Catatan 5hb September 2008 Jumaat; 5 ramadan 1429.
SATU KEBANGGAAN.
Ya Allah, jauhkan hambaMu ini dari perasaan bongkak, juah, takbur dan ego,riak. Amin!
1. Selepas merasa agak seronok menulis cerpen ‘Ilaihira ji`un’ yang mengkagumi ; bijaksananya Allah yang menjadikan makhlukNya berbagai ragam tetapi dengan kuasaNya dapat menamatkan hidup makhluk atas satu nokhtah saja, iaitu MATI.
2. Mengapa Tuhan mengakhirkan manusia yang hidup ini dengan mati? Ini satu persoalan yang menunjal dalam kepala. Bukankah baiknya dunia ini tidak ada MASA (Waqt atau Al Asr). Bukankah adanya MASA manusia boleh jadi muda, remaja dan manusia boleh jadi tua. Cuba kalau tidak ada masa dalam dunia ini, manusia tidak akan tua dan manusia tidak akan mati, kerana tua dan matilah ditentukan oleh MASA.
3. Akhirnya saya terjawab sendiri; kerana itulah ada janji di akhirat; baik dan jahat. Kerana ada janji syurga dan neraka. Itulah bijaksananya Allah yang tidak pernah mengembalikan seorang manusia pun kepada masa yang ditinggalkannya.
(Ditulis cerpen ini sempena kematian Tan Sri Samad Ismail yang saya sayangi. Hantar ke Mingguan Malaysia. Entah siar entah tidak)
4. Dengan capik sebelah kaki, saya menyangka tidak dapat menunai solat Jumaat dengan berdiri. Tapi Alhamdulillah, seronok dan rasa puas hati hari ini. Entah mengapa saya merasa bangga sangat bila berada di dalam masjid menunggu solat Jumaat. Saya hairan kenapa saya bangga dan megah?
5. Rupa-rupanya inilah perasaan yang mungkin disirna oleh Allah. Pada hal bukan tidak pernah berada di dalam masjid. Setiap Jumaat saya ada tapi tidak seperti hari ini.
6. Saya dapat rasakan kepuasan dan bangga ini seperti di tahun 1997 nan lalu, ketika saya dapat membantu menyorong kereta tolak seorang lelaki Iran sedang Sa`i. Kasihan melihat dia menolak dua kereta sorong sekaligus, satu ibunya satu isterinya yang cacat, saya minta satu kepadanya untuk menolong ulang alik ke Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.
7. Lepas itu saya cukup merasa puas kerana dapat membantu manusia lain.
8.Jumaat 5 Ramadan ini, bayangkan...bayangkan apabila melihat semua Muslimin bertafakur kyusuk di dalam rumah Allah yang cukup damai, tenang. Betapapun mereka berlainan pakaian warna tetapi cara mereka mengadap, ya Allah, siapakah yang mampu memberi disiplin begini?
9. Mereka tekun membilang tasbih, amalan memetik lidah yang sangat menjemukan. Tapi mereka memetik dengan hati yang penuh jelera. Ya Allah, mereka tenggelam dalam fanaMu.
10. Khatib cukup sungguh-sungguh memperingatkan, marilah taqwa, marilah taqwa! Lalu diberinya rangsangan supaya mengisi Ramadan dengan secukupnya.
11. Bayangkan keikhlasan seorang hambaNya kepada jemaah hambaNya juga. Bayangkan pesanan dan motivasi itu tanpa mengambil upah walau satu sen. Di situlah kelihatan tidak ada seorang pun yang jemu, yang mensia-siakan, yang melaghokan.
12. Tidak ada penganut agama lain yang berdisiplin begini hebat.
13. Ketika solat hendak bermula, bilalpun melaramkan suaranya, bukan merdu tetapi sangat ikhlas mengajak setiap yang ada menuju kejayaan bersama kebesaran Allah. Bayangkan, apa yang bilal itu dapat jika semua mendapat kejayaan, melainkah ganjaran dari ikhlas ajakannyalah.
