Oleh: Azizi Hj Abdullah
Setakat hari ini (26hb Jun2007) sahlah sudah Tan Sri Eric Chia tidak menyalah guna wang RM76.4 juta atau pecah amanah wang Perwaja. Selesailah sudah pengunjung ke mahkamah tersebut tapi mungkin beralih ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengikuti perbicaraan kes berprofail tinggi.
Perbicaraan yang bermula sejak 10 Februari 2004 sehingga 26hb Jun 2007 melegakan Tan Sri Eric Chia yang usianya hampir menyamai tuduhan pecah amanah terhadapnya; RM76.4 juta.
Bagaimana pun yang jelas, RM76.4 juta sudah tidak ada. Jika tuduhan pecah amanah tidak terbukti, adakah RM76.4 juta itu terbukti pula adanya di dalam peti bank?
Berlakunya perbicaraan atas tuduhan pecah amanah ialah kerana RM76.4 juta hilang dan proses mahkamah membuktikan yang dituduh tidak bersalah tetapi rakyat tidak tahu di mana RM76.4 juta itu ada.
Inilah yang anih. Ia semacam cerita toyol yang masuk rumah orang. Duit tiba-tiba hilang tapi tak tahu siapa yang ambil.
Tahukah anda sekiranya rakyat Malaysia berpenyakit kronik perlu kepada RM200,000 untuk menjalani rawatan, bererti kita boleh membiayai seramai 382 orang jika kita memiliki RM76.4 juta.
Tapi ianya tidak mungkin berlaku. Kebanyakan mereka yang mengidap penyakit kronik hanya mampu merayu melalui akhbar dan menerima sumbangan derma dari orang ramai. Selebihnya diajak orang kampung baca Yasin 44 orang.
Begitulah kedudukan kita sekarang.
Agak-agaknya wang RM76.4 juta itu ke mana? Ke simpanan bank mana? Ke bakul mana, ke dompet mana dan yang penting siapa yang mengambil?
RM76.4 juta bukanlah sedikit. Apabila perbicaraan begini yang bertaraf profail tinggi, yang penting bagi rakyat bukan angka juta atau ribu tetapi rakyat ingin hendak tahu, siapakah yang sanggup berbuat begitu?
Khabarnya kes ini akan dibuat rayuan semula. Duit lagi. Mungkin setelah dua kali buat rayuan, masuk keluar mahkamah, duit belanja perbicaraan lebih pula dari duit hilang. Inilah kebijaksanaan kita. Untung sekarung rugi seguni. Pelahap dan malaun tetap kaya dan senang sementara menunggu mati.
Bercakap dalam soal perbicaraan, sama ada pendakwaan atau pembelaan, bukan maksud kita tidak mempertikai maruah atau status mahkamah. Tetapi selalunya kita melihat mahkamah memihak kepada siapa yang bijak menghujah dan memberi alasan. Dalam erti kata yang lain, walaupun perkara itu benar-benar berlaku, mahkamah boleh mengatakan tidak berlaku sekiranya pembela bijak dengan hujah dan fakta sehingga mahkamah merasa munasabah dari penghujahan itu.
Begitu juga pendakwa. Berapa banyak kes yang kita nampak, tertuduh semacam tidak bersalah, baik dari segi perlakuan dan moral, tetapi oleh kerana pendakwa begitu hebat, bijak dan sesekali dilihat oleh awam seperti sengaja mengada-ngada, maka tertuduh didapati bersalah.
Kerana ini rakyat mencari keadilan tapi keadilan tetap tidak jelas. Sayang, mahkamah akhirat tersangat lambat, maka kerana itu ramai di antara rakyat kita di Malaysia lambat pula hendak menerima Islam secara syumul sedangkan Islam Hadhari kurang menjurus ke arah ini.
Proses perbicaraan yang berprofail tinggi sering menggambarkan tertuduh bersikap bongkak dan megah apabila kesnya menang. Dan apabila kalah ia seperti tidak ada apa-apa berlaku kerana kesalahan yang dihukum terhadapnya dapat dibayar dengan harga kemewahannya. Tidak ada tertuduh berprofail tinggi yang didapati bersalah oleh mahkamah terus jatuh papa kedana atau miskin merempat, melainkan yang mencuri 100 biji telur ayam, menipu atau mencuri barang di supper market atau JKK yang rasuah.
Imej berdosa tidak ada kepada mereka yang dituduh atau didakwa kerana melakukan sesuatu kesalahan. Sudah banyak kes yang kita lihat mereka yang dituduh dan didakwa masih boleh tersenyum, bercakap besar, masih dengan jawatan hebat kerana bagi mereka tidak ada apa yang mesti dimalu, ditakuti kerana masyarakat sudah ditanam dengan kata-kata Dr. Mahathir: apa pun tidak salah selagi mahkamah tidak kata tidak bersalah. Tapi Mahathir tidak pula mengambil kira erti salah dan benar menurut Islam.
Ertinya mereka mampu berdiri dan muncul di tengah masyarakat, baik sebagai menteri, eksekutif, korporat atau pengarah selagi mahkamah kata mereka tidak bersalah. Yang lebih mengembirakan orang-orang ini sebagai yang dituduh, apabila kes-kes ini tertangguh, ditangguh selama beberapa tahun. Selama beberapa tahun itulah mereka menjadi ‘popular’ dan megah kerana mereka dapat menjaja bahawa mereka ‘tidak bersalah’ kerana mahkamah belum kata mereka bersalah.
Kemudian orang-orang seperti ini cuba memberi gambaran kepada masyarakat bahawa mereka masih tidak bersalah apabila mereka membuat rayuan perbicaraan. Di waktu itu mereka masih lagi dapat menunjukkan kebongkakan diri dengan status yang hebat. Mereka akan masuk ke mahkamah dengan kot dan bertali leher, dengan peneman dan diapit pula oleh dua tiga peguam.
