Hujjatul Fatawa Mardudah

Posted by Tukya Labels:

Hujjatul Fatawa Mardudah
(1)
Dalam tahun 1995 seorang edtior Utusan Publication mendesak saya menyertai Sayembara Sako 2 dengan hadiah lumayan, iaitu RM40 ribu tempat pertama.

Kebetulan saya sedang menulis novel satira politik bertajuk “Perkahwinan Mut`ah’ yang mengesahkan pemimpin Umno sama dengan orang menikah ‘mut`ah.’

Alhamdulillah akhirnya novel ‘Perkahwinan Mut`ah’ mendapat hadiah pertama dengan tajuk di ubah kepada ‘KAWIN-KAWIN.’

Ketika saya bersalam dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Ketika itu TPM) yang menyampaikan hadiah waktu itu, Tun Abdullah menepuk belakang saya dan berkata; “Apa hang tulis merapu- merapu dalam Harakah!”

Saya cuma ketawa dan Dato’ Kamarul Arifin dan beberapa orang kuat Utusan Melayu juga ketawa.


(2)
Baru-baru ini heboh tentang adanya pemimpin Pas bertemu dengan seorang Mufti di sebuah negeri. Dakwaan mufti tersebut ialah mereka berbincang tentang perpaduan Melayu. Maka gah dan hebohlah satu Malaysia. Pemimpin Pas ramai yang melenting, marah.

Mufti berkenaan menjawab dengan nada tenang sebagai status seorang mufti. Katanya; “Saya seorang mufti, takkanlah saya berbohong." Lalu dimarahnya pula hari-hari kebelangan tentang penulis blog yang memaki hamun dan menamakan yang bukan-bukan. “Kerja itu fasiq. Fasiq berdosa!” katanya kerana mempertahan yang beliau tidak berbohong.

Persoalannya sekarang apakah benar atas nama mufti, seorang ‘fatawa’ tidak berbohong, atau tidak boleh berbohong?


(3)
Tahun 60an saya menulis novel ‘Sami Mekong’ di mana cerita itu ada mengesahkan seorang ‘Sami’ yang dianggap warak, terjerumus dengan perempuan. Ada pengkritik ketika itu marah-marahkan saya padahal saya menulisnya kerana ingin menggambarkan bahawa sami yang dianggap bersih dengan nafsu, bukanlah semua. Sami juga manusia. Jadi, apabila seorang mufti mendakwa bahawa beliau mufti, apakah persoalannya mufti tidak berbohong?

Apakah dakwaan ini ‘qulil haq’ atau....ahhh, saya tidak berani nak kata apa. Sekarang ini masih hangat kawan-kawan Paksi meminta kita kembali ‘bercakap benar’. Saya teringat novel saya ‘KAWIN-KAWIN’ yang memenangi Hadiah Sako 2 tahun 1997-2002 itu.

Ceritanya perihal Hujjatul Fatawa Mardudah ke Bangkok menghadiri satu seminar. Entah bagaimana bengkok lidahnya, tiba-tiba terkeluar cerita dia ke tempat hiburan malam, hanya sanya kerana hendak menguji iman. Izinkan saya perturunkan sedikit. Begini:

“Dia (Hujjatul Fatawa Mardudah) pernah sekali roboh imannya tetapi mujur siapa pun tidak tahu kecuali Hajjah Fatawi (isterinya) Maka perang kecil pun berlaku sehingga Hajjah Fatawi jumpa doktor test darah naik.

Puncanya kerana dia terlalu jujur bercerita untuk menunjukan imannya kuat dan kukuh.
“Ana pergi ke Pak Pong selepas habis mesyuarat.”

Hajjah Fatawi tidak peduli sangat. Dia tidak tahu apa dia Pak Pong walaupun di Bangkok itu sama dengan Hadnyai.

“Kita tak boleh buruk sangka. Bukan semua orang ke sana cari perempuan.”
“Pak Pong tu menatang apa? Macam Jeddahkah atau macam Madinah?” tanya Hajjah Fatawi.
"Hisss, ke situ pula.”
“Habis?”
“Pak Pong tu tempat hiburan, tempat maksiat, tempat perempuan. Berbogel pun ada.”
“Habis, enta ke sana tentu lupa hukum hakam.”
“Hisss, takkan macam tu. Kankah ana ni Al Fatawa. Kan kanda ni macam ikan, biar di mana laut pun, isi tetap tidak masin. Masakan seorang mufti boleh berbohong,”
Hujjatul Fatawa mula terasa dia tersilap.

“Ehhh pasal betina, dia bukan kira masin tawar!”
“Nanti....nanti ana cerita dulu. Dengar habis-habis. Dengar macam mana ana nak test iman.”

