4 Jumaat Dalam Penungguan

Posted by Tukya Labels:

4 JUMAAT DALAM PENUNGGUAN

1.
Tidur bangun, makan mandi, suntik, ujidarah dan entah apa-apa lagi, sedar tak sedar sudah empat kali Jumaat tidak solat Jumaat berjemaah di masjid. Katil B/N 3 (bukan Barisan Nasional) R/N 838715 wad CRW Hospital Pulau Pinang begitu sudi memerapkan saya selama sebulan hanya kerana menunggu satu tarikh pembedahan.

Terpaksa menelan pil tidak kurang 300 biji untuk berbagai fungsi. Kencing pun lebih dari 20 liter. Sesekali ingat bagus juga hikmah sakit jika di hospital, layanan serba baik ketika usia menancap enam puluh sembilan tahun sebelas hari, sementara menunggu pembedahan yang kononnya akan dikendali Dato Dr Hamzah.

Sungguh-sungguh amat terasa doa kawan-kawan melalui pengakuan lewat Facebook, e-mail, blog dan SMS. Kudusnya seperti angin malam membisik ke telinga memberitahu bagaimana mereka bermunajat memohon seorang hamba yang terlantar ini kembali sembuh seperti mereka. Saya sangat sedar bagaimana kawan-kawan, peminat mengharap saya dipanjangkan umur untuk terus menulis.

Tuhan, saya sangat sedar murninya harapan mereka.

Menunggu dada dibelah sangat menggerunkan. Tapi banyak rangsangan memberitahu itulah cara terbaik. “Lakukan. Aku dah mengalami,” kata seorang sahabat dari Terengganu, Rahman CM dan kemudian dia memberitahu dia baru selesai solat hajat untuk saya.

Tuhan, murninya hati sahabat.

Tapi saya tidak dapat membayangkan ngeri yang bagaimana, dan terbaik yang bagaimana? Kata Rahman CM,ketika dibius, satu kengerian mimpi dan igauan akan bermula.

2.
Subhanallah… Maha Suci Tuhan… apakah itu kebesaran Tuhan, Allahku? Sememangnya saya percaya ia adalah kebesaran Tuhan. Subhana... Subhanallah... dan ia bukan saja mimpi dan igauan ngeri malah bunyi degup jantung, mencerus air di pundi-pundi atau letup tulang dan selisih urat pun, mungkin ia adalah suara tasbih yang mengagungkan Tuhan.

Saya menghabiskan bacaan buku ‘Ketika Alam Bertasbih’ tulisan Dr. Musa Al Khathib yang saya beli di Jakarta tempuh hari sangat memberi kesan. Saya terkedu, terencat rasa, sebak dan merasa diri sangat jauh takbur terhadap Tuhan apabila selama ini terabai dan lagho dengan Tasbih.

Sungguh amat hebat makhluk yang dijadikan Allah ini bertasbih sedangkan saya tidak menyedari sekian lama. Hebatnya dan dahsyatnya apabila alam bertasbih. Ia bukan saja bunyi guntur, kilau kilat petir, debur ombak dan gegar runtuh gunung, tetapi juga suara katak dan kicau burung dengan bahasanya adalah tasbih yang membesarkan Allah.

Ya Allah, saya sangat jauh dengan kesedaran ini. Hud-hud dengan Nabi Sulaiman, Semut yang khusus disebut dalam surah Al Naml sehingga kepada hymenoptera, vespiodea, formicidae, lalu bondongan burung-burung mampu meneduhkan Sulaiman dengan kepak mereka.

Bukankah hebat kebesaran Allah? Bunyi kepak itu pun adalah Tasbih. Ya Allah, demikian aku tersentak betapa hebat dan besarnya Tasbih; Subhanallah...

Tuhanku...sesungguhlah aku terlalu jauh lupa mentasbih kebesaranmu!


Bersama Ust. Takiyudin Hamzah. Beliau juga sedang menunggu untuk dibedah.


