Al-kisah..

Posted by Tukya Labels:


Suib Lazim, salah seorang Trio Datuk T kata:

Risiko perundangan yang terpaksa diterima terpaksa dihadapi demi menyedarkan rakyat mengenai moral lebih penting... bla... bla... bla...

Demikian respon menyokong kata rakan se-video seks, Shazryl, Rahim Tambi pasal Seksyen 292.

Kah.. kah... kah... ini pemoral yang paling best dalam alam maya hanya dengan kitab video seks.

Subhanallah... moral abad 21. Terasa malu amat. Teringat sebuah buku "Ia mati kerana takut neraka" pasal ghibah.

4 Jumaat Dalam Penungguan

Posted by Tukya Labels:

4 JUMAAT DALAM PENUNGGUAN

1.
Tidur bangun, makan mandi, suntik, ujidarah dan entah apa-apa lagi, sedar tak sedar sudah empat kali Jumaat tidak solat Jumaat berjemaah di masjid. Katil B/N 3 (bukan Barisan Nasional) R/N 838715 wad CRW Hospital Pulau Pinang begitu sudi memerapkan saya selama sebulan hanya kerana menunggu satu tarikh pembedahan.

Terpaksa menelan pil tidak kurang 300 biji untuk berbagai fungsi. Kencing pun lebih dari 20 liter. Sesekali ingat bagus juga hikmah sakit jika di hospital, layanan serba baik ketika usia menancap enam puluh sembilan tahun sebelas hari, sementara menunggu pembedahan yang kononnya akan dikendali Dato Dr Hamzah.

Sungguh-sungguh amat terasa doa kawan-kawan melalui pengakuan lewat Facebook, e-mail, blog dan SMS. Kudusnya seperti angin malam membisik ke telinga memberitahu bagaimana mereka bermunajat memohon seorang hamba yang terlantar ini kembali sembuh seperti mereka. Saya sangat sedar bagaimana kawan-kawan, peminat mengharap saya dipanjangkan umur untuk terus menulis.

Tuhan, saya sangat sedar murninya harapan mereka.

Menunggu dada dibelah sangat menggerunkan. Tapi banyak rangsangan memberitahu itulah cara terbaik. “Lakukan. Aku dah mengalami,” kata seorang sahabat dari Terengganu, Rahman CM dan kemudian dia memberitahu dia baru selesai solat hajat untuk saya.

Tuhan, murninya hati sahabat.

Tapi saya tidak dapat membayangkan ngeri yang bagaimana, dan terbaik yang bagaimana? Kata Rahman CM,ketika dibius, satu kengerian mimpi dan igauan akan bermula.

2.
Subhanallah… Maha Suci Tuhan… apakah itu kebesaran Tuhan, Allahku? Sememangnya saya percaya ia adalah kebesaran Tuhan. Subhana... Subhanallah... dan ia bukan saja mimpi dan igauan ngeri malah bunyi degup jantung, mencerus air di pundi-pundi atau letup tulang dan selisih urat pun, mungkin ia adalah suara tasbih yang mengagungkan Tuhan.

Saya menghabiskan bacaan buku ‘Ketika Alam Bertasbih’ tulisan Dr. Musa Al Khathib yang saya beli di Jakarta tempuh hari sangat memberi kesan. Saya terkedu, terencat rasa, sebak dan merasa diri sangat jauh takbur terhadap Tuhan apabila selama ini terabai dan lagho dengan Tasbih.

Sungguh amat hebat makhluk yang dijadikan Allah ini bertasbih sedangkan saya tidak menyedari sekian lama. Hebatnya dan dahsyatnya apabila alam bertasbih. Ia bukan saja bunyi guntur, kilau kilat petir, debur ombak dan gegar runtuh gunung, tetapi juga suara katak dan kicau burung dengan bahasanya adalah tasbih yang membesarkan Allah.

Ya Allah, saya sangat jauh dengan kesedaran ini. Hud-hud dengan Nabi Sulaiman, Semut yang khusus disebut dalam surah Al Naml sehingga kepada hymenoptera, vespiodea, formicidae, lalu bondongan burung-burung mampu meneduhkan Sulaiman dengan kepak mereka.

Bukankah hebat kebesaran Allah? Bunyi kepak itu pun adalah Tasbih. Ya Allah, demikian aku tersentak betapa hebat dan besarnya Tasbih; Subhanallah...