14.Maja berpusu-pusulah menerkam ke hadapan. Saya melihat satu perebutan kejayaan yang tidak ada cemburu dan busuk hati. Pada hal di dunia luar masjid, bertali temali amalan busuk hati, berebut jawatan dan tempat. Sampai tembak menembak, sampai menyimbah asit, sampai sanggup merasuah wang, berkelahi, baling kerusi dalam dewan.
15. Apa ni? Mengapa tidak mengikut budaya ketelusan dalam masjid setiap minggu? Mengapa tidak ada ikhlas? Mengapa tidak ada redho? Mengapa tidak ada yang mahu sedar diri, jika tidak layak, tak perlu ke hadapan, tak perlu jadi ketua itu dan ini?
16. Bukankah apabila berada di dalam, masjid mengajar kita, tidak ada perebutan untuk berdiri di hadapan dan berebut menjadi imam? Hari ini ya Allah, mereka redho semuanya, membiarkan seorang anak muda menjadi imam, selepas khatib yang muda juga berpesan-pesan, lalu mereka berbaris, melihat ke kiri ke kanan hendak menyamakan tumit lutut, meluruskan saf.
18. Ya Allah, alangkah bangganya saya melihat hari itu. Inilah umat Islam yang tenggelam dalam kenikmatan zauq jamaah.
19. Setelah mereka berhimpit-himpit, secelah sebiji bantal pun tidak renggang, mereka juga tidak cemburu dan busuk hati. Mengajak lagi di tepi kiri dan kanan, merapatkan lagi saf.
20. Ya Allah, sebak bangga melihat mereka. Mereka cukup rela. Tidak ada yang menjeling sakit hati, tidak ada yang cuba mengeras lengan, tidak ada siku menyiku, tidak ada yang mencemik muka menyuruh beredar. Lalu serentak bertakbir semuanya selepas imam muda melakukannya.
21. Saya teringat, patutkah kita ego, rasa bangga dan megah kalau ada daripada sesetengah kita, merasa tidak senang apabila ada orang yang lebih sikit di sisinya? Selesakah kita apabila keadaan barisan sesama kita hendak maju, berhimpitan dan bersaing? Mahukah di kanan mengajak yang kiri sama-sama tegak dan sujud. Mahukah sama-sama terkepit hanya kerana mahu rukuk dan sujud?
22. Subhanallah! Allahu Akbar! Apabila saf di hadapan terluang seorang, lalu seorang anak muda yang hanya ber T-Shirt, kaki seluarnya terangkat, melangkah dengan sopan, tertib, pada hal dia sudah Takbiratul Ehram. Bijaknya anak muda ini. Betapa dia memikirkan perlunya saf dipenuhi. Betapa dia mematuhi perintah imam tadi supaya memenuhi saf. Ya Allah, anak muda inilah yang sanggup berjihad ke jalanMu.
23. Ya Allah, inilah hamba-hambaMu yang setia, yang menyerah diri hari ini. Mereka tunduk khsyuk, mendengar teliti, memaksa perasaan merindui Allah. Mereka tidak pernah mendahului pemimpin, baik rukuk mahupun sujuh.
24. Selesai solat semua mengangkat tangan, menadah doa imam. Bayangkan imam yang berdoa meminta seluruh...seluruh...tidak bersifat peribadi agar semua sejahtera, agar semua diampunkan dosa, agar semua dirahmati Allah, agar semua mendapat syafaat dan mendapat nikmat syurga.
25. Mengapa di sini boleh dilakukan, sedang di luar mengapa berlaku menadah tangan memasukkan ke dalam kocek sendiri? Mengapa memohon projek kemudian jadi hak pribadi? Mengapa saling caci maki, tidak saling maaf memaaf?
26. Ahhh, selepas berdoa, alangkah bangga dengan debar ukhuwah Islamiah apabila seorang murid sekolah menengah yang tahu adap sopan, menyua tangan bersalaman, menggenggam erat sebagai ingin menghubung silaturrahim.
Begitulah...
