Ada Apa Haaaa?

Posted by Tukya Labels:


1.
Ada Apa Haaaa?
136 bahan penambah kebanyakannya bahan kimia dibenarkan ditambah di dalam mi segera oleh Codex, piawaian makanan WHO/FAO. Gambar di atas menunjukkan bahan ramuan itu.

Daripada 136 bahan penambah itu, 24 daripadanya adalah garam natrium, di samping garam makan juga turut ditambah. Disebabkan itulah kenapa mi segera mengandungi natrium yang tinggi. Satu paket mi segera sahaja boleh mengandungi kira-kira maksimum pengambilan harian yang dibenarkan 2,400 mg natrium.

Di samping banyak bahan penambah dan paras natrium yang tinggi, mi segera juga mengandungi jumlah lemak yang tinggi. Kebanyakan mi segera digoreng dalam proses pembuatannya. Menurut Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) dan Pusat Keselamatan Makanan (CFS), sampel 3 cawan mi segera didapati mengandungi lebih daripada 30g daripada jumlah lemak bagi setiap pakej, yang merupakan lebih daripada 50% daripada had pengambilan harian bagi jumlah lemak untuk diet 2,000-kcal.

Huraian lanjut, sila dapatkan akhbar Utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.

2.
10 Ramuan Melampau Dalam Mi Segera

Adakah mi segera makanan sebenar atau makanan palsu? Apakah bahan penambah ini sebenarnya dan sejauh manakah ia selamat? Berikut beberapa ramuan yang mungkin anda mengambilnya bersama dengan mi segera anda.

Kalsium Sulfat: Kapur Paris.

Asid Tartarik: Bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen.

Kalsium Oksida: Digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga.

Tertiary Butylhydroxyquinone (TBHQ): Produk berasaskan petroleum; satu bentuk butane (cecair dalam pemetik api).

BHT: Risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada ginjal.

Propyl Gallate: Satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan kesan sampingan kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan menghalang pengeluaran sperma

Pentasodium triphosphate: Bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan dalam bahan cuci), bahan samak untuk kulit; juga digunakan dalam pengeluaran kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air.

Propylene Glycol: Pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. Digunakan untuk pembuatan bahan pendingin, antibeku automotif, cecair yang berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang.

Polydimethylsiloxane: Digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas.

Pewarna tiruan (contohnya: Sunset Yellow FCF dan Tartrazine): Menyumbang kepada hiperaktiviti dalam kalangan kanak-kanak; mungkin turut menyumbang kepada gangguan visual dan pembelajaran, kerosakan saraf; mungkin menjadi penyebab kanser.

Ikuti sepenuhnya dalam akhbar utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.

ZAID, BISU SAJALAH MULUT!

Posted by Tukya Labels:

zaid ibrahim

Secara peribadi saya rasa bukan saya seorang yang meluat dengan perangai Zaid Ibrahim. Zaid sepatutnya tidak jadi Zaid sekarang. Zaid sepatutnya jadi seperti Zaid ketika dia diserang sewaktu menjadi calon PKR di Ulu Selangor dulu, yang penuh sopan, tawaduk, rendah diri sehingga ketika itu nama Zaid melonjak dan dihormati. Dengan ketawadukannya ketika itu Zaid dapat mententeramkan dirinya sendiri dan PKR, penyokong, walaupun isu beliau dengan arak sebelumnya tersangat berat hendak ditangkis.

Sayang Zaid bertukar hanya kerana kononnya ‘prinsip.’

Saya tertanya-tanya perangai yang sebegini datangnya dari mana? Untuk apa seseorang masuk sesuatu parti politik kemudiannya apabila secara prinsip tidak setuju, dijadikan parti politik dan pemimpin sebagai tempat hentam dan perlekeh.

Prinsip bukan tempikan dan bercakap, tapi sikap!

Dalam Malaysia orang politik seperti ini ada dua tapi berlainan cara dan berlainan sebab. Pertama YB Zulkifli Nordin yang terumbang ambing kritikannya seperti mencari tapak baru tapi takut dibayangi ‘ hantu ’ politik itu sendiri. Manakala Zaid menganggap semua hal, semua perkara, semua benda, semua dasar dalam politik yang diceburinya, beliau sahaja yang betul.

