kerana dialah satu-satunya Melayu yang mampu tinggal di tengah pusat bandaraya, berdekatan dengan projek mewah.

“Jangan ganggu aku. Aku nak hidup mati di tapak rumah ini. Ini rumah pusaka titik peluh aku. Aku nak bagi tahu semua, siapa lagi orang Melayu yang mampu hidup di tengah bandaraya,” katanya kepada anak sulungnya Mohamad Haikal yang berada di Caruk Kudung, Baling.

Bukan saja Sirun menolak pelawaan Mohamad Haikal anaknya itu untuk tinggal di hutan getah bersamanya, malah dia sanggup pula menceraikan isterinya dulu, hanya semata-mata isterinya berdegil tidak mahu tinggal di celah sepitan bangunan-bangunan yang lain.

Tidak ramai yang tahu, malah anaknya Mohamad Haikal sendiri tidak menyedari betapa dia ini seorang nasionalis. Darah keMelayuannya sangat kental tetapi orang juga tidak tahu otaknya sangat bebal. Pemikirannya sama seperti buruknya rumah bumbung limanya. Buah fikirnya sama dengan papan-papan buruk dan kayu tangga yang sudah reput.

Pada satu ketika yang lain, Imam Besar Kuil Subramaniam mendatanginya hendak berunding agar rumah dan tapak sekangkang kera itu dijual saja kepada kuil. Mereka hendak membesarkan lagi rumah ibadat mereka, katanya.

“ Kau mau ligan Melayu yang tinggal di bandar?Ini Melayu tulinlah” begitu dia berkata kepada Imam Besar Kuil Subramaniam.

“ Kau fikir Melayu Sirun ni bodoh?” katanya kepada Ah Fok, tukang emas di Kelawai yang berkali-kali menemuinya minta tapak rumahnya juga di jual.

‘Ini Melayulah. Tak mudah makan pujuk. Tanah bagi orang Melayu ni, adalah maruah, tau tak?” katanya pula kepada seorang pegawai Bandaraya yang juga memujuknya supaya di jual saja.

Sirun bukan tidak sedar ada juga alasan yang menasabah. Buat apa tinggal di celah bangunan tinggi, kalau keadaan rumah jadi macam reban ayam. Untuk apa lagi dipertahan. Tidak ada apa yang boleh dibuat. Jual lebih baik dan duit itu beli saja mana-mana tanah di Baling, di Sik atau beli saja rumah dua tingkat.

‘Pooraaahhhh, ini Sirun. Ini Melayu tulin. Kalau bukan aku, siapa lagi nak pertahan?’ jerkahnya. Tapi jerkahnya hanya kepada budak parking kereta yang minta sebatang rokok daun.

Kemudian budak pariking kereta yang sewel itu pun melompat mabuk ganja lalu menyanyi irama boria pula:

Dengarlah Tuan kami berperi
Maruah bangsa kenalah jaga
Yeeebabbb!
Borialah kami empunyai visi
Pembangunan kita sudah berjaya.
Yeeebabbb!

Lalu mereka pun ketawa. Sirun yang berfikir bebal itu sama sekali tidak sedar, dia sudah mula mendedah kelemahan Melayunya dan menjadikan dirinya seekur ulat Melayu yang terkuik-kuik di tengah daging busuk bandaraya. Dia tidak sedar tindakannya, hanya merupakan air liur saja yang berbuih-buih. Dia tidak sedar, tanah sekangkang tapak rumah, rumah bumbung lima yang beratap zing berlubang berkarat, papan dinding reput dan tangga pula terkeleweh patah, adalah satu gambaran keperkasaannya sama dengan sebatang kayu reput di tengah arus.

Bukan Sirun tidak sedar sejak akhir-akhir ini. Setiap kali bunyi bingit hentakan penukul cerucuk membenam bumi, setiap kali pula telinganya dibengang, dadanya dihentak dan perasaannya sakit.

