Seminar Pemikiran Azizi Abdullah

Posted by Tukya Labels:


Kepada peminat sastera dan penulis, peminat buku, ilmuan dan sesiapa saja yang berminat, adalah dijemput:


  • Ke : SEMINAR PEMIKIRAN AZIZI ABDULLAH


  • Pada : 3hb Ogos 2010 (Selasa)


  • Tempat : Dewan Seminar, IPG (Institut Perguruan Sultan Abdul Halim) Kampus Sultan Abdul Halim Sungai Petani Kedah


  • Masa : 9 pagi hingga 4 petang.


Seminar dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama ASASI, 2PNP dan Institiut Perguruan Sultan Abdul Halim Sg Patani.

Ucaputama akan di sampaikan oleh Sasterawan Negara Dato Dr. Anwar Ridwan. Sebanyak sembilan kertas kerja akan dibentangkan, di antaranya; Dr. Hashim Ismail dari UM, Pro. Mokhtar Hassan UM, Prof. Dr. Abdul Rahman Aziz UUM, Dr. Sohaimi Abdul Aziz USM, Dr. Sakinah Abu Bakar USM, Dr. Siti Hajar Che Man USM, Hasan Baseri ASASI, Dr. Rahimah Abdul Hamid USM dan Dato Mohd. Mansor Abdullah AJK Gapena.

Seminar tersebut bertujuan melihat sejauh mana perkembangan, pemikiran, falsafah, hasil karya dan pemikiran Azizi di dalam karyanya sejak dahulu hingga kini.

Azizi telah menghasilkan lebih 30 buah novel, tidak kurang 300 cerpen, ratusan artikel sastera dan kritik sosial, 5 antologi cerpen, penulis drama Radio, drama TV dan empat buku social. Kini beliau menjadi Editor Utusan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Azizi juga dianggap oleh sesetengah penulis sebagai ‘Penulis Sayembara’ kerana sering menggondol hadiah.

Semua dijemput hadir.

- Pian, Pengelola Blog

Sasau Seorang YB ( II)

Posted by Tukya Labels:

Aku rasa terpanggil apabila membaca kesasauan seorang sahabatku dalam ruangan ini minggu lalu. Dalam Kamus Dewan Bahasa erti sasau ialah: Orang yang makan banyak.

Manakala pengertian sasau dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia ialah selain dari makan banyak membawa erti ‘kurang pikir.’

Maka bodohlah kami lima enam orang ini kalau terima makna ‘kurang pikir.’ Tapi yang jadahnya, cakap-cakap kami sekarang ini ramai pula yang kata ‘sasau.’ Kerana itu ada lebih baik aku nak hurai sedikit hal-hal kesasauan kami yang sudah lama lompat dan menjadi kelompok ‘kupang tembaga.’

Aku inginlah hendak minta maaf, terutama kepada etnik India, Cina, Benggali dan Melayu kerana akan kusebut perkara yang mungkin tak berapa sedap. Tapi ini pribahasa orang Melayu yang tidak tercatit dalam Kamus Pribahasa.

Orang Melayu apabila menganggap sesuatu perkara atau seseorang yang tidak terpakai langsung, dipribahasakanlah dengan:

Golok atau bantal Cina
Kebun Melayu
Basikal India
Janda Benggali.


Apakah aku dan kawan-kawan aku, sejak kami beramai-ramai melompat kemudian mengeluar kenyataan akhbar, TV hingga kesaat ini, kami dianggap macam pribahasa di atas? Memang pun ramai yang anggap kami begini yang membawa erti kami ini tak terpakai sekupang pun, macam janda Benggali, macam bantal Cina, macam basikal India, macam kebun Melayu yang membawa rerti kalau bagi percuma pun siapa pun tak sudi, melainkan orang sasau jugalah.

Aku ini bukan calang-calang jadi YB. Tidak macam mereka, kodok lokhoi saja. Tapi sebenarnya bintang anugerah itu aku yang calon sendiri, aku hemoi-hemoi.

