SMS YANG MENGUJAKAN…

Posted by Tukya Labels:

Isnin 27hb Disember 2010, saya dihujani SMS yang sangat menguja dan mengejutkan. Saya sangat bodoh untuk memahami ini. Saya masukkan di sini untuk sdra-sdra kongsi memahami dan kalau yang pandai tolonglah perjelaskan atau komen:



1. 6.57 pagi

Sayalah orang yang awal buat proposal puncak niaga tapi telah ditipu oleh ### dan M***. Bekas Ed PNSB R+++ ++ proxy saya dan Dato ^^^ bawa lari berjuta saham bila Terbitan Awam dilakukan. Allah Maha kaya, Maha Adil balasanNya tetap ada di dunia. Setelah kepentingan kami dikhianati R+++ ++ dengan wang berjuta, dia ditimpa penyakit leukemia. Doa 3 ribu peneroka Sungai Buaya tiada hijabnya. Tanah mereka tergadai gara-gara ^^^ dan R+++ ++ telah menggadai pada bank dan projek-projek terbengkalai di Sungai Buaya itu M*** senyap menyepi. Dialah pemegang saham terbesar PNSB dan sahabat atas nama-nama proxy Umno yang bergaji.Semua rekod ada dengan saya tapi kalau kita tidak menguasai $$$$ tiada maknalah. Saya cucuk K*** dedahkan gerand desing ini waktu di ugut Tuntaik bagi laluan pada ### bertanding lawan Kijangjuah. Tapi jerat bingkas dulu Tuntaik bertindak cepat. K*** diserang oleh ketua anjing gila.


- Hisss, lagi saya tak faham. Menatang apa proxy-proxy ini? Ini semua dunia.

2. 6.57 pagi

Saya dah masuk dalam blog pagi ini. Ini SMS pembaca kawan kita yang membaca kolum tentang gaji CEO Shabas empat ratus ribu sebulan. Mari kita oleh untuk tatapan pembaca. Anak-anak Petronas akan jadi mangsa terbaru. Itulah Umno…

-Sabar….sabar…apa nak hairan, sekarang nak buang air pun kena duit.


3. 6.58 pagi

Hal yang sama akan berulang; Petronas sekarang sedang mengapongkan anak syarikat-syarikatnya terbitan awam. Petro Chem, Gas Malaysia, Carigali.
Sedikit masa lagi termasuk Celcom dan Felda Holding. Dia tu dengan kementeriannya akan mengapongkan dulu jadi Public Listed Company. Kalau tak percaya tengok Januari 2011 Gas Malaysia dan Carigali akan dilisted. Saya dah dapat tawaran dari ****.Ini guna cari duit buat PRU13. Harganya RM2.80 seunit. Target mereka 50 sen seunit akan dilonjakkan. Keuntungan bagi kroni sedang berjalan. Oktober lalu petrol chem. Diterbitkan 51 sen seunit telah dilonjakkan. Ratusan juta saham dikuasai syarikat Umno link company dengan GLC. dan individu tertentu. Petronas akan umumkan kerugian dan pengambilan aleh dapat dilakukan oleh Tuntaik dan D** kerana mereka dah siap siaga jadi syarikat penyelamat kononnya macam Bank Bumi ditelan oleh ular lidi Bank Of Cmere. Tipah tertipu lagi.
Aku dah bagi info kepada ketua pembangkang apakan daya.

-Hoiii,saya pening dan bila saya ajukan kepada Pakteh Sahak yang jual karipap, Dia gelak sampai Nampak anak lidah. Baguslah, kita maju. Produktiviti kita meningkat, katanya.


4. 10.26 pagi:

***, ++++, *** janji nak cuba cari kat stor DBP, macam mana? Saya cuba dekat Sungai Patani,, tak ada. Dah dapat Interloknya?