Ustaz Takiyuddin Hamzah, Timbalan Pesuruh Jaya Pas Pulau Pinang yang terlantar bersama saya menyentak lagi kesedaran perasaan saya, menjadikan saya tersebak ketika membiacarakan kehebatan alam, pokok-pokok, batu-batu, rerumput, unggas, serangga yang tak henti-henti mentasbih kepada Pencipta. Mengapa manusia lupa?

3.
Selama berada di wad CRW 4 minggu ini, sempat juga melakar cacatan kasan yang mencerminkan perasaan seorang anak yang menyangka bapanya membencinya. Sangat berharap kekuatan menulis ini dapat diteruskan sekiranya panjang umur:

“ Ema! Panggil aku Ema walaupun ini bukan nama aku sebenar. Panggil aku Ema kerana panggilan aku inilah yang aku suka dan aku seringkali memperkenalkan diri kepada sesiapapun, yang aku bernama Ema. Ini bukan nama yang diberi oleh bapaku dan bukan juga nama di dalam daftar pendaftaran. Aku juga tahu ini bukan nama-nama Putri Nabi. Tidak mengapa. Maafkan aku, terutama kepada bapaku.

Aku ingin saja berterus terang, terutama kakakku yang berasingan ibu, Ema tidak tahu mengapa Ema merasa benci kepada bapa. Ema sedar lelaki ini memang bapa Ema tetapi Ema tidak tahu mengapa Ema merasa benci tak berpasal. Sepatutnya Ema seorang anak yang sudah mampu berfikir, Ema tidak boleh benci kepada bapa sendiri. Ini tidak, tiba-tiba Ema merasai benci. Apakah benci Ema ini dianggap sebagai anak derhaka? Ya Allah, aku tidak terdaya hendak menafikannya. Dia bapaku ya Allah. Dia ayahku, ya Allah. Dialah segala-galanya, ya Allah.

Ya Allah, air mataku yang sedang mengalir ini bukti aku sangat sayang padanya ya Allah.

Tidak, Ema bukan anak derhaka, begitu Ema akan beritahu bapa jika bapa menganggap Ema anak derhaka. Tapi hanya sekadar itulah, selebihnya Ema tidak tahu lagi hendak memberi alasan untuk dipercayai. Ema tidak mahu jadi anak derhaka. Dia bapaku. Dia maskulinku Tetapi mengapa Ema membencinya? Sesungguhnya Ema tidak tahu nilai kebencian Ema ini sama dengan kebencian Ema kepada orang lain, seperti Ema benci kepada seekur anjing yang berak di halaman rumah atau benci kepada lelaki yang menipu kaum sejenis Ema?

Tuhan..

Tidak. Kebencian ini tidak dibanding dengan kebencian kepada orang lain..

Aku membaca berkali-kali catatan di dalam dairiku. Ada semacam tidak puas hati sehingga aku terasa dua keningku terangkat. Kukebam-kebam bibir kerana terasa tidak puas hati. Rasa-rasa tulisanku ini seperti dipaksa tetapi sesekali kurasa itulah luahan hatiku yang sebenar walaupun aku tidak tahu mengapa dan kenapa. Aku menulis ketika seketul kebencian tertanggung di atas pundakku dan kemudian aku rasa menyayangi pula ketika aku berhenti menulis.

Memanglah aku bukan anak derhaka. Sumpah, aku tidak ada niat hendak derhaka! Cuma yang aku lakukan ialah penipuan dan pembohongan. Tapi mengapa aku merasa benci kepada bapaku sendiri aku tidak tahu. Aku tidak terdaya menolak ingatan rasa benciku kepada bapaku ini.

Dairi ini aku simpan sepenuh rahsia.

Memang pun tentang kebencian inilah yang tidak dapat aku jelaskan. Selama ini aku tidak pernah pun dilesing atau dijentik. Sekali pun tidak. Cuma sesekali kena marah dengan matanya terbeliak merah tetapi kemudiannya baik semula. Dia menunjukan manja semula.

