Aku rasa terpanggil apabila membaca kesasauan seorang sahabatku dalam ruangan ini minggu lalu. Dalam Kamus Dewan Bahasa erti sasau ialah: Orang yang makan banyak.
Manakala pengertian sasau dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia ialah selain dari makan banyak membawa erti ‘kurang pikir.’
Maka bodohlah kami lima enam orang ini kalau terima makna ‘kurang pikir.’ Tapi yang jadahnya, cakap-cakap kami sekarang ini ramai pula yang kata ‘sasau.’ Kerana itu ada lebih baik aku nak hurai sedikit hal-hal kesasauan kami yang sudah lama lompat dan menjadi kelompok ‘kupang tembaga.’
Aku inginlah hendak minta maaf, terutama kepada etnik India, Cina, Benggali dan Melayu kerana akan kusebut perkara yang mungkin tak berapa sedap. Tapi ini pribahasa orang Melayu yang tidak tercatit dalam Kamus Pribahasa.
Orang Melayu apabila menganggap sesuatu perkara atau seseorang yang tidak terpakai langsung, dipribahasakanlah dengan:
Golok atau bantal Cina
Kebun Melayu
Basikal India
Janda Benggali.
Apakah aku dan kawan-kawan aku, sejak kami beramai-ramai melompat kemudian mengeluar kenyataan akhbar, TV hingga kesaat ini, kami dianggap macam pribahasa di atas? Memang pun ramai yang anggap kami begini yang membawa erti kami ini tak terpakai sekupang pun, macam janda Benggali, macam bantal Cina, macam basikal India, macam kebun Melayu yang membawa rerti kalau bagi percuma pun siapa pun tak sudi, melainkan orang sasau jugalah.
Aku ini bukan calang-calang jadi YB. Tidak macam mereka, kodok lokhoi saja. Tapi sebenarnya bintang anugerah itu aku yang calon sendiri, aku hemoi-hemoi.
Selama aku dalam parti yang dikatakan sebagai pembangkang ini tidak selesa, tidak sepadan dengan gelaran yang aku terima. Orang bergelar macam aku, duduk sebelah sana sepatutnya. Aku sepatutnya genggam projek-projek mega..
‘You all akan jadi orang utama. Cakap you mereka dengar. You all boleh menggugat mereka. Cakap sepatah dalam TV, semua orang akan panggung kepala,” demikian rangsangan ketika tawaran dilempar kepada kami.”Projek untuk you all, petik saja boleh dapat.” kata mereka lagi.
Dan aku, mereka pun berilah tawaran paku longgar supaya aku bantai kapten aku kerana orang yang layak akulah. Akulah yang kononnya maha tahu sampaikan bulu ketiaknya. Maka aku pun diberi faktur-faktur yang lojik untuk aku bercakap. Tunjukkan emosi, bentukkan rupa cakap, bahasa badan, senyum lebar yang membuktikan aku ini seorang yang sayang Melayu. Buktikan aku ini pahlawan Melayu. Tapi jadahnya aku terlupa, aku yang menang dulu dalam banglo dan kondomunium bukan Melayu.
Yang aku nak sebut di sini, memang celaka dan haram jadah pun. Rupa-rupanya semua tak menjadi setelah aku dan kawan-kawan mengediang, membilas, merembat, mengejang betis melompat kuat. Adalah sekali kenyataan dalam TV dan akhbar yang meletup. Tapi yang meletup itu sipongangnya tak seberapa. Pihak parti yang mempelawa kami lompat, buat macam tak ambil berat. Cakap kami tak diendah. Pembangkang pula memang jembalang hangit, langsung tak respon pun cakap kami.
Memang cakap YB hebat dan tidak boleh dipandang ringan. Tapi yang berlaku sebaliknya. Celaka sungguh. Memang pun semua orang dengar tapi tak ada pun yang peduli. Kadang-kadang aku buat kenyataan sampai terbeliak biji mata, sampai naik urat leher namun tak siapa pun peduli. PM dan TPM macam dengan lagu sumbang. Aku dapat tahu dari kawan aku, kalau aku cakap dalam TV 1, orang bukan TV3. Kalau aku cakap di TV3, orang bukan Astro Ria. Aku cakap dalam Awani, mereka tengok cerita seram.
Aku kejutkan kenyataan di bangunan mulia sebagai bukti tak boleh bohong, aku cabar aku ada bukti. Tapi jadahnya aku dan kawan-kawan sudah jadi macam janda Benggali, macam kelambu Cina, macam kebun Melayu, macam basikal India. Tak sepatah pun terpakai.
Aku rasa senasib dengan kawan aku minggu lalu. Nak balik bukan tak berani, tapi aku nak sondol domoi kepada siapa, di mana?
Malam kelmarin dulu aku balik sengap-sengap. Aku telefon kawan baik aku. Dia jawab dia ada di kedai nasi kandar. Dia panggil aku datang. Ramai kawan-kawan lain ada, katanya. Bini aku jerkah sampai kepala tahi aku tersentot. “Buat apa sua domoi kepada orang yang tak berkenan dengan kita? Buat apa nak rengkuh sondol ke kawasan yang gerannya bukan nama kita? Nak ceramah? Ceramah apa, cuba cakap? Nak suruh orang undi siapa? BN? PAS? PKR? Alaaa, bukan itu caranya. Cakap boleh tapi cakap itu akan jadi ‘kupang tembaga!” kata bini aku.
Aku cepat mencelah. “Bukan kupang tembaga, tapi janda Benggali!”