Selama aku dalam parti yang dikatakan sebagai pembangkang ini tidak selesa, tidak sepadan dengan gelaran yang aku terima. Orang bergelar macam aku, duduk sebelah sana sepatutnya. Aku sepatutnya genggam projek-projek mega..

‘You all akan jadi orang utama. Cakap you mereka dengar. You all boleh menggugat mereka. Cakap sepatah dalam TV, semua orang akan panggung kepala,” demikian rangsangan ketika tawaran dilempar kepada kami.”Projek untuk you all, petik saja boleh dapat.” kata mereka lagi.

Dan aku, mereka pun berilah tawaran paku longgar supaya aku bantai kapten aku kerana orang yang layak akulah. Akulah yang kononnya maha tahu sampaikan bulu ketiaknya. Maka aku pun diberi faktur-faktur yang lojik untuk aku bercakap. Tunjukkan emosi, bentukkan rupa cakap, bahasa badan, senyum lebar yang membuktikan aku ini seorang yang sayang Melayu. Buktikan aku ini pahlawan Melayu. Tapi jadahnya aku terlupa, aku yang menang dulu dalam banglo dan kondomunium bukan Melayu.


Yang aku nak sebut di sini, memang celaka dan haram jadah pun. Rupa-rupanya semua tak menjadi setelah aku dan kawan-kawan mengediang, membilas, merembat, mengejang betis melompat kuat. Adalah sekali kenyataan dalam TV dan akhbar yang meletup. Tapi yang meletup itu sipongangnya tak seberapa. Pihak parti yang mempelawa kami lompat, buat macam tak ambil berat. Cakap kami tak diendah. Pembangkang pula memang jembalang hangit, langsung tak respon pun cakap kami.

Memang cakap YB hebat dan tidak boleh dipandang ringan. Tapi yang berlaku sebaliknya. Celaka sungguh. Memang pun semua orang dengar tapi tak ada pun yang peduli. Kadang-kadang aku buat kenyataan sampai terbeliak biji mata, sampai naik urat leher namun tak siapa pun peduli. PM dan TPM macam dengan lagu sumbang. Aku dapat tahu dari kawan aku, kalau aku cakap dalam TV 1, orang bukan TV3. Kalau aku cakap di TV3, orang bukan Astro Ria. Aku cakap dalam Awani, mereka tengok cerita seram.

Aku kejutkan kenyataan di bangunan mulia sebagai bukti tak boleh bohong, aku cabar aku ada bukti. Tapi jadahnya aku dan kawan-kawan sudah jadi macam janda Benggali, macam kelambu Cina, macam kebun Melayu, macam basikal India. Tak sepatah pun terpakai.

Aku rasa senasib dengan kawan aku minggu lalu. Nak balik bukan tak berani, tapi aku nak sondol domoi kepada siapa, di mana?

Malam kelmarin dulu aku balik sengap-sengap. Aku telefon kawan baik aku. Dia jawab dia ada di kedai nasi kandar. Dia panggil aku datang. Ramai kawan-kawan lain ada, katanya. Bini aku jerkah sampai kepala tahi aku tersentot. “Buat apa sua domoi kepada orang yang tak berkenan dengan kita? Buat apa nak rengkuh sondol ke kawasan yang gerannya bukan nama kita? Nak ceramah? Ceramah apa, cuba cakap? Nak suruh orang undi siapa? BN? PAS? PKR? Alaaa, bukan itu caranya. Cakap boleh tapi cakap itu akan jadi ‘kupang tembaga!” kata bini aku.

Aku cepat mencelah. “Bukan kupang tembaga, tapi janda Benggali!”
“Pulakkk!” bini terbeliak biji mata. Mata sampai juling macam bianglala senja. Tak cukup dengan itu, bini terkam ke dapur, ambil golok Cina, hambat aku.

“Nanti, abang bukan menikah dengan janda Benggali! Nak buat apa janda macam tu!”
“Haaa, tau pun. Macam itulah juga kita. Dah jadi macam kupang tembaga pun tak sedar lagi?”