- Agak saya ini tentu pasal novel Interlok karya Abdullah Hussain yang nak jadi buku teks sastera di zon tengah. Novel Interlok jadi kecuh sekejap dan kononnya ada menteri nak tarik dari jadi teks sastera kononnya kerana ada dialog-dailog yang kata Melayu bodoh, haprak.
Yang syoknya ada Mantan Perdana kata Melayu haprak dan mudah lupa, masih terangkat sampai sekarang. Kononnya pasal Ketuanan Melayu kena jaga. Tapi bila Tanya, apa menatang ‘ ketuanan’ itu? Di mana tercatatnya? Maruahkah? Kalau maruah, kenapa sudah 50 tahun maruah ini dipijak lenyai, tak gaduh pun.


5. 10.12 pagi:

SMS *** ***: Kenapa depa tak minta pandangan kami? Soal nak swastakan bahagian pendaftaran dan saman dah lama kami dengar. Ingatkan tak jadi. Kami pun tak setuju. Nanti saya cuba tulis.

Alangkah baiknya jika sdra tulis tentang saman ekor dan isu-isu lain seperti yang dibangkitkan oleh yb-yb dan timnya semasa menyerah memorandum kepada Yang Dipertuan Agung. Ini dah undang-undang. RUU penguatkuasa jalan (Pindaan) 2010. Bayangkan saman juga telah disubkan kepada kompeni. Betul-betul kerajaan subkontraktor! Semua diswastakan. Apa punya kerajaan?



Pakngah Taha Merbau Kudung tau apa



Alhamdulillah…saya tak kena saman. Jadi ada baiknya kalau saya jawab macam Pakngah Taha Merbau Kudung tentang kenaikan minyak; “Alaa, naiklah berapa pun, Pakngah bubuh lima ringgit saja.”

10 TONGGAK REMAJA HEBAT

Posted by Tukya Labels:



Ketika menghadiri ceramah di Dewan Melenium Kepapa Batas Seberang Perai pada 19hib Disember 2010 Ahad 9 malam yang lalu saya didatangi seorang anak muda lalu menyua sebuah buku nipis setebal 58 muka.


‘Terima kasih,” kata saya dan kemudian saya melihat tajuknya; 10 TONGGAK REMAJA HEBAT.

Saya sangat tertarik buku kecil ini dan terpanggil untuk menelitinya kerana kehebatan tajuk yang diberikan. Rupa-rupanya penulis Sulaiman Hassim dan Adlan Abd. Aziz adalah dari kumpulan anak muda yang menamakan diri mereka melalui blog ‘Pemuda Iman.’ Saya mengkagumi kumpulan anak muda ini kerana meletak usaha berdakwah di agenda hadapan dalam kehidupan mereka.

Ada satu bahagian yang sangat menarik. Saya sangat berharap jika buku kecil ini dimiliki oleh anak-anak muda dan sangat berharap uslub dakwah ini didaya usaha oleh masjid-masjid, surau dan tuan-tuan guru dalam kaedah mengajak para remaja menegak tonggak kehebatan mereka.

Oleh itu sangat mustahak jika buku seperti ini ada di perpustakaan masjid, surau dan mana-mana korporat atau mereka yang berada, patut membeli dan diedarkan kepada rumah-rumah persatuan remaja.

Jabatan Belia dan Pejabat belia negeri dan daerah patut juga melihat ini sebagai bahan bantu kepada remaja yang selama ini kita mendedah hal-hal budaya dan kesenian rakyat.

Dalam bahagian ‘Mendisiplinkan REMAJA’ buku ini telah menyorot beberapa teori punca salah laku dan masalah pelajar. Tentang teori fungsionalisme, teori konflik, teori subbudaya, teori interaksionisme dan lain-lain lagi memungkinkan membantu remaja memahami masalah yang mereka hadapi.


Yang lebih menarik penulis menurunkan beberapa cadangan mendisiplinkan remaja supaya jadi hebat.

