Sepi Makin Memanjang
-Azizi Hj Abdullah
‘Nikmat Panjang Umur?’
Pikun senyum sendirian. Dagunya diusap-usap. Diurut-urut janggut putihnya. Dalam keadaan terhenggung-henggung membawa sebakul sampah ke tempat membuang sampah kira-kira 110 meter dari rumahnya, Pikun terjumpa majalah Dewan Sastera lama. Bila diselak-selaknya, Pikun terbaca tajuk cerpen Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Masakan panjang umur satu nikmat! Bentaknya kepada Abdullah Hussain, penulis cerpen Dewan Sastera bulan Mei 2004 itu. Ketika itu gulung kain pelekatnya hendak terlondeh. Baju yang tidak dikenakan butang, mengerbang-ngerbang di tiup angin.
Pikun bukan kaki baca, apa lagi sastera. Tapi dia macam terpanggil membaca tajuknya yang sangat dibencinya itu. Isinya 4 muka tidak pun dipedulinya.
‘Siapa kata panjang umur, nikmat?’ Pikun mengepom pipinya, menarik pisau cukur yang matanya sudah tumpul dari ekur pipit hingga ke dagu. Cermin 16 x 16 inci itu sangat setia. Ketawa tidak mengeremot pun tidak. Lantunannya adalah wajah pikunnya sendiri. Berkedut dan kerepot.
Barangkali benar kalau Abdullah Hussain menganggap dia yang panjang umurnya satu nikmat. Dia mungkin ada tiga anak keliling pinggang setiap masa. Mungkin isterinya menyuap makan setiap waktu. Mungkin jiran-jirannya selalu datang membawa buah tangan. Mungkin beraknya ditadah mangkuk. Mungkin kencingnya disedia getah paip. Mungkin tidurnya di atas tilam yang cadarnya disalin sekali sehari.
Tapi apakah panjang umur satu nikmat? Nikmat apakah kalau sudah tua? Begitu seakan ditempeknya kepada SN Abdullah Hussain. Masakan enak kalau gigi sudah tinggal sepuntung? Masakan indah kalau mata sudah rabun? Masakan nikmat kalau terengah-engah? Masakan selesa kalau mengah-mengah?
“Hahhhh!” ditepuknya sekali pipi kanannya yang sudah bergaris-garis lusuh. Anehnya siapa pun tidak peduli. Kalau ada bini tentu bini tanya kenapa? Alangkah sepinya dan alangkah hinanya hidup tua seperti hari ini. Tidak ada siapa yang peduli. Dan itulah sunyi sebenarnya. Tidak ada siapa itulah yang menjadikan dia rasa sepi. Sunyi bukan nikmat. Sepi dalam usia kepikunan bukan nikmat. Jadi adakah panjang umur itu nikmat? Bohong. Abdullah Hussain sengaja mencipta kata-kata itu untuk menyedapkan hatinya. Bukankah panjang umur itu tua dan tua bukankah menyusahkan hidup?
Petang kelmarin ketika sampai di surau hendak solat maghrib dia terasa cukup hina apabila dalam keadaan hengung-hengung itu, badannya terasa hendak melayah. Mujur Dali, tukang azan sempat menyambar.
“Lain kali bawa tongkat, Pak Kun. Tongkat saya sedekah dulu, tak bawa?” kata Dali.
Apakah itu nikmat? Dia merasa sakit hati. Maka belum pun masuk Isya, dia sudah balik teraba-raba dalam samar cahaya bulan.
Sepatunya kalau ke surau, Samsullah yang patut papah atau bawa dengan kereta. Sepatutnya ketika hendak naik tangga surau dua takah itu, Samsullah pegang bahu atau lengan. Tapi malang Samsul tidak ada walaupun Samsul anak tunggal yang dia sayang. Sepatutnya Samsul beli kerusi roda, solat atas kerusi. Tapi tidak. Dia terpaksa duduk bersila solat.
Sepatutnya lagi, binilah yang urus semua. Tapi sayang bini sudah meninggal tiga puluh tahun yang lalu.