Tuhanku...sesungguhlah aku terlalu jauh lupa mentasbih kebesaranmu!


Bersama Ust. Takiyudin Hamzah. Beliau juga sedang menunggu untuk dibedah.


Ustaz Takiyuddin Hamzah, Timbalan Pesuruh Jaya Pas Pulau Pinang yang terlantar bersama saya menyentak lagi kesedaran perasaan saya, menjadikan saya tersebak ketika membiacarakan kehebatan alam, pokok-pokok, batu-batu, rerumput, unggas, serangga yang tak henti-henti mentasbih kepada Pencipta. Mengapa manusia lupa?

3.
Selama berada di wad CRW 4 minggu ini, sempat juga melakar cacatan kasan yang mencerminkan perasaan seorang anak yang menyangka bapanya membencinya. Sangat berharap kekuatan menulis ini dapat diteruskan sekiranya panjang umur:

“ Ema! Panggil aku Ema walaupun ini bukan nama aku sebenar. Panggil aku Ema kerana panggilan aku inilah yang aku suka dan aku seringkali memperkenalkan diri kepada sesiapapun, yang aku bernama Ema. Ini bukan nama yang diberi oleh bapaku dan bukan juga nama di dalam daftar pendaftaran. Aku juga tahu ini bukan nama-nama Putri Nabi. Tidak mengapa. Maafkan aku, terutama kepada bapaku.

Aku ingin saja berterus terang, terutama kakakku yang berasingan ibu, Ema tidak tahu mengapa Ema merasa benci kepada bapa. Ema sedar lelaki ini memang bapa Ema tetapi Ema tidak tahu mengapa Ema merasa benci tak berpasal. Sepatutnya Ema seorang anak yang sudah mampu berfikir, Ema tidak boleh benci kepada bapa sendiri. Ini tidak, tiba-tiba Ema merasai benci. Apakah benci Ema ini dianggap sebagai anak derhaka? Ya Allah, aku tidak terdaya hendak menafikannya. Dia bapaku ya Allah. Dia ayahku, ya Allah. Dialah segala-galanya, ya Allah.

Ya Allah, air mataku yang sedang mengalir ini bukti aku sangat sayang padanya ya Allah.

Tidak, Ema bukan anak derhaka, begitu Ema akan beritahu bapa jika bapa menganggap Ema anak derhaka. Tapi hanya sekadar itulah, selebihnya Ema tidak tahu lagi hendak memberi alasan untuk dipercayai. Ema tidak mahu jadi anak derhaka. Dia bapaku. Dia maskulinku Tetapi mengapa Ema membencinya? Sesungguhnya Ema tidak tahu nilai kebencian Ema ini sama dengan kebencian Ema kepada orang lain, seperti Ema benci kepada seekur anjing yang berak di halaman rumah atau benci kepada lelaki yang menipu kaum sejenis Ema?

Tuhan..

Tidak. Kebencian ini tidak dibanding dengan kebencian kepada orang lain..

Aku membaca berkali-kali catatan di dalam dairiku. Ada semacam tidak puas hati sehingga aku terasa dua keningku terangkat. Kukebam-kebam bibir kerana terasa tidak puas hati. Rasa-rasa tulisanku ini seperti dipaksa tetapi sesekali kurasa itulah luahan hatiku yang sebenar walaupun aku tidak tahu mengapa dan kenapa. Aku menulis ketika seketul kebencian tertanggung di atas pundakku dan kemudian aku rasa menyayangi pula ketika aku berhenti menulis.

Memanglah aku bukan anak derhaka. Sumpah, aku tidak ada niat hendak derhaka! Cuma yang aku lakukan ialah penipuan dan pembohongan. Tapi mengapa aku merasa benci kepada bapaku sendiri aku tidak tahu. Aku tidak terdaya menolak ingatan rasa benciku kepada bapaku ini.

Dairi ini aku simpan sepenuh rahsia.

Memang pun tentang kebencian inilah yang tidak dapat aku jelaskan. Selama ini aku tidak pernah pun dilesing atau dijentik. Sekali pun tidak. Cuma sesekali kena marah dengan matanya terbeliak merah tetapi kemudiannya baik semula. Dia menunjukan manja semula.