Malam itu aku rasa macam bukan seorang YB. Tapi sebenarnya itulah YB. Bukanlah YB kalau tak takut bini, kata orang Tapi dalam takut-takut pun sempat juga menikah curi.

Kawan aku minggu lalu pernah menjawab dalam Parlimen bahawa dia (tentunya aku dan lain-lain juga) tak mau di tanya Allah di akhirat nanti tentang tanggung jawab. Sedapnya cakap.

Ertinya wahai sekelian yang menamakan kami ini, golok Cina, basikal India, janda Benggali, kebun Melayu, hendaklah ingat, kami juga ada tanggung jawab.

Demikianlah adanya. Yeeebabbbb!

Diari Sasau Seorang Yb (1)

Posted by Tukya Labels:

Sungguh-sungguh saya tidak dapat bayangkan sekiranyalah saya ini seorang YB yang telah melompat parti menjadi calon bebas, lalu hendak turun ke kawasan menemui pengundi saya.

Apa mukadimahnya hendak saya berkata jika saya bertemu dengan pengundi saya, sama ada di kedai kopi atau di masjid atau di dewan. Takkan saya akan bertemu pengundi hanya ketika Pak Husin balik dari menoreh? Takkan saya nak temui Mak Minah yang sedang cari ubi kayu di belukar? Takkan saya nak bertemu Husin yang sedang jual air tebu?

Tiga bulan dulu ada saya telefon menyampaikan hasrat kepada Seman, JKK parti dulu. Seman terkejut dan berkata:

“YB jangan balik!”
“Kenapa?”
“Saya dengan khabar, ada dua tiga orang nak cempung campak ke dalam parit kalau YB balik!”

Memang pun patut mereka buat macam itu kepada saya. Saya sedar saya memang celakakan diri. Tapi haram jadah punya tawaran, menyebabkan saya naik mabuk kepayang. Cup-cup, habuk pun tarak.

“Kalau saya tak balik, apa sudahnya dengan pengundi saya. Itu kawasan saya. Saya masih jadi YB mereka,” saya berkata kepada Seman.

“Siapa kata YB mereka? Dulu mereka pilih bukan YB, mereka pilih calon parti.”

Seman seorang pekerja saya yang suka bertegang leher. Saya diam begitu saja. Akhirnya saya minta pandangannya, apa cara saya mesti buktikan saya ini YB kawasan itu?

Maka Seman pun cepat menjawab: “Senang saja. Kan sekarang ada blog, ada Facebook. Gunakan itu saja. Satu dunia tahu yang YB cergas!”

Sungguh, mengapa saya tidak pernah terfikir tentang ini. Bukankah ‘blog’ satu-satunya medium yang sangat berkesan. Saya boleh pembohong dan saya boleh berdusta. Dunia pasti tahu walaupun di kawasan saya pengundi meludah atau pun maki-maki.

Membina blog tidaklah sukar. Upah RM100, tiga jam siaplah. Gambar di logo saya masukkan saya dengan seekur kambing besar. Saya simbolkan, saya YB dan kambing adalah pengundi.

Pertama kali saya menulis menceritakan saya berada di Moscow. Saya siar gambar untuk memberitahu pengundi bahawa inilah YB kamu. YB kamu bukan sekadar pegi melawat kolam ikan keli tapi ke Moscow.

Tapi pengundi saya sebenarnya tak tahu. Saya yang terpilih itu pun jenuh saya gabus pungkur mereka, saya cium tangan mereka, saya jilat jubur mereka dan saya menangis beritahu saya menyesal.

Esok saya keluar menyataan hentam ketua parti saya dulu. Lusa saya dapat tiket percuma melancong ke Moscow.

Balik dari Moscow saya tulis isu umat Islam sudah nipis iman dan akidah. Untuk membuktikan saya kuat sokong Islam, saya beritahu saya sudah membuat wakaf sepuluh buah ‘muqaddam’ kepada sepuluh orang yang buta qur`an berusia 65 tahun.

