Hari-Hari Yang Menakjubkan; Sebuah Catatan

Posted by Tukya Labels:


Setelah melalui hari-hari yang menjemukan selama 3 hari, kemudiannya enam hari lagi di hospital Bukit Mertajam, akhirnya balik ke rumah dengan hasil yang tak menentu.

Syak yang paling besar tentulah akibat dari kemalangan yang sampai menghempaskan dan berguling-guling kereta yang saya pandu di atas Jambatan Pulau Pinang pada jam 8.30 pagi, 25hb Januari 2010 yang lalu. Segera terpa ke KPJ Perda, menemui pakar jantung Dr. Safari Elis. Rupanya lain pula keputusan apabila seminggu di situ.

Keputusan memang tak pernah diduga. Rupa-rupanya kehidupan hari-hari yang lalu sangat menakjubkan. Tanpa ada gangguan tidak pernahpun bersin melampau, tak pernah sakit dada, tak pernah pedih dan tak pernah berpeluh tak berpasal.

Tapi sakit hati, cemburu, dendam, khanaah, mazmumah, fasik, busuk hati dan segala yang berunsur amarah, riak, ujub, suk-uzzan memang selalu menyerang.

Akhirnya saya diberitahu, urat-urat si jantung hati yang menjadi kesayangan semua manusia, tersumbat. Masuk ke dalam alam lain, melihat urat-urat seperti rambut bersimpul, bercengkerawang, denyut dan degus kelopak jantung, rupa-rupanya itulah keajaiban Allah.

Saya tidak akan percaya dan tak akan percaya jika dikatakan itulah PERENCANAAN, peraturan, sistem yang Allah susun. Tidak. Saya tidak percaya. Saya lebih percaya itulah KUN FAYAKUN: Jadi, maka jadila!

Manusialah yang perlu membuat kajian, penyelidikan apa yang dikata sistem, peraturan itu. Sistem, peraturan memerlukan perancangan. Apakah KUN FAYAKUN itu perancangan?

Maha Bijaksana Allah!

Hari Isnin atau 1 Jun atau selepasnya mungkin saya akan alami satu dunia lain, seperti yang pernah dilalui oleh kawan-kawan lain dan di antaranya ada yang tidak kembali. Saya akan bermukim di Hospital Besar Pulau Pinang. Terpulang kepada kehendak Allah. Itulah hakNya dan FAYAKUNNYA.

Menghabis hari-hari yang menjemukan, dalam fikiran sangat kukuh sebuah buku: PENAMAT SEJARAH DAN MANUSIA TERAKHIR, oleh Francis Fukuyama,setebal hampir 500 halaman, yang kononnya buku terlaris dalam senarai New York Times.

“Jika manusia ditentukan oleh keinginannya untuk berjuang bagi mendapat pengiktirafan dan menerusi kerjanya dalam menguasai alam semula jadi, dan sekiranya pada akhir sejarah dia mencapai dua-duanya sebagai pengiktirafan terhadap kemanusiaannya dan limpahan material, maka ‘manusia yang kononnya manusia’ tidak akan wujud lagi kerana dia tidak lagi berkerja dan berjuang.”

‘Oleh yang demikian lenyapnya manusia pada penamat sejarah bukannya bencana alam sejagat: dunia alamiah kekal seperti yang sedia ada sejak lestari. Oleh itu lenyapnya manusia pada penamat sejarah bukan juga bencana biologi: Manusia hidup kekal sebagai haiwan yang hidup harmoni dengan alam semula jadi. Apa yang lenyap ialah manusia yang kononnya manusia- iaitu tindakan menidakan apa yang ditetapkan....’

Demikian yang dapat dipagut-pagut. Entah bila dapat dihabiskan. Dunia lain mustahil dapat membaca ini. Teringat, sangat sedikit bekerja dan berjuang demi tuntutan kebajikan!

Catatan Sabtu 11:19 mlm di bilik 417, Madical Center KPJ Bandar Perda

8 comments:

  1. ulasbuku

    Cantik gambar sawah.
    Tukya teringat kampung ker...?
    Semoga cepat sembuh..., Insya Allah.

    HAKIM

  1. wan salmah

    Salam,
    Moga banyak bersabar..Semua yg terjadi adalah ketentuan-Nya, bukan terjadi tiba-tiba atau tak sengaja atau tersilap rencana..

    Tabahkan hati, semoga hari2 yg dilalui penuh rahmat dan berkah daripada-Nya..

    InsyaAllah nama yg baik akan terus kekal dan dikenang sentiasa..

  1. pokmudo

    Kesakitan itu adalah nasihat bagi kita...hanya pada-Nya kita berserah...semoga Tukya di bawah lindungan-Nya

  1. Abi Qalam

    Salam Tukya,

    Zahir amat dalam entry kali ini pembukaan hijab dan tabir rahsiaNya yang Tukya alami. Itulah Maha Besar dan Kayanya Allah Rabbul Jalil, walau di katil hospital pun, SayangNya terhadap hambanya begitu jelas. Sungguh hebat!

    Saya tumpang gembira dengan 'kejelasan' yang Tukya alami, cemburu pun ada.. Maklum, si jahat macam saya ini apakah dipandangNya?

    Semoga Tukya bermanfaat dari apa yang telah ditentukanNya.. dan doakan kami yang jahat ini ya!

    Salam ntuk Tukya Al Arif

  1. visimindaku

    Salam sejahtera buat ustaz. Saya mendokan semoga Allah memberikan kesihatan terbaik untuk meneruskan perjuangan. Amin.

  1. Anonymous

    Kepada semua kawan-kawan
    yang sempat saya menjawab;

    TERIMA KASIH DI ATAS DOA.

    -azizi abdullah

  1. SITI

    Salam Tuan Haji,

    Moga penyakit mencuci dosa.

    Doakan yang terbaik buat Tuan.

  1. Anonymous

    Doa selamat untuk ustaz. Kita bergerak di atas skema KUN FAYAKUN. Selalu berHUSNULZAN kepada NYA. Insya Allah selamat membaikpulih organ dan kami mendamdakan lagi karya ustaz. Teguhkan semangat bagai pohon di tengah sawah yang damai atau pohon stan yang rimbun semula selepas melalui masa-masa saakitnya. (hajilah)