Aku cukup merasa pelik, anih dan hairan tetapi itulah yang tidak dapat kulontarkan jauh-jauh walaupun ia bukan selalu. Bukan apa-apa hanya kerana setiap kali aku merasa benci kepada bapanya sendiri, setiap kali itulah pula aku merasa puas. Ada semacam satu kepuasan yang hanya dapat aku rasai ketika aku meluahkan benci.

Bukan tidak pernah timbul dalam fikiranku pertanyaan-pertanyaan yang perlu kujawab. Kenapa? Mengapa? Seusia 19 tahun rasanya sudah mampu aku menjawab soalan seperti itu.

‘Engkau bohong lagi?’ itulah yang ditempek oleh bapaku dan ketika itulah kebencianku meluap-luap.

‘Semua anak berbohong!’ aku seperti hendak menjawab semula.

Tapi aku tidak melakukannya. Aku masih sopan. Tapi aku menjadi kusut kalau itu yang diminta jawab. Mujurlah tidak ada siapa pun yang tahu yang aku membenci habis bapaku ini. Lagi pun tak ada siapa yang hendak ambil tahu. Kakakku jauh sekali. Emak yang tidak melahirkan aku pun tidak peduli. Adakah di dalam rumah ini ada bilik-bilik kebencian dan ada bilik kasih sayang? Apa yang aku rasa, masuk ke bilik belakang terasa kosong, masuk ke bilik tengah terasa kosong. Pergi ke dapur terasa kosong dan rumah bapaku ini tidak ada seorang manusia pun.

Duniaku ialah bilik, seperti gua kelam yang jarang diziarahi pelancung.

Sekarang aku berhadapan dengan satu fenomena baru. Dulu hanya sekadar rasa benci tapi kini kelibat bapanya pun sudah tidak mampu hendak kulihat. Walaupun tinggal serumah, aku sering menyelinap masuk ke bilikku jika bapaku di ruang tamu atau di atas kerusi sedang membaca. Ketika sedang menonton TV, aku akan cepat beredar jika bapaku tumpang menonton bersama. Makan semeja tidak pernah lagi.

Ada rasa bersalah tetapi aku rasa perasaan bersalah itu tidaklah sebesar mana. Aku tidak pernah menjerkah bapaku. Aku tidak pernah maki hamun bapaku, malah aku sering mencium tangan ketika hendak keluar rumah atau hendak ke mana-mana.

Satu tengahari ketika emak ke rumah jiran menziarahi sakit,aku dengan mata benci cuba mengintai bapaku makan seorang diri di meja dapur. Sesekali bapaku menguak-nguak tangannya, menggawang-gawang jarinya menghalau lalat. Kalau ada emak, emak selalu menampar dengan plastik. Ya Allah, tiba-tiba air mataku mengalir. Pedih pelupuk mataku. Itulah bapaku yang aku benci. Bapa terkunyah-kunyah memepak ulam petai. Matanya terkebil-kebil kerana pedas sambal. Cengkung tubuhnya. Aku memerhati sungguh-sungguh. Pada bapa ketika itu, dunia tidak ada manusia kecuali dia seorang.

Ketika inilah rasa kasihanku membuak-buak, mengalun-ngalun dan terus menggulung-gulung. Aku tetap mengintai. Dalam keadaan amukan dengan kebencian, aku segera mendapatkan bapa dan memaksa diriku duduk bersamanya. Sengaja aku isikan sedikit nasi ke dalam pingganku. Kubiarkan bapaku menceduk apa-apa dan kemudian aku pula menceduknya. Aku hanya tunduk malu kepada diriku sendiri.

Tiba-tiba bapaku meletak seketul ikan goreng ke dalam pingganku. Ya Allah, kasih sayang apakah ini? Apakah ini dalil kasih seorang bapa kepada anakny?

Aku tidak percaya tapi aku dapat merasai percikan kasih sayangnya.

Aku lihat bapa makan dengan senang hati. Tak tersekat dan tidak tersedak pun. Nampak gelambir kulit bawah dagunya seperti kulit bawah dagu unta tua. Sesekali dia pelawa lauk atau isi kari yang dijemputnya berlebihan. Aku cuba menolak menolak. Mana mungkin aku dapat menelan dari pemberian dari orang yang aku benci.

“Kenapa? Pedas?” tanya bapaku dalam keadaan menenyeh-nenyeh nasih di pinggan apabila melihat air mataku tergenang dan kelipan pelupuk mataku sangat cepat. Apa lagi bila melihat aku mengesat air mata. Bapa tentu menyangka aku pedas makan sambal belacan.