Saya teringat satu kata-kata Arab atau saya tidak pasti ia sebuah hadis (Maafkan saya) yang berbunyi; Laisal fata man yaqulu ka na abi…Innal fata man yaqulu ha, anaza!

Ini kehebatan remaja sebenarnya.

Ada 16 cadangan mantap, kemudian diperturunkan pula peranan remaja. Pendek kata ia merupakan sebuah buku rengkas untuk mengurus hidup dunia remaja.

Anak muda yang menulis buku ini, Sulaiman Hassim memiliki Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan manakala Adlan Abd. Aziz Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab Universiti Al-Bayt Jordan.

Menurut yang tercatat harganya RM8.00 dan boleh dihubungi melalui alitantawi.blogspot.com

Ke Mana Arah Tuju Pas Dalam Pakatan?

Posted by Tukya Labels:

KE MANA ARAH TUJU PAS DALAM PAKATAN?

Saya terima 2 SMS dari 2 seorang sahabat di Pahang, seorang pensyarah di pusat pengajian tinggi, seorang lagi artis terkenal di KL. Mereka ini setahu saya di mana saja ada seminar atau perjumpaan Pas, dia tidak pernah tidak hadir.

Saya terfikir juga apa yang di SMS kepada saya. Ayatnya lembut, berbahasa, tidak seperti saya yang dikatakan tahu ‘tutuh’ saja. SMSnya:

SMS 1:



Pas awal-awal lagi sudah bagi amaran jangan sentuh isu negara Islam (macam pihak lain bagi amaran jangan sentuh ketuanan Melayu, kot?- saya)

Bagi Ana mengapa tak jadikan konvensyen PR pada 19hb Disember ini satu peluang untuk menjelaskan KONSEP negara Islam yang Pas impikan? (perjuangkan- saya)

Sabit itu (sebab itu) sampai sekarang Karpal Singh tak faham. Kita terpedaya,terheret sama-sama memfobia matlamat puncak menegak daulah Islamiah. Rakyat pada mulanya kabur, berjaya dibutakan apakah hala tuju Pas. Sejarah berulang. Harakah Islamiah sering mengalah dan kalah. Atas nama strategi, bertolak ansur, akhirnya ditolak beransur-ansur. Asyik jadi follower, pada hal punya kekuatan lebih dari yang lain. Negara Islam dianggap ancaman, bukan peluang oleh pejuang-pejuangnya sendiri.


Aduh, sedap juga patukan sahabat saya ini. Saya sangat berharap entry ini dapat dibaca oleh YB Salehhudin mahupun 2 Tuan Guru.

Tuan Guru Haji Hadi



Sekiranya menjadi takut kepada Karpal, bererti Pas takutlah juga kepada DAP dan menyertai PR bukan kerana berkewajipan memperkenalkan konsep negara Islam tetapi kerana mahu menang nampaknya.

Seperti Kedah sekarang, imej dan dengung-dengung pemertabatan Islamiah sudah semakin sayup. Betulkah?


SMS 2:

UMNO ATAU BN? AHHH, DUA-DUA SAMA.

Rumah di Kg Abdullah Hukum


Assalamualaikum, YB-YB, Dr-Dr dan kawan-kawan,

Ini satu lagi petaka terjadi. Kampung Kerinci sudah mahu ditukar nama ‘Bangsar South.’ Kawasan elit dibangunkan, dipecah jadi sub bandar, The Village, The Sphere, The Harizon, The Vertikal, The Park.

Kerajaan BN (Umno tonggaknya kot?) benar-benar dikelentong pemaju yang bencikan Melayu. Budayawan Bertindak ada tugas besar.

Saya dah beritahu kawan-kawan FB, untuk program di Gelanggang Abdullah Hukum.
Gabunglah Kerinci. Kalau Bricksfeild mengimpot ‘Little India’, ‘China Town’ tapi
nama tempat Bahasa Melayu dihapuskan. Ya Rabbi....

