Masih Panjang Umur

Posted by Tukya Labels:

Kereta yang ditutuh dari belakang.

Masih Panjang Umur
(Ini sekadar catatan. Maaf kerana agak lama tidak menulis laman ini kerana berlaku sedikit musibah. Apapun sangat bersyukur)

1.
Kemalangan memang tak diduga. Saya seperti mati hidup semula. Pagi 25hb Januari 2010, kira-kira jam 8-30 pagi di atas jambatan Pulau Pinang, di kilometer 7.0, tak semena-mena kereta saya disondol dengan kuat, menyebabkan kereta Kelisa yang kecil macam siput ini terdorong, terhantuk di belakang sebuah kereta lain kemudian kereta saya melambung, berguling-guling dan berputar berkali-kali.

Saya macam tikus dalam sangkar yang digolek-golek. Sedar-sedar saya terkangkang dua kaki ke atas tapi masih mampu keluar dengan keadaan baik.

Kereta remuk depan belakang. Berkecai semua cermin. Muka sedikit berdarah, kepala bertaburan dengan serpihan kaca cermin.

Begitu kejadian yang tidak diduga. Saya rasa seperti mati hidup semula. Masyaallah.

2.
Hampir lima belas minit saya dirawat di situ dan mengemas segala kertas yang berkecamuk di dalam kereta, Alhamdulillah 6 pendrive saya masih ada. Kemudian datang ambulan yang kebetulan membawa pesakit dari Lunas Kedah hendak ke Hospital Pulau Pinang. Saya ditumpangkan dengan seorang perempuan, yang keretanya saya tersondol.


Pemandu ambulan panas baran

Naiklah kami dengan terkakap-kakap tanpa ada kakitangan ambulan yang menolong. Perempuan yang naik bersama saya sebenarnya hendak ke hspital Pulau Pinang juga, yang hendak menemai bapa dan saudaranya, yang di bawa oleh ambulan yang kami naik ini.Katanya dari Lunas. Tentunya kereta ambulan dari hospital Kulim barangkali.

Di dalam ambulan itu ada dua pesakit. Tiga juturawat dan seorang kakitangan lelaki, seorang drebar.. Mereka sangat selesa di kerusi. Tanpa ada rasa simpati dan budi bahasa, jururawat dan kakitangan itu buat ‘dekkk’ dan buat ‘dono’ saja kepada saya sebagai mangsa kemalangan dan seorang perempuan lagi.

Tak kisahlah, saya bukan nak minta dihormati dan dimuliakan.

Pemandu yang membawa ambulan itu macam di tokak pelesit. Macam jin meradang. Panas baran. Saya dengan perempuan yang menumpang, hanya berdiri dekat pintu belakang, teroleng-oleng, tersenget dan terlambung-lambung apabila ambulan itu kona mereng, terhentak kerana pemandu ambulan itu memandu macam babi gila betina. Melambung dan terhentuk-hentak sehingga pasakit mengaduh-ngaduh.

Saya tidak dapat berfikir, macam mana orang seperti ini boleh jadi pemandu ambulan’ satu-satunya kenderaan penyelamat nyawa.’

Ketika ambulan membeluk-beluk dengan kasar, perempuan yang berdiri di sisi saya tiba-tiba tertonyoh jatuh, tersepit antara bangku dengan pintu. Pemandu ambulan itu buat dekkk, buat dono saja. Dia macam hendak kejar babi hutan makan kebun pisangnya.

Saya tak pernah berjumpa dengan pemandu ambulan pelesit macam ini. Saya sudah tiga kali naik ambulan sebelum ini. Fungsi ambulan, membawa pesakit yang kritikal, untuk menyelamat nyawa, bukan mengejar perompak atau bukan dipandu oleh pemandu gila sawan.

Di hospital Pulau Pinang, saya dirawat sebagai pesakit luar dengan memeriksa kepala dan membuang kaca di kepala, bengkak mata. Kerana keadaan saya waktu itu terasa tidak apa-apa, saya dibenar balik setelah diberi ubat. Tapi perempuan bersama saya dalam ambulan itu pula yang terpaksa di Sinar X dan diberi rawatan. Sedangkan kedatangannya hendak menghantar bapanya yang sakit.

3.
Saya segar dan boleh berjalan. Tapi sejam selepas itu baru saya terasa menggigil. Anuar Asmadi dengan Said Man datang ambil saya. Apabila berada di rumah saya diserang sakit lenguh dan bisa, menyebabkan saya sukar hendak berdiri, apa lagi hendak berjalan. Saya terpaksa kena papah. Saya benar-benar macam lumpuh.

