SELAMAT AIDIL FITRI

Posted by Tukya Labels:

SELAMAT AIDIL FITRI
Kepada pengunjung blog ini


Salam sejahtera, dengan ingatan
tulus ikhlas bersama
pohon maaf zahir batin.


Selepas ini, blog ini akan berehat
buat sementara waktu.


Salam dari saya
azizi hj abdullah

Sepi Makin Memanjang

Posted by Tukya Labels:

Sepi Makin Memanjang
-Azizi Hj Abdullah



‘Nikmat Panjang Umur?’

Pikun senyum sendirian. Dagunya diusap-usap. Diurut-urut janggut putihnya. Dalam keadaan terhenggung-henggung membawa sebakul sampah ke tempat membuang sampah kira-kira 110 meter dari rumahnya, Pikun terjumpa majalah Dewan Sastera lama. Bila diselak-selaknya, Pikun terbaca tajuk cerpen Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Masakan panjang umur satu nikmat! Bentaknya kepada Abdullah Hussain, penulis cerpen Dewan Sastera bulan Mei 2004 itu. Ketika itu gulung kain pelekatnya hendak terlondeh. Baju yang tidak dikenakan butang, mengerbang-ngerbang di tiup angin.

Pikun bukan kaki baca, apa lagi sastera. Tapi dia macam terpanggil membaca tajuknya yang sangat dibencinya itu. Isinya 4 muka tidak pun dipedulinya.

‘Siapa kata panjang umur, nikmat?’ Pikun mengepom pipinya, menarik pisau cukur yang matanya sudah tumpul dari ekur pipit hingga ke dagu. Cermin 16 x 16 inci itu sangat setia. Ketawa tidak mengeremot pun tidak. Lantunannya adalah wajah pikunnya sendiri. Berkedut dan kerepot.

Barangkali benar kalau Abdullah Hussain menganggap dia yang panjang umurnya satu nikmat. Dia mungkin ada tiga anak keliling pinggang setiap masa. Mungkin isterinya menyuap makan setiap waktu. Mungkin jiran-jirannya selalu datang membawa buah tangan. Mungkin beraknya ditadah mangkuk. Mungkin kencingnya disedia getah paip. Mungkin tidurnya di atas tilam yang cadarnya disalin sekali sehari.

Tapi apakah panjang umur satu nikmat? Nikmat apakah kalau sudah tua? Begitu seakan ditempeknya kepada SN Abdullah Hussain. Masakan enak kalau gigi sudah tinggal sepuntung? Masakan indah kalau mata sudah rabun? Masakan nikmat kalau terengah-engah? Masakan selesa kalau mengah-mengah?

“Hahhhh!” ditepuknya sekali pipi kanannya yang sudah bergaris-garis lusuh. Anehnya siapa pun tidak peduli. Kalau ada bini tentu bini tanya kenapa? Alangkah sepinya dan alangkah hinanya hidup tua seperti hari ini. Tidak ada siapa yang peduli. Dan itulah sunyi sebenarnya. Tidak ada siapa itulah yang menjadikan dia rasa sepi. Sunyi bukan nikmat. Sepi dalam usia kepikunan bukan nikmat. Jadi adakah panjang umur itu nikmat? Bohong. Abdullah Hussain sengaja mencipta kata-kata itu untuk menyedapkan hatinya. Bukankah panjang umur itu tua dan tua bukankah menyusahkan hidup?

Petang kelmarin ketika sampai di surau hendak solat maghrib dia terasa cukup hina apabila dalam keadaan hengung-hengung itu, badannya terasa hendak melayah. Mujur Dali, tukang azan sempat menyambar.

“Lain kali bawa tongkat, Pak Kun. Tongkat saya sedekah dulu, tak bawa?” kata Dali.

Apakah itu nikmat? Dia merasa sakit hati. Maka belum pun masuk Isya, dia sudah balik teraba-raba dalam samar cahaya bulan.

Sepatunya kalau ke surau, Samsullah yang patut papah atau bawa dengan kereta. Sepatutnya ketika hendak naik tangga surau dua takah itu, Samsullah pegang bahu atau lengan. Tapi malang Samsul tidak ada walaupun Samsul anak tunggal yang dia sayang. Sepatutnya Samsul beli kerusi roda, solat atas kerusi. Tapi tidak. Dia terpaksa duduk bersila solat.

Sepatutnya lagi, binilah yang urus semua. Tapi sayang bini sudah meninggal tiga puluh tahun yang lalu.

Pikun benci kepada umur panjang bukan kerana terjumpa majalah Dewan Sastera bulan Mei 2004 saja, tetapi sebelum itu pun dia sudah terasa benci tentang umur panjang. Tua banyak menafikan kelazatan dan keseronokan. Umur panjang bererti tua sedangkan tualah yang menyekat segala pergerakannya. Semakin panjang umur semakin sunyi rasanya, semakin sepi jadinya. Tapi peliknya dia tetap mahu hidup. Dia tidak mahu mati lagi. Dia ingin merasa nikmat dalam umur panjangnya. Dia ingin merasai sesuatu.

Sebulan yang lalu dia dibawa oleh Samsul ke bilik sewanya di bandar K yang jauhnya enam puluh lima minit dari rumah “Pak duduk di sini. Duduk sampai bila-bila. Pak tak payah balik lagi,” begitu kata Samsul dalam keadaan kalut-kalut hendak pergi kerja sebagai Pengawal Keselamatan di supermarket.

Dia tersengih gitu-gitu. Sedikit pun dia tidak merasa seronok. Pelawa Samsul macam semawa ayam. Diri sendiri pun tak lepas.

