Tergelak Awal Tahun 2010

Posted by Tukya Labels:


Sani Sudin ni tak pernah susah hati. Tergelak selalu.


Nak Tergelak 1:

Pagi itu dari Penang nak ke KL. Bukan jauh sangat, cuma ke Setapak saja. Ketika membeli tiket Mas, ada sekumpulan lelaki sedang berbual. Barangkali mereka pun nak ke KL. Pakaian baju putih tangan pendek, ada selang pangkat di bahu.

Seorang lelaki Cina yang sudah tua, baru saja membeli tiket ke Singapura, selepas saya. Lebih kurang 10 ela beredar, dekat dengan kumpulan lelaki yang kuat gebang pasal 1 Malaysia, lelaki Cina itu berpatah balik ke kauter jualan tiket.

“Hallo brother, boleh tanya sikit ka?” katanya kepada lelaki penjual tiket kapal terbang.

‘Boleh, apa hal?” melentik lidah penjual tiket itu ramahnya.

“Itu kapal terbang saya mau naik, haiyaaa ada injin ka?”

Sekumpulan lelaki asyik berbual berbaju putih itu terkejut beruk.

Saya tergelak, hua…hua…huaaa.


Nak Tergelak 2:

2. Keluarga mangsa terima permohonan maaf bapa pemandu/pemandu Sani Express, yang kemalangan 26 Disember 2009 lalu yang memautkan 10 penumpang.

Ini yang nak tergelak. Era ini mana ada orang mahu minta maaf.

Hiss hiiss hiisss kalau tak minta maaf hatta membunuh pun, bukan nak jadi apa malah lagi kebai, lagi loklak, lagi megah, lagi terkenai.

Nak Tergelak 3:

Jika ikhlas, letak jawatan sebagai Menteri Besar, kata Ibrahim Ali yang terkenal dengan ahli politik lompat katak kepada Datuk Nik Aziz.

Sebabnya mudah weee. Kalau kerajaan Kelantan pinda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan bukan Melayu menjadi Menteri Besar.

Nak tergelak sungguh. Yang Umno waktu beliau jadi Umno dulu, banyak Melayu berkuasa melalui menang kerusi, dah lama tonggek jubur bagi bukan Melayu yang seumpama berstatus BM juga.

Huaaa huuaaa huuwaaa!

Nak Tergelak 4:

Di Caruk Kura di sebelah utara ni, dengar khabar samseng peliwat budak-budak pondok semakin menjadi.

Alaa, memang pun ada tradisi dalam pondok dulu-dulu, main liwat bukan anih. (Baca buku karya Awang Had salleh)

Tapi anih dan bagusnya orang dulu tak mengadu kepada Tok Penghulu si anu liwatnya, di polan rogol liwatnya. Kalau terbongkar yang dia kena liwat, satu kampung bedengung bedengang, riuh gempar dan malulah semua keluarga.

Tapi sekarang lain pula. Yang kena liwat, macam di negeri Buruj Sireh, mati-mati dia kata dia diliwat. Tak apalah kalau sekadar itu. Tapi yang nak tergelaknya, dulu-dulu hingga sekarang, orang kata ‘doktor’ tuhan kerajaan. Kalau doktor kata sakit, kalau tak sakit pun dia boleh cuti. Kalau doktor kata demam, telan karbait pun mesti kata demam. Bos tak boleh kata bohong.

Tapi sekarang, berapa ramai doktor kata tidak, ada orang tetap kata ya. Yang nak tergelak, gomen tak pula pakai pengakuan ‘tuhan’ kerajaan.

Pelik. Ini yang nak tergelak.

Nak Tergelak 5:

Tertelan skru pun satu hal. Anihnya semua bimbang dan kata bahaya.
Memanglah bahaya. (Sinar Rabu 30 Disember 2009)

Nak tergelaklah tu. Yang telan berbilion ringgit, berjuta-juta, harta anak yatim, duit zakat, duit kerajaan, mamah saham, kunyah syer, gembol-gembol projek, tak pula kata bahaya.

Mukalu dulu-dulu, mereka kata kubur akan berasap.

Nak tergelak sungguh. Doa semakin tumpul kot.

Nak Tergelak 6:

Sekeluarga tinggal dalam dangau (Sinar 30 Disember 2009, ms U9)
Yang itu pun nak tergelak?
Adakah sekeluarga itu bersungut panas, tidur malam atas lantai?
Adakah dua cucu menangis kerana gatal belakang?
Adakah Tukwan sakit tulang belakang kerana tak ada tilam MyDream?
Adakah Feah, atuk tua itu tak sempat mimpi malam?
Adakah mereka pernah pohon hawa dingin tiga set?
RM300 sebulan tak disebut pun tak cukup beli Mercedis.
Bayar sewa rumah RM70 setahun, tak pun macam Majlis Bandaraya bising pungut cukai.
Rumah tepi hutan, tak pula teringin buat padang golf.

Yang nak tergelak...
Tun Tan Tin Datin Sri Sru Serai
Yang bertali leher, yang ranggi mewah berbilion-bilion
Sering tak cukup malah nak salin anak tangga rumah emak di kampung tak sempat.

Nak tergelak sungguh. Huwaaa huuuwaaa huwwaaa.

