Catatan Awal Oktober 2010

Posted by Tukya Labels:

Wacana dalam rancangan Pantun Empat Tujuh TVRI Sumatera Utara, Medan, dalam kontek sastera & Budaya Malaysia-Indonesia. Dari kiri: Hj Amir Arsyad, moderator I, Hj Anuar Asmadi dari 2PNP, Dr. Takari dari UUSU, Azizi Hj Abdullah dan Retno Ayuni moderator II.

(I)

Medan, Sumatera, sebuah kota metropolitan yang sebuk dan padat sudah banyak berubah. Saya sudah lama tidak ke sana. Tanggal 4-6 Oktober 2010 saya bersama seorang kawan tiba di sana dengan hasrat hendak membeli buku-buku dan berehat.

Niat begitu tidak berapa kesampaian kerana tiga hari di sana, kawan yang menemai kami, Saudara Fadli, seorang pensyarah di Universiti Sumatera Utara, juga seorang taukeh kek di Medan dengan nama syarikatnya Nazwa, melantakkan kami dengan makan setiap waktu.

Tanpa Fadli tentunya kami sangat sukar hendak bergerak kerana kereta Kijangnya sedia ke mana-mana saja. Fadli seorang sahabat Anuar Asmadi yang tidak banyak karenah.

Dengan usahanya juga, kami ke TVRI Sumatera Utara yang stesennya tidak jauh dengan hotel kami. Selama satu jam kami diminta memberi maklumat, bertukar fikiran tentang Sastera dan Budaya antara dua negara.

Anuar Asmadi yang mewakili persatuannya 2PNP bercakap tentang kegiatan dan aktiviti badan-badan penulis di Malaysia, khususnya 2PNP dalam menyemarakkan sastera dan budaya.

Saya, selain dari sedikit pengkesahan tentang menulis, novel Sangetha menjadi tajuk perbincangan. Saya juga ditanya bagaimana pengaruh penulis Indonesia terhadap proses penulisan sepanjang saya terlibat.

Ternyata rancangan ‘Pantun Empat Tujuh’ sangat memberi makna. Apa lagi moderator 1, bagi saya melampaui budayawan biasa. Beliau menutur pantun secara sepontan yang tidak ditekad skripnya terlebih dahulu. Saya amat kagum. Saya belum pernah menemui pemantun di Malaysia begitu rupa.



Di depan Stesen TVRI Sumatera Utara (SUMUT) Dari kiri Fadli dari Universiti USU, Hj Anuar Asmadi 2PNP, Azizi Hj Abdullah dan Dr. Takari dari USU.

(II)

Seharian menghabiskan masa di Tokok Buku Gramedia, di lantai 2 sangat mengkagumkan. Bagaikan mahu gila melihat buku-buku dari pelbagai jenis.

Di Malaysia, walaupun ada kedai-kedai buku yang hebat, seperti Konikuya di KLCC, Mid Valley, tapi di Gramedia menampakkan bagaimana rakyat Indonesia suka membaca.

Menulis buku dan diterbitkan di Indonesia sangat berlainan dengan Malaysia. Di Malaysia lebih menjurus kepada keuntungan bertunjangkan kepada kepopuleran. Tapi di sana ia lebih kepada mencambahkan ilmu yang berbagai.

Bayangkan, sebuah bioghrafi dari seorang yang tidak pernah muncul namanya sebagai penulis hebat, diterbitkan dan ia dijual di gedung buku seperti Gramedia. Sedangkan di Malaysia, buku seperti itu dianggap tidak laku jika di jual, kerana buku seperti itu tidak layak di toko buku.


Cardboard yang digubah dengan bunga-bunga kain menjadi ucapan selamat.


(III)

Di sana juga kita melihat betapa kreatifnya penduduk. Mereka mampu mencipta sesuatu yang baru.

Barangkali saya sudah ketinggalan masa, tapi bagi saya agak baru apabila melihat bagaimana perca-perca kain yang berbagai warna, digunting dan dijadikan berbagai bunga. Dari bunga-bunga itu dilekat pada papan besar (Cardboard) lalu dibentuk huruf-huruf berbagai gaya.

Diucapkan untuk harijadi, pengantin dan lain-lain. Sesiapa saja boleh menyewanya.



Dalam Toko Buku Gramedia.


(IV)

Tidak banyak buku yang dibeli. Saya sedang menekuni dua buku yang saya rasa menarik. Pertama, Dia, Muhammad Rasulullah, yang diolah tekniknya menjadi novel, Kedua, tentang Mencari Tuhan Yang Hilang.