Aku cukup merasa pelik, anih dan hairan tetapi itulah yang tidak dapat kulontarkan jauh-jauh walaupun ia bukan selalu. Bukan apa-apa hanya kerana setiap kali aku merasa benci kepada bapanya sendiri, setiap kali itulah pula aku merasa puas. Ada semacam satu kepuasan yang hanya dapat aku rasai ketika aku meluahkan benci.

Bukan tidak pernah timbul dalam fikiranku pertanyaan-pertanyaan yang perlu kujawab. Kenapa? Mengapa? Seusia 19 tahun rasanya sudah mampu aku menjawab soalan seperti itu.

‘Engkau bohong lagi?’ itulah yang ditempek oleh bapaku dan ketika itulah kebencianku meluap-luap.

‘Semua anak berbohong!’ aku seperti hendak menjawab semula.

Tapi aku tidak melakukannya. Aku masih sopan. Tapi aku menjadi kusut kalau itu yang diminta jawab. Mujurlah tidak ada siapa pun yang tahu yang aku membenci habis bapaku ini. Lagi pun tak ada siapa yang hendak ambil tahu. Kakakku jauh sekali. Emak yang tidak melahirkan aku pun tidak peduli. Adakah di dalam rumah ini ada bilik-bilik kebencian dan ada bilik kasih sayang? Apa yang aku rasa, masuk ke bilik belakang terasa kosong, masuk ke bilik tengah terasa kosong. Pergi ke dapur terasa kosong dan rumah bapaku ini tidak ada seorang manusia pun.

Duniaku ialah bilik, seperti gua kelam yang jarang diziarahi pelancung.

Sekarang aku berhadapan dengan satu fenomena baru. Dulu hanya sekadar rasa benci tapi kini kelibat bapanya pun sudah tidak mampu hendak kulihat. Walaupun tinggal serumah, aku sering menyelinap masuk ke bilikku jika bapaku di ruang tamu atau di atas kerusi sedang membaca. Ketika sedang menonton TV, aku akan cepat beredar jika bapaku tumpang menonton bersama. Makan semeja tidak pernah lagi.

Ada rasa bersalah tetapi aku rasa perasaan bersalah itu tidaklah sebesar mana. Aku tidak pernah menjerkah bapaku. Aku tidak pernah maki hamun bapaku, malah aku sering mencium tangan ketika hendak keluar rumah atau hendak ke mana-mana.

Satu tengahari ketika emak ke rumah jiran menziarahi sakit,aku dengan mata benci cuba mengintai bapaku makan seorang diri di meja dapur. Sesekali bapaku menguak-nguak tangannya, menggawang-gawang jarinya menghalau lalat. Kalau ada emak, emak selalu menampar dengan plastik. Ya Allah, tiba-tiba air mataku mengalir. Pedih pelupuk mataku. Itulah bapaku yang aku benci. Bapa terkunyah-kunyah memepak ulam petai. Matanya terkebil-kebil kerana pedas sambal. Cengkung tubuhnya. Aku memerhati sungguh-sungguh. Pada bapa ketika itu, dunia tidak ada manusia kecuali dia seorang.

Ketika inilah rasa kasihanku membuak-buak, mengalun-ngalun dan terus menggulung-gulung. Aku tetap mengintai. Dalam keadaan amukan dengan kebencian, aku segera mendapatkan bapa dan memaksa diriku duduk bersamanya. Sengaja aku isikan sedikit nasi ke dalam pingganku. Kubiarkan bapaku menceduk apa-apa dan kemudian aku pula menceduknya. Aku hanya tunduk malu kepada diriku sendiri.

Tiba-tiba bapaku meletak seketul ikan goreng ke dalam pingganku. Ya Allah, kasih sayang apakah ini? Apakah ini dalil kasih seorang bapa kepada anakny?

Aku tidak percaya tapi aku dapat merasai percikan kasih sayangnya.