Katakan mereka bernasib baik lalu mahkamah mendapati mereka tidak bersalah pula walaupun peringkat pertama mereka di dapati bersalah. Bayangkan ketika ini bagaimaga ‘meghak’nya atau megahnya atau sombongnya atau berlagaknya yang kena tuduh ini. Bukan mustahil mereka akan mencemik muka kepada pendakwa.
Jadi, di manakah kebenaran kesalahan atau jika kes itu berlaku disebaliknya, di manakah pula benarnya kebenaran?
Sayang sekali lagi, akhirat masih lambat, jika tidak masyarakat kita akan segera mengetahui kongkalikong tipu daya dan songlap juta-jutaan seperti ini.
Merujuk kepada kes Eric Chia, sesetengah orang telah menuduh itu dan ini, termasuk kerana pengaruh Dr. Mahathir masih kuat dan ada pula cerita-cerita yang menyangkut dengan kedudukan politik sekarang. Malah sampai menuduh mahkamah ada agenda dan tidak berlaku adil.
Tapi kita tidak tertanya pun apakah RM76.4 juta itu boleh dikerobek balik dan jika boleh dikerobek, dengan cara apa, kepada siapa? Nampaknya tidak ada kaedah untuk mendapatkannya. Lainlah kalau kes-kes seperti ini mahkamah mendapati bersalah, itu pun sekadar denda dan penjara sedangkan wang rakyat yang bernilai berjuta-juta itu, tidak pun dikembali kepada rakyat.
Kita melihat kes-kes seperti; didapati hilang dan kemudian didakwa didapati tidak bersalah sama saja dengan wang yang dibelanja untuk projek mewah atau projek mega yang mengalami kerugian, hilang, lesap dan membazir.
Kita boleh menurunkan beberapa perkara yang dianggap ia sama saja dengan kes Perwaja, yang hilangnya tidak boleh didapati semula. Misalnya;
1. Sukom satu ketika dulu berbelanja RM330 juta, kemudian rugi sebanyak RM10,642,844.00 kemudian hutang yang belum selesai RM17,545,052.00
2. Gelanggang lumba kuda di Tambalang, Tuaran bernilai RM40 juta tapi terbiar begitu saja.
3. Proses air tahi yang berhutang sebanyak RM650 juta kemudian diselamatkan oleh kerajaan.
4. Skandal wang PPRT di dua negeri berjumlah RM36.5 juta.
5. Skandal keruntuhan sebuah bank hampir RM2 bilion.
6. Tabung Haji yang hilang wang penyimpan berjumlah RM9 juta.
Di Kedah berdasarkan Ucapan Belanjawan Negeri Kedah 2007 Menteri Besarnya yang sangat hebat menyatakan kerajaan Kedah tidak pernah gagal menyediakan rancangan untuk rakyat. Tapi dalam kaji selidik kita mendapati:
1. Penyelenggaran Pulau Payah untuk pelancongan sebanyak RM1 juta. Ia tidak mendatangkan apa-apa kejayaan dan terbengkalai. Pada hal RM1 juta mampu membeli injin, perahu, pukat untuk 680 orang nelayan.
2. Perbelanjaan Anjung Pedu Resort yang kemudiannya ditinggalkan begitu saja sebanyak RM3.5 juta, sedangkan sebanyak itu mampu membeli keperluan sekolah bagi 9,383 murid jika harga perbelanjaan RM373 seorang.
3. Belanja membina Medan Ikan Bakar di Kubang Kerian RM3.8 juta, sedangkan ia mampu membeli uniform murid-murid miskin seramai 140,000 orang.
4. Belanja membina jeti kapal mewah di Kuala Kedah sebanyak RM38 juta tapi tidak dapat beroperasi. Sedangkan wang sebanyak itu mampu membina rumah kos rendah sebanyak 1,163 di Baling dan 167 di Padang Terap.
Demikianlah kelemahan-kelemahan yang kita pernah, sedang dan mungkin lakukan. Ia bukan melibatkan ratusan ringgit tetapi juta dan bilion. Seperti pada satu tahun dari beberapa tahun yang lalu negara pernah mencatat kerugian lebih RM500 juta setahun akibat kerugian curi air, termasuk paip bocor. Dan tahun ini saja negara kerugian lagi berjuta-juta akibat bangunan runtuh, rosak dan bocor. RM2 juta sudah pasti untuk menampungnya seperti yang diberitahu oleh Samy Vellu.
Habis, apa yang kita nak kata apabila Eric Chia didapati tidak bersalah dalam keadaan tidak berkuderat berjalan, lalu kita mencari-cari ke mana perginya RM76.4 juta.
Belum pernah Tuhan menjadikan kubur berasap kepada mereka yang makan duit rakyat. Jika tidak, alangkah senangnya kita tahu siapa?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
itulah kita.
Assalamualaikum..
Saya Muhammad al-amin, pelajar dari Kolej MARA
Banting sedang menyiapkan sebuah tugasan mengenai
Allahyarham Usman Awang. Saya dikehendaki mencari
petikan kata-kata dan pendapat para penulis tentang
Allahyarham Usman Awang. (Usman Awang Daripada Kaca
Mata Penulis Lain)
Saya berharap agar saudara dapat membantu saya
dengan memberikan sedikit pandangan saudara tentang
Allahyarham Usman Awang.
Saya boleh dihubungi melalui email
al_are@yahoo.com
Segala kerjasama daripada saudara saya dahului
dengan ucapan terima kasih.
Sekian, terima kasih
salam ukhwah...
Rupa2nya ulasan Ust Azizi masih menyengat...
Teruskan membentuk minda merdeka di bumi tercinta.
Post a Comment