Sehari dia tinggal di bilik sewa Samsul yang masih belum menikah itu, dia sudah merasa sesuatu. Pikun tenguk ke luar hanya melalui jendela papan yang sudah terkeleweh. Memang di luar ada orang lalu lalang, ada kereta keluar masuk, ada kanak-kanak bermain, ada perempuan ke pasar, ada anak-anak gadis ketawa berkukik-kukik dengan telefon dipekup ke telinga.

Dua hari dia di bilik, Samsul asyik bertanyakan soalan yang sama. “Abah dah makan? Kalau abah nak keluar, jangan pergi jauh-jauh.” Kemudian selebihnya terdengar dengkur Samsul tidur siang kerana malam Samsul berjaga. Kalau kebetulan ada bersama, gelisah Samsul lebih dari gelisahnya.

“Aku nak balik!” akhirnya dia cuba mengelak dari gelisahnya yang mula ketara. Manakala Samsul pula semacam hendak berkata eloklah. Tapi Samsul cerdik. Dia tidak pun membantah. Dua puluh ringgit diberi dan Samsul menghantar dengan motosikal tak ada cukai jalan ke perhentian bas.

Dia balik mengulangi rasa sepi lagi. Balik seorang diri memang membosankan. Segenap ceruk sunyi menghimpitnya.

Hampir lapan puluh tahun memanglah dia sudah tua. Selayaknya dia sudah pikun. Memang pun Pikun tahu, apabila seseorang mula dipanjat tua, mahu atau tidak mahu jiwa raga, perasaan akan berpindah secara berdenyut-denyut kepada bangka dan bongkok. Tapi dia degil. Dia cuba tidak mau tunjuk tua. Tongkat yang dibeli oleh Dali, tukang azan surau dilemparnya begitu saja.

Petang itu, selepas asar dia duduk di depan rumah. Majalah Dewan Sastera yang diambil di tempat membuang sampah, dibacanya. Tapi malang ketika hendak membaca, matanya jadi kelabu. Puas dijegil beliak tapi huruf-huruf hanya nampak selari. Rasa-rasanya mahu juga dia mengetahui apa yang ditulis oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain itu.

Semalam dia teringat Tuk Guru Ustaz Azman membaca kitab di surau tentang peringatan hari tua. Dia memang pun sudah tahu dan berpengalaman hari-hari tua, bagaimana kelemahan menguasai seluruh tubuh, semua pancaindera dan seluruh anggota. Dia sudah mengalaminya.

Bagaimana Abdullah Hussain boleh kata panjang umur satu nikmat, bisiknya. Sayang dia tidak dapat membaca cerpen Abdullah Hussain dan dia menyalahkan dirinya sendiri kerana isi yang disampaikan oleh Abdullah, tidak diketahuinya.

‘Tuhan yang mencipta kamu dalam keadaan lemah, kemudian dijadikanNya kamu kuat sesudah lemah, kemudian dijadikanNya kamu lemah semula dan beruban sesudah kuat, Tuhan menjadikan apa yang dikehendakiNya, sedang Dia Maha Mengetahui lagi Berkuasa.’

Ustaz Azman yang bersuara lantang, berserban sebesar bakul itu membaca surah Ar-Rum ayat 54. Ketika itu dia hendak bangun ke bilik air. Mahu ditunjukan dia bukanlah di antara orang yang lemah sesudah dulunya kuat. Tapi dia terpaksa juga menongkat tangan di kepala lutut, melonjak punggung dahulu dari mengediang dan meluruskan lutut.

Semua anak jemaah melihat kepikunannya. Dia mengeremot muka menahan bisa lenguh. Jadah apa yang memalukannya. Sepatutnya di tengah orang ramai, dia terus membingkas seperti kucing bangun tidur.

‘Di antara kamu ada orang yang disampaikan kepada umur tua bangka, sehingga dia tiada lagi mengetahui sesuatu yang pernah dahulu dia mengetahui.’

Dia sangat jelas mendengar Ustaz Azman mebaca surah An-Nahl ayat 70. Ketika itu dia terasa hendak buang air besar. Cepat-cepat dia mengambil keputusan balik.

Tiba-tiba lamumannya terputus. Dia dikejutkan kedatangan Dali degan motosikal tuanya dalam keadaan membingit telinganya.

“Pak Kun silap pakai kasut semalam,” kata Dali ketika turun dari motosikalnya. “Itu kasut saya, ini kasut Pak Kun!” Dali ketawa terbahak-bahak.

Baru dia tersedar, semalam dia pakai kasut orang lain. Ketawa Dali menjadikan dia memaki hamun ketuaannya. Adakah dia sudah nyanyuk? Dia teringat ayat yang dibaca oleh ustaz semalam. Memang dia sudah pikun.

“Nak makan mee rebus, marilah!” kata Dali.

Dali memang anak muda yang baik. Dia cuma bekerja menjual mee dan bihun di waktu malam di depan rumahnya dekat surau. Dali yang sudah mempunyai tiga anak, bersama isterinya juga mengambil bapanya yang lumpuh tinggal bersama mereka.

“Jom!”

Dia mengeleng-ngeleng. Rasanya Dali bukanlah orangnya dia hendak menenggek di atas motosikal. Kalau Samsul yang ajak, memang patut. Samsul anak tunggalnya. Kalau Samsul ajak, dia akan kapuk pinggang Samsul kuat-kuat. Biar kapukannya itu disedari oleh Samsul, bukan kapukan takut tetapi kapukan rindu. Tapi Samsul tidak pernah pun ajak naik motosikal bersiar-siar. Ada tak ada, hanya menghantar ke perhentian bas. Itu saja.

Kalaulah Samsul balik, mau diajaknya ke pekan. Mau di ajaknya makan mee rebus. Mau di ajaknya Samsul ke masjid solat bersama-sama. Biar jemaah tahu, Samsul anaknya bawa bapanya ke masjid. Biar orang tahu Samsul juga ada motosikal.