Sahabat saya Anuar Asmadi, Said Man dan Yusuf Market sangat mengambil berat.

Keesokan harinya sakit bisa dan sukar hendak berdiri menyebabkan saya mengambil keputusan ke hospital. Jam 5-30 petang Sdra Anuar Asmadi dan Yusuf Market pun datang membawa saya.

Karenah Bahagian Kecemasan Hospital Kulim

Bayangkan, untuk nak dirawat ke bilik kecemasan, saya terpaksa menghabiskan masa sehingga jam 8-30 malam. Sesudah di Sinar X, saya diberitahu, saya tidak ada apa-apa kecederaan luar dalam. Saya tidak diperlukan masuk wad. ‘Pakcik boleh balik,” kata doktor muda yang merawat.
Tapi macam mana keadaan saya yang tidak boleh bangun dan berjalan sedangkan mereka lihat dengan jelas saya dipapah di depan mata mereka? Saya memohon masuk wad untuk mendapat rawatan susulan, termasuk pakar. Tapi pihak yang merawat mengatakan tidak perlu. Saya boleh berehat di rumah, makan ubat, kata mereka.

Saya merayu dan memberitahu sebab saya hendak masuk wad. Setidak-tidaknya rawatan susulan dapat dibuat.

Pihak yang merawat mengatakan lagi saya tidak perlu. Seolah-olah saya yang tidak boleh berdiri dan berjalan ini sama dengan seekur kucing kena balun. Akhirnya saya berkata, kalau begitu tak mengapa. Saya terpaksa ke hospitak swasta (specialis) untuk dirawat. Saya bimbang kerana saraf kaki dan betis saya. Apa sudahnya kalau saya tak boleh berdiri dan berjalan, kata saya.

Barulah seorang doktor perempuan cuba berikhtiar tapi saya terpaksa kena tunggu kerana nak dapat kelulusan pihak satu lagi. Berapa lama pula? Sedang untuk di Sinar X tadipun kami terpaksa menunggu kerana ‘tukang ekstrey’ belum datang.

Saya mengalah. Saya minta balik, tak perlu masuk wad lagi. Doktor yang merawat pun beri surat cuti dan resip suruh ambil ubat.

Taukah anda apa ubatnya? Beberapa biji kapsul tahan sakit dan ubat sapu, seperti ubat sapu gatal celah kangkang yang saya beli di farmasi.

Bayangkan, 3 jam menunggu dan di rawat, berjalan orang papah tiba-tiba ubat itu saja yang diberi. Mata saya yang lebam, bengkak dan pendarahan beku, disebut oleh seorang doktor, macam Anuar Ibrahim kena tumbuk. Tapi tak pula dipeduli.

Ayooo, ini macamkah rawatan hospital di bilik kecemasam Hospital Kulim?

Ya Tuhan, mereka adalah orang-orang pakar perubatan dan memang sesuailah ubat seperti itu yang diberikan. Seorang pesakit yang tidak mampu berdiri akibat kemalangan, hanya ubat tahan sakit? Haa...ha...ha... kalau begini baca Yasin saja di rumah.

Ketika saya hendak pulang, saya beritahu dua tiga orang yang ada di luar ruang kecemasan. Mereka berkata; inilah hospital kerajaan.

Bravoooooo! 1Malaysia! Jom ke klinik 1Malaysia! Kononnya, klinik 1Malaysia mendapat sambutan, mengikut laporan Sinar Harian 27 januari 2010. Barangkali kerana larisnya klinik 1Malaysia, maka kualiti hospital tersorot.

Dan dari sungutan pengguna-pesakit hospital Kulim, keadaan seperti ini sukar berubah disebabkan sikap pegawai-pegawai itu sendiri tidak mahu mesra pelanggan.

Maaflah Pengarah.

Saya yang benar
Azizi Hj Abdullah

22 comments:

  1. Unknown

    AlhamduliLlah, Ustaz!

  1. SITI

    Pergi hospital swasta tak lepas tu?

    Semoga cepat sembuh.

  1. Abi Qalam

    Salam Tukya,

    Semoga cepat semboh.. Allahu yashfik..
    Bila la orang hospital kerajaan nak buang stereotype

  1. azman kamarul

    DIDOAKAN SEMOGA CEPAT SEMBUH..TAK APALAH SEMUA TU UJIAN ALLAH SEMATA..PASAL RAGAM MANUSIA BERKENAAN BIARLAH ALLAH MENENTUKANNYA.