“Pulakkk!” bini terbeliak biji mata. Mata sampai juling macam bianglala senja. Tak cukup dengan itu, bini terkam ke dapur, ambil golok Cina, hambat aku.
“Nanti, abang bukan menikah dengan janda Benggali! Nak buat apa janda macam tu!”
“Haaa, tau pun. Macam itulah juga kita. Dah jadi macam kupang tembaga pun tak sedar lagi?”
Malam itu aku rasa macam bukan seorang YB. Tapi sebenarnya itulah YB. Bukanlah YB kalau tak takut bini, kata orang Tapi dalam takut-takut pun sempat juga menikah curi.
Kawan aku minggu lalu pernah menjawab dalam Parlimen bahawa dia (tentunya aku dan lain-lain juga) tak mau di tanya Allah di akhirat nanti tentang tanggung jawab. Sedapnya cakap.
Ertinya wahai sekelian yang menamakan kami ini, golok Cina, basikal India, janda Benggali, kebun Melayu, hendaklah ingat, kami juga ada tanggung jawab.
Demikianlah adanya. Yeeebabbbb!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
14 comments:
Janda Benggali saya boleh faham dan bayang, tapi bantal Cina, basikal India dan kebun Melayu saya kurang fahamlah...Tak palah kira semua tu kupang tembagalah...
Zolkharnain Perlis
Dok tunggu Sasau Seorang YB(111)
Salam Tukya,
Memang sasau.. Segalanya jadi sasau bila menjadi isu dan modai berpolitik.. Dan saya tak ingin sentuh pasal YB kawin curi..
Kita dengar begitu-begini di'harakah'kan kita percaya. Dan kita dengar begitu begini di'utusan'kan kita meluat haramjadah.
Sebab kita suka di'harakah'kan dan benci di'utusan'kan kerana ideologi politik kita.. Begitu juga sebaliknya dan itulah hakikatnya.
Jadi, dasarnya bukan kesasauan seorang YB, tetapi kesasauan kita sendiri yang dah benci, tak suka, marah haramjadah tak kira belah mana pun.
Makanya, pada yang PR, YB yang warak pun boleh jadi sasau bila diharakahkan.. dan pada BN, YB yang bengong makan rasuah pun boleh jadi hero bila diutusankan.
Jadi buruknya sasau itu bukan bersangkut nilai.. cuma bersangkut parti. Ohhh sasau sungguh!
Kesasauan yang sungguh sasau pabila kita menilai sasau-sasau orang lain yang diharakahkan dan diutusankan sebagai sasau dengan kesasauan diri kita yang memang sasau!
Orang selalu kata "seduit pun tak guna".
Salam Tukya,
Saya dari dulu lagi tak yakin dengan YB Bebas ni. Rasa hati saya YB ni tak lama. Rupanya betul juga akhirnya. Saya selalu ikut rasa hati kecil,orang cakap firasat. Kalau terdetik rasa tak senang, saya tak jadi beri derma atau sedekah. Kadang-kadang sekali tengok kita dak ragu.
Us Zolkharnain,
Bantal Cina, Kebun Melayu tu samalah juga dengan JB. Kalau guna pun tak terpakai juga. Budaya Cina, kalau mati, bantal akan di bakar. Golok Cina, tumpul bedengung. Buat belah kelapa bolehlah. kebun Melayu, semak bedengung, tak siapa teringin.
Salam
salam....
akhirnya....
terburai.....
ini kalau sambung menyambung beberapa siri, boleh jadi satu novel satira pula....
Salam Tukya.
@naimisa
Salam Tukya,
Apa kata kalau Cikgu selitkan angau nak rujuk pada janda yg telah ditalak 3 (BN humban PAS keluar). La ni dok teregeh-egeh nak bersatu dan berpadu.
Depa dah lupa kot bagaimana depa buat kat TG MB Kelantan. Tangkap anak TG,tuduh militan, JI,Ketua Militan. Macam mana TG nak lupa semua tu. Saya rasa TG cukup terpukul waktu itu. Bila nak nazak baru nak berpadu. Gila talak lah tu.
Sekian
SDRA AK
Baca novel saya bertajuk KAWIN-KAWIN, yang memenangi Hadiah Sako II terbitan utusan Melayu
-azizi
Untuk maklumat ustaz,"Sasau" Orang Kelantan panggil NYASAU. nyasau ni seperti orang tak tentu hala,jadi bengong (bingung),nak kata gila tak gila,kalu berjalan tak tentu haluan, kalau bercakap -merapu,kalau berfikir -tak lengkap unjap,sekali begitu sekali begini (tidak istiqamah). Tapi kalu nyasau gila talak lagi teruk!!!. Menasabahlah kalu YB jadi orang NYASAU kok se kok dan (bercelaru dalam bercakap,dalam berfikir dan dalam hala tuju perjuangan.(Hajilah)
Halijah
Haa...haa...ha.....
azizi
halijah kata NYASAU tu SASAU lah.
Tak payoh kata YB soghe joooo... sbnarnyo parti PAH pun dah jadi parti SASAU atau NYASAU daaahhh..
mulo - parti bawa kawe kafir, JADI kafir.
pahtu - PAH 4 all
lo nii - bawok kafir dale parti
DEMO NI LBIH SASAU/NYASAU DARI SEMUOMUONYO.....
keh keh keh --- weeekkk..
Ass..
Nak punya permasalahkan kewangan dan jodoh nak boleh kounsultasi dgn atok bomoh dekat indonesia... Nak boleh pon +6285298892338 sy dah tertolong dgn atok..
Post a Comment