Tapi Samsul selalu berdalih apabila dia hendak naik motosikal. “Motor saya tak ada cukai jalan,” kata Samsul.

Satu hari apabila Samsul beritahu motosikalnya tak ada cukai jalan, dia cepat-cepat mengeluarkan dompetnya. Diunjuknya RM30. Samsul mengambil tanpa berkata apa-apa. Petangnya apabila Samsul balik, dia pun ajak Samsul. Ingin benar dia hendak memeluk pinggang Samsul. Masakan tidak boleh. Bukankah pinggang Samsul pinggang anaknya. Tidak ada topi keledar tak mengapa. Dia akan pakai serban. Tapi Samsul menjawab selamba: “Mana boleh. Motosikal ni dah lama tak ambil cukai jalan. Kena test Puspakom dulu!”

Dia tak tanya pun apa dia Puspakom. Dia cuma menelan air liur dan terbongkok-bongkok duduk di anak tangga. RM30 juga tak diminta. Dia tahu Samsul guna duit itu.

Kerana itu dia serik ke bilik sewa Samsul di bandar. Biarlah dia menghadap sunyi bersama sepi. Biarlah duduk keseorangan melentang abau di tengah rumah atau berjuntai kaki di bendul tangga. Dia tetap Samsul akan balik juga sekali sekala dan dia berharap Samsul akan mengerti, ubat sepi paling mustajab ialah apabila anak balik ke rumah.

“Bohong!” akhirnya dia melempar majalah Dewan Sastera yang dijumpainya di tempat sampah itu. Bencinya bukan kepada majalah lusuh itu tetapi benci kepada tajuk cerpen Abdullah Hussain tentang panjang umur satu nikmat.

Memang, memang dia tidak pernah merasa nikmat sepanjang hidup dan dia sendiri tidak tahu bentuk nikmat. Cuma sejak tua inilah dia rajin sedikit ke surau. Memang benar kata-kata Ustaz Azman nikmat yang besar ialah sihat. Nikmat yang besar ialah Islam.

Dia mengeleng-ngeleng kepala di depan cermin sebaik-baik saja dia balik dari mendengar bacaan kitab itu. Dia berkata kepada wajah kedut dan pikunnya bahawa dia tidak merasa apa-apa. Dia sudah merasa tidak sihat apabila sudah melebihi 70 tahun. Batuk, lenguh, sakit pinggang, urat, mengah, lelah, gout, penat. Paling tidak gatal. Nikmat Islam juga dia tidak pernah rasai. Muda-muda dulu tidak sempat solat. Seharian kena jaga kedai biliard. Kena jumlah point. Kena angkat minum sejuk termasuk bir. Paling tidak ramai kongsi tafsir mimpi kemudian cari buku tafsir empat nombor ekor.

Waktu itu Samsul bersekolah. Dia tidak tahu Samsul bersekolah hingga tingkatan berapa. Ketika dia di kedai biliard, dia tidak tahu Samsul baca buku atau buat apa. Bila dia balik Samsul tidak ada di rumah. Bila Samsul balik, dia pula keluar rumah. Masa itu dia memang tidak sunyi. Dia tidak pernah rasa sepi. Bising, pertengkaran kecil, ketawa dari pelanggan pemain biliard adalah suasana rutin. Paling tidak mereka masing-masing menepuk dahi apabila nombor ekor selisih dua atau tiga. Mereka saling menyalahkan tafsiran, bukan mimpi atau nombor ekor empat digit itu.

Akhirnya ketika umurnya 60 tahun baru dia tersedar dan bertanya kepada diri sendiri, sampai bila dia mahu menjadi tukang hitung mata permainan bola golek dan berlaga itu? Maka dia pun berhenti. Ketika itulah baru dia merasa sepi, sunyi. Baru terkenang isteri yang mati tiga puluh tahun yang lalu. Baru menyesal tak menikah lain untuk memenuhi rasa sepi dan sunyi.

Samsul bukan galang ganti ibunya yang meninggal. Samsul boleh ada boleh tak ada ketika itu. Tapi kini barulah dia tersedar tapi Samsul pula semakin renggang.

“Tak bolehkah kau kerja di sini saja?” katanya pada Samsul lima tahun yang lalu apabila Samsul memberitahu yang dia dapat kerja sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah supermarket.

“Di sini nak kerja apa?” tanya balik Samsul yang gempal tubuhnya itu.

Pertanyaan balik itu menjadikan dia tidak dapat jawab. Akhirnya Samsul kerja di bandar. Sewa bilik. Tak pernah balik. Kalau balik pun tiga empat bulan sekali. Balik pula bukan balik kerana rindu tetapi nak ambil apa yang ada.

Semakin sepilah dirasanya. Semakin sunyilah ia sebagai seorang bapa. Dicuba hambat sepi dan sunyi. Akhirnya baru dia kenal surau dan sememangnya pun surau layak untuk orang-orang berusia sepertinya. Di surau dilihatnya ramai yang gemar mengisi masa lapang. Dia melihat mereka tidak pun sepi dan sunyi. Tapi malangnya dia tidak mampu berbuat begitu. Mau berzikir dia tidak minat langsung. Terasa bosan. Mau membaca Qur`an selepas solat, dia tidak mampu mengenal ayat-ayat di dalam Qur`an. Akhirnya dia hanya menjadi jemaah setia dengan hanya bersandar di tiang surau, duduk tersorok di sudut surau jika ada ustaz-ustaz yang membaca kitab.

Petang itu dia solat maghrib di rumah. Sangat panjang doanya. Dia memohon kepada Allah agar ditemuinya seorang perempuan, kiranya lebih tua darinya pun tidak mengapa. Kali ini dia mahu mencari isteri, setidak-tidaknya peneman sunyi, selain dari menjadi ibu rumah untuk sama-sama makan minum. Huduh pun tak apa asalkan perempuan itu sanggup tinggal bersama.