Hajjah Fatawi pun mengesot dekat. Dia hendak dengar habis-habis. Mukanya sudah jadi udang bakar. Telinga sudah berdesing.

“Ana ke sana waktu malam. Nak rilek bila penat mesyuarat.”
“Berapa orang?” berdesing bunyi suara tanya itu.
“Hisss, takkan nak pergi ramai tempat macam tu. Lagi pula, masing-masing malu, nak sembunyi kuku. Maklumlah semua Al Fatawa.”

“Ehhh, dah melampau ni.”Hajjah Fatawi mula gelisah. Api cemburu mula menyala.

“Nanti...nanti...ana di bawa oleh seorang pemandu ke kelab malam. Ya Rabbi, minum air setan di sana sini. Betina telanjang macam kelkatu.”
“Haaaiii, kata kita ni alim. Fatawa. Sohibul...”
“Sohibussa....”
“Yalah...apa pun tak kira. Tapi kita ni dah melampau.”

“Sabarlah, cerita belum habis. Ana masuk ke dewan. Ramai perempuan. Bogel-bogel semua. Ana betul-betul teruji iman. Selama ini ana tak pernah uji sejauh mana kuatnya iman ana.”

Hajjah Fatawi membeliak mata. Hidung sudah kembang kempis.

“Ana masuk dekat. Duduk di kerusi. Subhanallah... semua separuh bogel. Subhanallah, ana geleng-geleng kepala.”
“Alhamdulillah, kuat juga iman enta Hujjatul Fatawa.” Fatawi tergelak kukkik-kukkik.
“Tapi kemudiannya penari bogel itu datang dekat ana.”
“Jadi?” mata Fatawi terbeliak.
“Subhanallahhh.”
“Lagi?”
“Penari bogel itu semakin dekat dengan ana. Nampak daging seketul-seketul.”
“Kemudian, apa jadi?”
“Astaghfirullahhhhh...astaghfirullahal azimmm.”
“Laaa, sampai macam tu?” Hajjah Fatawi hairan.
“Kemudian penari itu semakin dekat....dekat...kalau nak pegang pun boleh.”
“Hai, dah melampau enta ni.”
“Lahaulawala...quwataillabillah...ada ke pulak.”
“Kenapa pula?”
“Kan ana tak terdaya tapi iman masih kuat. Kan bagus tu?”
“Apa lagi?”
“Penari gelek itu semakin dekat. Ya Tuhan.”
“Kuatnya iman enta. Alhamdulillah.”
“Tapi penari bogel itu semakin rapat. Rapat sungguh.”
“Takkan enta tak buat apa-apa?”
“Hissss...”
“Syukur.”

“Tapi kemudian penari bogel itu celapak duduk di atas riba ana. Ya Tuhan!”
“Habis, enta buat apa? Enta...enta...”
“Ana pun...Alhamdulillahhhh!”
“Sial! Laki tak guna!” tiba-tiba Hajjah Fatawi melenting. Dicapainya penyapu lalu dihambat Hujjatul Fatawa Mardudah keliling rumah. (Petikan kasar muka 80-82, Kawin-Kawin)


(4)
Bukan apa. Yang ditimbulkan cerita ini hanyalah untuk renungan. Kadang-kadang bercakap benar pun tidak dipercayai, cakap bohong pula dipercayai. Persoalan besar di sini, bukan menganggap seorang yang berkata masakan mufti itu boleh berbohong atau berbohong, tetapi apakah benar-benar golongan ini tidak pernah berbohong?

Wallahuaklam.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

11 comments:

  1. Anonymous

    Terperangkap dan diperangkap.Cerita salah,tak cerita lagi salah.Mengaku dianggap pembohong,tak mengaku akan dituduh pula bapa pembohong.
    Puncanya dua pihak dari dua team yang bertelagah berjumpa dalam satu perjumpaan.
    Perangkap 1:Datuk,macam mana dengan perpaduan Melayu,hilang senyapkah atau ada lagi susulannya.
    Tentu jawapan nya :ADA.
    Tak akan dijawap tak ada,padahal benda ini memang ada.Selepas itu akan meleretlah ulasan demi ulasan.
    Pertanyaan akhir:Azizi jumpa Tun Abdullah untuk ambil hadiah.Ta ada prasangka ka?.Ini kes Melayu A jumpa Melayu B.
    Pertanyaan sebelum berakhir:Betulkah mereka yang menentang perjumpaan Melayu dengan Melayu itu tidak pernah berjumpa dan berbincang dengan Melayu yang satu lagi.