Pikun benci kepada umur panjang bukan kerana terjumpa majalah Dewan Sastera bulan Mei 2004 saja, tetapi sebelum itu pun dia sudah terasa benci tentang umur panjang. Tua banyak menafikan kelazatan dan keseronokan. Umur panjang bererti tua sedangkan tualah yang menyekat segala pergerakannya. Semakin panjang umur semakin sunyi rasanya, semakin sepi jadinya. Tapi peliknya dia tetap mahu hidup. Dia tidak mahu mati lagi. Dia ingin merasa nikmat dalam umur panjangnya. Dia ingin merasai sesuatu.
Sebulan yang lalu dia dibawa oleh Samsul ke bilik sewanya di bandar K yang jauhnya enam puluh lima minit dari rumah “Pak duduk di sini. Duduk sampai bila-bila. Pak tak payah balik lagi,” begitu kata Samsul dalam keadaan kalut-kalut hendak pergi kerja sebagai Pengawal Keselamatan di supermarket.
Dia tersengih gitu-gitu. Sedikit pun dia tidak merasa seronok. Pelawa Samsul macam semawa ayam. Diri sendiri pun tak lepas.
Sehari dia tinggal di bilik sewa Samsul yang masih belum menikah itu, dia sudah merasa sesuatu. Pikun tenguk ke luar hanya melalui jendela papan yang sudah terkeleweh. Memang di luar ada orang lalu lalang, ada kereta keluar masuk, ada kanak-kanak bermain, ada perempuan ke pasar, ada anak-anak gadis ketawa berkukik-kukik dengan telefon dipekup ke telinga.
Dua hari dia di bilik, Samsul asyik bertanyakan soalan yang sama. “Abah dah makan? Kalau abah nak keluar, jangan pergi jauh-jauh.” Kemudian selebihnya terdengar dengkur Samsul tidur siang kerana malam Samsul berjaga. Kalau kebetulan ada bersama, gelisah Samsul lebih dari gelisahnya.
“Aku nak balik!” akhirnya dia cuba mengelak dari gelisahnya yang mula ketara. Manakala Samsul pula semacam hendak berkata eloklah. Tapi Samsul cerdik. Dia tidak pun membantah. Dua puluh ringgit diberi dan Samsul menghantar dengan motosikal tak ada cukai jalan ke perhentian bas.
Dia balik mengulangi rasa sepi lagi. Balik seorang diri memang membosankan. Segenap ceruk sunyi menghimpitnya.
Hampir lapan puluh tahun memanglah dia sudah tua. Selayaknya dia sudah pikun. Memang pun Pikun tahu, apabila seseorang mula dipanjat tua, mahu atau tidak mahu jiwa raga, perasaan akan berpindah secara berdenyut-denyut kepada bangka dan bongkok. Tapi dia degil. Dia cuba tidak mau tunjuk tua. Tongkat yang dibeli oleh Dali, tukang azan surau dilemparnya begitu saja.
Petang itu, selepas asar dia duduk di depan rumah. Majalah Dewan Sastera yang diambil di tempat membuang sampah, dibacanya. Tapi malang ketika hendak membaca, matanya jadi kelabu. Puas dijegil beliak tapi huruf-huruf hanya nampak selari. Rasa-rasanya mahu juga dia mengetahui apa yang ditulis oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain itu.
Semalam dia teringat Tuk Guru Ustaz Azman membaca kitab di surau tentang peringatan hari tua. Dia memang pun sudah tahu dan berpengalaman hari-hari tua, bagaimana kelemahan menguasai seluruh tubuh, semua pancaindera dan seluruh anggota. Dia sudah mengalaminya.
Bagaimana Abdullah Hussain boleh kata panjang umur satu nikmat, bisiknya. Sayang dia tidak dapat membaca cerpen Abdullah Hussain dan dia menyalahkan dirinya sendiri kerana isi yang disampaikan oleh Abdullah, tidak diketahuinya.
‘Tuhan yang mencipta kamu dalam keadaan lemah, kemudian dijadikanNya kamu kuat sesudah lemah, kemudian dijadikanNya kamu lemah semula dan beruban sesudah kuat, Tuhan menjadikan apa yang dikehendakiNya, sedang Dia Maha Mengetahui lagi Berkuasa.’