Saya termenung membaca SMS ini. Demikianlah pemerintah yang Umno di dalamnya. Sesekali nak memartabatkan Melayu, Bahasa Melayu, sesekali ketuanan Melayu. Yang kata Melayu haprak pun turut jadi haprak.

CARA BAHAGI DAN BANTU UMNO

Posted by Tukya Labels:


Banjir di Kedah 2010


Perangai buruk Umno bukan saja muncul sewaktu petaka banjir yang melanda Kedah baru-baru ini. Imej buruk Umno dengan canang-gendang hendak memberi bantuan kepada mangsa petaka banjir ini, bukan saja selepas peristiwa banjir. Sebenarnya ia sudah menjadi darah daging; kalau bukan Umno, tidak akan berlaku seperti itu, demikianlah bidalan Melayu baru.. Ia ‘semacam’ sama dengan kata-kata; kalau tidak mungkir janji, bukan yahudi namanya!.’

Perangai dan imej buruk Umno ini sukar hendak buang bilamana sesuatu bencana atau bala berlaku kepada rakyat, ketika itulah perangai buruk Umno dengan imej keUmnoannya berlaku sewenang-wenangnya.

Dalam ertikata yang lain, Umno akan menjadi orang yang tidak segan dan malu menjaja kebaikan dan keikhlasan tetapi kemudiannya memungkiri dan bermain tipu pembohong. Bagi mereka dengan cara mencanang dan megah ini akan terserlahlah kebaikan Umno dan akan lenyaplah imej buruk kepada sebuah parti yang menjadi pembela rakyat.

Rupa-rupanya Umno lebih seronok mencanangkan bantuan untuk rakyat tetapi sangat bodoh ketika menyampaikan bantuan itu. Umno selalu tersalah kira dan congak yang tidak betul; dengan bantuan rakyat suka sama kita, begitu kata Wayang Kulit Asun.

Keluhan dan komplen rakyat yang menjadi mangsa banjir di Kedah melalui Sinar Harian keluaran 11 Disember 2010, bagaimana pembahagian-bantuan kepada mangsa banjir itu hanya bagi mereka yang menyokong Umno dan bukan kepada mangsa, bukan saja mencerminkan dulu, kini dan selamanya perangai bodoh sombong Umno ini, tetapi merupakan sebuah parti yang dianggotai oleh sebahagian congok dan haprak yang selalu salah perhetungan. Mereka sangka dengan bantuan kebendaan yang bercopkan ‘kati’ kemudian disampaikan oleh ‘ketua bahagian’, ‘ketua cawangan,’ ‘ketua perhubungan’ atau ‘JJJJKKKKKKKK’ maka rakyat akan terkerisin seronok dan akan gahlah satu dunia untuk mengatakan inilah parti yang perihatin, parti yang terbaik dalam dunia dalam membantu rakyat.

Sangat sedih apabila Perdana Menteri sekalu Presiden Umno memberitahu beratus juta bantuan kepada mangsa banjir akan diberi, tiba-tiba berlaku seperti apa yang disungutkan oleh sebahagian rakyat yang dinafikan hak mereka. Sama ada ia melalui Kelab Putera atau Kementerian Masyarakat atau Kerajaan Persekutuan, maka apabila berlaku penyelewengan dari kalangan ‘cokia-cokia’ peringkat negeri dan kawasan, adalah sangat memalukan Umno dan sepatutnya pemimpin bahagian, pemimpin peringkat negeri yang berbuih di mulut sama banyak dengan buih banjir yang mengatakan bantuan akan diberi tidak mengira parti.

Tradisi memberi bantuan kepada mangsa bencana nampaknya Umno masih tidak mau belajar dan sedar dari pengalaman masa lalu. Umno masih beriktiqad, yang afdalnya memberi kepada ahli dan penyokong kita, bukan kepada mangsa musibah. Kita tidak tahu kitab dari mana Umno ini belajar.