Dalam simpanan rasa-rasanya cukup untuk belanja hantaran dan mas kahwin. Sebanyak manalah sangat harga seorang janda.

Samsul mungkin boleh tolong cari atau tolong kira bicara. Kalau dia berkahwin Samsul tentu gembira mendapat emak baru walaupun sudah berpuluh tahun Samsul tidak berpeluang menyebut emak. Kalau Samsul tidak mahu, dia boleh minta tolong Dali. Cari yang boleh jaga sakit demamnya. Cari yang susah, bukan yang kaya. Cari yang anak-anak sudah besar panjang.

Tiba-tiba seperti yang dijanji, terdengar Samsul balik dengan motosikal yang tidak ada cukai jalannya. Dia berAlhamdulillah berkali-kali. Pucuk dicita ulam mendatang. Samsul seperti tahu-tahu akan hasratnya.

Disambutnya kepulangan Samsul lebih dari yang sudah-sudah. Sepelas makan nasi bungkus yang dibeli oleh Samsul, dia bersila di depan Samsul. Tapi mulutnya terkunci. Dia hanya melihat anaknya yang sudah besar panjang, yang tidak pernah merasai kaya dan mewah, malah tidak pula merasai bagaimana bersama seorang isteri.

Dia juga nampak Samsul seperti hendak bercakap sesuatu. Pertembungan itu menjadikan dia dan Samsul seperti bisu. Apakah Samsul ada perkara yang mustahak menyebabkan dia balik? Tapi dia juga amat mustahak hendak bercakap dengan Samsul.

“Pak nak cakap sesuatu, Sul,” akhirnya dia dapat meluah hasratnya yang terbuku itu.

“Saya pun ada hal, Pak,” jawab pula Samsul.
“Sebab tu kau balik?”
Samsul angguk-angguk. Rokok daun tembakau jawa dipilin-pilinnya.

“Pak berharap kau balik. Mujur kau balik.”
“Mustahakkah Pak nak cakap?”
“Kau pun mustahakkah?”
Samsul angguk-angguk. “Bukan saja mustahak, tapi harap sangat.”
“Cakaplah.”
“Paklah yang cakap dulu.”
“Tak apa, kau yang cakap dulu.”

Samsul mengalih sila. Merenung arah pintu. Bersandar ke dinding dan melepas nafas sesaknya. Berkali-kali mengemut puntung rokok daunnya. “Begini, Pak pun tahun saya sekarang hampir 40 tahun.”

“Memang pun dah tua.”
“Saya dah ambik keputusan, tapi maaf kerana tak berunding dengan Pak lebih dulu.”
“Tak apa, kau dah besar panjang.”

Samsul merenung amat lama seperti mahu mempasti apakah bapanya di hadapannya.
Dia pun membalas renungan itu, seperti memberitahu bahawa dia adalah seorang bapa.
“Pak, saya dah buat keputusan, saya nak menikah!”

Dia terpanggung kepala tetapi kemudiannya tunduk mengerunas tikar getah yang sudah tercalar balar. “Alhamdulillah,” bisiknya. Dia mahu Samsul memberitahu habis kemudian barulah dia akan memberitahu hasratnya pula. Moga-moga kenduri dua tiga talam dapat dibuat sekali.

“Tapi saya tak cukup duit, Pak. Saya nak minta Pak bantu sikit.”Seperti halilintar memjunam ke bumi tapi akhirnya jadi senyap. Kiranya permintaan Samsul tidak menjejas hasratnya.

“Berapa?”
“Pak tahu sajalah belanja sekarang. Itu pun perempuan biasa saja. Kerja kilang. Bujang.”
“Yalah, berapa?”
“Saya rasa dua ribu cukuplah. Ada rezeki saya bayar balik nanti.”

Dia macam hendak terlentang. Kali ini benar-benar dia rasa pikunnya melanyak menghuli lembik tenaganya. Setahunya, dalam simpanannya hanya ada seribu dua ratus. Mahukan dua ribu, di mana mahu dikerobek. Bukan itu saja, kalau yang ada diberi, bagaimana dia dapat menikah pula?

Suasana sepi agak lama. Dia tidak berkata apa-apa pun. Dia cuma tunduk dan mengeluh beberapa kali. Manakala Samsul, dia sudah merasa kecewa. Harapannya nampaknya sukar ditunai. Lalu dia pun bangun memakai baju.

“Saya balik dulu. Nak kerja malam ni,” kata Samsul bersahaja tapi nampak sangat kecewa.

Dia tunduk lagi. Dengan apa dia hendak diberi jika sebanyak itu? Jika yang ada diberi, bererti dia akan terus membujang. Apakah dia mesti memilih, mengisi kesepian atau terus tidak terisi? Yang meminta bukan orang lain. Samsul anak sendiri. Tapi Samsul juga sudah lama mensunyikan hidupnya, menyepikan hidupnya.

“Bila kau nak menikah?” tiba-tiba itu yang ditanya ketika Samsul membuka pintu hendak turun.

Samsul nampak ceria. Dia merenung bapanya seperti bapanyalah yang ada di dalam dunia ini. “Sebolehnya cepat,” kata Samsul.

“Pak ada seribu saja, tapi duit itu Pak nak buat belanja menikahlah!”
“Tak apalah. Saya cari tambah seribu lagi,” Samsul sangat ceria.
“Takkkk...duit tu Pak nak guna.”
“Pak nak menikah?” Samsul terbeliak mata.
Dia angguk dan tersenyum.

Samsul bergegas turun. Bunyi injin motosikalnya dihidupkan sangat mengejut dan kemudian terdengar teranan injin motosikal buruk itu seperti hendak pecah.

Dia terlepuk di muka pintu. Mungkinkah sepinya akan memanjang lagi?