Aku lihat bapa makan dengan senang hati. Tak tersekat dan tidak tersedak pun. Nampak gelambir kulit bawah dagunya seperti kulit bawah dagu unta tua. Sesekali dia pelawa lauk atau isi kari yang dijemputnya berlebihan. Aku cuba menolak menolak. Mana mungkin aku dapat menelan dari pemberian dari orang yang aku benci.

“Kenapa? Pedas?” tanya bapaku dalam keadaan menenyeh-nenyeh nasih di pinggan apabila melihat air mataku tergenang dan kelipan pelupuk mataku sangat cepat. Apa lagi bila melihat aku mengesat air mata. Bapa tentu menyangka aku pedas makan sambal belacan.

Aku mengeleng kepala walaupun air mata yang keluar ini bukan kerana pedas sangat.

“Kalau keluar air mata kerana makan cabai, tanda sedaplah tu,” bapa mengusik aku.

Aku mengeremot muka tapi yang terjadi aku tersengih.

Sekali lagi bapaku menyua juga-juga lauk dan aku mengalah. Dengan kelopak mata yang tergenang air, aku menunjukan gembira. Aku angguk-angguk.

“Kenapa menangis?” sekali lagi tanyanya apabila bapaku nampak kelopak mataku berair.

Aku tergamam. Firasat apakah bapaku ini dapat membaca perasaan seorang anaknya yang anaknya terlalu benci. Laduni apakah yang menyinar di bola matanya sehingga nampak jerit dan lara hati anaknya? Lalu aku cepat-cepat menyeka. “Nasi panas pak, kuah pedas,” kataku memberi alasan. Memang aku suka berbohong dalam keadaan hati benci sakan. Aku cepat-cepat menyudahkan makan. Kutinggal bapaku seorang.

Bapaku jahil dengan feel penipuan aku ini. Barangkali dia terlampau sayangkan aku. Dia percaya penuh sedangkan aku membencinya.

Akhirnya aku mencari kesimpulan, sampai bilakah aku mampu menyimpan kebencian kepada bapaku sendiri? Kebenciankah jika tidak tahu punca sebabnya? Aku ingin melarikan kebencian aku ini jauh-jauh. Aku tidak mahu dikatakan anak derhaka hanya sanya kerana aku membencinya. Dia bapaku. Ya Allah, dia bapaku. Dia bapaku. Aku anaknya.

‘Ya Allah...’ aku pun menangis dalam lemas gelisah yang kusorok.

“Aku menyayangi bapaku kerana dialah saja di dalam dunia ini bapaku. Tetapi dalam masa yang sama, aku membencinya sedang membencinya ini aku sendiri tidak tahu sebabnya. Tuhan, ampunkan hambaMu ini.” Demikian aku menulis pada satu tengah malam di dalam dairi dengan dua tiga titik air mataku jatuh.

............................


-15 April 2011=11 Jamadil Awal 1432

31 comments:

  1. Anonymous

    hampir saja air mata ini terbias,
    saya sayangkan ayah,
    dan yang paling saya tahu, ayah mencintai saya lebih lagi.

    Pak azizi, semoga segalanya berjalan dgn lancar~~

    student usm

  1. semut merah

    Semoga Allah berikan kesembuhan & pak azizi tabah menghadapi ujian sakit..

  1. Nur Faisal

    salam, tersentuh dengan keadaan ustaz sekarang, dan saya amat berdoa ustaz akan dipermudahkan segala urusan. yang paling saya harapkan, ustaz cepat sembuh seperti sedia kala selepas pembedahan nanti. dan kembali menulis. catatan itu, jangan biarkan hanya disitu...
    -ustaz bila novel 'mandala dunia ke dua' akan berada dipasaran.

    salam. kuatkan semangat.