Ustaz Azman yang bersuara lantang, berserban sebesar bakul itu membaca surah Ar-Rum ayat 54. Ketika itu dia hendak bangun ke bilik air. Mahu ditunjukan dia bukanlah di antara orang yang lemah sesudah dulunya kuat. Tapi dia terpaksa juga menongkat tangan di kepala lutut, melonjak punggung dahulu dari mengediang dan meluruskan lutut.
Semua anak jemaah melihat kepikunannya. Dia mengeremot muka menahan bisa lenguh. Jadah apa yang memalukannya. Sepatutnya di tengah orang ramai, dia terus membingkas seperti kucing bangun tidur.
‘Di antara kamu ada orang yang disampaikan kepada umur tua bangka, sehingga dia tiada lagi mengetahui sesuatu yang pernah dahulu dia mengetahui.’
Dia sangat jelas mendengar Ustaz Azman mebaca surah An-Nahl ayat 70. Ketika itu dia terasa hendak buang air besar. Cepat-cepat dia mengambil keputusan balik.
Tiba-tiba lamumannya terputus. Dia dikejutkan kedatangan Dali degan motosikal tuanya dalam keadaan membingit telinganya.
“Pak Kun silap pakai kasut semalam,” kata Dali ketika turun dari motosikalnya. “Itu kasut saya, ini kasut Pak Kun!” Dali ketawa terbahak-bahak.
Baru dia tersedar, semalam dia pakai kasut orang lain. Ketawa Dali menjadikan dia memaki hamun ketuaannya. Adakah dia sudah nyanyuk? Dia teringat ayat yang dibaca oleh ustaz semalam. Memang dia sudah pikun.
“Nak makan mee rebus, marilah!” kata Dali.
Dali memang anak muda yang baik. Dia cuma bekerja menjual mee dan bihun di waktu malam di depan rumahnya dekat surau. Dali yang sudah mempunyai tiga anak, bersama isterinya juga mengambil bapanya yang lumpuh tinggal bersama mereka.
“Jom!”
Dia mengeleng-ngeleng. Rasanya Dali bukanlah orangnya dia hendak menenggek di atas motosikal. Kalau Samsul yang ajak, memang patut. Samsul anak tunggalnya. Kalau Samsul ajak, dia akan kapuk pinggang Samsul kuat-kuat. Biar kapukannya itu disedari oleh Samsul, bukan kapukan takut tetapi kapukan rindu. Tapi Samsul tidak pernah pun ajak naik motosikal bersiar-siar. Ada tak ada, hanya menghantar ke perhentian bas. Itu saja.
Kalaulah Samsul balik, mau diajaknya ke pekan. Mau di ajaknya makan mee rebus. Mau di ajaknya Samsul ke masjid solat bersama-sama. Biar jemaah tahu, Samsul anaknya bawa bapanya ke masjid. Biar orang tahu Samsul juga ada motosikal.
Tapi Samsul selalu berdalih apabila dia hendak naik motosikal. “Motor saya tak ada cukai jalan,” kata Samsul.
Satu hari apabila Samsul beritahu motosikalnya tak ada cukai jalan, dia cepat-cepat mengeluarkan dompetnya. Diunjuknya RM30. Samsul mengambil tanpa berkata apa-apa. Petangnya apabila Samsul balik, dia pun ajak Samsul. Ingin benar dia hendak memeluk pinggang Samsul. Masakan tidak boleh. Bukankah pinggang Samsul pinggang anaknya. Tidak ada topi keledar tak mengapa. Dia akan pakai serban. Tapi Samsul menjawab selamba: “Mana boleh. Motosikal ni dah lama tak ambil cukai jalan. Kena test Puspakom dulu!”
Dia tak tanya pun apa dia Puspakom. Dia cuma menelan air liur dan terbongkok-bongkok duduk di anak tangga. RM30 juga tak diminta. Dia tahu Samsul guna duit itu.
