Tsunami Dalam Tsunami:Mangsanya Siapa?
Posted byMalapetaka Tsunami tidak sesiapapun boleh menafikan ia adalah kesamsengan alam terhadap beberapa negara yang terlibat dan manusia yang menjadi mangsa telah menerima risiko kesamsengan itu. Tapi satu hal lagi yang tidak didedah walaupun ia diamalkan begitu berleluasa ialah ketsunamian golongan yang ‘kononnya’ bertindak cepat membantu mangsa Tsunami.
Kampung Kuala Muda, Kota Kuala Muda adalah kampung berdekatan dengan kampung saya. Pekan Kota, tempat yang membesarkan YB Zainuddin Maidin kini menjadi pekan be‘linglong’ sukarelawan, kumpulan, manusia yang kononnya berperikemanusiaan.
Merekalah yang dikatakan bertungkus-lumus ‘membantu’ mangsa Tsunami, ombak besar dan kesamsengan alam itu. Tetapi malangnya beberapa hari di kampung, dan di Pekan Kota Kuala Muda itu sendiri, saya telah mendengar dan melihat berbagai-bagai kelakuan ‘samseng Tsunami dalam Tsunami’.
Memang pertolongan diberi begitu pantas. Memang bantuan diberi berlambak-lambak. Simpati di mana-mana. Baik pihak kerajaan mahupun NGO atau orang perseorangan, tidaklah boleh dinafikan memberi bantuan yang sepada-padanya.
Tetapi yang mendukacitakan apabila sukarelawan daripada pihak berkuasa, bantuan daripada kerajaan, ia tidak pun bersifat mengurangkan penderitaan kesamsengan Tsunami tetapi menambahkan pula keperihalan ‘penyamun tarbus’ terhadap mangsa.
Hari pertama bantuan memang ada. Tetapi sejauh mana bantuan itu? Orang sekampung yang bernasib baik memang memainkan peranan yang sungguh baik. Tetapi apabila tiba rombongan yang dianggap ‘memberi bantuan dan pertolongan’ ia sudah bertukar menjadi ‘penggeledah’ tak berhati perut atas nama mereka anggota yang berautoriti.
Lalu dengan alasan agar penduduk tidak menjadi mangsa kali kedua, penduduk yang ingin kembali melihat rumah mereka, ingin mencari seringgit dua yang kalau-kalau masih ada di dalam almari atau laci, mereka dihambat. Kereta yang tersadai, yang boleh dikesat dan disapu habuk dan lumpur untuk memastikan kalau-kalau ada mangsa di dalamnya, diketuk, dipecahkan cermin begitu-begitu. Pada hal cara lain boleh dilakukan kalau benar-benar untuk memastikan kalau-kalau ada yang terperangkap dalam kereta.
Perbuatan begitu benar-benar menggambarkan dengki, sakit hati, tak berhati perut dan samseng yang lebih daripada Tsunami. Ada tuan punya kereta menjerit; "Ini kereta saya. Saya tahu apa ada di dalamnya, kenapa mesti dipecah-pecahkan cermin dan pintu?"
Samseng Tsunami dalam Tsunami itu tidak peduli dan megah juah kerana mereka orang berautoriti sebagai penyelamat.
"Itu rumah saya. Saya mahu lihat barang-barang rumah saya," jerit pula seorang yang apabila disekat tidak dibenarkan masuk.
Tetapi mereka yang diangkat menjadi orang yang berkuasa, menahan juga sehingga sampai tuan punya rumah angkat parang.
Apa yang berlaku selepas itu? Memang Tsunami sudah reda, tetapi manusia itu pula menjadi Tsunami. Memang tidak ada bukti untuk menuduh tetapi hakikatnya ada barang-barang yang hilang setelah kotak dan perabot dipecahkan. Bukti memang ada, tetapi tidak tahu siapa kerana tapak-tapak kasut di lumpur bukan tapak kasut si Dolah nelayan yang hilang harta bendanya.
Jadi siapa? Tsunami tidak membuka kunci laci tetapi Tsunami lain yang memecah laci.
Bantuan memang pun diberi, tetapi kepada siapa? Pada satu ketika, orang tertentu yang diamanahkan oleh kerajaan melempar-lempar kain batik, membedak-bedak (mengagih-agihkan) beras dan wang bantuan. Tetapi apa yang berlaku, ketika hendak memberi, ‘Tsunami dalam Tsunami’ itu meninjau-ninjau dulu, mahu memastikan 'orangnya' kah, adik beradiknyakah? Lalu mangsa lain pun menjerit-jerit tapi oleh kerana yang menjerit itu rakyat marhaen, jeritan itu tidak dipedulikan.
Kerana hati perut lebih Tsunami dari Tsunami, ada yang diberi kepada tiga beranak, adik beradik yang datang dari jauh pun diberi, bukan berdasarkan bantuan kepada keluarga. Penghulu yang sepatutnya memainkan peranan, sehingga hari ketiga khabarnya belum ada sekretariat bantuan. Seperti keluhan dalam TV pada 31 Disember 2004, seorang perempuan menjerit kerana dia tidak dapat apa-apa pun.