Nak Tergelak 7:

Ni nak tanya sikit, macam mana kita tubuh mahkamah dan dakwa;
Kalau bunuh, kata saja sudah sampai ajalnya.
Kalau makan rasuah, SPRM kunci kata; dah rezekinya.
Kalah pilihanraya: itu kuasa SPR. Undi itu rahsia.
Kalau berjaya menipu, peguam dakwa kata; jangan dengki, itu rezeki orang.
Kalau kalah dalam pertandingan; katakan saja sudah suratan.
Kalau menipu, kata kuat-kuat; janji Tuhan pasti.
Runtuh dan gempa bumi; itu kerbau yang tanggung dunia beralih lenguh.
Kalau hilang; nak buat macam mana kita tak nampak.
Kalau hilang yang besar-besar; kan senang kita jumpa. Sabarlah.
Kalau seleweng? Jangan tuduh dan buat fitnah, berdosa.
Kalau celupar? Memang dia tak ada tauliah. Tangkap saja.
Kalau susah? Itu dugaan dunia. Allah bersama kita.
Kalau kaya? Itu anugerah Allah.
Kalau ekonomi jatuh: Katakan, kita sedang bangkit.
Kalau tak ada duit? Kita masih boleh makan.
Kalau nak mati?: mengucap cepat-cepat.
Dan yang nak tergelak akhirnya, cuba bayangkan orang tua yang hampir nyanyuk, dia masih nak bangun berjalan, berburdah macam orang muda. Cakapnya macam dia buat dulu semua betul.

Huwaaa huwaaaa huuwaaa!

Harubiru Lagi…

Posted by Tukya Labels:


Tuan Guru Nik Aziz


Salehuddin Ayub


Salam Sejahtera.

Dah mula pulak dah.

Bila ditanya, sapa pun tak mengaku. Masing-masing kata, saya tak kata macam tu.

Perihal sesuai tak sesuai, elok tak elok, bagueh tak bagueh orang luar jadi calon di Kelantan telah mencerminkan sesetengah pemimpin Pas tak tahu nak cakap apabila disua ais krim( mike) untuk dijilat-jilat.

Apa, tak ada yang lain ke yang nak cakap?

Baru saja bercakap pasal hikmat hijrah, pentingnya hijrah. Tapi soal calon hijrah.....

Apa, masih tak lupus lagikah kata-kata ‘Orang Kelantan memang kuat fanatik sesama mereka!’

Saya teringat ketika menghadiri seminar, forum dan perhimpunan, apabila kami berhimpun dan berbual beramai-ramai, di mana salah seorang ada kawan Kelantan, akan rancaklah perbualan. Tapi jika ada dua orang lagi kawan Kelantan berbual sesama mereka, kawan yang berbual dengan kami akan meninggalkan kami. Dia lebih senang bersama ‘gengnya.’

Itu dulu. Tahun 60an dulu. Tak salah perangai macam tu. Tapi perangai Pas kalau macam ni, huduh sangat. Nampak sangat kepala kita sempit.

Siapa yang mula tak penting. Tenguk muka kita dah dapat baca orang yang bersifat fanatik ni...

Pusat Dokumentasi

Posted by Tukya Labels:


YB Mansor Osman, Tim Ketua Menteri 1, Tan Sri Islamil Husain dan Cik Shukriah, Pengarah PPANP ketika melihat buku-buku di Pusat Dokumentasi


Tanggal 22 Disember 2009 Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP) mencatat sejarah. Bilik yang penuh dengan buku-buku lama penulis negeri Pulau Pinang, tokoh-tokoh bahasa, politik dan sastera yang menjadi bahan Dokumentasi Penulis Negeri Pulau Pinang, telah dirasmikan oleh YB Tuan Mansor Osman, Timbalan ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Turut serta ialah Tan Sri Prof. Emeritius Ismail Husain, Ketua Satu Gapena, diiringi oleh Pengarah Perpustakaan, Cik Shukriah.

Turut hadir wakil dari Acheh, Pak Budiman dan Sdra Fadli sarjana bidang seni bunyi.-Terima kasih PPANP.

Novel ‘Daerah Beta’

Posted by Tukya Labels:


Missalwa, cucu penulis Daerah Beta. Dah ada dalam pasaran, katanya..


Khabarnya novel terbaru Azizi Hj Abdullah sudah ada di pasaran. Harga RM45 terbitan Dewan Bahasa.

Daerah Beta diangkat dari kejadian benar, bagaimana sekumpulan rakyat di mana satu ketika dulu pihak kilang cuba menanam radioaktif ditempat mereka. Mereka bantah sehingga terjadi satu demonstrasi yang sangat hebat. Gas dan water canon menjadi mandian. FRU jadi pagar dan mahkamah tempat mengadu.

May gadis China yang berkahwin dengan pemuda Melayu tukang kasut, sampai melahirkan anak yang cacat, kepala lembik, mulut rabit. Ramai lagi bayi yang lahir mangsa lukimia.

Anda perlu baca untuk melihat kebangkitan rakyat. Dapatkan di kedai-kedai Dawama (Dewan Bahasa dan Pustaka) dengan harga RM45.

Khabarnya penulis juga boleh dihubungi untuk mendapatkan novel beliau.

Sila hubungi melalui e mail melalui blog ini atau tel; 012 4396060.

-Pencatat dan pengelola blog

Sang Wahabi Mencari Tuhan

Posted by Tukya Labels:

Cerpen; Mula tulis 23hb November 2009 3 ptg

-Azizi Hj.Abdullah



(Cerpen ini tersiar di Mingguan Malaysia 13 Disember 2009)


Sangat pantas orang menuduhnya Wahabi. Tapi dia tidak peduli. “Kalau nak bercakap tentang Tuhan, mana tauliahnya?” tanya orang masjidnya.