Kerana itu dia serik ke bilik sewa Samsul di bandar. Biarlah dia menghadap sunyi bersama sepi. Biarlah duduk keseorangan melentang abau di tengah rumah atau berjuntai kaki di bendul tangga. Dia tetap Samsul akan balik juga sekali sekala dan dia berharap Samsul akan mengerti, ubat sepi paling mustajab ialah apabila anak balik ke rumah.
“Bohong!” akhirnya dia melempar majalah Dewan Sastera yang dijumpainya di tempat sampah itu. Bencinya bukan kepada majalah lusuh itu tetapi benci kepada tajuk cerpen Abdullah Hussain tentang panjang umur satu nikmat.
Memang, memang dia tidak pernah merasa nikmat sepanjang hidup dan dia sendiri tidak tahu bentuk nikmat. Cuma sejak tua inilah dia rajin sedikit ke surau. Memang benar kata-kata Ustaz Azman nikmat yang besar ialah sihat. Nikmat yang besar ialah Islam.
Dia mengeleng-ngeleng kepala di depan cermin sebaik-baik saja dia balik dari mendengar bacaan kitab itu. Dia berkata kepada wajah kedut dan pikunnya bahawa dia tidak merasa apa-apa. Dia sudah merasa tidak sihat apabila sudah melebihi 70 tahun. Batuk, lenguh, sakit pinggang, urat, mengah, lelah, gout, penat. Paling tidak gatal. Nikmat Islam juga dia tidak pernah rasai. Muda-muda dulu tidak sempat solat. Seharian kena jaga kedai biliard. Kena jumlah point. Kena angkat minum sejuk termasuk bir. Paling tidak ramai kongsi tafsir mimpi kemudian cari buku tafsir empat nombor ekor.
Waktu itu Samsul bersekolah. Dia tidak tahu Samsul bersekolah hingga tingkatan berapa. Ketika dia di kedai biliard, dia tidak tahu Samsul baca buku atau buat apa. Bila dia balik Samsul tidak ada di rumah. Bila Samsul balik, dia pula keluar rumah. Masa itu dia memang tidak sunyi. Dia tidak pernah rasa sepi. Bising, pertengkaran kecil, ketawa dari pelanggan pemain biliard adalah suasana rutin. Paling tidak mereka masing-masing menepuk dahi apabila nombor ekor selisih dua atau tiga. Mereka saling menyalahkan tafsiran, bukan mimpi atau nombor ekor empat digit itu.
Akhirnya ketika umurnya 60 tahun baru dia tersedar dan bertanya kepada diri sendiri, sampai bila dia mahu menjadi tukang hitung mata permainan bola golek dan berlaga itu? Maka dia pun berhenti. Ketika itulah baru dia merasa sepi, sunyi. Baru terkenang isteri yang mati tiga puluh tahun yang lalu. Baru menyesal tak menikah lain untuk memenuhi rasa sepi dan sunyi.
Samsul bukan galang ganti ibunya yang meninggal. Samsul boleh ada boleh tak ada ketika itu. Tapi kini barulah dia tersedar tapi Samsul pula semakin renggang.
“Tak bolehkah kau kerja di sini saja?” katanya pada Samsul lima tahun yang lalu apabila Samsul memberitahu yang dia dapat kerja sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah supermarket.
“Di sini nak kerja apa?” tanya balik Samsul yang gempal tubuhnya itu.
Pertanyaan balik itu menjadikan dia tidak dapat jawab. Akhirnya Samsul kerja di bandar. Sewa bilik. Tak pernah balik. Kalau balik pun tiga empat bulan sekali. Balik pula bukan balik kerana rindu tetapi nak ambil apa yang ada.
Semakin sepilah dirasanya. Semakin sunyilah ia sebagai seorang bapa. Dicuba hambat sepi dan sunyi. Akhirnya baru dia kenal surau dan sememangnya pun surau layak untuk orang-orang berusia sepertinya. Di surau dilihatnya ramai yang gemar mengisi masa lapang. Dia melihat mereka tidak pun sepi dan sunyi. Tapi malangnya dia tidak mampu berbuat begitu. Mau berzikir dia tidak minat langsung. Terasa bosan. Mau membaca Qur`an selepas solat, dia tidak mampu mengenal ayat-ayat di dalam Qur`an. Akhirnya dia hanya menjadi jemaah setia dengan hanya bersandar di tiang surau, duduk tersorok di sudut surau jika ada ustaz-ustaz yang membaca kitab.
