Tubuh Tanpa Aura

Posted by Tukya Labels:


TUBUH TANPA AURA
-azizi hj abdullah
( Tersiar dalam Dewan Sastera Februari 2011)


Surinam kukenal ketika aku berpeluang ke Negara Surinam 10 tahun yang lalu dalam siri lawatan bersama sasterawan dan budayawan mencari Melayu di seluruh pelusuk dunia. Aku temuinya di Universiti Surinam dalam majlis suaikenal bersama penuntut di universiti itu.

Lima hari aku bersama rombongan mencari Melayu dan hari terakhir itu dia menangis dan hampir memeluk aku kerana dia terpaksa berpisah tapi kerana lima hari itu kami terlalu rodong dan suntung.

Surinam berusia 35 tahun, lahir di Changloon Kedah hasil perkongsian Mohd. Kabil dengan seorang pensyarah Sains Sosial bernama Sarini-Sarini warga negara Surinam di UUM. Hasil perkahwinan itu lahirlah Surinam, Mobudu Surinam. Sehabis kontrak ibunya pulang ke Surinam. Bapanya ikut bersama. Dia dalam usia belum setahun, belum pandai menyebut nasi-ubi atau babi di bawa ibu bapanya ke sana. Ketika usianya dua tahun ibu bapanya meninggal akibat kemalangan jalan saya.

Dia boleh berbahasa Melayu secara melompat-lompat. Sebutannya putus-putus. Berbadan tinggi, berbibir tebal bergigi rata. Rambutnya dijalin si Kelembai, berkulit kehitaman seperti doktor-doktor berbangsa Cylon. Tubuh yang tegap dan sasa, cergas, aku pasti jika dia ke Malaysia akan digilai oleh ramai pemuda Melayu. Ramai anak muda Melayu gila perempuan kulit hitam, berbibir tebal dan berhidung kembang dengan mata terbelelang.

“Kita pasti berjumpa lagi,” katanya sambil menyeka air mata ketika aku menunggu kawan-kawan lain menaiki bas universitinya untuk ke airport.
“Bila agaknya?” aku mengusik.
“Ketika aku jadi Melayu Malaysia,” katanya dengan tegas meyakinkan aku.
“Kenapa tidak Melayu Surinam? Bukankah di sini juga ada Melayu?”

Hahhh, apa ke jadahnya tiba-tiba Surinam beredar seperti hendak terberak dalam seluar. Punggungnya yang besar dan membincul, bergembat-gembat oleh kalut tauk langkahnya.

“Suri!” aku memanggil kuat.

Dua tiga orang kawan-kawanku ketawakan aku kerana menyangka aku gilakan seorang perempuan negara Surinam yang hitam legam. Mereka sangka gadis study sosial sains tahun tiga itu merajuk.

Bodohlah aku kalau aku menghambatnya sedangkan bas sudah mula menghidupkan injin. Masakan kerana merajuknya, sampai aku tidak balik ke Malaysia. Anak biniku mahu dilempar ke mana?

Dalam bas yang membawa kami seramai 17 orang, aku tetap terbayang wajah Surinam. Dalam kehodohannya ada manis di wajahnya jika dia merajuk. Aku tidak tahu apakah merajuk begitu menunjukkan ciri-ciri wanita Melayu?






Sejak kami bertemu dia tidak mahu berenggang denganku. Aku sangat nampak dia memiliki fasa kegelisahan yang teruk. Dia pasti merasa dirinya Melayu dan aku kerap menjadi bingung kerana dia sering menghujani soalan yang aku tidak dapat menjawab.

Bagiku bukan saja sangat sukar menjadi Melayu tetapi mahu tinggal di negara Malaysia juga satu masalah yang rumit. Ia memerlukan beberapa hal yang mesti memenuhi status kerakyatan, PR atau rakyat tumpang.

