Catatan 2 November 2010

Posted by Tukya Labels:

ORANG-ORANG `ABID

Dari Pulau Pinang, walaupun boleh dikatakan selalu melalui jalan itu, yang selalu menempuh sesak kereta oleh kerana jalan menemui simpang-simpang, hari itulah pertama kali saya singgah di sebuah surau yang selama ini saya tahu bahawa di situ ada surau.

Surau ini sangat tersorok di tengah kesibukan.


Berhampiran pasaraya, Pejabat Agama Daerah, berjiran dengan kedai roti canai, di belakang ada ibu pejabat Telekom dan sebelahnya pula pusat karaoke. Nyata surau itu sangat tersorok. Ketika saya sampai dekat pasaraya, saya dengar suara azan yang cukup berkarat bunyinya. Saya membelok ke surau itu kerana hendak solat berimam.

Allah memberikan saya kekuatan mentafsir dari pancaindera yang Allah anugerahkan. Kadang-kadang tafsiran saya sangat buruk, membawa saya kepada ‘suk uzzan’. Surau yang saya singgah mulai menyentuh hatinurani saya.

‘Sila tanggalkan kasut’

Hanya itu saja tulisan di dinding surau yang separuh simen separuh papan dan kerangka besi. Kolahnya tidak mampu muat tiga budak-budak hendak berkubang. Ruang sebelah kanan, seakan ruang tempat tidur. Ada meja rendah dan tikar-tikar.

Ketika saya masuk, muazzin yang sangat melengkung tubuhnya, berseluar panjang menyinsing hingga ke betis, ber T-Shirt dan berkopiah putih. Dia meneran suara azannya di kalimah akhir, seolah-olah itulah kali terakhir dia memberitahu, solat akan bermula, segeralah datang.

Surau itu beruang sempit. Untuk satu saf hanya sepuluh orang dan mampu tiga saf sahaja. Sejadah nampaknya lusuh, berkedut dan berkeremot. Tingkap dialas dengan renda dan kain langsir yang saya kira ia bukan dibuat khas, tetapi hanya dari kain-kain yang terbuang atau kitar semula.

Tapi muazzin sangat patuh. Saya dapati ia sangat khusyuk dan setia menunggu jemaah lain. Teragak-agak dia hendak qamat kerana bimbang tidak ada imam, sedangkan saya berniat, kalau dia qamat juga, sayalah akan jadi imam.

Akhirnya muazzin itu qamat apabila seorang lelaki berseluar panjang, berkemeja dan bersongkok putih ke hadapan tempat imam.

Saya sangat terasa kelainan solat di sini. Hanya ada dua belas makmum selepas imam selesai membaca doa iftitah. Saya tersentuh melihat imam dan muazzin bersolat. Mereka bagaikan sang musafir yang tidak membawa apa-apa. Surau yang robek dan buruk itu, mereka luluhkan dengan bacaan khusyuk dan ternampak mereka meredai seluruh kehidupan mereka.

Rupa-rupanya mereka berdua adalah abdi surau itu setiap waktu. Seorang tetap menjadi muazzin, seorang tetap menjadi imam yang dalam pemerhatian saya mereka cukup menyedari tugas sukarela mereka perlu dilakukan demi makmum lain.

Saya teringat ketika saya pernah solat di masjid-masjid di kota besar, bandaraya dan masjid sesebuah negeri. Mereka sangat berbeza dengan insan cengkung dengan pakaian buruk di surau ini. Bukan dari segi itu saja, malah saya seakan dapat membezakan, betapa jauh khusyuk, tawadduk, rela dan redho mereka dari mereka yang bersolat di masjid megah, ternama atau masjid mewah.

Mereka tidak seperti yang datang di masjid-masjid besar, yang indah dengan lenggang lengguk, pongah, dengan jubah serban, atau yang datang diiringi pengawal, kemudian yang lain memberi ruang. Mereka sujud tidak seperti sujud ratusan jemaah di masjid besar, di masjid bandaraya atau wilayah. Mereka sujud sampaikan hidung terpenyet ditikar, bukan di atas karpet tebal.

Pastinya sang muazzin dan imam itu tidak menerima apa-apa upah. Tapi doa imam tetap sama, merendah diri, bersungguh-sungguh, mengharap keredaan, meminta rahmat dan keampunan untuk semua, bukan seperti sang khatib di masjid besar berdoa dan meminta pengampunan dari Allah kepada orang tertentu walaupun yang tertentu itu lebih miskin amal ibadahnya dari sang muazzin dan imam ini.

Subhanallah, saya merasakan mereka seperti malaikat. Tapi sayang surau yang saya singgah ini sangat terpencil, di mana malamnya saya mendapat tahu, tapak halamannya menjadi parking pengunjung karaoke yang berhampiran di situ.

Dan apakah yang patut saya lafaz kebanggaan. Siapakah punya kerja seperti ini? Saya terkedu apabila keluar di pintu saya dapati semua kasut-kasut jemaah tersusun rapi dengan kepala kasut mengadap hala keluar.

Siapa punya kerja mulia ini? Sedangkan minggu sebelumnya, saya kehilangan kasut selepas solat Jumaat di Masjid Negeri.

Subhanallah, Tuhan, abid inikah yang mentarbiah makmumnya atau inikah yang dikatakan keberkatan?