Petang itu dia solat maghrib di rumah. Sangat panjang doanya. Dia memohon kepada Allah agar ditemuinya seorang perempuan, kiranya lebih tua darinya pun tidak mengapa. Kali ini dia mahu mencari isteri, setidak-tidaknya peneman sunyi, selain dari menjadi ibu rumah untuk sama-sama makan minum. Huduh pun tak apa asalkan perempuan itu sanggup tinggal bersama.
Dalam simpanan rasa-rasanya cukup untuk belanja hantaran dan mas kahwin. Sebanyak manalah sangat harga seorang janda.
Samsul mungkin boleh tolong cari atau tolong kira bicara. Kalau dia berkahwin Samsul tentu gembira mendapat emak baru walaupun sudah berpuluh tahun Samsul tidak berpeluang menyebut emak. Kalau Samsul tidak mahu, dia boleh minta tolong Dali. Cari yang boleh jaga sakit demamnya. Cari yang susah, bukan yang kaya. Cari yang anak-anak sudah besar panjang.
Tiba-tiba seperti yang dijanji, terdengar Samsul balik dengan motosikal yang tidak ada cukai jalannya. Dia berAlhamdulillah berkali-kali. Pucuk dicita ulam mendatang. Samsul seperti tahu-tahu akan hasratnya.
Disambutnya kepulangan Samsul lebih dari yang sudah-sudah. Sepelas makan nasi bungkus yang dibeli oleh Samsul, dia bersila di depan Samsul. Tapi mulutnya terkunci. Dia hanya melihat anaknya yang sudah besar panjang, yang tidak pernah merasai kaya dan mewah, malah tidak pula merasai bagaimana bersama seorang isteri.
Dia juga nampak Samsul seperti hendak bercakap sesuatu. Pertembungan itu menjadikan dia dan Samsul seperti bisu. Apakah Samsul ada perkara yang mustahak menyebabkan dia balik? Tapi dia juga amat mustahak hendak bercakap dengan Samsul.
“Pak nak cakap sesuatu, Sul,” akhirnya dia dapat meluah hasratnya yang terbuku itu.
“Saya pun ada hal, Pak,” jawab pula Samsul.
“Sebab tu kau balik?”
Samsul angguk-angguk. Rokok daun tembakau jawa dipilin-pilinnya.
“Pak berharap kau balik. Mujur kau balik.”
“Mustahakkah Pak nak cakap?”
“Kau pun mustahakkah?”
Samsul angguk-angguk. “Bukan saja mustahak, tapi harap sangat.”
“Cakaplah.”
“Paklah yang cakap dulu.”
“Tak apa, kau yang cakap dulu.”
Samsul mengalih sila. Merenung arah pintu. Bersandar ke dinding dan melepas nafas sesaknya. Berkali-kali mengemut puntung rokok daunnya. “Begini, Pak pun tahun saya sekarang hampir 40 tahun.”
“Memang pun dah tua.”
“Saya dah ambik keputusan, tapi maaf kerana tak berunding dengan Pak lebih dulu.”
“Tak apa, kau dah besar panjang.”
Samsul merenung amat lama seperti mahu mempasti apakah bapanya di hadapannya.
Dia pun membalas renungan itu, seperti memberitahu bahawa dia adalah seorang bapa.
“Pak, saya dah buat keputusan, saya nak menikah!”
Dia terpanggung kepala tetapi kemudiannya tunduk mengerunas tikar getah yang sudah tercalar balar. “Alhamdulillah,” bisiknya. Dia mahu Samsul memberitahu habis kemudian barulah dia akan memberitahu hasratnya pula. Moga-moga kenduri dua tiga talam dapat dibuat sekali.
“Tapi saya tak cukup duit, Pak. Saya nak minta Pak bantu sikit.”Seperti halilintar memjunam ke bumi tapi akhirnya jadi senyap. Kiranya permintaan Samsul tidak menjejas hasratnya.
“Berapa?”