------------------------------------------

Catatan::
Mula tulis 9hb May 2010 jam 8.23 mlm. Siap 21.43 mlm. Semak semula 10,11 Mei 2010.
Idea dari melihat jodol cerpen SN Abdullah Hussain “ Nikmat Panjang Umur’ DS mei 2004
-Tersiar di Dewan Sastera Ogos 2010



Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Umno Kedah Dan Kencing Tikus

Posted by Tukya Labels:

Salah satu Lata di Kedah dipercayai dijangkiti kuman ’phatogenik leptopspira’ atau kencing tikus. Entah apa bendanya phatogenik leptospira, sama dengan kita jarang tenguk tikus sedang kencing.

Kencing ialah perbuatan makhluk membuang air kecil, baik secara beradap atau tidak beradap. Anjing kencing pakai angkat sebelah kaki. Kucing juga kengkiang kaki sebelah lalu pancut di tayar kereta atau di tepi pasu bunga. Gajah kencing sampai bertimba-timba airnya yang mungkin kalau lima ekur kencing sekaligus, kawasan mereka akan banjir.

Tapi anihnya tak pula timbul penyakit ‘kencing anjing, kencing kucing, kencing gajah.’

Ada pepatah Melayu yang tak rasmi;

‘Dia dah kencing aku’.
‘Sudah berapa ramai orang yang kena kencing dengannya’.
‘Bahagian itu pun kena kencing’.


Ertinya apabila ditipu, dilangsam, tidak menunaikan tanggung jawab, lari dari membayar hutang, memberi erti perkara yang tidak baik, timbullah kata sindir dengan perkataan ‘kencing.’

Rupa-rupanya ‘kencing’ ini berlaku pula dalam politik dan sesebuah kerajaan yang ditadbir oleh orang-orang politik. Apabila saman ekor menjadi isu di mana-mana melibatkan orang politik masuk campur, tiba-tiba ‘kencing’ rupa-rupanya digunapakai oleh sebahagian orang.

Menteri Besar Kedah dalam kenyataan akhbar baru-baru ini kesal kerana saman ekor yang bernilai lebih RM390,000 adalah hasil dari kerajaan Umno Kedah sebelum Pas memerintah 2008, yang tidak membayar saman-saman tersebut sehingga menyukarkan kerajaan kini menukar lesen kenderaan yang baru dibeli.

Ya Tuhan, Mat Setapa dari Gunung Keriang tersentak badak, terkejut kera. “Kerajaan Umno Kedah pun kencing?” katanya lalu dia tergelak sampai nampak anak lidahnya terkodek-kodek. ”Agensi kerajaan saman agensi kerajaan. Kemudian pula agensi kerajaan kencing agensi kerajaan,” katanya dengan gelak serentak satu kedai di kedai nasi gulai ikan temenung di tepi jalan itu.

RM390,000 bukan banyak mana sangat bagi sesebuah kerajaan yang suka membazir dan bagi kerajaan yang tidak perihatin dengan wang rakyat.

Malangnya apabila pihak yang menyaman mengeluar kenyataan, kita rasa bukan bertujuan khusus kepada ‘parti dan kerajaan Umno’ yang telah ‘kencing’ mereka, tetapi mungkin secara kebetulan.

Mungkinkah akan keluar lagi kenyataan betapa ‘kencing’ ini dikengkiang oleh kucing-kucing di negeri lain, khususnya negeri Pakatan Rakyat? Masakan derebar-derebar di Negeri Kedah saja yang loklaq, yang membawa kereta macam hambat babi hutan di rimba Sik?

Apapun yang cukup kita kesal apabila mantan Menteri Besarnya, orang yang paling atas bertanggungjawab dalam semua hal pentadbiran tidak tahu menahu akan ‘kekencingan kencing’ sama ada ia benar-benar kencing atau terkencing atau mengencing atau kencingkan!

Dalam jawapan beliau di Sinar Harian keluaran Jumaat 6 Ogos 2010, beliau berkata yang beliau tidak mengetahui ada tunggakan saman ekur RM390,000 yang direkodkan sepanjang tempoh kerajaan Umno/BN memerintah. Ertinya sepanjang Umno/BN memerintah Kedah, saman ekor ini selalu ‘dikencing’ oleh pemerintah Umno/BN. Anehnya kencing-kencing ini tidak hangit, tidak harin, tidak bengit kerana ia dipancut dari pancutan mahluk-makhluk terbaik dan ditakuti.

Sekali lagi kita boleh persoal ‘ketelusan’ dan kejujuran pihak berkenaan. Misalnya berapa lama sudah Umno/BN Kedah memerintah? Kenapa tahun ini baru timbul saman seperti itu?

“Hahhhh, nampak sangat depa tak terpikir yang kencing itu termasuk kerajaan Umno/BN!” kata Pak Su Li dari Kampung Sala kepada bininya yang baru berhenti dari guru Kemas.

Saya tidak nampak saman ekor ini sebagai satu agenda tertentu. Hanya sanya kemungkinan sebagai satu tuntutan mudah kepada rakyat kerana perihal saman menyaman kesalahan trafik ini hanyalah penunggang motosikal yang membawa ikan kering dari Tanjung Dawai ke Alor Setar, pemandu kereta sapu dari Yan ke Sungai Petani atau kereta Proton dari Bukit Kayu Hitam ke Butterworth.

Maka apabila berlaku kepada ikan jerung, datuk dan tan sri, kepada Pegawai Wisma, kepada KCS atau yang memiliki kad kerja sebesar tapak tangan, betapapun saman ekor ini berkeping-keping, ia bisa di ‘lap kencing’ mereka dan seakan-akan saman mereka tidak ‘lut.’