Sepatutnya 10 ulama muda dalam Umno mesti membaca kita bab sedekah, bab derma, bab memberi bantuan kepada mangsa yang diperlukan kepada ketua-ketua bahagian, ketua-ketua cawangan seperti ini. Tapi nampaknya ulama muda ini macam tidak ada ilmu tentang itu.

Inilah imej Umno, memberi bantuan, memberi apa-apa saja hanya kepada kroni, ‘orang kita’ dan mereka tidak peduli tentang ‘orang berhak’.

Ketika kejadian THUNASI beberapa tahun yang lampau di Kuala Muda Kedah, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapat aduan dari rakyat di mana bantuan yang mereka terima tidak sepatutnya. Saya dengan beberapa pegawai lain turun ke Kuala Muda. Kami hampir menitis air mata melihat beberapa keluarga menyerah kepada kami tiga empat kilo beras yang bercampur dengan BATU-BATU TAR.

“Tengoklah, begini yang diberi untuk kami makan” kata seorang mangsa thunami. “Beras yang bercampur dengan anak-anak batu,” kata mereka. Itu tidak dikira lagi bagaimana tilam-tilam bertimbun-timbun tidak diberi kepada mangsa waktu itu, tidak di kira lagi bagaimana ‘pegawai’ mereka membuat tuntutan sebuku sabun mandi rm2.50 ketika ‘berkorban sukarela’ di Kuala Muda.

Kenapa jadi begitu? Rupa-rupanya kawasan rumah tersebut dikenali sebagai puak-puak yang bukan Umno.

Dan banyak lagi tentang bantuan yang diagih dan diedarkan oleh Umno menjadi edar hanya kepada puak-puak, bukan kepada mangsa yang sepatutnya.

Kita sangat hairan, mengapa mereka yang bertanggung jawab hal ini masih bersikap begini. Apakah anggapan bahawa dengan memberi bantuan kepada ‘orang kita’ maka parti akan semakin kuat?

Mereka melakukan apa saja

Atas nama Umno yang berimej Umno, mereka akan melaklukan dalam semua bentuk dan semua perkara jika mereka diberi kesempatan.

Baru-baru ini saya sangat berbesar hati kerana mendapat surat DIANUGERHKAN BUDAYAWAN KEDAH dalam kategori sasterawan/penulisan. Saya diminta datang ke kedai tukang jahit di Alur Setar untuk mengukur sepersalinan baju Melayu tradisi.

Sangat berbangga kerana anugerah itu anugerah dari Kerajaan dan ia lanjutan dari anugerah yang pernah dibuat oleh kerajaan Umno dulu.

Anugerah Budayawan ini dikelolakan oleh Majlis Kebudayaan Kedah, di bawah Exco Kebudayaan, Kesenian dan Sokan, Dr. Hamdan Mohd. Khalib.

Majlis Kebudayaan Kedah ini saya pernah menjadi AJK lantikan selama dua tahun di tahun yang lalu. Majlis itu sebenarnya lanjutan majlis kebudayaan lama di zaman Umno dulu. Dalam ertikata yang lain semua AJKnya kebanyakan ahli Umno atau penyokong tegar Umno. Dr. Hamdan, walaupun Exco Kerajaan Kedah dari Pas, beliau nampaknya tidak ketauhi sangat karenah dan perjalanan Majlis Kebudayaan ini, disebabkan beliau masih baru, kurang pengalaman lagi. Bagaimanapun cara pengurusannya nampak sedikit mengalah dengan kepala-kepala ‘mantan’ Umno ini kerana mereka sangat pandai berpura-pura.

Apabila satu usul diluluskan tahun lalu supaya satu anugerah kepada budayawan disambung semula seperti yang diberi kepada Dato Shafie di Baling dulu dan Pak Arfini, maka tahun ini pun anugerah itu diteruskan.

Saya di antara empat orang yang dipilih diberi anugerah ini, demikian menurut surat dan diberitahu melalui telefon. Tapi apa sebenarnya yang berlaku?