Entah mengapa saya mendapat satu kepuasan Jumaat 5 Ramadan ketika fikiran berkecamuk dengan hal-hal di luar masjid oleh mereka di dalam politik, terutama politik Umno yang sudah sampai membunuh dan berkapak berasid.
Bilakah hidayah akan muncul?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
8 comments:
Assalamulaikum ustaz;
Bukankah manusia sentiasa lalai. Lalai dunia dan lalai akhirat.Dalam masjid pun mereka lalai apatah lagi di luar sana. Teruskan perjuangan ustaz.Hasilkan sebuah magnum opus tentang kelalaian manusia zaman ini.
Wahai dunia, kalau nak tipu tipulah orang lain. Jangan tipu aku.
Bila tulisan jawi berbicara.
Asslamu'alaikum tuan,
Selamat menunaikan ibadah puasa,
Salam kenal dari tanah seberang,
Ya ustaz, berkelahi dan bertopeng..
masih rakus bertopeng?
sana loceng sini berloceng
genta-loceng dibuat amaran
dulu bertopeng kini bertopeng
rupanya topeng busana gemaran
padi huma di pinggir lereng
lebat daun hijau pegaga
berapa lama mau bertopeng
lambat laun..terlondeh jua
anak kaduk di batas bendang
dirayu sirih menjadi kawan
biar hodoh rupa dipandang
bejuk jua ditempek perawan
bejuk = bedak sejuk?
salam hormat,
barajiwa.
salam ramadhan kareem.
ikut terharu menyambut ramadhan tahun ini.
khusyu' dan khudhu' menambah ibadah.
sekali bertemu bertamu lantas silaturrami.
zikir yang tulus menggapai barakah.
mari merajini diri menatap wahyu Allah.baca al-Quran...
PADA 28.8.2008 sekitar jam 3.00 petang, Ruhie Isma sms minta hadhir di Auditorium Taman Budaya, Alor Setar untuk jadi extra sebuah drama terbitan RTM. Lebih kurang jam 5.30 petang Ruhie telefon maklumkan ada perubahan tempat iaitu di Auditorium RTM, Kompleks Mu’adzam Shah, Jalan Kuala Kedah. Manakala masa tidak berubah iaitu pada jam 8.30 malam. Juga dimaklumkan supaya dibawa bersama salinan kad pengenalan depan dan belakang atas kertas bersaiz A4 tanpa dipotong kerana pihak produksi akan menyimpannya sebagai dokumen.
Untuk masuk ke kompleks tersebut sebenarnya kena ambil pas atau lapor diri di pondok pengawal terlebih dahulu. Sebelum ini telah beberapa kali saya ke sana sama ada untuk menandatangani kontrak penerbitan drama apabila naskhah yang dikemukakan hendak dirakam di studio. Ruhie memaklumkan bahawa Ida (Setiausaha Kreatif Utama Budaya Anak Seni – KUBAS) akan berada di sana bagi menyelesaikan masalah tersebut jika berlaku sebarang kesulitan. Dalam hati saya berkata, ‘KUBAS yang dihubungi oleh pihak produksi rupanya’.
Lebih 10 tahun lalu iaitu sebelum diserang strok (angin ahmar) pada 17.9.1999 saya pernah beberapa kali terlibat dengan produksi drama sebagai extra juga selain ikut terlibat dengan teater. Aktiviti seumpama itu terhenti berikutan dengan kemelesetan ekonomi yang turut dirasa tempiasnya oleh kalangan syarikat penerbitan drama. Serangan strok yang saya alami juga telah membataskan penglibatan saya dengan bidang berkenaan.
Lepas menunaikan solat fardu Maghrib, saya bergegas ke destinasi seperti yang dimaklumkan. Suasana lengang sahaja dan pondok pengawal tiada sesiapa sewaktu saya tiba. Seketika kemudian, Ruhie tiba bersama anaknya, Andi yang memandu motokar. Kami terus ke bangunan kompleks yang juga lengang. Lalu saya menelefon Saiful Azwan (Pon) iaitu suami Ida untuk mendapatkan sedikit maklumat dan dimaklumkan bahawa para anggota KUBAS sudah ada di auditorium. Lalu Ruhie ajak saya terus ke sana.
