SANG PENDEKAR

Posted by Tukya Labels:

Pendekar Berakta dan Peraturan


-Azizi Hj Abdullah


Aku tidak tahu dia berasal dari mana, berguru dengan siapa lalu dia dinamakan ‘ Pendekar.’ Melihat sosoknya yang koro, bongkok cengkung aku nyaris-nyaris menamakan dia pendekar silat pulut.

Aku juga ragu menamakan dia pendekar walaupun namanya Pendekar.Aku tidak tahu dia sarjana silat kelas berapa. Lalu aku sebut saja Pendekar ini secara pendekar Randai Piring Si Pulut Kuning. Biarlah aku tidak memahat dalam baris, berkata dalam pusaka. Biarlah aku tidak berpegang kepada musuh jangan dicari, bersua jangan dielak atau kail sebentuk umpan seekur, sehari putus, sehari hanyut.

Kusebut saja dia Pendekar Pulut Kuning Si Pondan Sumbing, walaupun dia ada berkebolehan gerak awal,gerak tengah, gerak akhir. Dia memang berkebolehan memulih kadar nadi, membuat telapak sama paras dengan bahu,memusing telapak kanan arah belakang lalu menyiku sama paras dengan bahu.

Aku tahu dia berkebolehan duduk sesujud, tangan separas dada dan telapak memegang piring kemudian memusing telapak melawan jarum jam. Tapi dia Pendekar yang emosional, kerana itu aku pooorrraaahhh! Perangainya huduh dalam gelanggang. Dialah bukan disesar gunung berlari, hilang kabut pun masih tak nampak. Dia bukan tidur diperkalang, tidak juga berjalan dipertongkat.

Dia pendekar yang hanya tahu menepis, tidak menghibu. Dia tahu menghanduh tapi tak kuat merengkuh. Dia pendekar berhujahkan perkara dan akta.

Begitu anggan mereka yang selalu menjadi pemerhati gelanggang bersilat itu.
Memang dia diberi kuasa menggelanggang bersama anak buah pesilat yang tak tamat bertauliah. Mereka selalu buka langkah mengikut rentak gendang sumbang yang ditabuh oleh budak-budak yang hingus meleleh. Adalah lebih kurang seratus tetapi selalunya tidak hadir semua kalau tiba waktu silat.

Gelanggang itu kepunyaan seorang guru yang tidak memiliki ijazah ‘maha’. Manakala tapak itu dikawal oleh seorang penyangak kawasan luar yang bernama Yahud Ocpa, selaku penasihat.

“Pendekar!” begitu disebut apabila mula berada dalam gelanggang.

Dia pun memuncungkan mulutnya. Perasan gila meroyan naik ke kepala. Megah separuh dunia. Maka dengan pongah, selendang yang diselempang di bahu itu dipegang-pegang.
Tapi jadahnya sejak akhir-akhir ini dia semakin gila sasau. Dia terasa pendekarnya tidak mampu menepis apabila beberapa orang lain yang bukan ahli masuk gelanggang.

Mengikut peraturan memang dia kena terima kemasukan mereka ke gelanggang itu. Mereka bukan calang-calang pendekar. Mereka terpilih menjadi pesilat. Tepis terajang mereka memang sakan terutama Pak KS, Kiyai An, Tetuan S dan Anak Muda Julung Berkeris.
Sepenggal dia menjadi pendekar tak diberi pun keris. “ Kamu tidak layak diberi keris,” kata Yahud Ocpa, penasihat gelanggang.

“Kenapa Tuan?”

“Engkau emosional. Muncung mulut kau pun sudah tahu, kau orang emosinal. Dibimbangi ketika bertepis terajang, kau guna keris. Mampus semua!”

Maka selepas itu Pendekar menjadi pendekar tak berkeris. Dia asyik main tepis-tepis sahaja walaupun kadang-kadang dia menepis angin dan sesekali menepis air liurnya sendiri. Dia tidak mahu pendekar yang masuk ke gelanggang yang bukan dari kalangan ahli Yahud Ocpa bertikam-tikam ke tepi ke tengah begitu saja. Dia mesti menghalangnya dengan tepis terajang. Jika tak terdaya, dia akan guna peraturan dan akta. Pedulikan tuduhan berat sebelah.