Saya mendapat tahu, sebenarnya tidak ada nama Azizi Hj Abdullah. Tidak dicalonkan walaupun saya dianggap sebagai penulis dan budayawan yang agak lama berkecimpung di Kedah dan saya adalah anak Kedah.

Hanya empat nama sahaja dicalonkan. Dan nama-nama penal pemilih itu adalah dari kalangan Umno, penyokong Umno tapi kononnya di atas nama badan-badan kebudayaan. Ertinya baju lain tapi tubuh yang itu jugalah.

Saya tertanya-tanya kenapa nama saya tidak ada pun. Atas sikap terbuka dan profesional, saya menerima kerana mungkin yang dipilih itu lebih baik dari saya.
Tapi bila diselidik yang dipilih itu tak seberapa pun tapi kerana mereka adalah anggota Majlis Kebudayaan dan mereka jugalah yang menjadi pemilih, maka mereka sendirilah yang memilih mereka. Saya tertanya-tanya, kenapa tidak ada Murad Ibrahim, seorang tokoh budayawan yang menghabiskan usia dan tenaganya kepada budaya Kedah? Kenapa tidak ada tokoh lain lagi?

Kenapa pula saya yang tidak ada nama dalam senarai pemilihan, tiba-tiba tersangkut nama?

Rupa-rupanya sememangnya mereka tidak suka kepada orang Pas maka kerana itu mereka tidak memilih pun. Tetapi apabila nama-nama itu diserah kepada Menteri Besar untuk diluluskan, maka timbullah pertanyaan, mana dia Azizi Abdullah? Maka terkial-kiallah jadinya.

Dr. Hamdan sangat sedar hal itu tapi sebagai orang profesional beliau tentulah tidak mahu menunjukan besar kepalanya kerana baginya penal yang memilih itu tentulah dari kalangan profesional. Rupa-rupanya mereka hanya dari penal Umno totok.

Maka, apakah saya dianggap sebagai budayawan parti politik Pas atau bertaraf negeri?
Saya tidak mahu mengulasnya. Tetapi penal dari kalangan AJK Majlis Kebudayaan itu nampaknya tidak terbuka intelektualnya dan masih dikongkong oleh karat-karat Umno maka kerana itu mereka pilih ‘orang depa’ saja sebagai Budayawan Kedah. Haa...haaa...hebat.

Demikianlah apabila kita nak menyebut tentang Umno dan cara pemilihan mereka sejak dulu, kini dan selamanya.

Terbalik, Tertunggang, Tertungging

Posted by Tukya Labels:


Memetik dari Malaysiakini 1 Disember dan sebelumnya, teringat iklan tentang Astro dulu. Dengan lidah terkodek-kodek orang tua itu kata ‘Macam-macam ada.’ Hasilnya menjadikan sesetengah orang naik biul, pening dan bengang. Tak tahu lagi yang mana kura-kura, yang mana pelanduk.

1.
Mursidul Am Pas kata, Pas bersedia menerima perlantikan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Persekutuan, seperti syarat yang termaktub dalam Dasar Kebangsaan Negara Islam.

“Ini Negara demokrasi!” kata Mursidul Am itu.

Fullamak! Sesekali Mursidul Am ini selalu ambil jalan songsang. Ketika arus mengalir ke kuala, Tuan Guru ini berkayak ke hulu.

Memang tak ada apa halangan pun. Demokrasi, katakan. Tapi sesekali naik terbeliak mata juga kita. Kenapa asyik melayan isu sahaja sedangkan sekarang ini Pas dah lupa perjuangan teras keIslaman. Bukan saja di Kelantan sepi senyap hal-hal perundangan dan hukum tapi di negeri-negeri lain juga, macam Kedah, sepi senyap tentang undang-undang dan hukum Islam. Tak pernah timbulpun dalam Dewan Undangan tentang kaedah melestarikan imej Islam.