“Pak tahu sajalah belanja sekarang. Itu pun perempuan biasa saja. Kerja kilang. Bujang.”
“Yalah, berapa?”
“Saya rasa dua ribu cukuplah. Ada rezeki saya bayar balik nanti.”
Dia macam hendak terlentang. Kali ini benar-benar dia rasa pikunnya melanyak menghuli lembik tenaganya. Setahunya, dalam simpanannya hanya ada seribu dua ratus. Mahukan dua ribu, di mana mahu dikerobek. Bukan itu saja, kalau yang ada diberi, bagaimana dia dapat menikah pula?
Suasana sepi agak lama. Dia tidak berkata apa-apa pun. Dia cuma tunduk dan mengeluh beberapa kali. Manakala Samsul, dia sudah merasa kecewa. Harapannya nampaknya sukar ditunai. Lalu dia pun bangun memakai baju.
“Saya balik dulu. Nak kerja malam ni,” kata Samsul bersahaja tapi nampak sangat kecewa.
Dia tunduk lagi. Dengan apa dia hendak diberi jika sebanyak itu? Jika yang ada diberi, bererti dia akan terus membujang. Apakah dia mesti memilih, mengisi kesepian atau terus tidak terisi? Yang meminta bukan orang lain. Samsul anak sendiri. Tapi Samsul juga sudah lama mensunyikan hidupnya, menyepikan hidupnya.
“Bila kau nak menikah?” tiba-tiba itu yang ditanya ketika Samsul membuka pintu hendak turun.
Samsul nampak ceria. Dia merenung bapanya seperti bapanyalah yang ada di dalam dunia ini. “Sebolehnya cepat,” kata Samsul.
“Pak ada seribu saja, tapi duit itu Pak nak buat belanja menikahlah!”
“Tak apalah. Saya cari tambah seribu lagi,” Samsul sangat ceria.
“Takkkk...duit tu Pak nak guna.”
“Pak nak menikah?” Samsul terbeliak mata.
Dia angguk dan tersenyum.
Samsul bergegas turun. Bunyi injin motosikalnya dihidupkan sangat mengejut dan kemudian terdengar teranan injin motosikal buruk itu seperti hendak pecah.
Dia terlepuk di muka pintu. Mungkinkah sepinya akan memanjang lagi?
------------------------------------------
Catatan::
Mula tulis 9hb May 2010 jam 8.23 mlm. Siap 21.43 mlm. Semak semula 10,11 Mei 2010.
Idea dari melihat jodol cerpen SN Abdullah Hussain “ Nikmat Panjang Umur’ DS mei 2004
-Tersiar di Dewan Sastera Ogos 2010
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
20 comments:
betoi ustaz.nikamt sehat masa sakit.nikmat sakit masa sehat.nikmak kaya masa miskin,nikmat miskin masa kaya.nikmat muda masa tua.nikmat tua masa muda.SELAMAT BERPUASA UNTOK USTAZ
Ustaz, boleh ke siar dlm blog sedangkan Dewan Sastera Ogos kini sedang dijual...?
member lama
sedap malankonik ni.
salam ramadan
azizi
sdramxypltk,
apa salahnya. karya ni hak saya.
salam.
azizi hj abdullah
Slmt berpuasa Ustaz....Sedap sungguh juadah minda dari Ustaz.Saya sememangnya amat gemari juadah2 minda yg dihidangkan oleh Ustaz...lebih2 lagi keenakan ayat2 metafora...malankonik menyentuh kalbu ...menyentap kepanasan di dada.
ust. tak boleh ke buat cerita yang kata pengawal keselamatan itu smart sikit.Ini ust punya cerita pengawal keselamatan lekeh sungguh.Motor tak ada road tax.Rumah pun sewa bilik.Nak menikah pun duit tak cukop.Nak bagi kat ibu pun tak lepas.Cuba reka sikit ust perli-perli sikit gomen BN ke PAS ke PKR ke DAP ke.Depa hidup susah gaji rendah sama dengan kemiskinan tegar.Anak banyak.Yang pelik ada juga yg bini dua pun ada.Depa pun rakyat malaysia juga.Kalau RM 1000 apa yg boleh dibuat hari ini.Orang gaji besar pencen besar ok lah.Goleh kiri kanan pun ok.Kesian juga bila baca cerpen ubst pasai kehidupan pengawal keselamatan di malaysia yang makmur dan kaya raya.