Memang pun dia tahu dia berat sebelah. Memang dalam gelanggang yang diperhati oleh Sang Guru dan Yahud Ocpa kena berat sebelah. Kadfang-kadang sampai berat dua bela. Dunia mencemuhnya dan memang Pendekar tahu orang mencemuhnya, meluat kepadanya. Tapi dia ada alasan. Kalau puak Penghakim Penghakam mengadili pesilat dan pendekar boleh menggunakan ‘tak relevan, tak relevan’ sebagai pemati hujah, maka dia juga mampu menggunakan hujah lain yang menasabah. Dia akan pakai ‘menurut akta- mengikut peraturan.’

Satu hari berlakulah pertikaman dan tepis menepis. Silat harimau Putih dan Gayung pun berlaku.

“ Anda tidak boleh berguling?” demikian dia menempik Pak KS yang berjanggut bermisai itu. Puncanya kerana Pak KS menggunakan silat Harimau Putih untuk membantah kependekarannya.

“Kenapa?”

“Menurut peraturan gelanggang, anda tidak boleh guna guling anak harimau. Itu silat Harimau Putih, di sini tidak.”

Maka hari itu gelanggang pun riuh dengan sorak dan tepis menepis, elak mengelak, tendang menendang. Pendekar yang sememangnya kurang pendekar cukup tidak termampu hendak mengelak serangan dari empat pendekar itu. Dia mula lelah tetapi sangat malu hendak memberitahu dia lelah. Masakan seorang pendekar boleh semput dalam gelanggang.
“Pendekar, menurut peraturan, kami boleh Balik Kuang, kami boleh Cekak Musang, kami boleh Kunci Kalimah Mim dan kami boleh Guling Tenggiling! Ini buah-buah Silat Harimau!” kata Anak Muda Julung Berkeris sebagai membela kawannya.

“Tapi anda melanggar peraturan. Banyak perkara kamu dedah tentang persilatan dalam gelanggang ini yang tak sepatutnya kamu dedah. Ini rahsia. Malu kalau orang tahu!” kata Pendekar lagi dengan penuh emosi.

Maka berlakulah tepis menepis yang anih antara Pendekar tak berkeris dengan pendekar yang bukan dari kalangan anak buahnya. Dia melompat dengan kependekaran lelah, terangguk-angguk penat. Dia mengompol segala akta dan peraturan untuk ditepis ketika yang berempat itu menerajang atau penyepak.

Pemerhati di tepi gelanggang melihat penuh jijik. Tidak ada seni persilatan langsung dalam gelanggang itu. Pendekar yang kononnya pendekar tidak lngsung mengguna pendekatan mahabbah. Dia sering mengeluarkan peraturan dan akta.

“Hahhhh!” dia menempek dan menyebek-nyebek kerana penat.

“Heeeeeh!” pendekar berempat yang tidak pernah mendapat keadilan bergelanggang itu menjawab balik.

Maka atas kuasa sebagai pendekar dalam gelanggang yang mulia itu, berlakulah satu perlawanan tradisi yang tidak mempunyai seni langsung. Pendekar melibas Gunting, Pak KS mengeluar Buah Penggerun.Kiyai An melibas Amuk Harimau, Pendekar membuat Gerak 7 Penjuru.

Melompat pula Tetuan S, Pendekar mengeluar Telunjuk Tahaiyat. Di serang dengan Buah Sayap Kuku Harimau. Pendekar mengeluar Buah Kunci kalimah Dal, Kiyai An mengeluar Buah Kunci Kalimah Muhamad. Pendekar tercungap-cungap lelah, terkentut dan cirit.

“Nanti!” katanya. “Mengikut peraturan, anda tidak boleh terajang sepak dengan
kalimah yang mulia!” katanya.