“Jangan fikir itu,” kata Surinam tiga malam yang lalu, sepuluh tahun yang lalu ketika aku bersamanya di satu warong tepi sungai. Dahinya berkilat kehitaman apabila cahaya lampu menyinar kuat.

“Habis?”Surinam semacam mampu menghuraikan semua masalah, kecuali satu. Lalu dalam keserabutan berfikir itu dia mencelah; “Aku ingin menjadi Melayu, seperti anda, seperti kawan-kawan anda, seperti bangsa anda. Bukankah ayahku juga Melayu?”

Memang benar. Permintaannya ini tidak boleh ditolak. Minta masuk Melayu bagiku samalah dengan minta masuk Islam. Ini bukan masalah bersunat, tapi masalah identiti dan roh keMelayuan, begitu fikirku.

“Suri, sulit bagiku untuk menjawab,” aku bertegas. Pada hal aku tahu Surinam ini sudah tidak ada sifat Melayu lagi. Ia sudah tengkarap. Barangkali adat Melayu pun sudah tidak dikenalinya.

Dia menyedut rokok Camel panjang-panjang dan meluahkan asapnya. “Jadi, siapa yang boleh menjawab? Ismail Hussain? Dr. Mahathir atau waris Hang Tuah?” tanyanya dengan menyebut nama yang aku tidak sangka sama sekali.

Aku menggagu. Aku tidak mau mengaitkan dengan nama-nama tersebut. Mungkin ia seorang perisik. Akhirnya malam itu, sepuluh tahun yang lalu aku tinggalkan persoalan itu kerana tidak mampu memberi jawapan.

“Dahlah...takkan si hitam legam itu pun angau sakan,” tiba-tiba Penyair Samsudin Osman mengejutkan lamunanku.

Aku terkejut beruk.

Sepuluh tahun yang lalu masih lagi segar dalam ingatanku dan apabila aku temuinya dalam Facebooknya menyatakan dia berada di Malaysia dan ingin bertemu denganku, sekali lagi aku terkejut beruk.

Memang sepuluh tahun yang lalu, Surinam berusia 35 tahun. Tapi kini tentu bersama dua atau tiga anak dan suami untuk menemuiku. Hah, aku tidak dapat membayangkan kekusamannya untuk menjadi Melayu. Mungkin telinga Surinam labuh kerana digayut subang tembaga. Mungkin lubang hidungnya semakin luas memengap-mengap. Dan yang paling aku terkesan dalam ingatan ialah bagaimana punggungnya yang menonggek, melentik keding yang jika diletak setimba air pun tidak jatuh.

“Tidak, aku belum kahwin tapi bukan pula aku menunggu engkau untuk menikah,” beritahunya sambil ketawa ketika aku menyambutnya di Lapang Terbang Sultan Abd. Halim Alor Setar. Mulutnya yang luas, giginya masih berbaris putih, sumpah, nafsuku tidak akan bangkit walaupun tidur setilam denganku.

Aku menyewa sebuah homestay murah untuknya di Arau Perlis.

“Aku ke sini semata-mata mau jadi Melayu. Engkau boleh tolong usahakan?” katanya ketika kami sama-sama makan ikan bakar di gerai tepi pantai Kuala Perlis. Bahasa Melayunya agak lancar.

Sama sukarnya hendak menjawab seperti sepuluh tahun yang lalu dan kali ini mungkin Surinam sudah bersedia. Tapi apa yang harus aku lakukan. Masuk Melayu tidak seperti memeluk Islam. Aku tidak tahu mengapa Surinam beria-ria sangat hendak jadi Melayu, sedangkan bapanya Melayu. Dari segi keturunan ia sudah jadi Melayu. Cuma kad identitinya saja yang mencatat Nasional Surinam.

“Jangan fikir tentang Kedutaan Surinam atau Kementerian Dalam Negeri atau Imigresen. Yang penting Melayukan aku dan jati dirikan aku!”

