Sungguh-sungguh saya tidak dapat bayangkan sekiranyalah saya ini seorang YB yang telah melompat parti menjadi calon bebas, lalu hendak turun ke kawasan menemui pengundi saya.
Apa mukadimahnya hendak saya berkata jika saya bertemu dengan pengundi saya, sama ada di kedai kopi atau di masjid atau di dewan. Takkan saya akan bertemu pengundi hanya ketika Pak Husin balik dari menoreh? Takkan saya nak temui Mak Minah yang sedang cari ubi kayu di belukar? Takkan saya nak bertemu Husin yang sedang jual air tebu?
Tiga bulan dulu ada saya telefon menyampaikan hasrat kepada Seman, JKK parti dulu. Seman terkejut dan berkata:
“YB jangan balik!”
“Kenapa?”
“Saya dengan khabar, ada dua tiga orang nak cempung campak ke dalam parit kalau YB balik!”
Memang pun patut mereka buat macam itu kepada saya. Saya sedar saya memang celakakan diri. Tapi haram jadah punya tawaran, menyebabkan saya naik mabuk kepayang. Cup-cup, habuk pun tarak.
“Kalau saya tak balik, apa sudahnya dengan pengundi saya. Itu kawasan saya. Saya masih jadi YB mereka,” saya berkata kepada Seman.
“Siapa kata YB mereka? Dulu mereka pilih bukan YB, mereka pilih calon parti.”
Seman seorang pekerja saya yang suka bertegang leher. Saya diam begitu saja. Akhirnya saya minta pandangannya, apa cara saya mesti buktikan saya ini YB kawasan itu?
Maka Seman pun cepat menjawab: “Senang saja. Kan sekarang ada blog, ada Facebook. Gunakan itu saja. Satu dunia tahu yang YB cergas!”
Sungguh, mengapa saya tidak pernah terfikir tentang ini. Bukankah ‘blog’ satu-satunya medium yang sangat berkesan. Saya boleh pembohong dan saya boleh berdusta. Dunia pasti tahu walaupun di kawasan saya pengundi meludah atau pun maki-maki.
Membina blog tidaklah sukar. Upah RM100, tiga jam siaplah. Gambar di logo saya masukkan saya dengan seekur kambing besar. Saya simbolkan, saya YB dan kambing adalah pengundi.
Pertama kali saya menulis menceritakan saya berada di Moscow. Saya siar gambar untuk memberitahu pengundi bahawa inilah YB kamu. YB kamu bukan sekadar pegi melawat kolam ikan keli tapi ke Moscow.
Tapi pengundi saya sebenarnya tak tahu. Saya yang terpilih itu pun jenuh saya gabus pungkur mereka, saya cium tangan mereka, saya jilat jubur mereka dan saya menangis beritahu saya menyesal.
Esok saya keluar menyataan hentam ketua parti saya dulu. Lusa saya dapat tiket percuma melancong ke Moscow.
Balik dari Moscow saya tulis isu umat Islam sudah nipis iman dan akidah. Untuk membuktikan saya kuat sokong Islam, saya beritahu saya sudah membuat wakaf sepuluh buah ‘muqaddam’ kepada sepuluh orang yang buta qur`an berusia 65 tahun.
Tiba-tiba meletup pula pasal kerajaan nak beri lesen judi kepada satu syarikat. Saya naik pening. Mana boleh saya bantah walaupun itu perkara benar. Tapi mujurlah dalam masa yang sama timbul isu ketua parti saya dulu keluar negara. Sayapun tulis berulang kali hentam sungguh-sungguh untuk menunjukakan saya tidak setuju. Mana tahu lain kali dapat pula sponsor ke Afrika Selatan untuk Piala Dunia.
Bagaimana pun saya sebenarnya diserang fobia. Saya sebenarnya sangat tidak tenteram. Bukan kerana saya kesal lompat parti dan jadi bebas tetapi saya fobia tentang pengundi kawasan saya. Saya sepatutnya isytihar keluar parti dan sekaligus terus letak jawatan YB. Ini yang sewajarnya. Tapi apakan daya. Masakan saya boleh lepas elaun dan taitel YB begitu saja. Ini kerja bodoh. Bukan senang nak dapat jadi YB.
Saya berazam mahu mempertahankan sebutan YB ini untuk penggal ini saja. Penggal akan datang saya tidak ada peluang lagi. Saya sedar Umno pun tak akan mahukan saya. Kalau mahu pun saya akan jadi kuda tua. Nak masuk balik parti asal, weekkkk, muntah hijau pun mereka tak terima. Nak masuk Pas, itulah…Pas pun macam cerdik pelanduk. Saya telah ‘test’ dua tiga kali. Saya puji Pas, saya puji Tok Guru tapi Pas nampaknya buat dono saja.