Puncanya sejak dia balik dari di Mesir dan Jordan. Orang hairan kerana dia solat tak baca Qunut dan tidak pula buat tahlil. Yang lebih menjadi masyarakat mesjid marah, dia tak mau pakai sifat dua puluh. Yang peliknya orang menuduh dia ke Mesir bukan belajar sangat tentang agama tapi belajar main biola kepada murid penyanyi Abdul Wahab. Kerana itu ke mana-mana saja dia bawa biola, malah ke masjid pun dibawanya biola. Dia gesek biola belakang masjid. Bermula dari situlah dia digelar Wahabi- Sang Wahabi.

Dia tergelak sampai terkencing cerit-cerit.

Dia kurus melengking macam tempinis tercacak dalam paya, kulitnya hitam. Kalau pakai jubah putih, serban putih berketayap merah, nampak macam orang Sudan cari bini hilang. Linglong sana, linglong sini.

Dia mahu satu pendekatan majhu mengajak masyarakatnya mencari Tuhan dan ingin berdakwah, berceramah bersama gesekan biolanya, sama ada di masjid atau di terus masuk ke dalam rimba. Dia ingin mengajak jemaah berbincang, bukan tunduk mendengar bacaan kitab. Dia tidak mahu masyarakatnya mentahqikkan keujudan Tuhan dengan akta dan syeksen.

Dia tidak mahu lagi berkisar hanya perkara sunat. Dia tidak mahu berlarutan membahas Muktazilah, membahas Jabariah, bertegang urat tentang Wahabi tapi sekaligus menolak ulama-ulama lain. Ada yang mencari Tuhan secara taklid bukan mengkaji. Itulah yang hendak dibetulkan.

Pak Mat Siak di antara orang yang tidak respon pun. Telinga kanannya tetap pekak.

Kalau boleh dia mahu hentikan perbalahan tentang mazhab kewujudan Tuhan, tentang qadim dan azali Tuhan, tentang qodo qadar Tuhan. Dia mahu hentikan soal sunat muakad dan sunat haiat.

Dia tidak mahu lagi para tuan guru menambah pahala-pahala sunat, memanjang soal haram makruh, mengabaikan janji hanya dengan kalimah Insyaallah. Tuan guru bukan penyukat iman.

“Nak ke mana?” tanya Pak Mat Siak petang itu bila dia memberi tahu dia tidak lagi mahu menggesek biola di belakang masjid. Ketika itu Pak Mat Siak yang pekak telinga kanan sedang melipat sejadah selepas solat asar. Sudah 71 tahun.

“Nak cari Tuhan!”
Pekak Pak Mat tidak memberi apa-apa riaksi.
“Saya mahu cari tuhan di tempat lain!” ulanginya.
“Kenapa?”

Dia tak menjawab pun. Dia balik ke rumah usang peninggalan ibubapanya yang dilanda Thunami dulu. Esok selepas subuh di masjid dia akan berangkat. Dia mahu memeram lena semau-mau. Tapi tanpa disedari, lenanya telah membawa dia meredah rimba malam. Dia mula sesat dalam gelap.

Anih, tidak ada siapa pun yang mengganggu. Ada asap putih berat, mengangkat diri sendiri dan hilang tak semena-mena. Kehijauan pokok sangat mententeramkan. Ada curam sungai yang air jernih mengalir. Berjajaran pokok-pokok tinggi seperti memagari tebing. Di sekitar agak lapang dengan pokok-pokok balak dan sedikit semak rotan dan akar-akar tempat kera lutung bergayutan.

Ketika itulah dia sudah terhibur dengan muzik alam; kicau burung dan unggas. Bunyi tamparan dedaun dan geselan batang-batang pokok buluh dan ranting sangat mengasyikan. Dia mula membaca matematik jengkauan pacat-pacat dan batang-batang balak, menulis note muzik dedaunan, melakar lukisan kulit-kulit pokok dan bernyanyi bersama deru angin rimba.

Dimemulakanlah gesekan biola tuanya. Dia ingin benar-benar mencari Tuhan tanpa membawa kitab-kitab yang sudah lama menjadi krisis ulama.

Hari itu cuaca sangat lembab. Embun semalam masih belum kering lantara matahari di puncak gunung dilindungi awan gemawan dan kabus tebal.

Wahab pun melakukan relaksi untuk menghilangkan rasa lelah dan jenuh setelah lenguh menyenget dagu dan bahu diperut biola. Mulanya dia membiar telinganya dimasuki bunyi geselan batang buluh lemang di tepi curam turun ke sungai. Bunyi geselan itu sangat menakjubkan. Kemudiannya dia menggesek biolanya dan dia mendengar sendiri gesekan itu. Dia tidak mahu terpengaruh dengan Bach, dengan Schubert, dengan Mozart, Chopin, Brahme, Strauss. Cuma dia membiar pancainderanya menghirup bunyi sungai yang mengalir air di bawah curam dengan bisikan irama The Bluee Danube.

Subhanallah...lalu dia terbisik sendiri. Gesekannya rupa-rupanya tidak sia-sia. Memang benar dia tidak sia-sia mencari Tuhan. Dengan seluruh perasaannya dia menolak dan menarik tali biolanya dengan jari terketar-ketar, menggeletar, dengan siku menyiku dan apitan bahu dengan dagu. Dia telah membentuk rasa dan jiwanya sendiri. Dirasanya ada semacam perasaan yang kian menjelma halus, melalui gesekan.