Tapi Sirun sangat bangga dalam usia tuanya dia masih mampu tinggal di tengah pusat bandaraya. Dia masih boleh bergaya. Malah dia akan bercerita kepada siapa saja, kalau dia balik ke rumah anaknya Mohamad Haikal yang tinggal di Caruk Kudung tempat jin bertendang itu bahawa, kita sepatutnya bangga kerrna kita semakin maju. Kita sudah ada bangunan tinggi. Kita sudah ada gudang-gudang. Kita sudah ada pasar raya. Kita sudah banyak mall-mall, square-square. Dan Sirun juga bangga dia sajalah satu-satunya Melayu tunggal di pusat bandaraya, di kelilingi bangunan dan gudang melambangkan ia bagaikan seekur ulat gonggok yang hilang punca dayafikir. Dia juga boleh berbangga kerana ada kedai Kopitiam, Old Town Coffie, ruang membeli belah dan berapa tingkat Keramat Time Square. Malah dia boleh berbangga, dari kerja kuli di gudang bijih timah yang buat jongkong, kini memiliki rumah dan tanah di tengah pusat bandar raya walaupun sebesar kangkang kera.

Paling gembira, rumahnya paling dekat dengan gedung membeli belah. Beberapa langkah saja boleh naik ke Keramat Time Square. Juga paling bangga, walaupun tapak rumahnya sekangkang kera, rumah bumbung lima beratap zing berkarat, berdinging papan buruk, bertangga dan bertandas curah, ramai pula pelancung datang melawat. Ini yang Sirun sangat bangga. Baginya itu adalah satu kemajuan.

“Akulah yang akan mempertahankannya,” begitu bisiknya pagi itu di kepala tangga. Dilihatnya semakin ramai pekerja dari Bangla berceratuk di tebing-tebing anjung Keramat Times Square yang belum siap sepenuhnya lagi itu. Mereka sedang mengecat dan memasang jeriji. Di lihatnya beberapa orang pekerja lagi di tingkat satu, tingkat dua, tingkat tiga dan hingga ke tingkat lima. Dia tidak pun nampak pekerja anak Melayu.

Sirun dongak lagi. Tak nampak pun baner yang memberitahu pembukaan rasmi kedai-kedai kepunyaan orang Melayu. Tidak nampakpun pusat belibelah, restoran makanan kepunyaan Melayu. Tetapi Sirun sangat yakin, ketika pembukaan rasmi nanti, orang Melayulah yang berduyun-duyun datang. Mereka gemar dengan tawaran potongan harga.

Kalau Keramat Time Square siap nanti, mau diberitahu kepada Mohamad Haikal. Dia mahu Mohamad Haikal bawa semua anak bininya pakat-pakat tidur di rumah kemudian esok naiklah tenguk kedai dan segala macam mak nenek di atasnya. Mohamad Haikal dan anak-anaknya tentu hairan dan seronok. Dan dia akan berlakon seperti biasa. Buat-buat biasa dengan tempat shooping walau pun dia tidak pernah membeli baju Camel sehelai pun.

“Atukkkk!”

Sirun tersentak. Lamunannya terputus. Dali, cucu bungsu darjah lima yang sangat manja dengannya dilihatnya menerkam kepadanya ketika beca berhenti tepi kuil Subramaniam. Mohamad Haikal saja yang datang.

“Haaa,” dia menyambut ketibaan Dali, cucu yang hitam berkilat itu. Kemudian Sirun melambai kepada pengayuh beca yang bertopi lembik. Pengayuh beca itu adalah membernya. “Anak cucu aku!” laungnya kepada penarik beca yang mula berpusing hendak keluar.

Sirun sedikit pun tidak merasa apa-apa apabila Mohamad Haikal memberitahu yang dia hendak balik petang itu juga. Tetapi Sirun merasa tersangat gembira apabila diberitahu yang Dali hendak tinggal sehari dua. Petang itu, ketika menghantar Mohamad Haikal dengan pandangan mata di kepala tangga sambil memeluk Dali, Sirun rasa sebak juga kerana cucu-cucu yang lain, menantu tidak datang.

Tapi tak mengapa. Tidak datangnya mereka mungkin satu hikmah kerana Keramat Time Square belum lagi siap. Nanti kalau sudah siap, kedai-kedai sudah dibuka, akan diminta Mohamad Haikal membawa anak bininya. Kemudian dia akan membawa anak bini Haikal masuk semua kedai walaupun tidak membelinya.