Tiba-tiba meletup pula pasal kerajaan nak beri lesen judi kepada satu syarikat. Saya naik pening. Mana boleh saya bantah walaupun itu perkara benar. Tapi mujurlah dalam masa yang sama timbul isu ketua parti saya dulu keluar negara. Sayapun tulis berulang kali hentam sungguh-sungguh untuk menunjukakan saya tidak setuju. Mana tahu lain kali dapat pula sponsor ke Afrika Selatan untuk Piala Dunia.

Bagaimana pun saya sebenarnya diserang fobia. Saya sebenarnya sangat tidak tenteram. Bukan kerana saya kesal lompat parti dan jadi bebas tetapi saya fobia tentang pengundi kawasan saya. Saya sepatutnya isytihar keluar parti dan sekaligus terus letak jawatan YB. Ini yang sewajarnya. Tapi apakan daya. Masakan saya boleh lepas elaun dan taitel YB begitu saja. Ini kerja bodoh. Bukan senang nak dapat jadi YB.

Saya berazam mahu mempertahankan sebutan YB ini untuk penggal ini saja. Penggal akan datang saya tidak ada peluang lagi. Saya sedar Umno pun tak akan mahukan saya. Kalau mahu pun saya akan jadi kuda tua. Nak masuk balik parti asal, weekkkk, muntah hijau pun mereka tak terima. Nak masuk Pas, itulah…Pas pun macam cerdik pelanduk. Saya telah ‘test’ dua tiga kali. Saya puji Pas, saya puji Tok Guru tapi Pas nampaknya buat dono saja.

Saya memang menyesalkan. Rupa-rupanya barulah saya sedar, orang macam saya berlambak-lambak tak berguna.

Atas asas agama yang ada pada saya, bulan Ramadan ini mahu rasanya saya kembali ke kawasan, mahu memohon maaf. Saya sedar saya sangat bersalah kepada pengundi, kepada pekerja dulu. Saya banyak berhutang: berhutang wang dan berhutang budi, berhutang tenaga. Dengan apa saya hendak membalasnya, melainkan dengan memohon maaf.

Mahukah mereka terima saya? Inilah persoalannya.

Saya cuba memejam mata dan cuba membayangkan: saya ke warung tepi sungai. Saya sua tangan nak bersalam, tak seorang pun sambut. Saya semawa ramai-ramai minum kopi, tak seorang pun datang.

Saya singgah di masjid, saya pura-pura ke saf depan. Tapi tak ada siapa pun yang tolak jadi imam. Kalau dulu, sila Yb, sila YB, sila YB.

Selepas solat, saya minta sepuluh minit nak beri tazkirah, betapa pentingnya umat Islam bersatu menentang Zionis. Tapi tiga empat orang batuk-batuk dan terkam keluar buang kahak.

Waahhh, rupa-rupanya pengundi saya sudah pandai berfikitr. Mereka rupanya bukan lagi pak turut.

Taka apa…tak apa…khabarnya pilihanraya bulan September ini. Kalau cepat lagi bagus. Akan cepatlah hilang kemaluan saya dan akan cepatlah terpadam taitel YB yang sangat menggelisahkan saya. Saya sekarang malu nak balik kawasan. Khabarnya kawan-kawansaya pun, sudah jadi macam ayam berak kapur.

-----------------------------------------------

-Harakah keluaran 1555: 9-11 Julai 2010

Kita Masih Berbohong Tentang Teater Islami.

Posted by Tukya Labels:

Saya bukan ahli dalam bidang teater. Saya juga tidak ada ilmu teater, apa lagi tentang falsafah, dasar dan lain-lain lagi. Bagaimanapun saya penggemar teater dan pernah terlibat dengan satu dua teater.

Saya beragama Islam tetapi tidaklah dalam ilmu ini. Sekadar mengetahui sedikit sebanyak hukum haram halal, harus dan makruh, maka saya rasa saya mampu meletakkan apakah ianya haram, halal,sunat, makruh dalam tindakan manusia mahupun diri sendiri dalam hidup budaya seharian.

Maka apabila dikatakan Islam itu syumul, saya rasa saya tidaklah jahil apabila membawa persoalan teater ini kepada lengkungan hukum walaupun saya tidak ada tauliah atau saya bukan mufti.