  1. Naim

    'Ala kulli haal, Alhamdulillah. Ini ma'unah-NYA.

    mudah-mudahan cepat hilang debar.

    Saya pun pernah alami saat cemas seperti ini. Dua hari baru hilang rasa naik darah di muka yang mendadak.

    @naimisa

  1. Faizah Roslaini

    Salam

    Tukya

    Saya doakan agar Tukya cepat sihat dan sembuh.

    Dan saya pohon, Tukya menghantar aduan ke semua surat khabar, bukannya hendak mengaibkan sesiapa tapi supaya orang lain pula tidak menjadi mangsa.

    Salam.

  1. Rahimidin Z

    Salam.
    Didoakan ayahanda kembali sihat.

  1. malaysia baru

    Eloklah Ustaz menghantar aduan ke semua surat khabar.
    Biarlah orang lain tidak menjadi mangsa.

    Bila kena macam ni barulah kita tahu kita tahu bhwa negara kita BELUM MAJU lagi...

    Pemimpin politik BN/UMNO hanya cakap berdegar-dengar...dan sibuk menghabiskan budget menolong kroni...

  1. jab sp

    Nak minta YB kawasan tengok sikit hal ni pun agak susah,pasai YB ni tak tau berkawan dengan orang.(siapa YB kawasan ni?).Lagipun YB ni memang tak ambil tau apa yang jadi dikawasan dia pasai dia tau penggal depan nama dia memang tak ada dah.
    Ambulan dari hospital yang sama?.Sahlah ada yang tak kena dengan hospital ni.
    Didoakan tuan cepat sembuh

  1. Anonymous

    ustaz,

    aku naik geram bila baca post ustaz.

    50 tahun merdeka perangai depa macam berok.

  1. Excel Bindery

    salam ustaz..

    isteri saya pegawai perubatan di Hospital Parit Puntar..saya harap kita juga dapat memahami keaadan mereka ini..benar sebahagian mereka tidak mesra..cuma saya nak kongsi satu fakta ini..bolehkah seorang doktor yang tidak tidur lebih daripada 24 jam berfungsi dengan baik? inilah yang berlaku..dalam seminggu, sekurang-kurangnya sekali isteri saya perlu bertugas "on-call" bermula jam 8.00am sehingga jam 1.00pm keesokan harinya. yang sedihnya bermula jam 5.00pm sehingga 8.00am (hari on-call)beliau bertugas seorang diri dan bertanggungjawab untuk keseluruhan hospital!!!manalah nak efisyen..

  1. Anonymous

    Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

    Syukur Tuan Ustaz tidak mengalami kecederaan yang lebih teruk. Saya doakan seoga Tuan Ustaz segera sembuh dan kembali bertugas.

    Amin.

    Wassalam

    Prof. Abdullah Hassan

  1. Anonymous

    Kepada kawan-kawan yang komen
    Terima kasih atas simpati dan doa.
    Saya dah sihat. Cadang nak masduk lari 400 meter.
    Bakaq Penarik Beca tu pun boleh tumpang serkali.
    Alhamdulillah, saya bersyukur kerana otak masih boleh berfikir.
    Peritistiwa tutuh belakang ini jangan pula sama dengan dakwaan orang tutuh belakang sampai beria-ria kata orang tutuh belakangnya.
    Pelik.
    Salam
    azizi hj abdullah

  1. Anonymous

    Salam Ustaz,
    ni lah jenis org yang kerja tak ikut tatacara (procedure). seingat saya yg dah pencen ni, setiap kes kemalangan, peg. tersebut hendaklah memasukkan mangsa kemalangan ke wad pemerhatian (observation room) sekurang2nye 24jam. dan selepas itu barulah pesakit itu disahkan (pronounce) baik atau tidak. ni main lepas aje. sepatutnye ustaz telah di tahan di hospital p.pinang lagi. tak tahulah kalu tatacara tu dah dibuang ke laut kot.
    ape pon syukur ustaz dah sembuh.

  1. Anonymous

    Alhamdulilah Ustaz

    Allah pilih anta dg peristiwa tu . ada hikmah . Kalau orang lain pakai sengap gitu aja . Kalau ustaz boleh gak jaja kat kat orang lain .