Aku semakin bingung. Tidak sampai akalku ke situ.

Oleh kerana sulitnya mendapat jawapan, Surinam Malacindia menjadi bingung berpanjangan kerana dia ditunjal-tunjal dengan pertanyaan siapa Melayu? Sememangnya pun soalan itu yang perlu dijawab sekiranya dia benar-benar mahu jadi Melayu walaupun dia keturunan Melayu. Mungkin bapanya yang sudah meninggal itu tidak sempat menceritakan siapa Melayu dan keturunan Melayu itu apa.

Aku biarkan Surinam memasang angan-angan sendiri. Aku tidak mampu memberi jawapan.
“Tidak mengapa, beri aku sedikit masa,” katanya seolah-olah ‘sedikit masa’ itu dia akan khatam bacaan sebuah kitab Melayu.

Kemudian Surinam sering bersendirian mengunjungi muzium yang rasanya semua manusia di bumi ini mampu menjawab pertanyaan itu. Muzium itu muzium lama yang tidak pernah berkarat. Ia tidak berpengarah dan berkakitangan. Ia memiliki skrip sejarah dan bukan artifak dari atap pahatan seperti batu bersurat. Ia diperbaharui oleh catatan dan peristiwa setiap masa. Muzium itu membuka pintu bagi sesiapa saja memasukinya.

“Saya sudah menemui jawapan soalan itu,” tulisnya di dalam Facebook.
“Di mana?” aku hairan kerana dia telah menemuinya.
“Sejarah! Sejarahlah yang akan memberi jawapan!” tulisnya lagi.

Haram tidak pernah terfikir olehku bahawa muzium yang bernama sejarah adalah bank maklumat yang sangat tepat dapat memberi jawapan tentang siapa Melayu. Sayang aku sendiri tidak pernah menjenguk muzium sejarah itu sedangkan bangsa manusia yang memiliki jatidiri dan identiti sering menelaahnya.

Surinam seperti pelajar universiti yang mahu menyiapkan tesis PhDnya. Dia menuju ke mana-mana daerah muzium sejarah mencari jawapannya. Dia menyusuri semua tapak ekologi, bangsal ekosistem, memasuki pondok biologi dan artifak-artifak. Akhirnya ia sampai ke pintu terakhir muzium sejarah lalu diketuknya.

“Hai, hallo! Hallo!” dia mengetuk dan memanggil seseorang di luar adat resam Melayu itu sendiri.

Tidak ada sesiapa pun menjawab. Panggilan hallo bukanlah wajib menjawabnya barangkali. Muzium sejarah itu kosong, lengang dalam keadaan lapang. Tiba-tiba Surinam terpisat-pisat. Dia tidak tahu lorong dan arah mana hendak keluar. Muzium sejarah itu ternyata sangat banyak pintu. Tak terfikir berapa usia muzium sejarah itu sedangkan dia berusia 45 tahun sudah terasa cukup lama.

Surinam memang terpisat-pisat dalam debu dan sesawang muzium sejarah itu bagaikan ditolak oleh serombongan bangsa yang berhadapan dengan paradigma zaman yang kian terkopak batas-batas kedaulatan ekonomi, politik, sosial, budaya yang selama ini dibenteng oleh tenaga tradisional. Ia dari gejala yang melanda papan tanda apa yang dikatakan Eropah dan Barat.

Surinam menelaahnya dengan tekun. Bangsa Amerika yang hebat kerana kuasa. Dia mampu membunuh manusia di negara lain dengan keputusan senet. Ada bangsa yang sangat gah dan hebat kerana keberanian telanjang di sepanjang pantai. Ditelaahnya lagi; ada bangsa yang hebat kerana uranium. Ada bangsa yang sudah maju sampai tidak perlu lagi keluar dari kamar tidur ketika dunia kabel dan satelit boleh membawa seseorang melintasi jarak waktu sepantas cahaya.