Apakah dia sudah hampir dengan Tuhan?

Dia tidak tahu tetapi terasa ada satu nikmat yang terkulum. Beberapa ekur punai tanah nampak terbang dan hinggap di ranting kecil, kemudian turun ke tanah, menapak satu-satu dengan terpesona.

‘Subhanallah...’ bisiknya. Terlupa ia akan tuduhan Wahabi hanya sanya kerana dia tidak baca Qunut.

Kali ini dia mahu meleburkan keindahan alam dan Tuhan menjadi satu: Wahdaul wujud, dalam satu perasaanya yang komplek dalam dirinya. Begitu dia menggesek dalam suasana bening sepi itu.

Sangat sulit hendak digambarkan, jika Pak Mat Siak pekak telinga kanan ada di sisinya. Tetapi apapun dia sudah dapat merasa adanya Tuhan di hadapannya, sedang menyaksikan satu ketauhidannya. Rasa-rasanya dia semakin berjaya mengenal Tuhan melalui muziknya.

Apakah dia ‘riligius?’ yang mengenal Tuhan? Hahhh, soal bentuk dan zat Tuhan bukan persoalan penting tetapi mengakui dengan nekad dan sesungguhnya itulah sangat penting. Bukan soal Jabariah lagi, bukan soal Muktazilah lagi, bukan soal Ahlussunnah juga. Maturidi, Asy’ari, Ibnu Arabi atau Hallaj bukan persoalan. Yang penting dia semakin merasai dari muzik yang bersih heningnya.

Konsepsi hubungan alam, musik dan Tuhan akan muncul dalam fikirannya nanti. Dia yakin wujudnya Tuhan dalam dirinya.

Tapi apapun, dia tetap yakin bahawa keindahan itu dapat dirasakan melalui muzik, sama seperti keindahan itu dapat dirasakan melalui penglihatan, dirasakan melalui pendengaran dan semunya ciptaan Tuhan. Dia teringat ayat 190-191 surah Al Imran: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang mempunyai fikiran, iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau maka hindarkanlah kami dari siksa api neraka.”

Dia meneruskan menggesek lagi dengan takun dalam keadaan fana, zauq dan pasrah. Sewakytu menghirup teh misai kucing yang tak bergula itu, terdengar burung hantu sahut menyahut. Dia meneliang kepalanya. Yang pelik bukan sahut menyahut, tetapi seni bunyi susara itu menyebabkan suara itu bersahutan. Ada bunyi desir daun-daun dari pokok tinggi yang dikocak angin. Memang bunyi menderu yang menggerunkan. Tetapi ketakutannya timbul adalah kerana kedahsyatan hambatan angin dari gunung, menerkam dan menghinggut lembut dedaun sehingga desirnya membangkit satu macam perasaan makhluk lain.

‘Subhanallah...’

Tiba-tiba dia teringat pada satu malam Tuan Guru Syaikh Akhbar, guru bulanan masjid, membaca kitab tentang zat Rabbul Jalil. Bab-bab Uluhiah, bab Rububiah. Kemudian tak semena-mena Tuan Guru itu membeluk bacaannya. Ia menyindir secara tidak langsung kononnya tak bau syurga mereka yang main musik, apa lagi sampai membawa benda maksiat itu ke masjid.

Memang pun pada satu petang, selepas asar dia menggesek biolanya di sebuah bangku belakang masjid, berhampiran kubur pula bersama Pak Mat Siak pekak telinga kanan.

“ Mereka asyik dan lagho. Asyik dan lagho itu sahabat syaitan.” demikian hujah Tuan Guru itu.

Jauh di sudut hatinya dia sangat-sangat berharap orang seperti Tuan Guru itu perlu keterbukaan minda. Ketika di Banjarmasin dulu dia berhadapan dengan golongan yang berpegang kepada pasifis dan philantropis. Dan dia sangat terbuka dengan soal-soal ini. Maka dia pun mencari guru yang mampu menghuraikannya, di samping mengusung biola buruknya dalam pra mencari Tuhan. Seorang guru falsafah memberitahu, bahawa terminologi pasifis berarti cinta damai. Tidak ada manusia berfikiran normal yang tidak cinta damai. Terutama di saat begitu banyak kekerasan dan permusuhan ditampilkan dan dikedepankan.

“Engkau carilah Tuhan. Ia dalam kelembutan, ia dalam kemanusiaan dan ia dalam keindahan,” kata guru falsafah berjanggut itu.

“Kemanusiaan?” tanyanya kembali tetapi biolanya dipeluk erat Habuk putih bertaburan di perut biolanya. Semakin di gesek, semakin dekat rasanya dengan Tuhan. Semakin di gesek dengan penuh asyik dan fana, terasa akrab Tuhan semakin menjadi. Maka diberkas kukuhlah taqarubnya setiap kali jejarinya mengeding melentik dan mengedik-ngedik di leher biolanya itu. Dia sangat memelihara gripnya.

Tiba-tiba dia berhenti menggesek. Dia ingin memberi hormat seperti berada di tengah persembahan harmoni dari okestra yang sangat mempersona. Terdengar bunyi gesekan meneru-neru, berderau-derau, berkecipak berderum-derum. Kelepak-kelepak, prap-prap-prap dan kemudiannya menderu menderum lagi.

Lalu dia memfanakan dirinya. Melepas perasaannya dari tambatan segala macam ikatan aqaid dan akhirnya dia terjelepok fana.