Saya memang menyesalkan. Rupa-rupanya barulah saya sedar, orang macam saya berlambak-lambak tak berguna.
Atas asas agama yang ada pada saya, bulan Ramadan ini mahu rasanya saya kembali ke kawasan, mahu memohon maaf. Saya sedar saya sangat bersalah kepada pengundi, kepada pekerja dulu. Saya banyak berhutang: berhutang wang dan berhutang budi, berhutang tenaga. Dengan apa saya hendak membalasnya, melainkan dengan memohon maaf.
Mahukah mereka terima saya? Inilah persoalannya.
Saya cuba memejam mata dan cuba membayangkan: saya ke warung tepi sungai. Saya sua tangan nak bersalam, tak seorang pun sambut. Saya semawa ramai-ramai minum kopi, tak seorang pun datang.
Saya singgah di masjid, saya pura-pura ke saf depan. Tapi tak ada siapa pun yang tolak jadi imam. Kalau dulu, sila Yb, sila YB, sila YB.
Selepas solat, saya minta sepuluh minit nak beri tazkirah, betapa pentingnya umat Islam bersatu menentang Zionis. Tapi tiga empat orang batuk-batuk dan terkam keluar buang kahak.
Waahhh, rupa-rupanya pengundi saya sudah pandai berfikitr. Mereka rupanya bukan lagi pak turut.
Taka apa…tak apa…khabarnya pilihanraya bulan September ini. Kalau cepat lagi bagus. Akan cepatlah hilang kemaluan saya dan akan cepatlah terpadam taitel YB yang sangat menggelisahkan saya. Saya sekarang malu nak balik kawasan. Khabarnya kawan-kawansaya pun, sudah jadi macam ayam berak kapur.
-----------------------------------------------
-Harakah keluaran 1555: 9-11 Julai 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
12 comments:
Syabas ustaz, bagus sekali penulisan ni. YB yg dimaksudkan tu ahli si katak brnama zulkifli nordin kan.
Shamel,
Saya tak kata siapa. Jika itu sangka baik Shamel, terpulanglah.
Salam
azizi
salam pakya,
pakya kena sambung lagi cerita kerana klaimnya pas masih jemput dia berceramah sekarang.
jijik betul.
assalamualaikum ustaz,
PRU13 nanti kalau zul jadi calon lagi, kita pangkah dia. bukan pangkah undi tapi kita pakat-pakat 'pangkah' kepala dia.
Salam Tukya,
Entahlah Tukya.. saya lebih percaya YB Zul menjadi lebih jujur daripada dulu.
Err.. saya kah bermasalah?
Salam..
Terkenang saya akan cerpen ustaz yang bertajuk "beruk"..agaknya itulah realiti yang akan kita hadapi jika ramai YB yang berperangai macam cerita ustaz ini...
Hebatnya penangan tukya.Kasi cincang sama itu yb tarak otak. cerpen tukya masih dalam ingatan, begitu juga kenangan mengajar bersama ustaz azizi kat sk sri kulim.
Berharap hj akan sentiasa menulis dan dikurniakan kesihatan yang baik
Salam Tuan Haji,
. . . bagaimana Yang Berhormat @ barua (YB)ini dia mendakwa masih lagi ahli pas, tetapi dia begitu bangang tahap super kerana perlembagaan pas telah jelas bahawa ahli bertukar parti -secara automatik gugur sebagai 'keahlian'. seorang peguam yang jahel dengan perlembagaan parti adalah seorang lawyer buruk yang luar biasa buruknya hingga memalukan pengamal undang2 & institusi parlimen.
Cubalah bersembang dengan barua ini - kecam Anwar tapi hatinya masih 'benci tapi rindu' kepada pas. Tapi sikap pas jelas. sebab itu bila dicabar debat oleh khalid samad mp pas shah alam, barua ini telah bercakap putar2 lebih dari keling jual botol. bukan cakap betul tapi cakap botol. Amboi berdegar2 cakapnya di parlimen selepas lompat keluar dari pkr & cakapnya langsung tidak menjurus kepada pembinaan bangsa/negara.apakah ahli parlimen ini hanya sarat dengan idea/kata2 sekadar 'personal assasination/attack' kepada bekas mentornya?. sebenarnya apa? YB bengkrap ini, hingga kini masih kritikal/prejudice dengan umno & sedang berharap umno akan terlungkup pada pru13.
hebat sungguh 'wakil tuhan' di parlimen dengan susuk yang disucikan dengan berkopiah berjalur lebar mengalahkan ahli tasauf/filasuf, reformist/mujaddid, pemikir agung & segala yang hebat2. Jangan jadikan parlimen & DUN tong2 sampah untuk menyimpan tikus2 yang merayap mencari sisa buangan dilubang2 yang busuk.