ibnu jailani
itu cerita melayu tanjung yg ada saki baki lagi
-azizi
Salam Tokya,
Saya berpendapat jalan cerita yang cikgu bawa kali ini macam nak sindir susuk tubuh AMaNO saja. Pikun tak kawin-kawin selepas kematian isterinya pasal miskin. AMaNO ceraikan PAaSo dengan talak 3 . Masa itu,mungkin AMaNO rasa dia kuat segala-segalanya, maklumlah tengah muda dan kaya raya. Tapi sekarang setelah semakin tua ,terasa sepi kerana isteri dahulu telah pun berumahtangga dengan orang lain. Dah tua-tua ni manalah orang hendak lagi. Kudrat dah kurang,duit pun dah kurang.
Salam Ust.nak tanya awat orang dikelantan banyak sakit mental.Keturunan ke atau dok pikaik masaalah ekonomi serta politik negera.
sdra ak
terpulanglah kepada persepsi. itu yang dikatakan sastera kreatif.
SDRA HASHIM POI
Saya terfikir juga nak tulis minta pakar kaji jiwa buat kajian kenapa terjadi begitu selalu. memang mental tapi kenapa? macamlah juga pengetua sekolah yang dikatakan mengeluar kenyataan perkauman, tapi kenana? kenapa tak ada yang mau buat kajian, kenapa pengetua buat begitu? mungkin mereka stres. taukah, di kedah saja hampir 500 guru yang stres teruk.
salam
azizi
salam..sedap sungguh juadah minda ni...menginsafkan saya apa erti ketuaan....seronok melihat erti ketuaan dari perspektif org yg sudah menemui ketuaan....
apa hal ini ust kes kejadian kedutaan malaysia di indonesia.Pada ust la tang mana pula tak kena dgn puak indon ini.aku ingat lebih baik hantar kita punya pengawal keselamatan lagi bagus.
Ada kesah terbaru MB (PAS) Kedah sedanga hangat dipasaran.
Khabar rombongan MB yang membuat lawatan kerja ke Mesir dan Arab Saudi baru2 ini. Apa yang hangat Wisma DarulAman dan ahli2 PAS sendiri ialah kerana MB depa turut mengerjakan umrah dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan negeri sedangkan kerja umrah tu bersifat peribadi.Ini keran mereka membandingkan dengan MB Kelantan yang mana sepanjang beliau menjadi MB, belum pernah beliau mengada lawatan kerja sambil mengerja umrah atau haji. Nik Aziz akan mengambil cuti apabila pergi mengerjakan umrah atau haji.
Yang dia orang takpuas hati ialah perbelanjaan (dibiayai oleh wang kerajaan) yang digunakan semasa mengerjakan umrah amat mengejut khabarnya untuk penginapan sahaja mencecah RM15,000/bilik sehari untuk MB dan RM3,000/bilik(2orang) sehari untuk anggota rombongan yang lain.Hotel bertaraf 7*++ itu terletak di Mecca Clock Tower yang baru siap dibina.
Boleh siasat sendiri kalau nak kan lebih kepastian.
Kalu macam ni...alamat dia semakin miskin la kerajaan Kedah selepas ni.
Nyesal aku pangkah PAS PRU12 yg lepaih. Tobat lahum la untuk PRU13 ni. tapi nak pangkah UMNO pun..bagai dikatalah..x berubah-ubah lagi pun, PRU13 tak berapa hari dah ni....dilema...dilema...!!!
uSt.sebenarnya depa tak tahu cerita sebenar agaknya.Setiap MB,EXCO,Menteri,Tim Men.PM,TPM,Speaker ada peruntukan Khas pada mereka untok bercuti termasuklah kalau nak kerja umrah.Kalau tak salah sekali dlm sepenggal sandang jawatan.Mereka tak tahu jadi orang besar ada banyak keistimewaan dan kelebihan.Oleh janganlah buat tuduhan gila-gila nanti berdosa.Orang melayu memang dah kaki buat dosa pun.PAS/UMNO serupa.Bukan pasai Islam ke Melayu ke.Perut dulu dim utamakan.Sebab itulah dok pulun dapat kuasa.Dapat kuasa dan jawatan aduhai segera tukar wajah. Ini lah kisahnya.Apa komen ustaz.