Sabri Yunus dalam teater Menunggu Kata Dari Tuhan, karya Dinsman.


Ketika teater MENUNGGU KATA DARI TUHAN (MKDT) pertama kali di pentaskan di dalam masjid, saya sebagai moderatornya malam itu tanpa segan silu dan takut telah mendakwa bahawa inilah teater yang pertama kali di pentas di dalam masjid (Masjid Batu, Permatang Pauh Pulau Pinang-kira-kira bulan Jun 2009)

Saya tidak menamakan MKDT sebagai teater Islam tetapi bersetuju dengan penulis dan pengarahnya sebagai teater yang dinukilkan dari hadis Nabi.

Hanya dua buah lampu, satu bangku panjang sekadar boleh tidur, di sisi satu bangku untuk Sani Sudin menepuk gendang sebagai muzik latar. Backdropnya hanya ruang imam ketika solat, dinding masjid.

Di depan para jemaah duduk bersila. Di ruang sebelah kanan, ruang Muslimah yang turut sama menonton.Mereka duduk berasingan, tidak bercampur.

Maka selepas persembahan, diperkukuhkan lagi dengan ceramah pendek tentang hadis Kaab bin Malik, di mana tercetusnya hadis tersebut oleh Ustaz Halim Nasir.

Malam itu seperti bersepakat, inilah teater Islami, teater yang berjiwa Islam apabila mendapat pengkuham huraian hadis Kaab bin Malik. Pada hal malam itu tidak ada sarjana teater, pengulas dan pengkritik yang berautoriti tentang teater atau mana-mana pensyarah universiti untuk melebalkan ia sebuah teater bersifat Islam.

Lebih kurang dua tiga minggu persembahan itu, saya sekali lagi menjadi moderetor teater MKDT di Masjid Gombak, Kuala Lumpur. Di sana saya mendakwa kepada penonton, jika jemaah mendengar bacaan kitab hadis tentang Kaab bin Malik dari tuan guru, anda hanya diberitahu betapa Kaab menjadi manusia serba salah dan rasa bersalah dan akhirnya bertaubat. Kemudiannya sekali lagi di hotel Paragon, Johor Baharu atas jemputan LKIM, begitu juga kata saya.

Tetapi apabila anda menonton teater ini anda sekaligus mendengar, melihat dan turut merasai kegelisahan Kaab, taubat Kaab, cucuran air mata Kaab, gelisah resah kerana diboikot dan akhirnya merasa betapa Allah itu pengampun. Semuanya anda dapat melihat dan merasai, tidak seperti mendengar bacaan kitab, anda hanya mendengar dan mehami.

Saya memberitahu hal ini kerana ingin mendakwa, inilah dia teater Islami dalam tahun 2009 yang saya temui. MKDT yang dianggap teater Islami ini sudah melebar pementasannya di seluruh negara dan ia teater yang paling ramai penontonnya jika dikali persembahan dengan penonton yang hadir. Jika di Istana Budaya, paling ramai 1000 untuk dua minggu berturut-turut, menjadikan jumlah 14,000( tidak semua teater) tetapi MKDT, sekali dipentas paling sedikit 500 dan kini sudah melebihi 50 kali persembahan. Ini bererti 25,000 penonton.

Islaminya teater MKDT kerana ia diterima dan dapat disesuaikan dari semua sudut, termasuk hukum yang tidak perlu diragui dan dibahaskan. Tidak ada unsur khilaf dalam teater ini. Terntunya Dinsman selaku penulis dan pengarahnya berkemampuan menterjemahkan kehalalan sebagai sebuah teater apabila diteaterkan yang bersih dari segala yang tidak halal.

Pertama pelakonnya dan imejnya. Kedua pakaian pelakon. Ketiga dialog. Keempat latar. Kelima lighting. Keenam muzik. Ketujuh penonton.

Rasanya saya tidak perlu menurunkan hujah kehalalan ketujuh perkara di atas. Sebagai contoh, pakaian watak Kaab, sepanjang persembahan ia tidak menampakan aurat sedangkan aurat dari hukum Islam dianggap penting dalam sosial.