Aku mengeleng kepala walaupun air mata yang keluar ini bukan kerana pedas sangat.

“Kalau keluar air mata kerana makan cabai, tanda sedaplah tu,” bapa mengusik aku.

Aku mengeremot muka tapi yang terjadi aku tersengih.

Sekali lagi bapaku menyua juga-juga lauk dan aku mengalah. Dengan kelopak mata yang tergenang air, aku menunjukan gembira. Aku angguk-angguk.

“Kenapa menangis?” sekali lagi tanyanya apabila bapaku nampak kelopak mataku berair.

Aku tergamam. Firasat apakah bapaku ini dapat membaca perasaan seorang anaknya yang anaknya terlalu benci. Laduni apakah yang menyinar di bola matanya sehingga nampak jerit dan lara hati anaknya? Lalu aku cepat-cepat menyeka. “Nasi panas pak, kuah pedas,” kataku memberi alasan. Memang aku suka berbohong dalam keadaan hati benci sakan. Aku cepat-cepat menyudahkan makan. Kutinggal bapaku seorang.

Bapaku jahil dengan feel penipuan aku ini. Barangkali dia terlampau sayangkan aku. Dia percaya penuh sedangkan aku membencinya.

Akhirnya aku mencari kesimpulan, sampai bilakah aku mampu menyimpan kebencian kepada bapaku sendiri? Kebenciankah jika tidak tahu punca sebabnya? Aku ingin melarikan kebencian aku ini jauh-jauh. Aku tidak mahu dikatakan anak derhaka hanya sanya kerana aku membencinya. Dia bapaku. Ya Allah, dia bapaku. Dia bapaku. Aku anaknya.

‘Ya Allah...’ aku pun menangis dalam lemas gelisah yang kusorok.

“Aku menyayangi bapaku kerana dialah saja di dalam dunia ini bapaku. Tetapi dalam masa yang sama, aku membencinya sedang membencinya ini aku sendiri tidak tahu sebabnya. Tuhan, ampunkan hambaMu ini.” Demikian aku menulis pada satu tengah malam di dalam dairi dengan dua tiga titik air mataku jatuh.

............................


-15 April 2011=11 Jamadil Awal 1432

Jemu Yang Terpaksa

Posted by Tukya Labels:

JEMU YANG TERPAKSA

Sudah tiga kali Jumaat (25hb Mac- 9hb April 2011) bermukim di Wad CRW Hospital Pulau Pinang sangat menjemukan. Ia bukan satu pengalaman pahit tetapi keterpaksaan yang menjemukan.

Terima kasih kepada kawan-kawan yang telah menunjukan ukhuwah Islamiah bersama iringan doa minta cepat sembuh. Mereka ziarah tak henti-henti, termasuk Dr MAZA mantan Mufti Negeri Perlis. Bosan membaca buku kali ini. Buku ‘Jihad Terlarang’ hanya sempat dibaca beberapa helai lalu disedekah kepada Us.Takiyudin Hamzah yang berada dalam wad yang sama.


Ust Takiyudin


Apa lagi yang perlu dilakukan dalam letih dan suasana kiri kanan terdiri dari mereka yang perlu menyambung hidup. Manakala saya tidak dijanjikan dengan ‘date’ yang memberi harapan bila saya dapat keluar. Mematuhi kata-kata Datuk Dr. Hamzah yang saya dapat tahu dia yang akan proses pembedahan, agar saya terus berada dalam rawatan dan terus melakukan pembedahan dalam masa terdekat, maka saya bertahan dengan penuh bosan.

Novel terbaru yang baru siap setebal 299 muka bertajuk ‘MANDALA DUNIA KE DUA’ mujur menjadi peneman. Untuk edit kali ke 8 dan terakhir dapat juga dilakukan secara penyegan. Alhamdulillah rasanya sempat habis sebelum bedah. Jika hayat saya pendek, barangkali inilah novel terakhir saya.

Hospital rupanya bukan institusi menempah kematian, tidak juga jaminan menyambung hayat. Di sini adalah institusi ikhtiar bagi rakyat sesebuah negara. Saya melihat perbelanjaan dari sekecil-kecilnya hingga perkara besar seperti sehelai tisu tandas kepada bayaran nilai nyawa bukan ribuan belanja dalam sebulan.