Malangnya pihak yang mengeluar saman ekor ini tidak membuat tapisan atau kaji selidik tentang saman ekor yang hendak dikeluarkan. Misalnya kepada siapa? Kalau kajian ini dibuat mungkin terdapat ramai yang kencing dalam pentadbiran Umno/BN di Kedah ini dan ia boleh di ’lap’ atau di basuh dengan cepat kerana jenis kencing ini dianggap najis ‘mukhaffafah.’

Lebih malang lagi apabila mantan Menteri Besarnya menjawab secara lepas tangan. Mengapa melepas tangan tentang ‘kencing’ kencing pegawai-pegawai di bawah pentadbirannya. Teluskah jika begini?

Apakah akan ada pegawai-pegawai memberi tahu yang dia ‘kencing’ atau ‘terkencing’ di jalan raya? Kalau ada nampak sangatlah pegawai-pegawai seperti ini ‘besear’ (penyakit kencing kerap)

Orang yang gentleman, atau yang berpegang kepada prinsip ketelusan, orang yang berpegang kepada ‘tanggungjawab’ ialah orang yang sanggup mengakui tentang kesalahan sendiri. Apakah Mantan Menteri Besar ini fikir Mat Taha atau Wak Derani dari pekan kecil atau kampung hulu saja yang melanggar undang-undang jalan raya?

Kita sangat kesal hal ini kerana Mantan Menteri Besarnya seperti cuci tangan. Apakah cuci tangan dan terkena percikan pancutan kencing ini menjadi budaya pemerintah Umno/BN?

Kelantan adalah contoh terbaik untuk membuat kajian bagaimana kencing yang dilakukan oleh Umno/BN. Selangor, isu yang timbul sekarang adalah dari kencing-kencing tak terbasuh yang pernah dipancut oleh pemerintah Umno/BN. Manakala Perak, merupakan satu-satunya negeri yang pintar. Tidak sempat timbul kencing ini kerana mereka sangat pintar mengencing Pas dan DAP sampaikan speakernya dicempung terkencing-kencing.

Demikianlah antara kencing dalam saman ekor dengan kencing tikus.

-Seorang Ibu Mithali dari Kemas kata; Azizan baik. Dia tentu bayar saman ekor tu.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Janganlah Cepat Melompat?

Posted by Tukya Labels:

Orang bersilat ada tujuannya. Jika kita pandai bersilat, dengan silat juga jika menepisnya. Tapi bagaimana kita tidak mempunyai ilmu silat ini?

Saya tidak percaya orang Pas tidak tahu bersilat, tetapi yang nyata orang Pas ‘terlupa’ yang orang lain bersilat, lalu pakat ramai-ramai marhaban.

Bilamana isu Mufti Perak menyarankan formula perpaduan Melayu antara Umno dengan Pas ternyata silat dengan marhaban menjadi isu yang boleh diumpamakan; kalau di berada di belakang, dia sepak kaki kawan. Kalau dia di depan dia sepak tunggul ataupun sesetengah pemimpin Pas yang ada sedikit kuku, menunjukan sikap berat rantai dari beruk?

Barangkali kolum ini sudah ketinggalan memperkatakan tentangnya, tetapi mungkin tidak terlalu lewat, kerana Hj Jamlus dari Parit Tokngah tak sudah-sudah pening kepala berfikir, kenapa orang Pas, terutama kepala-kepala masam mudah melompat apabila sesuatu isu dibawa oleh orang yang boleh dipertikaikan?

Alasan Hj Jamlus mudah, berdasarkan dakwaan Mufti Perak tidak layak, seperti kata Ustaz Ahmad Awang yang satu ketika dulu menjadi Pengarah Pusat Islam, YDP PUM, kenapakah orang-orang Pas jadi sebuk, melenting, komen sana komen sini? Kalau sudah tahu seseorang itu tidak layak, maka apakah layak pula orang Pas mengambil kira saranan itu?

Logiknya, kalau tidak layak, tidak layaklah pula buat komen. Buat apa beli durian masuk dusun? Jangan bertekak dan berusaha mendapatkan lesen judi supaya halal kalau sudah judi itu haram.

Kedua, Mohamed Hanipa Maidin dalam kolumnya (Harakah 18-20 Syaaban 1431) tertanya-tanya adakah Mufti Perak itu sedar bahawa beliau sedang dimanipulasi secara maksimum oleh Umno?

Saya kira soalan ini jika ditanya kepada Mat Usin yang baru jadi ahli Pas di carok Bemban pun tahu jawapannya.

Bagi saya, dari segi ilmu sains, apabila seseorang itu pukul dengan kuat, bunyinya pun akan turut kuat. Mufti Perak telah memukul dengan kuat atas sesuatu sebab, maka lentingan dan lompatan orang Pas pun semakin tinggi.

Dalam soal ini, siapakah yang lebih cerdik? Adakah pihak yang dimanipulasi atau pihak Pas yang mengeluar kenyataan?

Soalnya sama ada benar atau salah, sama ada bertujuan atau sebaliknya saranan Mufti Perak ini, kita sudah menyaksikan bagaimana pemimpin tertentu Pas telah disilat dan ditarikan oleh pukulan gendang seorang Mufti yang dianggap oleh Ustaz Ahmad Awang sebagai dakwaan yang mesti ditolak. Kenapa kita melayani saranan itu jika kita sudah tahu yang berkata itu dinafikan kelayakannya atau ia sudah dimanipulasi?

Buang masa! Dan akhirnya yang memberi saranan itu tergelak seorang diri.