Sesekali, ada baik pakat-pakat duduk semeja, bermuhasabah pula tentang teras dan dasar Pas. Jangan terbawa-bawa sangat dengan rentak tari Pakatan.


2.
Dato’ Seri Anuar Ibrahim pula menangkis tentang ribut taufan tuduhan terhadap Wan Azizah yang menyentuh tentang ketuanan Melayu. Katanya: PKR menolak konsep Ketuanan Melayu kerana konsep itu hanya mencerminkan hubungan ‘Tuan’ dan ‘hamba’.

Cup-cup Sultan Selangor pula berkata, entah sindir siapa atau Lillahitaala kerana sayangkan bangsa, lalu tersiarlah berita Sultan Selangor melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang Melayu yang tidak memiliki rasa megah dan bangga, sanggup menggadaikan bangsa sendiri. Semuanya kerana matlamat golongan berkenaan adalah agar sistem raja berperlembagaan disemak dan dikaji semula.

Astaga…. Mat Marhaban pun berwirid Asmaul Husna. Pening kepala nak kata, apanya…. apanya… blaa… blaaa… blaaa.

Saya yang tak mengaji ini pun masih ingat, kalau tak silap seorang Perdana Menteri Melayu satu ketika dulu pernah memain peranan tentang hak-hak raja dan kedaulatan. Apakah Baginda baru tersedar hal ini di hujung tahun 2010? Tak pula berani ditegur, apa lagi merasa dukacita dan murka.

Titah Baginda lagi: Sejarahwan Barat tulis mengenai Tanah Melayu, Negeri Melayu, Raja Melayu. Itu bukti Barat iktiraf adanya Melayu memulakan sejarah Negara ini.

“Beta sedih dengan generasi sekarang yang malu mengaku Melayu!” titah Baginda lagi.

Ya Tuhan…saya tak mengaji tinggi. Tapi buku dalam almari buruk, ada sebuah buku “Mitos Peribumi Malas’ Imej Orang Jawa, Melayu dan Filipina danam Kapitalisme Penjajah, terbitan Dewan Bahasa 1991.

Puuuuhhhhh! Ya holakk-holakkk! Dalam buku itu penuh catatan dari orang Barat menggambarkan Melayu ini hancai, suka bersiput babi, sabung ayam, penipu, pemalas dan lain-lain.

Macam mana ni? Buku itukah yang tak betul atau penulis Baratkah yang sasau? Fuhhhh, nampaknya kita kena mengaji lagi.




Tanya Pak Kasim Daun Ketom, setahu aku penjajah memang jajah tanah Melayu tapi yang makan Melayu, yang pekena Melayu, yang hambat Melayu, yang kelentong Melayu, yang ubah ketuanan Melayu, yang melinglong Melayu, siapa?

Orang Melayu juga! Bila? Ketika orang Melayu mula berkuasa? Bila? Bila-bilalah. Yalah, bila?

Tanya sama ular, apa pasal makan katak?

Cup-cup Dr. Mahathir pula kata, lupakan keturunan jika ingin 1Malaysia Berjaya. Mengasimilasikan diri menjadi satu!

Aikkkk! Dulu kata 1 Malaysia samar, kabur, kelabu asap, tak jelas. Aik, tak mengapa pula kata lupakan keturunan, pada hal orang yang kata tentang ketuanan Melayu yang berkonsepkan hanya ‘Tuan’ dan ‘Hamba’ macam tongkang pecah.

Dengan rasa rendah hati, tawadduk dan hina dinanya, silalah baca kalau ada lapang buku bertajuk JIWA HAMBA. Bab-bab macam ini sudah ditulis sejak tahun 2007 lagi.


3.
Saya terkejut lagi, sampai terpanggung macam kucing terkejut. Persatuan Sejarah Cawangan Kedah desak Kerajaan Kedah, bukan selayaknya menuntut cukai RM10 juta atau RM100 juta dari kerajaan Pulau Pinang tapi yang sepatutnya tuntut kembali Pulau Pinang kerana faktor sejarah, Kedah masih lagi terima duit pajak dan duit pajak itu bererti Pulau Pinang masih hak Kedah.