Maha Suci Tuhan. Geselan itu mengeluarkan bunyi yang indah. Subhanallah, Walhamdulillah, Walaila ha illallah.

Kemudian disambut oleh kecipak daun-daun dari dahan dan ranting pokok banir. Daun-daun itu bertamparan sesama sendiri, tanpa cemburu dan sakit hati. Mereka menceding-ceding, mengedik dan menampar-nampar dan kemudiannya ada yang beralah, melayah turun dari tangkainya, melayang-layang dan menghanyutkan sehelai bersama air yang mengalir tenang. Maka daun itupun membiarkan hanyutan helainya. Terombang ambing ke kiri ke kanan. Tertampan tersangkut dan kemudiannya meluncur. Bunyi mengalirnya sangat damai. Beriringan, berkelocak lembut sampaikan tidak jemu mendengarnya.

‘Subhanallah....’

Digeseknya pula berkali-kali. Menarik menolak dengan dagu terkial-kial, mulut terherot-herot. Bahu kanannya melonjak bagaikan bonggol kecil. Rasa-rasanya dia sangat taqarrub dengan Rab. Dia pun menelaah Rubbubiah. Menyusul pula pertumbuhan rasa dan zauqnya seperti kanak-kanak normal. Dirunutnya sungguh-sungguh. Terasa seperti ibunya bersenandung mesra. Terasa seperti seorang perempuan Paulina Koch yang mengajar Einstein menggesek biola di hadapannya.

Rasa-rasanya selesai sudah ia mencari Tuhan, merafak rasa lalu bertaqarrub. Yang menjadi persoalan sekarang, bagaimana ia hendak membawa balik bunyi rasa yang penuh muhibbah itu untuk memberitahu masyarakat daerahnya bahawa, kita terlalu lama rugi mempersoalkan hal-hal kecil.

Apakah mereka mahu terima kalau diberitahu tentang Einstein menemui Tuhan. Apakah mereka mahu terima tentang Aristotle, Plato, Kant, Socrates, Pythagoras, Confucius, Lao Tze atau Budha, bagaimana mereka mencari Tuhan? Bagaimana mereka yang menemui Tuhan melalui musik, filsafat, sains?

Anih, kebanyakan masyarakatnya hanya tahu Lailahaillallah tetapi tidak menemui Tuhan di dalamnya., seperti juga mereka berkata Muhamad Rasulullah tetapi tidak tahu fungsi sunnahnya. Bagaimana kalau pulang nanti dia berkata dia sudah menemui Tuhan lewat muzik alam rimba yang anih, seperti Al Hallaj mengakui Tuhan ada di dalam bajunya, seperti Hamzah Fansuri menemui Tuhan di dalam rumahnya?

“Hahhhh!” tiba-tiba dia terkejut. Ada sesuatu yang mengejutkannya. Maka dibacalah dengan lancar doa bangun tidur seperti yang di ajar oleh Rasulullah: “Alhamdulillahilllazi, Ahyana, Ba’da Ma Amatana Wa illahin nusyur.”

Dia sebenarnya sangat terlewat bangun. Selesai mandi dan berwuduk, dia bergegas ke masjid sambil mengilik biola buruknya. Niatnya, akan digesek semula biolanya di belakang masjid ketika siak menyapu sampah atau sesudah dia juga membersihkan tandas masjid atau selepas solat dhuha.

Dan memangpun terlewat. Tak sempat masbuk. Sebaik saja Takbirratul ehram, imam pun memberi salam. Selepas wirid dan doa, semua jemaah beredar. Masjid tinggal lengang kecuali siak yang pekak telinga kanannya saja.

“ Pak Mat,” panggilnya ketika duduk di kerusi simen hadiah dari Majlis Bandaran, di bangsal belakang.

Pak Mat, siak tua yang baru memegang penyapu hendak menyapu lantai berpaling kepadanya. Kebetulan panggilannya di sebelah kiri.

“Saya dah jumpa Tuhan. Kali ni saya nak beritahu semua. Tuhan kita satu!” katanya dengan nada seperti biasa.

Siak Pak Mat memang bebal orangnya. Apapun diberitahu, walaupun dia tidak dengar, dia tetap angguk.

“Pak Mat faham?”
Siak tua yang pekak itu mengangguk-ngangguk.
“Pak Mat selalu jumpa Tuhan?”
Pak Mat siak tua itu menangguk-ngangguk.
“Baguslah. Malam ni saya nak ajar semua jemaah. Saya nak beritahu saya jumpa Tuhan.”
Siak tua itu angguk-angguk juga.
“Pak Mat faham?”
Anggul-angguk juga.
“Saya nak ajar melalui main biola. Saya nak beritahu mengenal Tuhan melalui muzik, faham?”

Pak Mat tetap mengangguk. Tapi kemudiannya Pak Mat meneliang mukanya, meletak tapak tangan ke telinga kanannya. “Apa ? Kau kata apa tadi?” tanyannya dengan kuat.

“Laaa...Astaghfirullahal azim,” dia beristighfar kerana sangkanya Pak Mat sudah dengar semuanya.

“ Maaflah, dua tiga hari ni telinga Pak Mat semakin tersumbat,” kemudian dia beredar.

“Laa...” dan kemudian Sang Wahabi pun menggesek biolanya perlahan-lahan.