Perangai begini sebenarnya budaya dari seorang yang memasuki Umno lebih dahulu dari parti lain. Sebenarnya Umno dan dasarnya tidak mengajar begitu, tetapi budaya ahlinya itulah yang menjadikan seseorang yang lompat keluar dari Umno selalu ada kerak daki keUmnoannya, sedangkan dasar parti Umno tidak menyuruh begitu.

PKR bukanlah parti yang semua betul dan baik. Tapi Zaid menghentam PKR telah membuka ruang orang berfikir siapa Zaid yang sebenarnya dan ruang fikiran itu tidak menyebelahi Zaid.

Bagi Zaid jika semua betul dalam PKR, pada Zaid ada yang tak betul sehinggalah beliau berada di atas untuk memberitahu, inilah yang betul.

Zaid yang belum berhenti menyerang kepimpinan PKR dan orang-orang ‘khusus’ kelihatan seperti orang yang memukul dan mencakar dada kerana marah sedangkan kesan cakar dan tumbukan itu ke dadanya sendiri.
Yang terbaik bagi PKR ialah tidak menyambut tepukan dan cakaran itu. Ketua Umumnya bersikap seperti tidak dengar apa pun. Diharap sehingga Zaid keluar dari PKR nanti seperti yang diakui dalam Malayskini 15 Nov 2010, PKR tidak akan meratap berhiba sebaliknya buatlah kenduri pulut kuning dengan sepanduk ‘Sayonara.’

Mustahil Zaid akan bersama DAP tetapi kemungkinan bersama Pas jika Zaid masih ingin bermain politik berprinsipnya. Bagaimana pun Pas diharap tidaklah seghairah Ketua Umum PKR menyanjung kehebatan Zaid ketika itu kerana Pas melihat yang orang yang bertaqwa sahaja yang patut menyertai, bukan orang yang berprinsip sendiri.

50 Pelindung Diri & Kediaman

Posted by Tukya Labels:

Mendapat dan menatap buku kecil ini, tidak seperti saya ke farmasi membeli ubat gout atau sakit dada. Saya lebih senang umpamakan, untuk menghilang gout, saya disarankan mengambil herba tertentu dari mereka yang arif tentang perubatan herba.


Buku 50 Pelindung Diri & Kediaman


Begitu buku kecil yang bertajuk ‘50 Pelindung Diri & Kediaman’. Saya dapati dari penulisnya sendiri Ustaz Hanif Ghazali, ketika berurusan sedekah amal terhadap pusat pengajian yang didirikan oleh Allahyarham Ghazali Din, iaitu bapa penulis sendiri.

Ia semacam buku biasa jika dilihat sepintas lalu. Tapi ia mempunyai keistimewaan jika diteliti, apa lagi jika diamalkan. Walaupun ia amalan pribadi, tetapi ia seperti satu wakaf dan sedekah jariah ilmu-ilmu ini dari buah tangan penulisnya.

Saya kira ini bukan sesi bomoh yang yang melakukan demonstrasi. Ia satu simbah bakti, satu sedekah kejujuran dan amal jariah, kerana ilmu yang dimiliki penulis buku ini adalah ilmu yang bersandarkan Al-Qur`an dan Hadis. Ia bukan jampi serapah.

Memiliki buku ini bukan saja membolehkan pembelinya beramal dengan ilmu yang diberi tetapi ia adalah serampang dua mata. Pembeli berpeluang mendapat ganjaran kerana pembelian ini bererti menyumbang pembiayaan pengajian anak-anak yatim, pengurusan dan pentadbiran dan mengisi pembangunan Madrasah yang diberi nama Madrasah Zubaidiyah.


Penulis Us. Hanif Ghazali


Saya kagum dengan penulis ini yang bukan saja mampu melahirkan buku-buku menyuntik tenaga batin seperti Amalan Wali-Wali Allah, 60 Kisah Bertemu Rasulullah, 70 Amalan Untuk Bertemu Rasulullah, Lailatul Qadar, Manzil dan lain-lain, tetapi juga kerana beliau seorang pendakwah muda yang seolah-olah mahu menghambakan dirinya, dengan ilmu yang dimilikinya hanya kerana Allah, maka kerana itu, dengan kadar pendapatan yang seadanya, kemiskinan sepanjang musim, dengan rengkuhan yang terdaya, dia dengan dibantu oleh beberapa rakan yang lain telah sanggup membiayai, memelihara sekumpulan anak-anak yatim.