Seperti mana yang didedahkan oleh Ustraz Ahmad Awang, perihal Mufti Perak mempunyai sejarahnya tersendiri dalam memberi kenyataan, sepatutnya lebih awal diketahui oleh pemimpin pas yang terlibat dalam memberi komen ini. Dan kita yakin semua pemimpin Pas maklum tetapi mungkin terlalu ghairah untuk membuat kenyataan akhbar. Komen ‘ala sipi-sipi’ politik dengan berselindung sebagai orang tidak berparti, sepatutnya pemimpin-pemimpin Pas yang sering mengeluar kenyataan sedar bagaimana situasi, keadaan, suasana, iklim malah mesti cepat membaca apa tujuan kenyataan itu?

Sepatutnya pemimpin Pas (tidaklah semua) sudah arif dengan keadaan seperti ini. Kalau sudah tahu begitu, kenapa lakukan juga begini?

Isu perpaduan Umno dengan Pas bukan seminggu dua ditimbulkan. Ia berulang kali. Bukankah seorang dua pemimpin Pas yang cuma bersuara tentang ini sudah diberi amaran dan muktamar tahunan juga sepakat menolak? Jadi kenapa apabila timbul perkara ini, oleh orang yang tidak ada kena mengena dengan Pas, yang tidak mempunyai autoriti parti, tidak ada wibawa kelopitikannya, tiba-tiba orang Pas melenting?

Sepatutnya jangan ditimbul dan melontarkan tanya tanya siapa, berapa orang, bila dan apa tujuan kalau sudah secara purata semua ahli Pas menolak mufti yang dimaksudkan itu.

Kita masih tidak mahu belajar dari apa yang kita lakukan. Sekarang apabila Dato’ Hasan Ali yang mengaku penemuannya atas kapasiti parti tetapi bukan bertujuan perpaduan Umno-Pas, ia tidak habis di situ saja. YB Khalid Samad secara sindir minta dibicarakan. Di hari lain akan timbul lagi, kalau bukan soal politik, perkara apa pula? Akan timbul lagi berapa orang dan siapa? Siapa yang keluar belanja, siapa yang membenarkannya dan bla…bla…bla…

Walhal pemimpin-pemimpin yang celupar dengan komen-komen ini tidak sedikit pun sedar, mereka sebenarnya memberi bola tanggung. Orang Umno sedang ketawa kukkik-kukkik dan pemimpin Umno yang memanipulasi kenduri sakan empat puluh talam.

Ketika itu, masakan Pas hendak baca Yasin empat puluh orang minta perut Mufti buncit atau jadi busung?

Inilah yang Pas tidak pernah belajar hasil dari kejadian yang saya kira bukan sekali dua berlaku. Apakah kerana ada sifat terlampau cintakan kepada Pas maka Umno menjadi elegik sangat?

Saya kira tidak. Ia timbul kerana orang-orang Pas (yang berkenaan) mempunyai sifat ‘benci’ yang tidak sihat terhadap individu-individu tertentu. Mempunyai keinginan memberi kenyataan akhbar tanpa melihat kelojikan isu.

Selama ini orang Pas pun sudah lama tahu bagaimana peranan media, apa tujuan media menimbulkan sesuatu isu dan orang Pas sendiri tahu apakah boleh dipercayaui kenyataan-kenyataan melalui media tertentu. Kenapa tidak diamal ayat Qur`an yang memberitahu jika sesuatu perkahabaran datang dari orang fasik, siasatlah terlebih dahulu?

Mungkin tulisan kali ini agak pedas bagi pemimpin Pas berkenaan. Tapi saya lebih percaya kita sudah matang dan kita bersikap terbuka. Masakan kritikan tidak boleh sedangkan kita mengkritik orang sudah menjadi budaya kita.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Hujjatul Fatawa Mardudah

Posted by Tukya Labels:

Hujjatul Fatawa Mardudah
(1)
Dalam tahun 1995 seorang edtior Utusan Publication mendesak saya menyertai Sayembara Sako 2 dengan hadiah lumayan, iaitu RM40 ribu tempat pertama.

Kebetulan saya sedang menulis novel satira politik bertajuk “Perkahwinan Mut`ah’ yang mengesahkan pemimpin Umno sama dengan orang menikah ‘mut`ah.’

Alhamdulillah akhirnya novel ‘Perkahwinan Mut`ah’ mendapat hadiah pertama dengan tajuk di ubah kepada ‘KAWIN-KAWIN.’

Ketika saya bersalam dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Ketika itu TPM) yang menyampaikan hadiah waktu itu, Tun Abdullah menepuk belakang saya dan berkata; “Apa hang tulis merapu- merapu dalam Harakah!”

Saya cuma ketawa dan Dato’ Kamarul Arifin dan beberapa orang kuat Utusan Melayu juga ketawa.


(2)
Baru-baru ini heboh tentang adanya pemimpin Pas bertemu dengan seorang Mufti di sebuah negeri. Dakwaan mufti tersebut ialah mereka berbincang tentang perpaduan Melayu. Maka gah dan hebohlah satu Malaysia. Pemimpin Pas ramai yang melenting, marah.

Mufti berkenaan menjawab dengan nada tenang sebagai status seorang mufti. Katanya; “Saya seorang mufti, takkanlah saya berbohong." Lalu dimarahnya pula hari-hari kebelangan tentang penulis blog yang memaki hamun dan menamakan yang bukan-bukan. “Kerja itu fasiq. Fasiq berdosa!” katanya kerana mempertahan yang beliau tidak berbohong.

Persoalannya sekarang apakah benar atas nama mufti, seorang ‘fatawa’ tidak berbohong, atau tidak boleh berbohong?


(3)
Tahun 60an saya menulis novel ‘Sami Mekong’ di mana cerita itu ada mengesahkan seorang ‘Sami’ yang dianggap warak, terjerumus dengan perempuan. Ada pengkritik ketika itu marah-marahkan saya padahal saya menulisnya kerana ingin menggambarkan bahawa sami yang dianggap bersih dengan nafsu, bukanlah semua. Sami juga manusia. Jadi, apabila seorang mufti mendakwa bahawa beliau mufti, apakah persoalannya mufti tidak berbohong?