“Saya boleh hambat anda keluar gelanggang!”

Maka berhuhu, berhua-hualah bunyi sindiran dari pmemerhati.

Ketika dalam bilik rehat Pendekar didatangi Penasihat Gelanggang lalu memberitahunya yang sepanjang persilatan tadi Sang Guru dan Yahud Ocpa melihat melalui CNN. Katanya tepisan dan terajang Pendekar tidak berkesan. Satu kaedah lain mesti dilakukan sesuai dengan pendekar gelanggang. Yang penting empat pendekar yang bukan ahli sendiri perlu disingkir dari gelanggang. Pendekarlah yang perlu mencari kaedah. Yang paling elok hanya dengan peraturan dan akta.

Pendekar pun angguk-angguk. Soal peraturan dan akta memang sudah ada dalam kepalanya. Dia akan menggunakan nanti.

Maka ketika sessi petang bermula, anak buah Pendekar seramai seratus orang lebih yang asyik menguap dan mengantuk itu tiba-tiba memanggung kepala sebaik saja Kiyai An mula bersilat.

“Tuan Pendekar, ini buah serangan maut gayung bersambut!” kata Kiyai An lalu dia pun melompat menerajang. Dilakukan patah dayung nasi hangit, patah dayung kuda gila, lambung kuda gila, humban ketam kawah pecah dan selak duyung.

“ Heee, apa ni Kiyai An. Peraturan, peraturan, perkara 7, ” dia hairan. Matanya terkelip-kelip macam mata katak malam.

“Apa ni?” sembung Anak Muda Julung Berkeris. Lalu dia pun melompat dengan jinjit kuali pangku mayat, kebas selak duyung, patah alu selak duyung, sambar helang pecah kawah, kuda gila pecah tebu.

“Heee, mengikut peraturan, lagang anda mencemar alam. Mengikut akta anda tak boleh teruskan!” kata Pendekar sambil menggaru-garu lurah juburnya.

“Hoi!” tiba-tiba Tetuan S menyinga. “Aparaaaa! Ini pendekar gila. Sikit-sikit peraturan,sikit-sikit peraturan,” katanya dan kemudian dia pula membuka lagang langkah kilas dayung perahu karam, patah alu tembi siku, kawah sepit patah tebu dan pulas patah tebu.

“Stop! Berkali-kali saya kata, ini peraturan. Kalau anda tidak patuh, sekarang juga saya boleh hambat dari gelanggang ini!”

“Peraturan apa?” tanya Anak Muda Julung Berkeris.

“Peraturanlah!”

Maka melompatlah sekali lagi Pak KS kerana dia seorang yang arif tentang sepak terajang dan peraturan. Lalu dia pun mendepa tangan, memberi hormat dan memulakan Buah Tapak Kunci Mati:

Dia mengilas sawa berendam.
Pendekar terlopong mulut.
Dia mengilas payung sangga maut.
Pendekar terkelip-kelip hairan.

Dia mengacip emas, patah dayung cekak bunting. Mengacip selak emas, pasung Cina, tali gantung.

Pendekar hendak tergincit cirit. Semalam memang makan asam jawa.
Pak KS membuka langkah lagi lalu dikilas dayung tali gantung, selak emas, kilas tali, tolak lintang, patah layar perahu karam.

“Heee pendekar KS. Peraturan 001, anda kena berhenti!” Pendekar memberi peringatan.
Pak KS seperti tidak dengar. Dia dengan meradang membuat patah sangga, kilas biawak, pasak mati, kilas buaya berendam. Kemudian Kiyai An melompat dan mendepa-depa dan memulakan langkah lain: Dilakukan pecah genting, pecah bata dan dengan mendengus dia pecah buluh. Dengan geram dia kopak pecah kelapa, lompat atas kaca.

Pendekar terjegil. Dia sungguh tidak mampu hendak menepis atau menerajang. Rasanya kependekarannya terlalu jauh tersentot.