Hotel Deli, sebuah hotel bertaraf sederhana.


(V)

Belum ada pengkaji bahasa kita di sini melihat perkataan-perkataan sumbang yang diucapkan oleh penulis/ pengarang Indonesia, walhal buku-buku mereka bercambah-cambah di pasaran kita.

Apakah betul jika menggunakan perkataan ‘Sang’ yang diucap bersama perkataan ‘Tuhan?’. Apakah tidak kurang ajar atau menyalahi akidah jika di sebut ‘Sang Tuhan?’

‘Sosok’ juga sering digunakan. Ada disebut mencari ‘sosok Tuhan’. Sosok membawa erti bentuk. Apakah Tuhan mempunyai bentuk?

Pada 6 Oktober 2010, walaupun waktu berangkat jam 11, tapi FireFly tidak berapa peduli. Kerana tidak ada lagi penumpang, sekitar jam 10.45 sudah terbang.

Saya tidak tahu, apakah ini jam Melayu atau jam bukan Melayu.

5 comments:

  1. dilaga

    Sdr Azizi,

    Ya, benar ada banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada negara-negara jiran kita ini. Dalam tahun 60an, kita mengimport guru-guru sains mereka (Indonesia) untuk mengajar di Sekolah-Sekolah Menengah Melayu dan hari ini kita perolehi 'riang' rakyatnya untuk kelangsungan hidup pelbagai industri termasuk dalam hal mengurus rumah tangga rakyat kita.

    Jika kita tidak berhati-hati, setengah abad lagi, anak-ank cucu kita akan ke sana untuk mencari sesuap nasi.

    Sebagai perbandingan, dalam tahun 60an sebuah lagi negara jiran dikatakan setara dari sudut ekonominya dengan kita. Hari ini, negara itu kini menjadi pengeksport tersohor tenaga kerja yang tidak mahir.

    Tahun 60an-70an, pasukan bola kita masih mampu bersaing dalam kalangan negara Asia, sementara P. Ramlee pernah gah dengan "Ibu Mertuaku"

    Apakah pengajarannya? Kuncinya tentulah pemerintahan yang kita miliki.

    Pemerintahan yang 'kondusif' - yang mesra dengan keterbukaan, telus, tidak korup dan adil.

    Apakah kita masih mahu berlegar-legar di dalam kepompong kau Melayu, aku Cina, dia Kadazan sementara itu membiarkan rasuah, kezaliman dan keruntuhan segala institusi negara kita berleluasa?

    Yang jelas kita perlu segera ke depan dan keluar-bebas daripada jerat-jerat yang sengaja dipasang oleh sesetengah puak demi untuk mengekalkan kuasa.

    Wallahuklam.


    Wallahuklam.

  1. AK

    Cikgu,

    Alhamdulillah, gembiranya saya kerana yang pastinya Cikgu sudah cukup sihat!Masakan tidak, sempat makan angin ke Medan !

    Saya sebenarnya ingin cadangkan Cikgu membaca buku-buku karangan penulis Indonesia, Muhammad Alexander. Judul buku-bukunya "Alexandria adalah Zulkarnain" dan "Yakjuj & Makjuj".Buku-buku ini menampakkan keberanian penulisnya mengkaji kitab-kitab Agama Kristian,Agama Yahudi dan Al-Quran sendiri. Saya rasa penulis-penulis beragama Islam di Malaysia tidak berani menengahkan pandangan yang melawan arus seperti Mohammad Alexander ini. Takut kena hentam oleh golongan agamawan. Saya berpandangan terbuka, kalau idea-idea itu boleh dibuktikan secara ilmiah dan boleh diterima, betullah ia. Saya amat kagum akan hasil penulis itu.

    Untuk makluman Cikgu, toko buku Gramedia ada di TESCO Bandar Seberang Jaya untuk beberapa bulan ,tetapi sekarang telah tutup. Sekian, wassalam.

  1. Anonymous

    sdra abdul hayar

    saya suka pembaca seperti sdra.
    berani membaca. buku tu ada jual dimana2. terbitan PTSkan.

    iaziz

  1. ibni ismail

    setuju sangat catatan sdr.kita wajib banyak membaca untok menambah ilmu.Kita dimalaysia malas membaca.Kalau baca pun setakat utusan malaysia dan harakah sahaja tak jadi.Dia kena melampaui lebih dari itu.

  1. Amiene Rev

    Tertarik melihat judul lama novel Beruk tulisan Tuan Haji sudah dicetak kembali dengan rekabentuk yang baru.

    Novel itu inspirasi untuk masuk ke universiti.