  1. Anonymous

    Nur Faisal
    Novel MANDALA DUNIA KEDUA baru saya serahkan kepada penerbit PTS.
    Penilaian sedang di buat.
    Sekarang dalam pasaran ialah;
    BADAI CINTA DAN ANAK TROPIKA terbitan Al Ameen Holding.
    Di Pesta Buku Antarabangsa bulan ini di PWTC tentu ada.
    Salam kerana doa.
    azizi

  1. Anonymous

    Para doktor dan kita (kami), sama-sama berganding ikhtiar dan doa untuk kesembuhan ustaz. (Ajilah)

  1. ainhany

    salam cikgu,

    makan ubat dan dapatkan rehat..insyaALLAH ujian atas kesakitan ini sebentar cuma dan beralihlah ke kesembuh. InsyaALLAH.

    tersentuh mnmbaca catatan tentang ayah,..kerinduan kembali pada ayah yg telah pergi dan hanya doa yg mngiringi. terimakasih

  1. Qaseh Bonda

    Selaku anak yang bapanya berasal dari Bukit Meriam, saya pernah diberitahu oleh mak yang kita bersaudara.

    Saya tidak pernah mengenali Pak Aziz tapi jauh disudut hati saya dapat rasakan yang Pak Aziz penulis hebat.

    Mak selalu cerita yang Pak Aziz pengarang hebat yang berani.

    Bapa sudah lama tiada, mak pula pergi meninggalkanku enam tahun yang lalu.

    Pun begitu Pak Aziz, keduanya seperti sentiasa berada disisiku selalu. Bertakhta dihati dan bersemadi disanubari.

    Salam kasih sayang dari saya seisi keluarga. Harapan dan doa agar Pak Aziz kuat kembali, bahagia menulis dan damai selalu.

    Alhamdulillah..Alam maya menemukan saya dengan Pak Aziz.

  1. omegabiru®

    Semoga cepat sembuh ustaz...

    dari..bekas anak muridmu 1M SRKTAM '96...

  1. Shah

    Askm cikgu...

    Cikgu sudah keluar hospital?

    Ingin sekali melawat cikgu jika tiada kesusahan bagi pihak cikgu..

  1. Anonymous

    Selepas pembedahan nanti ustaz tak perlu menulis lagilah. Banyak kan bertasbih sebab malu kat makluk lain yang banyak bertasbih. Menulis atau bercakap banyak memudharatkan pula.. banyak dosa.InsyaALLAH dengan bertasbih jiwa kita akan TENANG.wsllm

  1. siti azizah Sang Pencinta

    Hanya doa untuk kesejahteraan untuk insan yang yang dikenali lewat novel sahaja.

  1. Anonymous

    al-fatihah buat allahyarham..

    semoga ruhnya di bersama rahmat Allah iaitu bersama para orang soleh.

    amin..

    muaddib

  1. balik petang

    azizi hj abdullah pergi bersama kenangan...mri kita sedekahkan fatihah untuk arwah...semoga dia dirahmati Allah...

  1. Unknown

    Semoga diampun segala dosa,ditempatkan dikalangan mereka yang soleh.
    Seorang Tua Dikaki Gunung yang menjadi teks pembelajaranku dulu abadi sebagai kenangan ku.

  1. Anonymous

    Aku mengenalinya melalui karyanya yang puitis dan penuh makna. Ternyata Allah lebih menyayanginya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dikalangan orang-orang soleh. Amin.

  1. Anonymous

    dari Allah kita datang,kepadaNYA jua kita kembali...moga arwah selamat kembali padaNYA...insyallah..wahua'ala'qulli'syai'in qadir..

    selamat jalan novelis yng ku minati...

  1. piz

    Al-Fatihah...
    Semoga arwah tergolong bersama orang2 yg beriman dan beramal soleh...

  1. Anonymous

    Perginya insan seni yang sangat aku kagumi. al-Fatihah untuk allahyarham. Tuhan, tunaikan janji-janjiMu untuk memelihara insan sebaik allahyarham. Aku hilang kata-kata...