Bukan apa sebenarnya. Hanya sanya akan diberitahu dengan bahasa mata dan bahasa badannya yang tua itu, bahawa sudah sampai masanya bangsa Melayu turut merasa bangga dengan pembangunan. Biar mereka merasa megah berada di tengah pusat bandaraya. Biar mereka terpegun melihat itu ini kerana semua itu tidak ada di Caruk Kudung.

Petang itu ketika matahari sudah tenggelam di balik bangunan tinggi seberang jalan, bayangnya meneduhkan rumah bumbung limanya. Kuil Subramaniam belum lagi menggoncang telur loceng, tapi gudang di belakang rumah yang sendat dengan besi-besi buruk sudah mula tutup pintu. Kakitangan Pejabat Pendidikan di sebelah juga sudah pulang.

Duduk di bendul pintu depan, menjuntai kaki di anak tangga bagi Sirun adalah budaya megah Melayunya yang tinggal di tengah pusat bandaraya. Menyelak sedikit kain pelekat sampai nampak paha, menghisap rokok daun, setidak-tidaknya dia telah berjaya menunjuk kemewahan kemiskinan Melayu yang tidak pernah didukacita sejak dulu. Boria yang pernah disertainya, adalah bahasa kata dan bahasa badan ketika di pentas, tak siapapun mau menjeri tentang Melayu sudah cabut lari dari bandaraya.

‘Yeebaabbb!” Sirun masih gemar jeritan itu.

Setengah jam tadi Dali, cucu kesayangannya beritahu yang dia hendak tenguk-tenguk Keramat Times Square. Hendak jalan-jalan sekitar hadapan.

Sirun bukan main bangga. Pergilah, katanya. Pakai seluar Jean yang atuk beli, suruhnya. Pakai T Shirt yang ada lambang ‘Ghostbuster’ syornya.

Memang pun Sirun mahu begitu. Dia tidak mahu cucunya jakun macam rusa masuk kampung apabila berada di bandaraya yang pesat membangun. Dia mahu Dali kenal apa itu Keramat Times Square. Dia mahu Dali lihat betul-betul Texas Shoop. Dia mahu cucunya tahu apa itu Padini. Biar Dali kenal betul-betul antara KFC dengan MacDonald.

“Atukkk! Yeebabbbb!”

Sirun dengar suara jeritan itu. Dari bendul yang kakinya berjuntai di anak tangga, Sirun mendongak arah Keramat Times Square mencari suara yang memanggilnya. Tingkat satu hanya ada beberapa orang bangla yang buat kerja. Penghentak cerucuk sudah lama tidur. Tapi bila mendongak ke tingkat dua, yang kebetulan dari rumahnya itu, dia nampak Dali melambai-lambai tangan untuk memberitahu dia sudah ada di situ.

Dia pun membalas lambaian itu.

Hairan juga Sirun, masakan Dali boleh naik naik hingga ke tingkat tiga sedangkan pengawal keselamatan ada di situ. Masakan boleh naik kalau pembinaan belum selesai. Tapi mungkin Dali memberitahu kepada pengawal yang dia cucunya. Kalau Dali beritahu dia cucu Sirun, pasti pengawal tidak kisah. Dia dengan pengawal memang ngam kalau di kedai kopi Datok Keramat Road.

Maka semakin menjadilah mengelamun megahnya. Barangkali tidak ada cucu orang lain yang boleh bermegah macam cucunya. Dali tentu melilau sambil mendongak muka sana sini. Dali tentu melangkah bergaya sambil menyepak-nyepak bata pecah dengan kasut Reeboknya. Dua tangannya tentu menyeluk saku seperti samseng filen yang hendak bertarung.

Biarkan Dali melilau habis hingga ke tingkat lima. Kalau ada Pengawal Keselamatan tahan, beritahu saja cucu Sirun. Kalau tak benar juga, katakan yang Sirun rumahnya tepi tembok Keramat Times Square.