Dalam sesat tanpa ketahui pintu mana yang dimasuki dan pintu mana pula hendak keluar, Surinam terus menerus mencari Melayu dalam muzium sejarah itu.

“Saya mula temui Melayu,” tulisnya melalui Facebooknya kepadaku dan dia minta aku bertemu dengannya kerana ada perkara yang hendak dibincangkan.

Dalam pertemuan di Restoran Old Town sambil makan-makan Beefsteak, Surinam berkata kepadaku; “Engkau tidak harus berbangga dengan penemuan aku ini. Engkau tidak ada dalam fasa ini,” katanya.

Haram jadah punya Melayu negara Surinam ini. Kenyataannya yang jujur ini aku tidak boleh terima. Kalau dia tidak ada imuniti pelancongan, mahu aku tendang biar terperosok ke bawah meja.

“Saya temui Melayu di zaman Tom Pires 1512-1515 yang pencemburu. Kemudian Duarte Barbossa menyatakan bangsa Melayu tinggal di rumah besar, banyak kebun, kolam air. Banyak pelayan dan isteri. Tampil dalam semua pekerjaan, terlatih dalam kadar kebencian, gagah berani.”

Aku biarkan Surinam bercakap seorang seperti aku melihat seekor kucing sedang menokak tulang kepala ikan yang dilemparkan oleh sekeluarga di meja depanku.

“Tapi saya hairan pula, mengapa Raffles berkata....”
Aku terbatuk berkali-kali sampai menyebabkan Surninam terhenti.
“Teruskan.”

Dengan membuntang mata dan bibir tebal, ekor kain skaf di atas kepalanya ditiup angin, Surinam menyambung: “Riffles kata Melayu relatif primitif. Punya gagasan sederhana. Kerana tidak ada sistem undang-undang yang ditetapkan, punca utama Melayu merosot dalam perwatakan.”

Aku membeliak mata kepada Surinam tapi tidak dapat mengalah buntangnya kepadaku. Aku dapati Surinam semakin hampir untuk menjadi Melayu apabila dia amat berkenan tentang sifat sabar, lemah lembut, penyayang, menghormati sesama insan, iklas, jujur, amanah yang walaupun menurut kata Riffles semua itu kerana pengaruh Islam.

Surinam nampak lebih terbuka lagi dan ia seperti mahu esok hari mengisytiharkan dirinya sebagai Melayu di Malaysia. Dia beria-ria mengatakan perubahan yang ketara orang Melayu hanya apabila orang Inggeris datang seperti kata Clifford dan Swettenham.

“Tengok, orang Melayu berkulit sawo matang. Gempal, tidak macam saya, jujur dan menyenangkan, sering tersenyum Hampir semua lelaki berani, tidak ada sikap hamba. Hahhh!”

Aku bagaikan hendak memeluk Surinam kerana pujiannya yang tinggi. Aku kira di antara tafsirannya itu tentu sekali termasuk aku. Mahu aku akan menyuruhnya bersenam dan berdiet supaya badannya sedikit kurus. Aku mahu menikah dengannya.

"Tapi...” tiba-tiba Surinam mengerut wajahnya. Sangat jelik apabila kulit wajahnya dikendurkan sehingga menampakan garis-garis kedut. “Saudara kenal Ubadu Salam?” tanyanya.

Masakan aku kenal Ubadu Salam, penuntut tahun akhir Islamik Study di UIA. Ubadu Salam juga rakyat negara Surinam, sudah empat tahun di Malaysia. Dia selalu bertemu aku kalau ada forum berhaluan kiri di UIA.

Surinam Malacindia mengeluarkan sekeping kertas dan menunjuk padaku. Aku hampir hendak ketawa apabila yang tertulis itu sebuah puisi Sasterawan Negara Dato” Usman Awang berjudul ‘Melayu’. Dibacanya:

“Malangnya Melayu itu kuat bersorak. Terlalu ghairah pesta temasya, sedangkan kampung telah tergadai, sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual. Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba. “Apa maknanya ini?” tanyanya.