  1. Anonymous

    Takziah kpd ahli keluarga arwah.
    semoga arwah di cucuri rahmat

  1. Anonymous

    secarik nostalgia dgn Tukya..

    aku tidak pernah bertemu dgn mu..tetapi roh mu rasa dekat disisiku.
    pertama kali mengenalmu hanya melalui titisan tintamu..cukup terkesan dengan cerita tukyamu..
    berkali-kali aku mencari watak tukya di zaman serba moden ini..tetapi tidak kutemu..mungkin kerana aku mencari di kota yg orangnya tidak perlu mendengar kisah tukya...buat apa?..ia bukan cerita kisah orang senang, bukan kisah pemimpin mewah-mewah bukan kisah politik tuduh menuduh...andainya aku nobatkan engkau sbg tukya...jgn engaku marah kerana aku munuduhmu kolot dan keras kepala..tetapi berbanggalah kerana engkau kuat mempertahankan akidah mu, pegangan perjuagan mu..bukan seperti seniman lain..yg dianugrah "darjah" bila mengampu. .....

  1. ASH

    Innalillahi wainna ilahi rajiun...al fatihah untuk roh Pak Azizi..Semoga dirahmati Allah..

  1. sambakar

    Aku membaca tulisan ini apabila Almarhomm telah kembali mengadap Tuhannya. Terasa pilu dan sayu. AlFatihah.

  1. miss myaira
    This comment has been removed by the author.
  1. xenadiana

    Anapoker selalu memanjakan setiap membernya dengan menyediakan aplikasi Android, ipad dan Iphone hingga proses deposit dan withdraw secara cepat

    Daftar sekarang dan dapatkan Bonus deposit untuk Member baru ANAPOKER!!

    Contact Anapoker Sekarang
    Whatsapp : 0852 2255 5128
    Line ID : agenS1288
    Telegram : agenS128

    Kunjungi Situs Games Online Uang Asli Terpercaya Lainnya :
    link alternatif sbobet

    sbobet alternatif

    login sbobet

    link sbobet

    sabung ayam online

    adu ayam

    casino online

    poker deposit pulsa

    deposit pulsa poker

    deposit pulsa

    deposit pulsa

    deposit pulsa

  1. casinoxo

    เกมดีๆต้องเกมยิงปลาที่นี่เท่านั้น
    https://www.slot1234.com/เกมยิงปลาออนไลน์

  1. casinoxo

    แสนสนุกได้ทุกที่ ดูหนัง The Queen's Corgi จุ้นสี่ขา หมาเจ้านาย (2019) ได้แบบไม่มีจำกัด ดูหนังออนไลน์แสนสนุกต้องที่นี่เท่านั้น
    https://www.doonung1234.com/

  1. pg slot
    This comment has been removed by the author.
  1. slot

    การเล่น Casino Online ที่สามารถรองรับระบบของ ทางเข้าจีคลับ ในการเข้าใช้งานผ่านทาง มือถือ และ คอมพิวเตอร์ PC ได้ทุกระบบ ซึ่งในยุคนี้มีเว็บ Casino Online เกิดขึ้น มาหลายแห่งก็จริง แต่ก็หาได้ยากมากที่ จะสามารถรองรับการเข้าใช้งานได้ทั้ง มือถือ จีคลับ สล็อต มือถือ และ คอมพิวเตอร์ PC

  1. Anonymous

    Thanks for posting the best information and the blog is very important.Your information was very useful to me.
    electric masturbator cup

  1. รีวิวเกมส์

    รีวิวเกมส์ ทดลองเล่น PG SLOT เว็บเกมออนไลน์น้องใหม่จากค่าย พีจี ค่ายเกมออนไลน์อันดับ 1 ที่ลูกค้าทั่วโลกต่างยกย่องให้เป็นเว็บเกมออนไลน์อันดับ 1 ตลอดการ

  1. pg slot รับฟรีเครดิต

    pg slot รับฟรีเครดิต ผู้ให้บริการเกมสล็อตออนไลน์ ที่มาแรงที่สุด pg slot รับรองความคุ้มราคาจากถ้าเกิดคูณเริ่มจะมีความรู้สึกว่าของฟรีไม่มีในโลก บอกเลยว่าคุณคิดผิดแล้ว ด้วยเหตุว่าเว็บไซต์ของเราแจกจริงไม่ต้องแชร์