    Perangai sesetengah puak hospital kerajaan mana pun memang kalangkabut punya ( bukan semua ) . Masa interview nak masuk kerja , kira sijil . Kalau dreba tu setakat ada lesen , kira ok lah ..........

  1. Anonymous

    Klinik 1 Malaysia? Nak tergelak tu. Yang beri rawatan bukan doktor tapi Pembantu Perubatan dulu kita panggil HA dan orang kampung panggil Dresa. Ubat yang diberi kepada pesakit selalunya panadol dan vitamin B complex warna kuning. Panadol di kedai runcit berlambak, VB complex juga macam tu cuma warnanya saja berlainan. Saya pernah dapatkan rawatan di kampung masa kecil dulu.

    Tabahkan hati ustaz, semoga cepat pulih

  1. Anonymous

    Salam,
    petama kali tulis di sini...sebelum ni minat baca je..menarik sasterawan negara tulis..tak tercapai dek akal sendiri...
    nak ditakdirkan saya bekerja hospital..bkan nak mempertahan.. tapi nak menerang..
    rasanya tuk ya pegi bkan waktu pejabat..biasanya mmg kami jaga satu hospital seorang2..sampai esok petangnya..pesakit berduyun..mmg kadang2 tak sempat nak layan satu..nak makan, nak sembahyang pun berlari2..kadang2 terpaksa qada(bila kecemasan)...
    ramai pesakit tak paham..kami pun tak salahkan..cam kata depa-sapa suruh nak keja doktor..
    nak bagi yang terbaik...tapi tu je tenaga dan masa diberi tuhan...tak lebih tak kurang..
    kes macam tuk ya...rasanya dipanggil soft tissue injury..x bagi ape2 pun insyAllah akan sembuh..macam selsema,demam biasa...mmg rawatan kita bagi ubat tahan sakit...
    apa2 pun mintak maaf, minta ampun...mmg kami bagi yang terbaik dalam serba kekurangan ni...

  1. Anonymous

    Salam Tuk,
    Pergi hsptal swasta tu, ubat apa yang diberi? berapa bayaran?

  1. Abi Qalam

    Salam,

    Saya dah sangka buruk dalam posting diatas, minta maaf. Haii bilalah boleh buang stereotype sangka buruk kat orang kerajaan ni..

  1. Anonymous

    Nasib awak yg malang kerana dirawat sebegitu rupa. Selama ini tak ada masalah kami mendapat rawatan di hospital kerajaan. malah ramah dan senyum doktor dan jururawat yg melayan. Mungkin anda terlalu banyak memfitnah kerajaan dan sebagai balasan ini yang anda dapat bila cuba-cuba merayu khidmat badan yang anda fitnah dan remehkan itu. Bukankah ALLAH itu Maha Adil? Anggaplah ujian untuk mencuci dosa. Setiap sesuatu itu ada sebabnya..celikkanlah mata..

    Insan yg dipanggil cik Ah

  1. Anonymous

    Cik Ah
    Alhamdulillahlah jika Cik Ah menerima rawatan bauik sedemikian adanya. Amat malanglah saya dan mungkin amat malang bagi ramai yang macam saya.
    Saya terima jika ini dari ketentuan Allah. Patutlah pun saya terima kerana saya di antara manusia yang suka salahkan kerajaan sedangkan kerajaan bagi Cik Ah,Ulul Azmi.
    -saya yang salah; azizi abdullah

  1. Juliana

    Salam.
    Saya berempati dengan keadaan Tukya. Semoga kini Tukya sudah benar-benar sihat dan sembuh sepenuhnya.

    Saya juga melalui pengalaman buruk dengan ambulans. Bukannya ambulans kerajaan, tapi yang berbayar pulak tu. Mereka (petugas ambulans) sepatutnya mengangkat (arwah) ibu saya ke katil sorong sebelum dimasukkan ke ven ambulans, tapi tercegat saja di luar apartmen kakak, teragak-agak nak masuk. Lagi mau tanya, "ada berapa orang dalam rumah ni? Boleh tolong angkat ibu awak?"

    Saya katakan, semuanya perempuan, tapi mereka sedang sakit, tinggal saya sajalah yang sihat. Akhirnya saya seorang diri yang mengangkat ibu dari katil di biliknya sehingga ke katil sorong ambulans di luar pintu, tanpa pertolongan 2 lelaki 'jantan' petugas ambulans itu. Hmm, orang macam ini pun boleh kerja dengan ambulans ya?