Balik nanti bolehlah Dali cerita banyak-banyak kepada bapanya, kepada emaknya, kepada abang kakaknya, kepada kawan-kawan sekolahnya, kepada sesiapa saja di Caruk Kudung bagaimana hebatnya Times Square. Bagaimana canggihnya pusat beli belah di pusat bandaraya. Kawan-kawannya tentu tercangak-cangak apabila mendengar nama Padini, Jean Texas, Reebok dan lain-lain. Kalau Dali sudah dewasa, Dali boleh minta jadi pengawal keselamatan. Tempat tinggal tidak payah sewa. Rumah atuk sudah ada.

Memang pun patut berbangga. Sirun akan berkata megah kepada anaknya Mohamad Haikal atau kepada menantu atau kepada keluarga yang tinggal di kampung bahawa rumahnya tepi Keramat Timse Square. Senang membeli belah. Rumahnya benar-benar tengah pusat bandar.

“Atukkk!”

Sekali lagi Sirun mendengar namanya dipanggil. Kali ini sangat kuat jeritannya. Berlianan sekali bunyi suara, seperti jeritan lakunya. Tapi Sirun tidak peduli. Dali tentu seronok dapat menaiki tingkat lima walaupun tingkat itu belum siap. Dan dia akan berbangga sekiranya Dali balik nanti dapat bercerita hebatnya Keramat Times Square yang sedang dibina.

Beberapa minit selepas itu, Sirun jadi hairan. Mengapa ada dilihatnya orang ramai berlari-lari ke arah Keramat Time Square. Mengapa loceng di Kuil Subramaniam digoncang seperti ada kecemasan. Mengapa terdengar suara bising dari pekerja-pekerja di tingkat satu, tingkat dua, tingkat tiga. Dan akhirnya Sairun terdengar siren ambulan dan kemudian nampak ambulan itu membelum masuk ke Keramat Times Square yang belum siap itu.

Sirun tidak peduli pun. Memang di tengah pusat bandaraya begitu keadaannya. Orang ramai berpusu-pusu adalah kebiasaan. Bunyi siren ambulan juga perkara biasa. Sayang tembok di tepi rumahnya tinggi, jika tidak boleh saja dia menjenguk untuk memlihat apa yang berlaku.

“Sirun! Sirun!” tiba-tiba dia dipanggil dengan suara kuat.

Sirun tersentak dari lamunan. “Apa? Kenapa?” tanyanya apabila dilihat Mat Taha Pengawal Keselamatan Keramat Times Square melambai tangan kepadanya.

“Cepat datang!”

“Kenapa?” tanyanya lagi. Dia memang kenal Mat Taha Pengawal Keselamatan dan Mat Taha pun kenal Dali, cucunya.

“Cepatlah!” laung Mat Taha.
“Kenapa?”
“Dali, cucu kau!”

Sirun mengejap gulung kain pelekatnya. Dengan berbaju singlet dia bergegas turun dengan tenaga tua. Dia bangga kalau Dali dikenali ramai, fikirnya. Mendongak sekali ke tingkat lima Keramat Times Square, terasa juga tingginya. Dan entah mengapa ketika dia mengekori Mat Taha, setitik air mata penatnya jatuh. Entah apa yang hendak dilihatnya, dia tidak pasti.

SELESAI

_______________________________________________________
Catatan:
Cerpen: Ditulis pada 2 September 2009. Jam 9:45 pagi
Siap : 3 September 2009 Jam 1 tgh.
Siar : Disember 2009

2 comments:

  1. Anonymous

    At the same time, the influential replica handbags logo plays an quite important pole in making replica handbags and wallets very recognizable. Certainly, what really make replica bags and its wallets gain the huge popularity among celebrities is their amazing and fashionable styles, and thoughtful design details. As an illustration, we may take designer replica handbags .

  1. longge

    http://replicahandbags69.casinoblogsonline.com/
    http://replicahandbags69.i.ph/
    http://replicahandbags69.fbhosting.com/
    http://freeadvertisingnetwork.biz/?w=replicahandbags69
    http://www.flixya.com/blog/replicahandbags69
    http://halqa.com/replicahandbags69/
    http://replicahandbags69.blog.friendster.com/
    http://www.homepage-dienste.com/blog/replicahandbags69/
    http://www.iblogporn.com/replicahandbags69/
    http://replicahandbags69.iblogger.se/