Perbuatan menyusun kasut jemaah bukanlah aneh, tetapi ianya tidak pernah berlaku dalam pengalaman hidup saya kecuali satu ketika dulu di Bandar Country Home Rawang, Pusat Jemaah Al Arqam, di mana kalau kita memasuk mana-mana kedai atau rumah, tanpa disuruh atau di arah, keluar saja kita akan dapati kasut kita tersusun elok.

Subhanallah! Inilah tarbiah hasanah dan rupanya ia sampai ke surau terpencil ini.

10 comments:

  1. barajiwa

    Sdr Azizi,

    Terima kasih untuk entri seperti ini. "Inilah dia sentuhan seorang sasterawan rakyat(*)."

    Saya tersentuh. Mungkin umur yang sudah lanjut membuat hati mudah tersentuh, mungkin. Walau apa jua tanggapan orang lain, saya rasakan entri-entri sebegini bermanfaat untuk dikongsi oleh pembaca, khususnya pembaca muda yang menjadi peminat saudara.

    Mereka dapat melihat bagaimana idea di sekeliling mereka telah diangkat untuk dihayati dan mudah-mudahan dijadikan tauladan.

    Wallahukalam.

    (*) Inilah gelaran Abdul Shukur Harun, Pak Shukur kepada saudara sebagai seorang sasterawan. Saya juga fikir begitu. Tema dan penghayatan karya yang saudara angkat begitu dekat dengan rakyat. Dalam pelbagai entri blog saudara, aspek ini juga jelas kelihatan. Dan percayalah, aspek ini tidak boleh dibuat-buat kerana khalayak pembaca dapat menghidu; mana yang benar dan mana pula yang dilakonkan.

    Kassim Muhamad.

  1. AK

    Sdr Azizi,

    Saya amat berminat untuk berkunjung juga ka surau tersebut. Sayangnya tuan tidak memberikan klue akan kedudukannya. Sekadar gambar tidak cukup. Mungkinkah sekitar Kedah Road di Georgetown?. Mungkin saya sependapat dengan saudara barajiwa, orang yang lanjut umur mudah tersentuh. Kami lebih tertarik kepada kesyahduan, kejujuran, kesederhanaan dan keikhlasan. Bukan kepura-puraan, keegoan,kemewahan yang ditonjol-tonjolkan. Bukan masanya lagi.

  1. benuasuluk

    Ustad, terasa bergenang pupuk mata.

  1. Anonymous

    Kalau tak silap surau ini terletak di bandar Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah. Berdasarkan klue yang diberikan; berhadapan dengan pasaraya Summit dan Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Tengah serta di belakangnya Pejabat Talikom.

  1. AK

    Saudara Anonymous,

    Pada mulanya saya berkeyakinan bahawa surau itu adalah seperti yang saudara katakan kerana saya sendiri pernah ke situ beberapa waktu dahulu. Keadaannya pada waktu itu amat daif sekali. Tertulis ianya di bawah PERKIM. Kalau betul telahan saudara, pastinya ianya telah diubahsuai seperti yang ada pada gambar Saudara Azizi Abdullah itu.

    Surau tersebut memang menjadi tempat solat untuk orang-orang yang bermusafir ke Bukit Mertajam (BM) kerana ianya terletak berhampiran dengan Stesyen Bus BM.

    Apa-apa pun, saya amat tertarik atas kebiasaan tuan rumah yang sering mengaturkan kasut-kasut tetamunya seperti yang yang diceritakan oleh Saudara Azizi Abdullah. Itu suatu kebiasaan yang amat baik dan patut dipuji. Alangkah cantiknya kalau semua orang Islam mempraktikakannya kepada semua tetamunya. Ianya mungkin suatu yang kecil . Tetapi ternyata payah untuk dibiasakan.

    "BETULKAN YANG BIASA

    BIASAKAN YANG BETUL"

    Menunggu-nunggu kepastian dari Saudara Azizi !

  1. member lama

    Ust .rasa-rasa saya kat BM kot.dekat stesyen bas Summit pun kat situ.Terima kasih tulisan ust.Cukop menyayat hati.Kalau baginilah keadaan nya memang betoi akhir zaman.Ust buatlah cerpen sekali pasai surau ini.Ust pandai bayangkan akan keadaan waktu dan suasana tu.Ust habaklah terus terang surau mana tu....

  1. Anonymous

    sdra-sdra,ha...haaa, jadi tekateki pula;
    tak perlu rasanya saya beritahu. sdra akan temui hal yang sama jika sdra ada di tempat ibadah yang robek, buruk dan terpencil. di sana sdra akan dapati abidnya lebih hebat dari pembesar negara yang diiringi ketika hadir waktu jumaat.
    salam

  1. haziman

    Sdr eloklah kita buat satu gotong royong apa yg patut untok menceriakan kembali surau itu.Sdr ust setuju ke.

  1. Anonymous

    sdra haziman,
    jangan ingat surau tu kotor. tidak. ia bersih dati manusianya yang saya kagum. cuma kalau boleh bantu, sejadah dan sedikit keperluan lain.
    ini sesiapa pun boleh sedekah dan buat amal.
    salam

  1. Anonymous

    Tuan penulis blog,

    Saya mohon kepada penulis blog untuk siarkan semula artikel ini di mykedah.org untuk dikongsi bersama pembaca lain.

    Terima kasih.