  1. AK

    Salam Tukya,

    Kalau macam tu punya promo,novel Kawin-Kawin, saya kena cari juga buku tu.

    Saya berkenan sangat akan nama Hujatul Fatawa Mardudah, simpoi punya nama.

    Ada seorang bapa baru dapat anak perempuan. Pergilah si bapa ke Balai Polis nak buat repot nama anaknya. Setelah ditanya oleh polis Banggali akan nama yang dia pilih, si bapa pun jawab selamba. Si polis pekak-pekak badak, maklumlah zaman dulu mana ada hearing aids. Si bapa mula lah bengang, naik darah (maklumlah orang Melayu dulu mudah naik angin - keturunan pahlawan, anak panglima).

    Dengan nada yang kuat, sambil menyumpah-nyumpah si banggali polis, si bapa kata " Aku dah cakap banyak kali, hang tak dengak,ikut suka hang lah, TARUHLAH ".

    Si banggali polis, cuma dapat tangkap perkataan yang terakhir, dia pun tulis nama TARULAH.

    Nasib budah perempuan tu lah, bila masuk sekolah baru bapa dia tahu namanya adalah TARUHLAH.

    Kadang-kadang orang jujur dan betul pun jadi mangsa keadaan.

  1. Anonymous

    Saya dah baca novel Kawin-Kawin, tahun lepas ada terjumpa di kedai buku. Buku lama dah agak lusuh , beli juga.Bila ustaz cerita balik, saya pun semak semula kerana teringat Malang mulut ikan puyu yang tak dapat-dapat merasai ni'mat 'bersama'. Kawin tapi tak dapat apa-apa!! akhirnya kutip sampah tepi jalan. dan teringat juga hujjatul fatawa itu. Dan teringat juga kisah BARSISO- seorang mahaguru besar yang akhirnya tiada lagi tinggal sisa imannya kerana terheret dengan ajakrayu syaitan. (hajilah)

  1. Anonymous

    Seperti novel-novel tuan yang lain, tak dapat pun menyelesaikan masalah ummat.

    Dan rm40000 tu, diambil dari duit UMNO juga- yang dituduh tak islamik, korupsi.

    Dan duit Sea Write Award, tu, diambil dari kerajaan Thailand, salah satu sponsornya ialah Clasberg.

    Akhir sekali, kita sentiasa bersangka buruk. Buat perbandingan antara sami buddha dan seorang mufti.

    Kita hendak orang lain beradab, tapi, kita sendiri tidak beradab. Pepatah Melayu ada menyebut benda ni; seperti ketam nak mengajar anaknya berjalan betul...

    Betapa ironisnya dunia ini, bila kita sentiasa melihat orang lain tetapi lupa diri sendiri.

    Wallahualam.

  1. Anonymous

    Sdra Anonymous 9;29 am
    Terima kasih kerana memahami hasil karya seperti memahami sesebuah penguasa.
    Saya tahu anda adalah orang lama ketika berdebat tentang umno dan pas dulu.Orang seperti sdra, pantang disentuh tentang Umno dan kerajaan.
    Tak apalah. terima kasih kerana begitu aprisiasi anda.
    -azizi abdullah

  1. Anonymous

    Assalamualaikum Tn Azizi.

    Saya Anonymous 9;29 am - bukanlah orang lama, muda lagi.

    Saya tak kisah jika sdr. hendak mengeritik UMNO, sebab saya bukanlah UMNO. Malah, saya banyak sekali mengkritik UMNO. Namun, selepas pilihanraya umum yang lalu, saya tidak dapat melihat perbezaan antara UMNO, PAS dan Keadilan. Ketiga-tiganya tidak boleh mencari persamaan, dan mengenal pasti perbezaan. Lihat sahaja penyataan yang dibuat oleh pemimpin ketiga-tiga parti ini, apa yang umno kata akan disanggah oleh PAS, dan begitu juga sebaliknya.

    Saya ialah golongan muda yang mahu politik baru, poltik yang menyatukan. Mungkin Sdr. Azizi boleh berhujah bahawa UMNO lah puncanya. Ya, memang umno ialah satu punca, namun, PAS dan Keadilan juga turut menyumbang. saya meluat dengan hujah kegagalan PAS, yang meletakkan keggaalan mereka mendaulatkan Islam kepada UMNO. Apakah Nabi Muhammad yang kita junjung dan kasih itu, meletakkan kesalahan kepada orang yang berada pada jalan yang salah?