Belum sempat aku menjawab, Surinam memetik ibu jarinya minta pelayan gerai ikan bakar datang untuk membayar harga makanan. Aku menegah agar aku sahaja yang membayar tapi Surinam berkeras. Kali ini biar dia sahaja yang bayar, katanya tetapi nada itu penuh kekecewaan.

“Kenapa boleh jadi begini?” tanyanya dengan sedikit sebak. Raut wajah ala kenegroan tidak pun menampak sedih.

Aku tidak mampu menjawab.

“Memang benar saya masuk ke muzium sejarah. Tapi belum habis zamannya, saya sesat, menjadi kabur. Pahlawan Melayu dalam sejarah mula bertukar menjadi lanun, perompak,” kata Surinam. Dia berdiri di tepi tembok mengadap laut. Dibiarkan angin Kuala Perlis menyapanya dan aku mendekatinya bagaikan seorang kekasih hendak memujuk.

“Apa yang terjadi kepada bangsa sendiri. Sejarah masakan berbohong,” Surinam bagaikan seorang pensyarah tapi tetap memandang laut.

Aku yang sangat buta sejarah merasa tidak ada apa-apa seperti yang dicakapnya. Sepasang muda mudi yang berpegangan tangan melintas di depan kami. Mereka agak hairan melihat aku boleh berada di sisi Surinam yang hitam legam, yang tembun gedebok macam guni beras.

“Sejarah mula menukar kehebatan Melayu. Sesama orang kuat berkelahi. Yang kaya semakin haloba. Orang berilmu saling cemburu. Rakyat menjadi terhincit. Penguasa memelihara kroni dan berlumba-lumba menutup duit rakyat yang dikorup. Pemimpin dari berbagai parti tak tahu harga diri,” Surinam seakan melempar bait puisinya ke lumpur pantai yang airnya surut memanjang.

“Inikah kehebatan Melayu. Siapakah mahu membayar harga proses ini? Jawapannya tidak ada. Semakin lama aku dalam muzium sejarah, membaca dokumen dan artifak, monumen dan teks budaya, puisi klasik dan hikayat, aku melihat semakin jauh bangsa melayu tertinggal. Maka apakah...”

“Patut Suri menjadi Melayu, gitu?” aku cepat mencelah.
“Ubadu Salam di mana?” tanyanya.
“Dia di kampus. Dia pernah SMS padaku bertanya, jadikah engkau masuk Melayu?”
“Dia pun bercadangkah?”
“Apanya?”
“Menjadi Melayu.”
“Aku rasa tidak ada dalam kamus hidupnya, malah dia sangat fanatik dengan bangsanya. Pertanyaannya tentang engkau, macam mencurigai.”

Di dalam kereta Surinam menangis terisak-isak. Aku tahu sebabnya. Azamnya yang sangat kuat hendak menjadi Melayu telah diguris oleh cacatan yang tersimpan dalam muzium sejarah. Sungguh tidak disangkanya perwatakan Melayu yang diimpikan akan menjadi salah seorang hero di abad ini telah dimusnahkan oleh penyimpangan watak orang Melayu sendiri di abad 20, hanya kerana kurang wawasan tentang ilmu kemasyarakatan, penalaran bebas dan lupa kepada sejarah Melayu sendiri.

“Barangkali Suri percaya bangsaku mirip orang Negro Amerika?” aku bertanya. Kalaulah ia berkata ya, akan kubrek kereta dan akan kuterajang Surinam ini.

Memang aku bodoh dengan sejarah. Tapi Ubadu Salam, lelaki berusia 40an yang sesekali menampakkan anginnya cenderung kepada Surinam selalu memberitahu padaku, Surinam mungkin seorang pengintip dalam kerangka menjatuhkan bangsa Melayu dari martabat dunia. Ubadu Salam memberitahu kepadaku, ketika Surinam hendak datang ke Malaysia menemui aku, dia bertanya apa yang utama dia mengetahui?