POLITIK UNTOK APA DAN UNTOK SIAPA.
Sdra Docker`s
Memang membazir dan menggunakan peruntukan kerajaan demi peribadi itu tak betul. Ini yang kita tentang.
Tapi soalnya, apakah MB dan Exco kedah yang pi ke Mesir tu, buat macam itu, peruntukan kerajaan?
jangan terburu-buru,mungkin tidak yang betul semua.
Baca komen kawan kita di bawah, itu ada lojiknya.
Jangan bi,mbang kalau tak betul, rakyat kedah buta buta hee. Satu hari nanti depa akan bangkit persoalkan ini.
Sekarang ni, orang nak buat seleweng pun takut. Ramai yang dah pandai komplen. Ramai yang tahu SPRM.
Oleh itu, jangan buat tuduhan. Siasat, biar sah.
Yang penyebai tak mau undi Pas tu kenapa? Awat, buruk Pas sekarang, lebih dari buruk Umno ke?
Jangan begitu. Seburuk-buruk Pas, ada satu yang baiknya. Depa mau kat islam.
-Salam dari azizi abdullah
Udt awat orang PAS saja ke yg mau kat Islam.Orang UMNO pun lebih mau Islam dari PAS.UMNO/PAS serupa saja ust.Cuma bendera saja yg tak sama.Dalam PAS ada yg tak sembahyang.Dalam UMNO pun ada tak sembahyang.Dalam PAS ada kaki judi.Dalam UMNO pun ada kaki judi.Dalam PAS ada kelentong orang.Dalam UMNO pun ada kelentong orang.Dalam PAS ada kaki Khalwat.Dalam UMNO pun da kaki khlawat.Macam-macam lagi lagi lah yg serupa antara UMNO/PAS.
sdra sawo matang,
salam. jika beginilah anda mengnggap parti politik sama, ia sama saja kita berpenyakit kebas. pegang dan rasa di mana-mana pun sama. rasanya ia lebih baik dari orang buta pegang gajah.
kalau sedemikian sama, mengapa ada kelainannya? ini masalah dasar perjuangan. hidup sendiripun mesti ada pegangan dan pegangan itu mestilah berdasarkan sesuatu. saya anjurkan sdra baca perlembagaan kedua parti, saya anjurkan sdra teliti roh perjuangan kedua-dua parti. jangan lihat hj hadi atau najib. mereka manusia sama tapi mereka berjuang di atas dasar yang ditentukan.
kominis pun baik, stalin dan musolini pun baik. tapi perjuangan mereka tentu berlainan.
sepatutnya 53 tahun merdeka, tidak ada lagi orang yang berfikiran begini, menganggap parti politik itu sama. ini menunjukkan kita tidak berfikir dan tidak dapat membezakan dasar perjuangan.
jangan lihat mat sabu atau rahim tambi cik kerana kita menyertai perjuangan itu bukan kerna mereka tapi kerana dasar perjuangan.
kalau nak kira begitu, tentu orang tidak ikut islam lagi setelah muhamad meninggal.
salam.
Barisan Nasioanal(UMNO+MCA+MIC+GERAKAN+ DLL).
Pakatan Rakyat(PAS+DAP+PKR+PSRM).
Tak apa beza pun.Cuma teori sahaja.Mana perjuangan Ialam PAS.
PAS/UMNO serupa sahaja.Tak kemana pun.Tak lebih dari nak cari kuasa.Mungkin ada muslihat.
Persoalannya sekarang:
Sejauh manakah dominannya parti umno dalam BN saat ini.
Keduanya sekuat manakah dominan parti PAS dalam pakatan Rakyat.
dulu UMNO berdolak dalih.Hari ini giliran PAS pula berdolak dalih.
Post a Comment