Apakah dakwaan ini ‘qulil haq’ atau....ahhh, saya tidak berani nak kata apa. Sekarang ini masih hangat kawan-kawan Paksi meminta kita kembali ‘bercakap benar’. Saya teringat novel saya ‘KAWIN-KAWIN’ yang memenangi Hadiah Sako 2 tahun 1997-2002 itu.

Ceritanya perihal Hujjatul Fatawa Mardudah ke Bangkok menghadiri satu seminar. Entah bagaimana bengkok lidahnya, tiba-tiba terkeluar cerita dia ke tempat hiburan malam, hanya sanya kerana hendak menguji iman. Izinkan saya perturunkan sedikit. Begini:

“Dia (Hujjatul Fatawa Mardudah) pernah sekali roboh imannya tetapi mujur siapa pun tidak tahu kecuali Hajjah Fatawi (isterinya) Maka perang kecil pun berlaku sehingga Hajjah Fatawi jumpa doktor test darah naik.

Puncanya kerana dia terlalu jujur bercerita untuk menunjukan imannya kuat dan kukuh.
“Ana pergi ke Pak Pong selepas habis mesyuarat.”

Hajjah Fatawi tidak peduli sangat. Dia tidak tahu apa dia Pak Pong walaupun di Bangkok itu sama dengan Hadnyai.

“Kita tak boleh buruk sangka. Bukan semua orang ke sana cari perempuan.”
“Pak Pong tu menatang apa? Macam Jeddahkah atau macam Madinah?” tanya Hajjah Fatawi.
"Hisss, ke situ pula.”
“Habis?”
“Pak Pong tu tempat hiburan, tempat maksiat, tempat perempuan. Berbogel pun ada.”
“Habis, enta ke sana tentu lupa hukum hakam.”
“Hisss, takkan macam tu. Kankah ana ni Al Fatawa. Kan kanda ni macam ikan, biar di mana laut pun, isi tetap tidak masin. Masakan seorang mufti boleh berbohong,”
Hujjatul Fatawa mula terasa dia tersilap.

“Ehhh pasal betina, dia bukan kira masin tawar!”
“Nanti....nanti ana cerita dulu. Dengar habis-habis. Dengar macam mana ana nak test iman.”

Hajjah Fatawi pun mengesot dekat. Dia hendak dengar habis-habis. Mukanya sudah jadi udang bakar. Telinga sudah berdesing.

“Ana ke sana waktu malam. Nak rilek bila penat mesyuarat.”
“Berapa orang?” berdesing bunyi suara tanya itu.
“Hisss, takkan nak pergi ramai tempat macam tu. Lagi pula, masing-masing malu, nak sembunyi kuku. Maklumlah semua Al Fatawa.”

“Ehhh, dah melampau ni.”Hajjah Fatawi mula gelisah. Api cemburu mula menyala.

“Nanti...nanti...ana di bawa oleh seorang pemandu ke kelab malam. Ya Rabbi, minum air setan di sana sini. Betina telanjang macam kelkatu.”
“Haaaiii, kata kita ni alim. Fatawa. Sohibul...”
“Sohibussa....”
“Yalah...apa pun tak kira. Tapi kita ni dah melampau.”

“Sabarlah, cerita belum habis. Ana masuk ke dewan. Ramai perempuan. Bogel-bogel semua. Ana betul-betul teruji iman. Selama ini ana tak pernah uji sejauh mana kuatnya iman ana.”

Hajjah Fatawi membeliak mata. Hidung sudah kembang kempis.

“Ana masuk dekat. Duduk di kerusi. Subhanallah... semua separuh bogel. Subhanallah, ana geleng-geleng kepala.”
“Alhamdulillah, kuat juga iman enta Hujjatul Fatawa.” Fatawi tergelak kukkik-kukkik.
“Tapi kemudiannya penari bogel itu datang dekat ana.”
“Jadi?” mata Fatawi terbeliak.
“Subhanallahhh.”
“Lagi?”
“Penari bogel itu semakin dekat dengan ana. Nampak daging seketul-seketul.”
“Kemudian, apa jadi?”
“Astaghfirullahhhhh...astaghfirullahal azimmm.”
“Laaa, sampai macam tu?” Hajjah Fatawi hairan.
“Kemudian penari itu semakin dekat....dekat...kalau nak pegang pun boleh.”
“Hai, dah melampau enta ni.”
“Lahaulawala...quwataillabillah...ada ke pulak.”
“Kenapa pula?”
“Kan ana tak terdaya tapi iman masih kuat. Kan bagus tu?”
“Apa lagi?”
“Penari gelek itu semakin dekat. Ya Tuhan.”
“Kuatnya iman enta. Alhamdulillah.”
“Tapi penari bogel itu semakin rapat. Rapat sungguh.”
“Takkan enta tak buat apa-apa?”
“Hissss...”
“Syukur.”

“Tapi kemudian penari bogel itu celapak duduk di atas riba ana. Ya Tuhan!”
“Habis, enta buat apa? Enta...enta...”
“Ana pun...Alhamdulillahhhh!”
“Sial! Laki tak guna!” tiba-tiba Hajjah Fatawi melenting. Dicapainya penyapu lalu dihambat Hujjatul Fatawa Mardudah keliling rumah. (Petikan kasar muka 80-82, Kawin-Kawin)


(4)
Bukan apa. Yang ditimbulkan cerita ini hanyalah untuk renungan. Kadang-kadang bercakap benar pun tidak dipercayai, cakap bohong pula dipercayai. Persoalan besar di sini, bukan menganggap seorang yang berkata masakan mufti itu boleh berbohong atau berbohong, tetapi apakah benar-benar golongan ini tidak pernah berbohong?

Wallahuaklam.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.