Dan kemudiannya apabila Ubadu Salam mengetahui Surinam datang hendak menemui aku, dia mencemuh Surinam walaupun rakan senegaranya seperti dia mengharap sesuatu dari Surinam.

“Zek, bapaku orang Melayu. Aku berbaka Melayu dan kemudian aku hilang aura Melayu. Akulah tubuh tanpa aura. Tapi masakan aku mahu menghina bangsaku sendiri. Apa yang aku lakukan, aku mahukan auranya jika tidak pun identiti atau jatidiri,” dan entah rasukan apa, di luar dugaanku sama sekali, Surinam yang aku jijik dengan bentuk tubuh dan memek muka berbibir tebal ini meletak pipinya ke bahuku. Manja dan ia menangis.

“Kenapa?”
“Aku mula sedar, tidak ada pintu masuk menjadi Melayu. Kerja aku sia-sia,” katanya.

“Tidak. Bukan sia-sia. Ini bukan mustahil. Engkau sudah pun Islam. Perlembagaan negara kami Islam dan Melayu adalah bangsa Melayu,” aku meyakinkan Surinam sedangkan sebelum ini aku tidak ambil peduli. Aku lajukan kereta sedikit kerana malam sudah larut. Tidak baik kalau jiran sebelah homsteynya melihat aku menghantar Surinam seorang diri.

Aku memberi keyakinan secara logik. Jika bapanya sendiri orang Melayu tulin dan dia sendiri lahir di Changlon, tidak ada sebab dia tidak boleh dinamakan bangsa Melayu. Bangsa Melayu berasal dari keturunan, bukan permintaan.

“Zek...” Surinam memeluk aku sehingga pegangan stereng aku tidak terkawal.
“Saya boleh sediakan surat-surat dan dokumen.”
“Insyaallah.”

Kira-kira jam 1.20 minit malam kami sampai di homestay dan Surinam memberi ucap selamat malam yang sangat istimewa kepadaku. Dalam perjalanan pulang aku terfikir juga bagaimana mau menghapus bau minyak wangi buatan Surinam. Wanginya tidak ada pada minyak wangi di Malaysia. Isteriku tentu mensyaki sesuatu.

Biarlah malam ini tubuhku tanpa aura.

Pagi, selepas subuh aku dikejutkan dengan berita di Warta Berita TVI. Seorang pelancung perempuan warga negara Surinam didapati mati tergantung di bilik air.

Ya Allah...

Sehabis Warta Berita, HPku berbunyi. Nama pemanggil Ubadu Salam. Suaranya sangat ceria dan seperti berpuas hati memberitahu Surinam didapati mati tergantung di homsteynya.

Innalillahi wa inna ilaihi raji`un.

------------------------------------
Bahan rujuk:
• Mitos Pribumi Melayu, DBP-Kementerian Pendidikan Malaysia 1991
• Menjadi Manusia Indonesia, Radhar Panca Dahana LKiS Yogyakarta,2001

23 comments:

  1. jab sp

    jangan di belasah macam depa belasah Interlok sudah lah.
    bukan semua tau membedakan antara realiti dengan fantasi,antara cerpin dengan catatan

  1. Anak mami

    Memang ada juga perangai merajuk bagi wanita melayu ini.Selain drp itu keras kepala pun ada juga dikalangan wanita melayu ni.Suroh tutop aurat pun tak mau.Termasuklah ieteri orang besak-besak dan pemimpin.

  1. barajiwa

    Sdr Azizi,

    Hang Tuah yang katanya Cina itu pun mungkin bunuh diri jika melihat Melayu yang ditemuinya hari ini. Kalau belum betul-betul putus asa, Hang Tuah akan masuk pondok, lalu pulang ke Kerala.