Jika perbelanjaan ini memang benar hasil dari wang rakyat, maka saya sangat percaya mereka yang dicempung papah, yang disorong dari kerusi roda dan dari mana saja mereka datang, sebahagian besar adalah wang mereka; dari cukai dan hasil, dari titik keringat mereka sendiri.

Tapi bukan semua rupanya rakyat mesti dapat percuma walaupun dia seorang pekebun sayur yang taat membayar cukai. Ada masa dan ada ciri-ciri sakitnya yang dikena bayaran hatta ke tahap hayat terakhir.

Tapi yang sangat jelas belanja pengurusan dan perubatan sesebuah hospital tersangat besar dan pengorbanan kakitangannya bermula dari pemungut sampah hingga kepada pengarah tidak ternilai.



Saya dapati ada dua pertarungan jika berada di hospital. Bagi si kaya yang tidak ada masalah kewangan kerana mereka mampu membeli sebuah nyawa. Sejak ia di sorong masuk ke wad kecemasan, dia bukanlah dalam keadaan cemas. Ia seolah-olah mampu membeli semua urusan dalam wad. Dia hanya berkata ‘ok’ jika ribuan material yang diperlukan untuknya.

Lain bagi Balasunderam. Dia dicempung oleh anaknya masuk wad di tengah malam. Berbadan kurus cengkung, Bala mengaduh setiap waktu. Dia ingin membeli secebis kelegaan dari hospital yang dia yakin kepunyaan rakyat sepertinya. Dia mempertaruhkan wajah belas kasihannya kepada jururawat, kepada doktor. Kemudian apabila pihak pengurusan memberitahu dia perlu menyediakan RM30K harga tiga gelang untuk jantung tersumbat, Bala terbeliak mata. Mulutnya berbuih.

Doktor yang mengubatinya, memandang sayu. Mahu diberitahu harga itu bukan harga darinya dan barang itu bukan kepunyaannya. Dia hanya menjalankan tugas.

Akhirnya Bala mengaku akan berusaha tapi bagaimana? Masakan RM30K untuk membeli tiga gelang mahu dia membuat iklan memohon derma simpati.

Balasunderam adalah di antara ribuan pesakit yang mengalami nasib buruk di dalam negara yang rakyatnya +- 25 juta, yang taraf miskin tegar semakin berkurangan.

Dan dalam masa yang sama rakyat boleh menyaksi kehilangan lebih RM100 juta dari kakitangan / pegawai kastam. Tidak ada seorang rakyat yang menangis apabila ada pegawai yang rasuah sebanyak RM1 juta. Seorang menteri terus menyedut asap cerutnya apabila tahu YBnya didapati rasuah.

Apakah ada seorang Balasunderam yang mampu berkata kepada doktor bedahnya, mengapa RM30K untuk tiga gelang mengubati saya tidak boleh diambil dari saku mereka yang menipu kementerian, menipu jabatan atau tarik sekeping dua dari belanja membuat video fitnah?

Ternyata doktor yang penuh dengan etika itu tidak menjawab. Tapi itulah gaya hidup sebahagian rakyat. Mereka sanggup memungut duit syiling dari lori terbalik daripada mengangkat derebarnya yang tersepit. Mereka memang membantu mangsa kemalangan tetapi yang hilang dompet duit mangsa.

Kemudian ada yang tertekan untuk melaksanakan undang-undang lalu dibelasah seorang murid hanya kerana disyaki mencuri RM5 sedangkan di mahkamah besar berlaku ketidakadilan dari pemegang undang-undang itu sendiri.

Demikian apa yang berlaku. Seorang pesakit akan terus menderita sakit dan rakyat juga terus sakit dan inilah yang dikatakan jemu yang menyakitkan.

-Wad CRW Penang 9hb April 2011

Salam Rindu

Posted by Tukya Labels:

Di wad CRW GH PENANG 2 April 2011.


Kepada penyingggah blog ini, saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengisinya.


Sejak 25hb Mac 2011 yang lalu saya ditentukan takdir memasuki Hospital Besar Pulau Pinang kerana disyaki mengidap ‘paru-paru berair’ setelah sekian lama merasa lega akibat kerosakan jantung.


Seminggu terlantar, pihak hospital tidak benar saya balik dan saya akan terus dilakukan pembedahan jantung dalam masa seminggu dua lagi. Pohon maaf di atas apa-apa kesilapan.


Yang benar,


Azizi Hj Abdullah


2 April 2011