E-Mail Dari BARAJIWA. Maaf, Saya Bukan Pemikir.

Posted by Tukya Labels:

Saya terima e-mail dari sahabat di Pekan Pahang, ‘BaraJiwa’. Beliau memerlukan jawapan saya. Saya tahu dia nak test saya. Masakan persoalan macam ini pun dia tak tahu. Fuh! Saya bukan pemikir.

Tapi soalan itu menyentuh hati saya. Maka untuk pengetahuan umum, sengaja saya paparkan dalam blog ini. Moga-moga kita dapat berkongsi. Saya memang sedar, sejak keputusan PRU ke 12 pada 8 Mac 2008 yang lalu, ramai anak muda semakin menggelodak perasaan, mula balik membaca sejarah, menilai apa yang sedang berlaku. Yang anihnya sasaran teropong golongan ini ialah kepada pemimpin yang menerajui pemerintah selama setengah abad.


Seorang kawan dari Dewan Bahasa berkata: perubahan ini bukan kerana orang bencikan Umno, tetapi tabiat atau hukum dunia pasti berlaku jika sesuatu itu agak lama.

Kawan yang menamakan Barajiwa, seorang penulis juga. Soalan ini diluahkan kepada saya sedangkan ini adalah luahan kritisannya. Apa salah kalau jadikan artikel untuk bacaan?

Barajiwa bertanya.:

1. Katakanlah seruan Dato Onn Jaafar kira-kira lebih 62 tahun lalu itu diterima oleh UMNO, agaknya apakah rupabentuk negara kita hari ini? (Kalau kita masih ingat wawasannya yang mendahului zamannya itu telah ditolak oleh UMNO. Beliau mahu keanggotaan UMNO dibuka kepada semua kaum)

Barajiwa, saya akan sokong jika Dato’ Onn seorang tokoh, pemimpin yang membawa perjuangannya berpaksikan Islam.

Kekeliruan, kecurigaan, kesangsian kita terhadap orang lain kerana kita dididik dengan faham kebangsaan cukup lama, lalu kita menjadi yakin bahawa pembelaan terhadap bangsa mesti menjadi agenda dan orang lain tidak perlu.

Saya katakan, ini kerana kita sudah lama dididik begini. Kita tidak bermula dengan didikan perjuangan, kemerdekaan secara Islam.

Tetapi jika begitu arah Dato’ Onn, lalu kita dapat melihat cucu cicit dan generasi Umno sekarang ini begitu, sama ada menolak atau setuju dengan Dato’ Onn, yang berlaku ialah kesilapan langkah sejak penubuhan Umno. Kerana penolakan seruan Dato’ Onnlah maka Umno menjadi begini sekarang. Kerana sesetengahnya menerima seruan itulah, Umno juga jadi seperti ini sekarang.

Sebabnya mudah; Tidak ada roh perjuangan Islam yang sepatutnya ada dalam seruan Dato’ Onn. Tidak ada dasar Islam dalam dasar Umno.


2) Katalah penduduk Malaya secara total menolak dakyah British bahawa Hizbul Muslimin itu bukanlah pertubuhan pengganas lantas membenarkannya beroperasi selayaknya sepertimana para pengamal demokrasi sentiasa canang-agungkan, agaknya apakah kesannya terhadap negara ini?

Kerana mereka Britishlah, maka Hizbul Muslimin dianggap pengganas. Saya yakin jika Hizbul Muslimin beroperasi dan hidup perjuangannya hingga kini, kita mungkin menjadi umat yang terus berjuang mencari keredaan.


3) Katakanlah dasar-dasar yang memberikan keutamaan kepada orang-orang Melayu seperti DEB itu dilakasanakan dengan telus, penuh amanah dan bertanggungjawab agaknya apakah yang terjadi kepada negara ini?

Baguslah. Tapi sdra kena ingat TELUS bukan milik perjuangan dan pengagihan untuk orang Melayu saja. Telus ialah milik semua manusia yang berhak menerimanya dan telus mesti diamalkan oleh pemimpin. Maka paling teluslah jika orang Melayu terkebelakang, diberikan keutamaan. Telus milik agama dan moral. Ia bukan milik dasar pengagihan parti.


4) Katakanlah agama Islam itu tidak pernah dijadikan topeng, sandera atau kuda tunggangan para penguasa, apakah agaknya yang terjadi kepada negara kita hari ini?

Jadilah negara Madinah dengan rakyat bermadani. Jadilah Baldatun Toiyibatul Warabbul Ghafur. Sdra buka tafsir, cari Asbabul Nuzul ayat di atas, tahulah kita.


5) Sekiranya jiwa kita, rakyat negara ini merdeka sepenuhnya, apakah agaknya yang terjadi kepada negara kita?

Tunggu buku saya yang bertajuk JIWA HAMBA. Tak lama lagi keluar.