Kasihan, tapi manusia yang seronok kerana Tsunamilah mereka dilantik menjadi orang prihatin untuk membedak-bedak bantuan, lebih kejam daripada Tsunami sebenar.
1 Januari 2005 ketika saya di salah satu pusat bantuan, saya melihat beberapa orang petugas mengira-ngira wang dan membuat baucer. Ketika itu jam sudah pukul 10 malam. Mereka bergegas ke bandar membeli tilam. Kenapa?
Rupa-rupanya tilam bantuan dari pihak tertentu sudah ada sebenarnya. Beratus-ratus. Tetapi tilam itu masih tersusun di stor. Bila ditanya kenapa tak diberi pada orang tua yang terpaksa tidur di atas simen, jawapannya mudah. "Nanti, kita tengok orang kita dulu".
Maka apakah anda boleh yakin jika RM13 juta atau RM30 juta sekalipun kutipan derma sudah terkumpul, apakah ia benar-benar akan sampai ke tangan mangsa Tsunami. Yang pasti, Tsunami dalam Tsunami akan melakukan acara yang tentu meragukan. Ke mana seluar dalam? Ke mana coli dari kontena yang disumbangkan oleh pihak tertentu? Ke mana beras berkampit-kampit?
Jawapannya tak menentu. Saya mendapat tahu penghuni KEDA yang tidak ada kena-mengena dengan kesamsengan Tsunami, merekalah yang kelam-kabut mendapatkan peruntukan. JKK melantik petugas daripada kalangan yang tidak kenal muka mangsa Tsunami di Kuala Muda. Mengapa? Jangan tuduh tapi tentulah boleh menimbulkan syak waham.
Umno boleh dipersalahkan. Apa-apa tindakan atau kemudahan, macamlah mereka orang yang berautoriti. Apa pun mesti mendapat kelulusan Umno, hatta polis sendiri pun sukar membuat keputusan.
Hari pertama, jangan ingat semua yang masuk ke kampung yang musnah itu dari anggota yang ingin membantu. Ada pegawai, sekurang-kurangnya tiga Land Rover dan kereta kerajaan, pegawainya membawa anak bini masuk kampung kerana ingin ’sangat’ hendak melihat petaka Tsunami. Bayangkan penduduk yang menderita, menjadi mangsa, ada pegawai bawa anak bini round sana - round sini, sedangkan kereta itu kereta ‘gomen’ untuk membawa bantuan.
Saya tidak nampak (orang lain pun begitu, malah mereka yang berkenaan lebih tahu) sekiranya bantuan RM700,000 diberi kali pertama, bukan RM700,000 yang sampai ke tangan mangsa. Apatah lagi jika sampai juta-juta. Percayakah kalau begitu perangai Tsunami dalam Tsunami, bantuan begitu banyak akan sampai?
Sesiapa yang rajin cubalah jumlah berapa bantuan kewangan yang diisytiharkan, yang terkumpul kemudian tanya kepada mangsa berapa yang mereka dapat? Yang menjadi keliru sekarang, media-media hanya menyiarkan ratusan ringgit yang diterima melalui menteri-menteri tetapi tidak diketahui berapa peruntukan besar. Kalau rajin cuba bahagi dengan bilangan mangsa dan kemudian perimbangkan dengan peruntukan sebenar.
Kalau beras boleh diambil begitu-begitu tiga kampit, coli dan baju dalam boleh dicempung oleh mereka yang kononnya prihatin dan menjadi sukarelawan, apakah tidak mustahil peruntukan berjuta-juta?
Tulisan ini bukan kerana kita busuk hati, tetapi itulah perangai manusia yang berbangga menjadi sukarelawan, berbangga menjadi jawatan kuasa bertindak, menjadi urusetia dan lain-lain, terutama mereka yang memegang akaun dan wang yang belum tentu diaudit.
Tak payah mencari alasan dan bukti buruk sangka. Tengok yang dulu pun cukup. Ke mana perginya derma Telethon itu, Telethon ini, bantuan penyayang, jantung hatiku dan entah apa-apa lagi yang kononnya dikumpul untuk diberi pada mangsa.
Tulisan ini tidak sekali-kali menyalahkan kepada kerajaan, kepada NGO atau penderma yang berprihatin. Tetapi yang mendukacitakan ialah adanya ‘malaun-malaun’ ‘penyamun tarbus’ yang mengambil kesempatan.
Kita berpendapat, tidak ada gunanya bantuan diberi secara berperingkat-peringkat. Boleh bukan tak boleh bantuan asas diberi, tetapi bukankah lebih mudah jika RM30 juta misalnya, dibahagikan saja dengan bilangan mangsa lalu diberi atau terus membina rumah berbentuk 'ibu' kemudian jika hendak ditambah dan dibesarkan lagi, terpulanglah pada mangsa.
Yang jelas sekarang, penyamun dan peragut lebih banyak muncul ketika malapetaka berlaku dari penyamun dan peragut yang berlaku di bandar-bandar. Yang anehnya, penyamun dan peragut ini turut membaca Yasin dan solat ghaib, perogol menyamar membantu polis dan lain-lain lagi tipu muslihat yang menggambarkan; itulah Tsunami dalam Tsunami.
- Azizi Haji Abdullah - 03.01.2005
0 comments:
Post a Comment