Kini 2010, kalau kita hidup pada 1810 susuk pengkhianat lidah bercabang ini akan dihukum gantung kepala ke bawah kaki ke atas.
Jahanam katak politik.
Maaf Tuan Haji, bahasa kasar saya mencemari ruang blog ini.
ustaz,
syok cerita ni.
mari kita sama2 haramjadahkan semua yang berharamjadah.
wassalam
SDRA MATLEMBU SHAHALAM,
SAYA PERNAH LALUI POLITIK. SAYA JUGA BANYAK TAK BETUL. TAPI BAGI SAYA HIPOKRIT ADALAH MUSUH YANG SANGAT SAYA BENCI.SELALUNYA HIPOKRIT BERLAKU DARI KALANGAN YANG MENDAKWA' MEREKA LEBI TAHU.'
Saya tak setuju dengan sdra Aby Qalam. Orang hipokerit dalam politik tidak ada ruang JUJUR dan hipokerit itu mengajar supaya jangan jujur.
Jujur? Hahhh...
Sekadar nak beritahu:
Dua tiga hari yg lalu ada penceramah agama dijemput. Orang terkenal. Bercakap pasal jujurlah. Tahu berapa kena bayar? RM7 untuk satu jam setengah.
Dulu ada juga sekali. Orang lain tapi masyhur juga. Tahu berapa kena bayar? Dahlah datang lewat, kena bayar RM 8 ribu ++
Saya pernah jadi broker forum tahun 90an dulu. Jemput Dr. Harun Din. Tahu berapa kena bayar? Tiket kapal terbang di pulangkan balik. Duit yang dibungkus dalam buku, dikoyak-koyak dan duit itu diberi balik untuk persatuan.
Saya geleng kepala. Tak jumpa lagi orang jujur ikhlas macam ni. Sekali jemput (/) yang bertaraf menteri. Ambil tambang harga kapal terbang, datang balik dengan bas.Duit hotel pun sapu, tidur dalam bas.
Hua..hua...huaaa.
Inilah jujur dan hipokrit.
Salam
Salam Tukya,
Hehehe.. pada saya dalam ruang politik Malaysia, tak ada ruang nak jadi jujur jika terikat dengan parti. Jangan kata orang lain, yang berkedudukan dalam PAS pun terbelit.. tapi.. bukan bohong.. namanya strategi @ siyasah syar'iyyah. Lagu tu takpa.. kata depa!
Maka saya pikir.. ohh, dalam islam rupanya boleh belit-belit bohong-bohong jugak, cuma kena tukar namanya saja..
Jadinya, bohong itu bukan soalnya, tapi yang paling penting sebelah parti mana? Belah BN.. belit bohong masuk neraka.. sebelah PR strategi/siyasah syar'iyyah boleh masuk syurga. WAH!!!
Tup-tup, ada yang keluar.. sebab katanya tak mau nak jadi pak turut.. atau di'harakah'kan dapat juta-juta.. Lalu jadi barua haramjadah, sasau, hipokrit dan khianat terhadap perjuangan..
Perjuangan apa? Perjuangan nak tumbangkan BN, atau tegakkan keadilan atau mem'PM'kan Anwar? Ok, semua sekalilah.. Sebab Anwar boleh jadi PM, sekaligus tumbangkan BN dan tegakkan keadilan (cuma islam terpinggir sikit lah ye).. Dalam ilmu hisab boleh kata ANWAR + PM = KEADILAN - UMNO
Makanya, otak saya yang karat ini rumuskan.. YB tu keluar Parti di'harakah'kan jadi Barua Haram jadah pengkhianat dapat juta-juta sebab tak sanggup nak ber 'strategi' & 'bersiayasah syariyyah' demi mem'PM'kan Anwar.
Maka.. sapa barua dan haramjadah yang kata belit bohong itu siyasah syar'iyyah yang membawa ke syurga??
Salam Tukya..
Abi Qalam
"Taka apa…tak apa…khabarnya pilihanraya bulan September ini. Kalau cepat lagi bagus. Akan cepatlah hilang kemaluan saya dan akan cepatlah terpadam taitel YB yang sangat menggelisahkan saya"
Nak hilang gelisah, berhenti jadi Y.B.
siapa takde paksa dia jadi Y.B. sebenarnya dia sayang nak berhenti.. betul tak tukya?
Post a Comment