    Tentang penyataan sdr yang lain, sungguh, saya lihat tidak boleh menyelesaikan masalah. Tulisan sdr. dipenuhi oleh kebencian, dan saya rasa, kerana kebencianlah, sdr tidak dapat melihat sesuatu isu dengan holistik. Dengan umur seperti saudara sekarang, saya kita, saudara perlu menulis bukan lagi dengan nada kebencian, apa lagi dengan nada Kawin-kawin. JIka benar karya saudara mempunyai pemikiran, seharusnya pemikiran dalam karya saudara boleh menyelesaikan masalah umat.

    Saya menulis kerana menyangi seorang Azizi Abdullah, atas sumbangan beliau dalam kesusasteraan, khususnya cerpennya seperti Beruk itu, yang mempunyai pengajaran yang tinggi. Namun, saya juga mengharapkan Sdr. Azizi membunuh kebencian dalam diri saudara dan menulislah untuk menyelesaikan masalah, bukan sekadar untuk menarik perhatian, mengutuk mengata orang tak sudah sudah, dan mengusutkan masalah lagi.

    Apapun, saya sentiasa berdoa agar rahmat Allah sentiasa bersama saudara, dan kita sentiasa diarahkan ke jalan yang lurus.

    selamat menyambut ramadhan

  1. Anonymous

    Tanah yang keras, ketikanya kena guna jentera pembajak, ada kalanya guna cangkul cap buaya dan ada kalanya hanya guna penyudip saja. Adakalanya tegur kena cara kurang ajar, adakalanya cara lembut lihat kesesuaian dan kedegilan mamusia. Teruskan ustaz dengan teguran-teguran yang boleh tercabar kerana penguasa sekarang penuh kedegilan dan pakai logik otak saja. Pemikiran manusia tak sampai ke mana tanpa suluhan wahyu.

  1. Anonymous

    sdra
    Anonymous 9;30 am
    Anonymous 11;28 am

    Terima kasih kerana pandangan dan harapan.
    Saya sedar sekadar tulisan kolum tidak boleh mengerak dunia. Seperti seorang alim berdoa, tidak semestinya doa itu makbul.
    Belajar dalam bidang penulisan, ia berbagai kaedah dan pendekatan. Tapi tujuannya sama.
    Saya pohon kepada Allah, kerana setiap menggerakkan tulisan, saya tidak lupa beristikharah, agar mendatang sesuatu yang terbaik. Tapi tentu sukar bagi orang lain, menerima seperti yang kita niat, kerana pendekatannya berbeza.
    Jika anda dapat membaca kertas kerja; NIAT AZIZI DALAM PENGHASILAN NOVEL KAWIN-KAWIN oleh Prof.Dr. Mohktar Hasan UM, pasti tak sama dengan niat saya menulis tapi itulah hakikat dan itulah manusia.
    azizi hj abdullah

  1. Anonymous

    Bersastera adalah mahu membina manusia samada dalam apa skop sekali pun.Beristikharah sabelum berkarya akan menentukan arahtuju karya itu. Samada ianya untuk apa? menegur masyarakat? membetuli kesongsangan manusia? apa2 juga lah.

    Klimex ceritanya bagaimana?. Kepuasan lah terutamanya.

    "Wahai pembaca..!!, bacalah karyaku. Fahamilah sendiri apa matlamat karyaku. Jadi marah?, jadi benci?, jadi gembira? jadi apa2 saja lah. Apa nak buat, itulah karyaku hasil dari istikharahku kapada Allah Yang Maha Esa, Maha Mengasihani juga Maha Penyayang". Wallahua'alam.

  1. Gedung Akal

    kah..kah..kah..ada juga orang yang keliru, sesat antara hitam dan putih... kelabu..blurr dalam bahasa orang putih.
    Kesusteraan dan politik akan jadi ibadat jika niatnya kerana Allah. UMNNO dan PAS akan jadi lagha dan sesat jika bukan kerana Allah.
    UMNO yang makan rasuah akan masuk syurga andai niatnya kerana Allah taala, namun niat itu mesti betul dengan apa yang sebenarnya yakni hakikat!
    Jelas ada pengomen di sini yang isi akalnya teramat naif tapi tak sedar. Macam UMNO juga yang berjuang kerana agam, bangsa dan negara tetapi sesat antara dunia dan akhirat...blurr...kah..kah..kah..

  1. Anonymous

    sdra anonymous 1:15 am

    terima kasih di atas tanggapan sdra dalam penulisan manusia penulis.
    sesungguhnya saya amat naif. saya hamba yang lemah. itulah saja yang diberikan oleh Allah kepada saya dalam dunia penulisan kreatif. jadi jika ada keburukan pada pandangan sdra, yang tidak betul ialah saya dan itulah kelemahan saya.
    azizi hj abdullah