Aik… ini cakap Mat Piah Seberang Nyonyakah atau Persatuan Sejarah? Yang dok lama dulu, batuk pun tidak. Yang saya hairan, berani pula bersuara macam itu. Kata Din Bukit Tembaga, faham-faham sajalah. Lalang bukan boleh menyacak canggang angin.

Aduhhhhh, harap-harap Kerajaan Pas tidaklah jadi pakyet Alur Mengkudu.

Di bawah ini dipetik dari buku PERJANJIAN & DOKUMEN LAMA MALAYSIA, Old Treaties & Dokumens Of Malaysia 1791-2965. Buku ini saya dapat percuma dari Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia, Mohd. Khir Ngadiron. Saya selalu tabik kat Pengarah Urusan ini.


Persetiaan dengan Sultan Kedah 1791

Pada 16 hari bulan Syaaban tahun Hijrah 1205, hari Ahad (20 April 1791)

Perkara 1
Syarikat Inggeris akan memberi Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di Pertuan Kedah enam ribu Dolar Sepanyol setiap tahun, selagi Inggeris kekal memiliki Pulau Pinang.

Perkara II
Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di Pertuan bersetuju bahawa segala jenis bekalan yang diperlukan untuk Pulau Pinang, kapal perang, dan kapal Syarikat, boleh dibeli di Kedah tanpa halangan atau dikenakan apa-apa cukai.

Perkara III
Semua hamba yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah, hendaklah dikembalikan kepada pemunya mereka.

Perkara IV
Semua orang berhutang yang lari daripada pemiutang mereka, dari Kedah ke Pulau Pinang, atau dari Pulau Pinang ke Kedah, jika kerana tidak membayar hutang mereka itu, hendaklah diserahkan kepada pemiutang mereka.

Perkara V
Baginda Yang di Pertuan tidak akan membenarkan orang Eropah dari mana-mana Negara lain tinggal di mana-mana bahagian negeri Baginda.

Perkara VI
Syarikat tidak akan menerima (melindung) mana-mana orang yang melakukan penderhakaan besar atau pemberontakan terhadap Baginda yang di-Pertuan.

Perkara VII
Semua orang yang melakukan pembunuhan, yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah, akan ditangkap dan dipulangkan berbelenggu.

Perkara VIII
Semua orang yang mencuri cap meteri (pemalsuan) akan diserah balik sedemikian juga.

Perkara IX
Baginda Yang di-Pertuan tidak akan membekalkan apa-apa bekalan kepada semua orang yang menjadi musuh kepada Syarikat Inggeris.

Ke 9 perkara ini diwujudkan antara baginda Yang di-Pertuan dengan Syarikat Inggeris; Kedah dan Pulau Pinang akan menjadi sebuah negeri.

Disempurnakan oleh Tunku Shariff Mohamad, Tunku Alang Ibrahim dan Dato Penggawa Talibon, wakil-wakil bagi pihak Baginda Yang di-Pertuan dan diberikan kepada Gabenor Pulau Pinang, wakil bagi Syarikat Inggeris. Dalam Perjanjian ini, mana-mana pihak yang menyimpang daripada apa-apa yang tertulis dalam Perjanjian ini, Tuhan akan menghukum dan memusnahkannya: tidak akan ada padanya kesejahteraan dan kesihatan.

Meterai Shariff Mohamad dan Tunku Alang Ibrahim, dan Dato Penggawa Talibon, diperturunkan pada Perjanjian ini, dengan tandatangan masing-masing.

Ditranskripsikan oleh Hakim Bunder, Pulau Pinang.

Ditandatangan, dimeterai dan disempurnakan di Kota Cornwallis, Pulau Pinang pada 1 haribulan mei tahun Masihi 1791