Apabila Kiyai An hendak mengopak cekau batang pisang dan tumbuk kertas, Pendekar yang sememangnya berkuasa dalam gelanggang itu mehentak-hentak tumit kakinya ke tanah. Dengan penuh emosi dia berkata: “Ini gelanggang mulia. Tidak ada orang yang boleh lebih dari peraturan. Saya sendiri ikut peraturan. Nampaknya anda berempat sudah melampau langgar peraturan. Mengikut peraturan 002 + 006 berpaksi emosional, kamu berempat diperentah keluar dari helanggang ini.” Katanya sambil me nyeh-nyeh hingus.

“Heee Pendekar!” Pak KS cuba menghalang.

“Enam bulan!” katanya dan kemudian melangkah keluar dari gelanggang sambil mengampu-ngampu seluar dan labuh jubahnya. Tak siapa yang tahu dia sebenarnya sudah cirit birit.

Dalam keadaan anak buahnya terpinga-pinga, Pendekar tergesa-gesa mengatur langkah. Apabila sudah melepasi pintu tandas, dia tersenyum. Dia rasa dialah yang paling bodoh dikalangan orang yang pandai dan dialah yang cukup pandai dikalangan orang yang bodoh. Tapi satu saja yang tidak dapat dilindunginya, dialah pendekar yang paling emosional ketiga berada dalam gelanggang.
“Puuttt!” dia terkentut.
‘Plummm! Kelecak!’ bunyi ketul tahinya jatuh.
“Haaaa...’ dia melepas lega.

11 comments:

  1. Cikli

    pendekar itu tidak amanah dan hina

  1. jab sp

    meroyan lah si pendekar bila khabar tiba rakan seperguruan pulang mengelek primadona artisan.bah sekampung penangan si pengeran.dendam dihati jangan ternampak,nak diterajang kawan ,muslihat lama rahsia terpendam mungkin terkopak.biarpun nak terkincit mesti dicari,siapa perlu diterajang disepak.

    pak singh naik basikal
    tok syeikh bersama loyar
    abang sidaraaaaaa menendang adiknya
    biar dicari sampai mental
    rahsia intipati nukilan tok ya
    pendekar terkincit tak lagi mulia

  1. Anonymous

    hang ni dah tiga suku peringkat ke 18.....buah angin keluaq kot belakang...pandai menulis otak ciput

  1. Anonymous

    anon 9:53
    kalau tak paham bahasa,shohhh pergi jauh.jangan main kat sini.
    ketuanan Melayu tapi tak paham bahasa Melayu.Ini mesti siketol nak menyamar Melayu

  1. naimisa

    kasihan pendekar itu.

    saya menangkap makna lambang dan simbol yang dimasuk dalam cerpen ini. Satira yang menarik. 5*.

  1. ulasbuku

    Kepada Tukya, mungkin Tuk kena limitkan pengguna dan halang pengkomen anonymous. Hanya pengguna yang punya akaun blogspot/OpenID sahaja boleh masuk. Barulah aman.

    Dengan itu kalau nak komen berang-berang tak tentu pasal pun, kita kenal tuannya.

    Sekadar memberi cadangan.

  1. Cikgu Man kulim

    Sang pendekar perlu berperanan sebagai pendekar

  1. Anonymous

    MXYPLTK

    Terima kasih banyak. Insyaallah. Ini tanggung jawab pengelola blog saya. Saya tak mampu.
    azizi

  1. izuan isa

    nak tanya... kenapa meletakkan silat harimau putih dan silat gayung sekali dalam neh... cian kpd yg belajar silat2 neh... maaf ya.. sya baru belajar

  1. lnwslot789

    ดูหนังออนไลน์ หนังออนไลน์ที่คมชัดเต็มระบบ ทั้ง 4K HD สนุกง่ายๆ กับ Ant-Man and the Wasp แอนท์-แมน และ เดอะ วอสพ์ (2018) Final

  1. MOVIE2FREEZA

    This Jackie Chan was really extraordinary. Although old age But he is still a good actor

    ดูหนังออนไลน์