    Sebelum itu, dia singgah sekejap di Pasir Mas, bertemu menteenya...

    Tahniah kerana membuat pembaca ketawa. Syukurlah kerana ketawa belum lagi dikenakan tol.

  1. Anonymous

    Lo, ni cerita betul ke fantasi?

  1. Monalisa bekum

    Apa salahnya .hantar borang ajak wanita surinam ni jadi muslimat sebelum umno hantar terlebih dulu. he he he he....mungkin jadi kenyataan.

  1. Hang Kalut

    Barajiea: selepas singgah di Pasir Mas jumpa menteenya Hang Tuah akan terus ke Kota Baru berguru dgn tok guru di situ yg banyak fatwa politk.

  1. Haziman

    Dia jadi melayu kerana bapanya melayu.Ust tak cerita bagaimana keadaan penghayatan dan amalan agama Islamnya di sana.Ust tolong cerita sikit apa-apa perbandingan di Surinam dengan Tanah Melayu negara kita dari aspek yang menafaatkan saya yang tak ada peluang menjelajah dunia macam ust.Cerita lah sikit....menarik dan berguna kongsi pengalaman ust.

  1. non pekerja tol

    Barajiwa.Jgnlah anda menghina kami.Kerana tol lah kami ada kerja cari rezeki sara keluarga.Kadang-kadang ada juga rezeki hulur pada tabung ceramah PAS.

  1. Anonymous

    4:44
    rasa terhina kerana barajiwa libatkan tol waktu meluahkan perasaan hatinya.
    demi supaya 4:44 tak terhina harap barajiwa jangan gunakan lagi ungkapan itu.

    juga satu amaran,jangan juga guna ungkapan dibawah kerana mereka yang mau benda HARAM pasti akan merasa hina.

    ketawa lah kamu sebelum ketawa di HARAM kan....jangan jangan gunakan ayat ini,aku berasa terhina.nanti aku tak derma pada PAS lagi.

  1. Anonymous

    Takkan begitu lemah sekali jiwa Surinam, sampai nak bunuh diri.

    Kat situ dah nampak tak logik cerita ni. Beginikah wajah dan citra cerpen masa kini...?

  1. Siti Mardhiah

    Anon, reread again and again and again. Harap maklum Pak Azizi adalah penerima Asean SEA Write Award dan amat peka dengan tuntutan poetic justice. Baca lagi dan lagi dan lagi dan anda akan dapat melihat justifikasi kematian Surinam yang sangat tragik itu. Kalu baca ulang2 masih kata karya ini tidak logik, kira macam budak nak jadi doktor, nak jadi akauntan tapi tak lepas-lepas. i.e. IQ anda tak cukup tinggi untuk sastera. Balik rumah bikin kuih apam, kuih karipap. Kat Malaysia ini join francise Jambu 88 pun kita boleh hidup mewah juga yang penting usaha.

  1. Anonymous

    Sekurang kurang nya anon 10:52 dah baca.Level A, dia dah paham juga walaupun tak sepenuh nukilan ini.
    Jangan dibunuh minatnya hanya disebabkan persolannya.

    Kita jangan jadi macam beberapa pemimpin yang melayan sebahagian tuntutan puak pariah.Belum baca dan hanya setakat mendengar,sudah kecoh jadinya,dan hasilnya kita ketemui mereka yang mahu dipanggil pemimpin tetapi amat lemah jiwa Melayunya.
    jab sp

  1. Anonymous

    Sdra Anonymous 10:52

    Ternyata sdra tak berapa menangkap. Walaupun kreatif bukan 2x5=10 tetapi keputusan yang sdra katakan itu tidak menepati.
    Cuba baca betul-betul, apakah Surinam bunuh diri?
    Hanya satu yang saya harap; baca Surinam sebagai lambang Melayu. jadinya apa?
    Salam
    azizi abdullah

  1. krie

    Kalau kreatif 2x5=bukan mestinya 10. maka ianya golongan khayalan semata.Tidak berpijak dibumi nyata.