Saya tidak tahu apakah anak muda ini telah menyanggupi pesanan orang tuanya agar jangan mengabaikan anak-anak yatim, menjadi pendakwah, hidupkan jamaah Islam dan berjihad, maka saya dapati pendapatannya hanyalah dari pencarian dan rengkuhannya sepanjang hari. Menjadi guru dan dakwah, membaca kitab-kitab sampai memanjat tangga masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur hanya semata-mata untuk mendapatkan sedikit perbelanjaan memelihara anak-anak yatim dan menghidupkan pusat pengajian peninggalan arwah ayah.

Subhanallah! Jika begini ramai anak-anak muda yang memiliki ilmu seperti anak muda ini, nescaya akan banjirlah ilmu barokah dan akan lahirlah generasi mukmin sepanjang zaman.

Tapi sayang, ia hanya di antara beberapa kerat anak muda, yang tamat pengajian di Universiti Azhar, kembali tanpa bercita-cita makan gaji tetapi terus mengabdikan diri demi mengharapkan keredaan Allah.

Anak muda ini saya mula kenal ketika mereka menyambut kami di Universiti Azhar dan baliknya terus menghambakan diri kepada golongan dhuafa. Dia mengemis belanja madrasahnya dengan ilmunya. Dia menyambung tali hayat anak-anak yatim secara sukarela. Maka kerana itu, ditulisnya buku dari kemampuan ilmunya dengan tujuan menjadi panduan, amalan semua pihak dan itulah aliran dana yang boleh menampung pusat pengajiannya dan anak-anak yatim.

Maka buku kecil yang dipersembahkan ini mempunyai amalan berdasarkan ayat Qur`an dan Hadis tentang bagaimana amalan mendingdingkan diri dari segala kejahatan, fitnah dari segala bentuk dan juga amalan sebagai memagari keluarga, kediaman dari sebarang bentuk bencana yang terlindung dan fitnah termasuk kejahatan jin, toyol, pencuri dan binatang buas.

Berharga RM12, bererti juga anda menyumbang ke arah talihayat anak-anak yatim di Pusat Pengajian Madrasah Zubaidiyah, 08400 Merbok Kedah atau boleh hubungi 04-4571880 @ 019 4805683.

Menariknya buku ini, satu diskusi akan diadakan pada Hari Khamis 11 November 2010 di:

1. 9 pagi di Surau Taman Cempaka, Pandan Indah Kuala Lumpur.
2. 12 Tengahari di Exzon Mobail, berdekatan dengan KLCC.

Kedua acara ini penulisnya Hanif Hj. Ghazali akan turut berbicara.

Catatan 2 November 2010

Posted by Tukya Labels:

ORANG-ORANG `ABID

Dari Pulau Pinang, walaupun boleh dikatakan selalu melalui jalan itu, yang selalu menempuh sesak kereta oleh kerana jalan menemui simpang-simpang, hari itulah pertama kali saya singgah di sebuah surau yang selama ini saya tahu bahawa di situ ada surau.

Surau ini sangat tersorok di tengah kesibukan.


Berhampiran pasaraya, Pejabat Agama Daerah, berjiran dengan kedai roti canai, di belakang ada ibu pejabat Telekom dan sebelahnya pula pusat karaoke. Nyata surau itu sangat tersorok. Ketika saya sampai dekat pasaraya, saya dengar suara azan yang cukup berkarat bunyinya. Saya membelok ke surau itu kerana hendak solat berimam.

Allah memberikan saya kekuatan mentafsir dari pancaindera yang Allah anugerahkan. Kadang-kadang tafsiran saya sangat buruk, membawa saya kepada ‘suk uzzan’. Surau yang saya singgah mulai menyentuh hatinurani saya.

‘Sila tanggalkan kasut’

Hanya itu saja tulisan di dinding surau yang separuh simen separuh papan dan kerangka besi. Kolahnya tidak mampu muat tiga budak-budak hendak berkubang. Ruang sebelah kanan, seakan ruang tempat tidur. Ada meja rendah dan tikar-tikar.