SELESAI.
-----------------------------------------------------------------------------------------
Selesai menulis 245hb Nov 2009 11;50 pagi di CAP

Seorang Melayu Di Tengah Bandaraya

Posted by Tukya Labels:

-Azizi Hj Abdullah


(Cerpen ini tersiar di dalam Dewan Sastera, Disember 2009)

Apabila Sirun mendongak melihat matahari dari lubang-lubang atap zing, matahari tidak nampak. Yang menyilaukan matanya itu ialah cahaya yang terang menembusi lubang-lubang zing buruk itu. Dari pengecaman itulah Sirun dapat mengangak, usia hari baru 8 pagi lebih-lebih sikit.

Menguap dua tiga kali sambil membancuh secawan kopi dengan sebuku roti, sedar tak sedar matahari sudah berubah dari lubang-lubang bumbung zing buruk itu. Mata Sirun tidak berbinau lagi. Yang nampak hanyalah cahaya langit dari lubang-lubang itu.

Di Jalan Dato’ Keramat terdengar deruman kereta sangat jelas. Rumah usang sejak puluhan tahun yang dibeli kemudian dibaiki sekeping demi sekeping papan, kini sudah dikepungi oleh dinding, batu bata, gudang dan kedai. Tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Rumah bumbung panjang dengan sedikit ruang dapur bukanlah besar sangat tetapi Sirun sangat banggsa kerana itulah satu-satunya rumah papan, rumah kayu, rumah beratap zing purba, rumah yang masih mampu menggunakan telaga, masih dapat dipertahankan dalam kawasan bangunan batubata, rumah kedai dan gudang-gudang. Sirun merasa bangga kerana segala-galanya masih mampu dia pertahankan, kecuali satu; dia terpaksa menggunakan tandas curah kerana dia tidak berpeluang lagi menonggek punggung dimana-mana penjuru.

Ramai tuan punya bangunan,rumah kedai dan gudang-gudang merasa hairan, bagaimana Sirun boleh tinggal di atas sekangkang tanah dalam sebuah rumah yang sudah senget, beratap zing berlubang dan berdinding papan itu sedangkan di sekeliling bangunan dan rumah kedai sudah lama memagari kehidupannya. Tempat-tempat lain sudah tidak ada. Mereka menjual tapak rumah mereka dengan harga yang tinggi. Tapi Sirun, yang sudah berusia 78 tahun masih mampu di situ.

Memang sejak asal rumah Sirun seperenggan dengan gudang kilang bijih. Pemisahnya hanya tembuk setinggi tiga meter. Kini gudang bijih yang membuat jongkong itu mula bertukar menjadi tapak komersial dengan bangunan lima tingkat bernama Keramat Times Square, yang tarafnya lebih dari lima bintang.

Sirun apa peduli. Sedikit pun dia tidak dengki , malah dia bangga pula. Pembangunan berlaku di depan kangkangnya. Sebelah depan rumah Sirun ada Mini Kuil Hindu Subramaniam. Dari kepala tangga rumah papannya hanya lima depa. Depan kuil itulah jalan utama bandaraya itu yang senantiasa sebuk. Sirun tidak gaduh pun. Tak ada jalan pun tak apa. Dia cuma keluar dengan basikal buruk.

Di belakang rumah ada gudang besar. Di dalamnya penuh dengan besi-besi buruk, barang terpakai, botol dan tin. Kepala kereta pun ada. Sirun meluat melihat itu. Orang bodoh saja menyimpan besi karat dan botol-botol kosong. Sirun tahu; gudang itu kepunyaan tiga adik beradik dari India yang hampir sama tua dengannya, kecuali abang sulung mereka sudah meninggal dunia.

Di sebelah kiri asalnya tapak sekolah kebangsaan. Sejak Sirun tinggal di situ hampir enam puluh tahun, sekolah itu menempah sejarah yang tersendiri. Pada mulnya ramai pelajar, kemudian apabila bandar berubah menjadi bandaraya, murid-murid Melayu semakin merosot manakala dari kalangan Cina dan India berkurangan. Akhirnya sekolah kebangsaan itu tutup dan tapaknya kini dijadikan pejabat pendidikan.

Sebelah petang Sirun dibingitkan dengan bunyi loceng dari kuil. Di belakang gudang yang menyimpan besi buruk, pukul enam tutup. Di atas tembuk bangunan Times Square itu nampak beberapa ekur tikus merayap melata dengan bebas.

Apa pun Sirun berbangga dengan sejarahnya sendiri. Ketika bekerja di di gudang bijih timah buat jongkong sejak zaman penjajah, yang dulunya bernama Eastern Smelting, lima puluh tahun yang lalu, entah macam mana dia mendapat tawaran dari seorang Benggali, Kumar Sing, kawan baiknya yang tapak rumahnya hendak dijual. Pada mulanya Sirun sangka Kumar Sing melawak sahaja. Tapi Kumar Sing bersungguh kerana kasihan kepadanya sedangkan dia hendak meninggalkan kerja itu.

“Kau bagilah berapa yang kau ada. Itu rumah bukan besar, itu tapak pun bukan besar,” kata Kumar Sing yang berjanggut jambang keputihan itu.

Kerana desakan dan percaya sama percaya, Sirun gagah-gagah beli walaupun duitnya tidak cukup. Bakinya akan dibayar secara ansuran. Ketika Kumar Sing tidak bekerja lagi di kilang bijih itu, Sirun tetap menjelaskan ansurannya. Sebulan selepas berhenti, dia menjelaskan baki dengan wang KWSP.