Teater kedua yang agak solid dengan kehendak peraturan agama dan ia boleh digolongkan sebagai teater yang berunsur agama ialah PEMAIN REBAB karya Rahimidin Zahari.

Dua kali saya melihat persembahan teater ini. Walaupun PR ini tidak diangkat dari Qur`an dan Hadis Nabi tetapi persoalan dan ciri-ciri seperti yang saya sebut di dalam teater MKDT terdapat di dalamnya. Watak tunggal yang memakai seluar, ia masih menutup aurat. Ia tidak disokong oleh unsur haram., misalnya.

Lalu saya teringat ketika saya menontot teater hebat buah tangan seorang Sasterawan Negara yang bertajuk MANA SETANGGINYA. Kehebatan teater ini merangkumi semua aspek, termasuk kerana ia dipentaskan di Istana Budaya.

Ramai pengkritik, pengulas menamakan teater itu teater berunsur Islami dan ada yang terus menamakan teater Islami. Apakah ia benar?

Sebenarnya ia hanya sebuah skrip teater berunsur Islami. Kehebatan penulis teater ini tidak boleh diragui, malah hasrat dan falsafah yang dituang melalui skrip itu kukuh dan kuat sifat Islamnya.

Tapi sebuah teater bukan sekadar skrip. Sebuah teater yang lengkap ialah ketika mana ia dipersembahkan melalui pementasan. Tak kiralah pengarahnya dan penukang-penukang yang lain, baik di depan atau di belakang pentas bukan penulisnya sendiri. Maka hasilnya penonton yang menonton, ialah persembahan dipentas itu, bukan hanya membaca skrip.

Tidak ada sifat Islami dan agama di dalamnya telah dicabar, dikoyak dan tidak dipeduli. Maka apabila kita membaca kritikan, ulasan ternyata dakwaan mereka hanyalah pura-pura, sengaja-sengaja dan tidak merujuk kepada kehalalan hukum yang sangat nyata.

Ambil saja contoh. Pertama pelakon. Bersihkah pelakon-pekalon dari segi hukum? Sama ada pakaian atau perwatakan? Pelakon yang merupakan watak penasihat itu sendiri, ia tidak terjaga dari segi adap auratnya. Malah ketika melihat watak, persepsi penonton tidak melihat ia sebagai watak teater Mana Setangginya, sebaliknya ia sebagai pelakon yang penuh kontrovesi.

Berterbangan dewa dan pari-pari. Apakah itu juga watak-watak Islami jika mahu diangkat sebagai teater Islami? Apakah apabila ia menjadi sebuah persembahan teater, segala macam unsur boleh dijelmakan asalkan ia memperkuat persembahan teater itu tanpa mengambil kira apakah penjelmaan begitu sesuai dengan kehalalan dan keharaman dari segi Islam jika ia mahu dinamakan sebagai teater Islam?

Banyak lagi teater-teater yang dianggap sebagai teater berunsur Islam, tetapi ia hanya wujud dalam kritikan, ulasan yang sangat tidak berpada-pada dan tidak mengambil kira dasar hukum halal haram. Mereka menganggap teater hanyalah teater dan apabila diulang sebut perkataan Allah, Muhamad maka itu sudah dianggap sebagai teater Islami.

Begitu secara rengkas. Kita sebenarnya masih jauh untuk masuk ke dalam lengkungan teater Islami. Sebabnya kerana sehingga sekarang kita tidak pernah berbahas mencari dasar dan hala tuju, teater yang bagaimana yang dikatakan teater Islami. Kita masih berbohong tentang teater Islami. Kita masih hanyut ingin menjadi orang atau aktivis budaya tapi tidak mahu menjenguk kepada agama.

Ia sama saja dengan budaya pakaian yang kononnya bercorak Islami. Kita wujudkan busana Islami, tetapi yang memakainya tidak Islami.

---------------------------------
-Sila ikuti tulisan ini dalam majalah PENTAS Januari-Mac 2010 terbitan Istana Budaya.