  1. barajiwa

    Ooops,

    Sdr "non pekerja tol",

    Rupa-rupanya ke situ pula perginya...

    'Tol' ialah perbandingan yang cuba menunjukkan bagaimana dan betapa tol itu membelit kehidupan kita; lebih-lebih lagi warga ibu kota. Ertinya 'tol' bukanlah bertujuan menghina.

    Tol itu macamnya jaringan sarang labah-labah. Undur kena, ke depan pun kena. Ya, 'tol' juga rezeki dan peluang pekerjaan untuk rakyat tapi juga jerat dan lukah untuk kaum kapitalis tulen.

    Walau apa pun, yang paling tak okay ialah membawa lari ketul-ketul emas negara, macam para First Lady di Timur Tengah.

    Apa kata para penyokong tegar Umno?

  1. Faisal&Wan

    kpd Anonymous 10:52

    kematian surinam tu ada maksud tersirat yang mahu disampaikan oleh pengarang. nama pun karya kreatif. pada saya, orang yang mahu jadi melayu sebenarnya membunuh dirinya sendiri. kerana melayu sekarang sudah tidak melayu tulen dan dikotori oleh bangsa melayu yang mencatat perihal bangsanya.

    faisal

  1. Anonymous

    hairan juga, org yang buat tesis php pun ramai yg bunuh diri. Mungkin inilah kreativiti yang mahu dinukilkan, supaya pembaca berfikir, namun terasa ia seperti kematian yang dirancang oleh penulis.

  1. Anonymous

    minta izin untuk jadikan cerpen ini antara koleksi saya...

  1. Faisal&Wan
    This comment has been removed by the author.
  1. Nur Faisal

    Anonymous, On 10:20 AM ,

    memang la setiap peristiwa yang dicipta oleh pengarang mempunyai maksud yang perlu difikirkan dan perlu ditafsir pada lapis kedua. saya bersetuju dengan anda. tapi, anda cakap seperti direka oleh pengarang kematian itu, memang la, dah cerita dia, ikut suka dia la. daripada penbacaan saya kebanyakan dan hampir semua, pada saya semua karya Ustaz Azizi ada peristiwa mengejut pada pengakhirannya. itu teknik beliau menulis. dan pastinya mempunyai maksud disebaliknya.
    salam.

  1. Anonymous

    ada kmungkinan ke abadu salam yg bunuh surinam...

  1. webspace

    We are Webspace Inc. organization working as the Best Digital Marketing Company in USA and we give many services to our client that is website designing, website development, Search Engine Optimization, E-commerce web Designing, Software Development, Google Adword and Mobile Application.
    Web Development company in Los Angeles
    web design New York
    web development New York
    online marketing New York
    ecommerce web development New York
    internet marketing New York
    SEO company New York
    seo company USA
    Web development company
    Web development company California
    Web development company Los angeles
    Professional Web Design Services USA
    Website Design Comapny
    Web Design Company
    webiste design services
    Web Development Company in USA
    Web Development Services in USA
    website development company in usa
    Ecommerce Website Development Company in USA
    Ecommerce Website Development Services
    custom ecommerce development
    Ecommerce Website Development Company In Usa
    CMS Web Design Services USACMS Website development company In Usa
    Digital Marketing compnay in Usa
    Online Marketing Services
    Digital Marketing Company Usa
    Seo Comapny In usa
    Professional Software Development Company USA
    software development company
    custom software development company
    custom software development In Usa
    App Development Services USA
    Mobile App development Company
    Mobile Application Development Services

  1. mhoodang


    เล่นเลยฟรีเครดิต สล็อต joker slot online แจกโบนัสมากมาย
    https://www.slot4u.com/joker123