Kemudiannya bertalu-talulah tawaran demi tawaran dari berbagai pihak menemui Sirun, memintak tapak dan rumah itu dijual saja. Walaupun harganya tinggi tetapi satu pun Sirun tidak terpengaruh. Sirun anggap tapak rumah itulah titik peluhnya dan maruah Melayunya. Akhir sekali datang seorang Cina, katanya tuan punya Keramat Time Square. Tawaran kali ini sangat lumayan. Tapi sayang Sirun tidak terpengaruh juga. Malah Sirun anggap taukeh Cina itu tidak mampu membaca perwatakan Melayunya. Mahu juga dia hendak jerkah kepada taukeh Keramat Time Square yang dia adalah Meyau dan dia sangat bangga dapat tinggal di pusat bandaraya. Mana ada orang Melayu yang mampu tinggal di pusat bandaraya.

Sirun anggap dia sajalah Melayu yang akan hidup dalam apapun keadaan walaupun mengeliat di tengah pusat bandaraya. Biarkan!

Sirun anggap dia sajalah satu-satunya Bumiputera yang tidak termakan pujuk rayu orang asing untuk mengaut kekayaan negerinya. Biarkan!

Sirun anggap inilah saja rumah pusaka, rumah tradisi Melayu yang mesti dipertahankan. Sirun tahu rumah sepertinya tidak ada lagi di bandaraya kalut ini, melainkan rumahnya. Biarkan! Biarkan rumah yang sudah bocor yang berdekatan dengan terbeleduhnya Keramat Times Square. Biarkan rumah senget dari kayu papan yang sudah reput, berada di belakang kuil Hindu Subramaniam. Biarkan berada di belakang gudang besi buruk atau di tepi bangunan lain. Bagi Sirun dia sudah dapat berbangga kerana dialah satu-satunya Melayu yang mampu tinggal di tengah pusat bandaraya, berdekatan dengan projek mewah.

“Jangan ganggu aku. Aku nak hidup mati di tapak rumah ini. Ini rumah pusaka titik peluh aku. Aku nak bagi tahu semua, siapa lagi orang Melayu yang mampu hidup di tengah bandaraya,” katanya kepada anak sulungnya Mohamad Haikal yang berada di Caruk Kudung, Baling.

Bukan saja Sirun menolak pelawaan Mohamad Haikal anaknya itu untuk tinggal di hutan getah bersamanya, malah dia sanggup pula menceraikan isterinya dulu, hanya semata-mata isterinya berdegil tidak mahu tinggal di celah sepitan bangunan-bangunan yang lain.

Tidak ramai yang tahu, malah anaknya Mohamad Haikal sendiri tidak menyedari betapa dia ini seorang nasionalis. Darah keMelayuannya sangat kental tetapi orang juga tidak tahu otaknya sangat bebal. Pemikirannya sama seperti buruknya rumah bumbung limanya. Buah fikirnya sama dengan papan-papan buruk dan kayu tangga yang sudah reput.

Pada satu ketika yang lain, Imam Besar Kuil Subramaniam mendatanginya hendak berunding agar rumah dan tapak sekangkang kera itu dijual saja kepada kuil. Mereka hendak membesarkan lagi rumah ibadat mereka, katanya.

“ Kau mau ligan Melayu yang tinggal di bandar?Ini Melayu tulinlah” begitu dia berkata kepada Imam Besar Kuil Subramaniam.

“ Kau fikir Melayu Sirun ni bodoh?” katanya kepada Ah Fok, tukang emas di Kelawai yang berkali-kali menemuinya minta tapak rumahnya juga di jual.

‘Ini Melayulah. Tak mudah makan pujuk. Tanah bagi orang Melayu ni, adalah maruah, tau tak?” katanya pula kepada seorang pegawai Bandaraya yang juga memujuknya supaya di jual saja.

Sirun bukan tidak sedar ada juga alasan yang menasabah. Buat apa tinggal di celah bangunan tinggi, kalau keadaan rumah jadi macam reban ayam. Untuk apa lagi dipertahan. Tidak ada apa yang boleh dibuat. Jual lebih baik dan duit itu beli saja mana-mana tanah di Baling, di Sik atau beli saja rumah dua tingkat.

‘Pooraaahhhh, ini Sirun. Ini Melayu tulin. Kalau bukan aku, siapa lagi nak pertahan?’ jerkahnya. Tapi jerkahnya hanya kepada budak parking kereta yang minta sebatang rokok daun.

Kemudian budak pariking kereta yang sewel itu pun melompat mabuk ganja lalu menyanyi irama boria pula:

Dengarlah Tuan kami berperi
Maruah bangsa kenalah jaga
Yeeebabbb!
Borialah kami empunyai visi
Pembangunan kita sudah berjaya.
Yeeebabbb!

Lalu mereka pun ketawa. Sirun yang berfikir bebal itu sama sekali tidak sedar, dia sudah mula mendedah kelemahan Melayunya dan menjadikan dirinya seekur ulat Melayu yang terkuik-kuik di tengah daging busuk bandaraya. Dia tidak sedar tindakannya, hanya merupakan air liur saja yang berbuih-buih. Dia tidak sedar, tanah sekangkang tapak rumah, rumah bumbung lima yang beratap zing berlubang berkarat, papan dinding reput dan tangga pula terkeleweh patah, adalah satu gambaran keperkasaannya sama dengan sebatang kayu reput di tengah arus.

Bukan Sirun tidak sedar sejak akhir-akhir ini. Setiap kali bunyi bingit hentakan penukul cerucuk membenam bumi, setiap kali pula telinganya dibengang, dadanya dihentak dan perasaannya sakit.