Ketika saya masuk, muazzin yang sangat melengkung tubuhnya, berseluar panjang menyinsing hingga ke betis, ber T-Shirt dan berkopiah putih. Dia meneran suara azannya di kalimah akhir, seolah-olah itulah kali terakhir dia memberitahu, solat akan bermula, segeralah datang.

Surau itu beruang sempit. Untuk satu saf hanya sepuluh orang dan mampu tiga saf sahaja. Sejadah nampaknya lusuh, berkedut dan berkeremot. Tingkap dialas dengan renda dan kain langsir yang saya kira ia bukan dibuat khas, tetapi hanya dari kain-kain yang terbuang atau kitar semula.

Tapi muazzin sangat patuh. Saya dapati ia sangat khusyuk dan setia menunggu jemaah lain. Teragak-agak dia hendak qamat kerana bimbang tidak ada imam, sedangkan saya berniat, kalau dia qamat juga, sayalah akan jadi imam.

Akhirnya muazzin itu qamat apabila seorang lelaki berseluar panjang, berkemeja dan bersongkok putih ke hadapan tempat imam.

Saya sangat terasa kelainan solat di sini. Hanya ada dua belas makmum selepas imam selesai membaca doa iftitah. Saya tersentuh melihat imam dan muazzin bersolat. Mereka bagaikan sang musafir yang tidak membawa apa-apa. Surau yang robek dan buruk itu, mereka luluhkan dengan bacaan khusyuk dan ternampak mereka meredai seluruh kehidupan mereka.

Rupa-rupanya mereka berdua adalah abdi surau itu setiap waktu. Seorang tetap menjadi muazzin, seorang tetap menjadi imam yang dalam pemerhatian saya mereka cukup menyedari tugas sukarela mereka perlu dilakukan demi makmum lain.

Saya teringat ketika saya pernah solat di masjid-masjid di kota besar, bandaraya dan masjid sesebuah negeri. Mereka sangat berbeza dengan insan cengkung dengan pakaian buruk di surau ini. Bukan dari segi itu saja, malah saya seakan dapat membezakan, betapa jauh khusyuk, tawadduk, rela dan redho mereka dari mereka yang bersolat di masjid megah, ternama atau masjid mewah.

Mereka tidak seperti yang datang di masjid-masjid besar, yang indah dengan lenggang lengguk, pongah, dengan jubah serban, atau yang datang diiringi pengawal, kemudian yang lain memberi ruang. Mereka sujud tidak seperti sujud ratusan jemaah di masjid besar, di masjid bandaraya atau wilayah. Mereka sujud sampaikan hidung terpenyet ditikar, bukan di atas karpet tebal.

Pastinya sang muazzin dan imam itu tidak menerima apa-apa upah. Tapi doa imam tetap sama, merendah diri, bersungguh-sungguh, mengharap keredaan, meminta rahmat dan keampunan untuk semua, bukan seperti sang khatib di masjid besar berdoa dan meminta pengampunan dari Allah kepada orang tertentu walaupun yang tertentu itu lebih miskin amal ibadahnya dari sang muazzin dan imam ini.

Subhanallah, saya merasakan mereka seperti malaikat. Tapi sayang surau yang saya singgah ini sangat terpencil, di mana malamnya saya mendapat tahu, tapak halamannya menjadi parking pengunjung karaoke yang berhampiran di situ.

Dan apakah yang patut saya lafaz kebanggaan. Siapakah punya kerja seperti ini? Saya terkedu apabila keluar di pintu saya dapati semua kasut-kasut jemaah tersusun rapi dengan kepala kasut mengadap hala keluar.

Siapa punya kerja mulia ini? Sedangkan minggu sebelumnya, saya kehilangan kasut selepas solat Jumaat di Masjid Negeri.

Subhanallah, Tuhan, abid inikah yang mentarbiah makmumnya atau inikah yang dikatakan keberkatan?

Perbuatan menyusun kasut jemaah bukanlah aneh, tetapi ianya tidak pernah berlaku dalam pengalaman hidup saya kecuali satu ketika dulu di Bandar Country Home Rawang, Pusat Jemaah Al Arqam, di mana kalau kita memasuk mana-mana kedai atau rumah, tanpa disuruh atau di arah, keluar saja kita akan dapati kasut kita tersusun elok.

Subhanallah! Inilah tarbiah hasanah dan rupanya ia sampai ke surau terpencil ini.