Barajiwa
Pekan, Pahang
31 ogos 2008.

8 comments:

  1. Anonymous

    Wah, buku baru lagi! Novelkah? Atau buku umum seperti Mustadh'afin yang Tertindas?

  1. Anonymous

    AIDIL KHALID,
    BUKU INI BUKAN NOVEL TAPI KRITIK SOSIAL TENTANG ADAT DAN UPACARA YANG MEMBAWA ORANG MELAYU BERSIFAT DAN BERJIWA HAMBA.
    NANTI SAYA PAPARKAN DALAM BLOG INI JIKA SUDAH SIAP. SEKARANG LAYOUT TERAKHIR. MUNGKIN HUJUNG SEPTEMBER.

    SALAM

  1. CUCU TOK KEDU

    Abang Azizi yang dihurmati!

    Jawapan yang diberikan kepada soalan yang baik itu amat baik sekali dan bijak. Tidak bermain politik tetapi kenyataan. Itulah yang tersurat dan itulah yang tersirat!

    KOn (saya) menunggu buku JIWA HAMBA itu kerana kon tak nak anak cucu menjadi hamba kepada si zalim selama-lamanya!

    CUCU TOK KEDU

    http://rp-semantan blogspot.com

  1. Zolkharnain Abidin

    Novel Tukcai tu novel baru ke lama? Macam pernah dengar tajuk tu tapi tak pernah baca. Di Kangar saya dok ronda tak dak lagi buku tu?

  1. Anonymous

    ustaz zolkarnain,
    novel tu fajamr bakti terbit dulu, kemudian penerbit alaf21 nak, atas nama novel klasik, diubahsuai sikit.
    nanti saya ikhtiar bagi.
    bolog ustaz menarik tekniknya. mana belajar? saya cuba masuk komen, tapi tak boleh. saya memang jahil pasal blog ni.
    salam berpuasa
    azizi

  1. Anonymous

    Kon,
    Buku Jiwa Hambar mungkin terbit lepas raya. sekarang masih edit dan tokok tambah. presiden CAP kata, kena tambah lagi.
    kalau terbit, saya iklankan di sini.

    rajin nampak.

    azizi

  1. Unknown

    Salam Ustaz

    31hb Ogos 1957 Kemerdekaan Tanah Melayu.Bila kita bergabung dengan Sabah dan Sarawak jadilah Malaysia.
    Apalagi yang ada pada Melayu kalau bukan Agama Islam......

  1. HajarAznam

    Ya Allah...

    Akhirnya saya bertemu juga penulis yang amat saya kagumi ini disini. Setelah sekian lama saya mencari baru disini saya ketemui Azizi Hj Abdullah. Mungkin Pak Azizi (maafkan saya kalau panggilan ini kurang menyenangkan kerana tidak tahu hendak memanggil apa) tidak tahu betapa saya mendapat ilham dari penulisan2 mu. Tidak pernah saya mengalirkan air mata bila membaca buku tetapi buku kamu membuatkan saya mengenali hidup, perasaan, rimba dan cinta. Bermula dari tahun 1992 (ketika berada di darjah 4) saya telah membeli sebuah buku bertajuk seorang tua di kaki gunung yang dijual di pesta buku dewan bahasa dan pustaka saya memilih buku itu kerana tajuk dan cover buku itu yang memaparkan seorang tua bertongkat membuatkan saya ingin membaca buku itu...saya mengenali alam dari buku itu. Saya memahami cinta orang tua disitu. Saya memahami betapa hidup ini terlalu singkat untuk berkira-kira disitu. Akhirnya saya menangis kerana gembira dan sedih. Sejak dari itu selain HAMKA Azizi Hj. Abdullah lah penulisannya yang saya agungkan. Sewaktu saya berada di tingkatan 4 saya telah membantu pelajar SPM tentang peperiksaan BM mereka yang ada petikan cerita dari Seorang tua di kaki gunung. Saya bangga disaat itu. Siapa kata novel melayu tidak bagus. Novel seterusnya yang saya baca ketika menuntut di universiti adalah Ayahanda..sekali lagi saya mengalirkan air mata dan di saat itu saya terus menghargai setiap detik saya bersama ayah saya. Hingga saat ini juga nama Azizi Hj. Abdullah dan karya nya masih terpahat di hati dan minda saya.

    Terus terang saya katakan saya telah membaca buku seorang tua dikaki gunung lebih dari sepuluh kali kerana amat mengaggumi penulisan dan jalan ceritanya, Sehinggakan saya boleh hafal dialog dan adengan2 di dalam ceritanya.

    Ya Allah saya sungguh gembira hari ini. Sudah pasti setiap hari saya akan membaca blog ini. Saya tidak sempat mengenali HAMKA semasa ada hidupnya tapi saya bersyukur saya mengenali Azizi HJ. Abdullah ketika ada hidupnya =)

    Salam.