Sewaktu tiba di luar auditorium didapati beberapa orang sudah berada di situ. Antaranya termasuklah Abu Bakar Ahmad, seorang yang telah beberapa kali terlibat dengan produksi drama tv dan teater. Saya lantas berbual dengannya. Antaranya ialah mengenai DJ RTM Kedah, Allahyarham Azarudin Othman (Pak Din) kerana bila berada di situ saya lantas teringat kepadanya. Mana tidaknya? Dialah yang telah menerbitkan drama berdasarkan naskhah drama radio sulung saya untuk slot Sandiwara Radiao berjudul ‘Sekali Bara Kugenggam’ lebih 10 tahun lalu. Sebak juga saya ketika itu.
Hampir jam 10.00 malam barulah kelihatan para pelakon dan crew tiba dan kami diminta masuk ke auditorium untuk diberi taklimat. Saya disuruh menukar pakaian dengan memakai sut Melayu lengkap dengan sampin dan bersongkok.
Setelah meneliti rupanya drama yang hendak dilakukan penggambaran itu diadaptasi daripada novel SANGEETHA karya Azizi Haji Abdullah dan naskhahnya ditulis oleh Zakaria Ariffin (Zek).
Saya diminta naik dan duduk di pentas mengambil peranan sebagai orang kenamaan bagi menjayakan anugerah kepada Sangeetha selaku Tokoh Warga Tua 2007. Sementara menunggu giliran beraksi saya menyuarakan teguran berhubung dengan pemakaian ungkapan Warga Tua yang kurang tepat. Ungkapan yang tepat ialah WARGA EMAS.
Menurut pihak produksi ungkapan itu adalah berdasarkan naskhah yang sudah tentu bersandarkan sumber asal iaitu novel karya Azizi itu. Barangkali Azizi juga tidak menydari hal itu.
Pada 7.9.2008 saya menonton sebuah drama di RTM berjudul RINDU BERLALU dan para pelakon antaranya Abu Bakar Omar, Badrul Munir, Rosnah Johari dan Abu Bakar Juah yang melakukan penggambaran di Pusat Jagaan Warga Emas Cheras lantas ingatan saya tersorot kepada produksi drama Sangeetha dan berharap tidak ada kritikan berhubung dengan penggunaan ungkapan Warga Tua itu bila ia ditayangkan kepada khalayak kelak.
Saya juga dimaklumkan bahawa mengikut perancangan awal, penggambaran hendak dilakukan di Auditorium Taman Budaya, tetapi oleh sebab ia melibatkan kos terpaksalah dibuat di Auditorium RTM itu. Sebelumnya dirancang akan diadakan di Dewan Wawasan Jitra, juga tidak sesuai kerana ia terlalu luas.
Melihat kepada kaedah penggambaran yang menggunakan landasan (dolly) saya nyatakan bahawa jika ia dibuat di Auditorium Taman Budaya tentulah timbul kesulitan yang agak serius. Di sana kata saya ruang di hadapan pentas yang sempit menyulitkan kerja-kerja penggambaran selain terdapat keadaan ‘cerun’ (slop) dari pintu ke pentas. Dengan keadaan sedemikian, kerja-kerja penggambaran bukan tamat menjelang jam 12.00 malam malah mungkin hingga dinihari.
Barajiwa,
Bergoreng labu sebiji disangkut
Berani ambil di sarang kelulut
Bertopeng baru berkelahi- penakut
berkelahi sambil bertopeng-pengecut.
Salam.
Sdra Asalbayu,
Janganlah risau. Kata WARGA TUA memanglah patut kerana latar novel SANGGETHA zaman sebelum kata-kata warga tua DIUBAH KEPADA WARGA EMAS.
Lagi pun apa tepat dan istimewanya warga emas? Emas sesuatu yang berharga, apakah tua atau pikun itu semuanya berharga? Apakah usia tua itu emas?
Tak betul, ada yang tua semakin tak emas, jadi suasa atau gangsa saja.
-Maaf
-Azizi Abdullah
Post a Comment