Tapi Sirun sangat bangga dalam usia tuanya dia masih mampu tinggal di tengah pusat bandaraya. Dia masih boleh bergaya. Malah dia akan bercerita kepada siapa saja, kalau dia balik ke rumah anaknya Mohamad Haikal yang tinggal di Caruk Kudung tempat jin bertendang itu bahawa, kita sepatutnya bangga kerrna kita semakin maju. Kita sudah ada bangunan tinggi. Kita sudah ada gudang-gudang. Kita sudah ada pasar raya. Kita sudah banyak mall-mall, square-square. Dan Sirun juga bangga dia sajalah satu-satunya Melayu tunggal di pusat bandaraya, di kelilingi bangunan dan gudang melambangkan ia bagaikan seekur ulat gonggok yang hilang punca dayafikir. Dia juga boleh berbangga kerana ada kedai Kopitiam, Old Town Coffie, ruang membeli belah dan berapa tingkat Keramat Time Square. Malah dia boleh berbangga, dari kerja kuli di gudang bijih timah yang buat jongkong, kini memiliki rumah dan tanah di tengah pusat bandar raya walaupun sebesar kangkang kera.

Paling gembira, rumahnya paling dekat dengan gedung membeli belah. Beberapa langkah saja boleh naik ke Keramat Time Square. Juga paling bangga, walaupun tapak rumahnya sekangkang kera, rumah bumbung lima beratap zing berkarat, berdinging papan buruk, bertangga dan bertandas curah, ramai pula pelancung datang melawat. Ini yang Sirun sangat bangga. Baginya itu adalah satu kemajuan.

“Akulah yang akan mempertahankannya,” begitu bisiknya pagi itu di kepala tangga. Dilihatnya semakin ramai pekerja dari Bangla berceratuk di tebing-tebing anjung Keramat Times Square yang belum siap sepenuhnya lagi itu. Mereka sedang mengecat dan memasang jeriji. Di lihatnya beberapa orang pekerja lagi di tingkat satu, tingkat dua, tingkat tiga dan hingga ke tingkat lima. Dia tidak pun nampak pekerja anak Melayu.

Sirun dongak lagi. Tak nampak pun baner yang memberitahu pembukaan rasmi kedai-kedai kepunyaan orang Melayu. Tidak nampakpun pusat belibelah, restoran makanan kepunyaan Melayu. Tetapi Sirun sangat yakin, ketika pembukaan rasmi nanti, orang Melayulah yang berduyun-duyun datang. Mereka gemar dengan tawaran potongan harga.

Kalau Keramat Time Square siap nanti, mau diberitahu kepada Mohamad Haikal. Dia mahu Mohamad Haikal bawa semua anak bininya pakat-pakat tidur di rumah kemudian esok naiklah tenguk kedai dan segala macam mak nenek di atasnya. Mohamad Haikal dan anak-anaknya tentu hairan dan seronok. Dan dia akan berlakon seperti biasa. Buat-buat biasa dengan tempat shooping walau pun dia tidak pernah membeli baju Camel sehelai pun.

“Atukkkk!”

Sirun tersentak. Lamunannya terputus. Dali, cucu bungsu darjah lima yang sangat manja dengannya dilihatnya menerkam kepadanya ketika beca berhenti tepi kuil Subramaniam. Mohamad Haikal saja yang datang.

“Haaa,” dia menyambut ketibaan Dali, cucu yang hitam berkilat itu. Kemudian Sirun melambai kepada pengayuh beca yang bertopi lembik. Pengayuh beca itu adalah membernya. “Anak cucu aku!” laungnya kepada penarik beca yang mula berpusing hendak keluar.

Sirun sedikit pun tidak merasa apa-apa apabila Mohamad Haikal memberitahu yang dia hendak balik petang itu juga. Tetapi Sirun merasa tersangat gembira apabila diberitahu yang Dali hendak tinggal sehari dua. Petang itu, ketika menghantar Mohamad Haikal dengan pandangan mata di kepala tangga sambil memeluk Dali, Sirun rasa sebak juga kerana cucu-cucu yang lain, menantu tidak datang.

Tapi tak mengapa. Tidak datangnya mereka mungkin satu hikmah kerana Keramat Time Square belum lagi siap. Nanti kalau sudah siap, kedai-kedai sudah dibuka, akan diminta Mohamad Haikal membawa anak bininya. Kemudian dia akan membawa anak bini Haikal masuk semua kedai walaupun tidak membelinya.

Bukan apa sebenarnya. Hanya sanya akan diberitahu dengan bahasa mata dan bahasa badannya yang tua itu, bahawa sudah sampai masanya bangsa Melayu turut merasa bangga dengan pembangunan. Biar mereka merasa megah berada di tengah pusat bandaraya. Biar mereka terpegun melihat itu ini kerana semua itu tidak ada di Caruk Kudung.

Petang itu ketika matahari sudah tenggelam di balik bangunan tinggi seberang jalan, bayangnya meneduhkan rumah bumbung limanya. Kuil Subramaniam belum lagi menggoncang telur loceng, tapi gudang di belakang rumah yang sendat dengan besi-besi buruk sudah mula tutup pintu. Kakitangan Pejabat Pendidikan di sebelah juga sudah pulang.

Duduk di bendul pintu depan, menjuntai kaki di anak tangga bagi Sirun adalah budaya megah Melayunya yang tinggal di tengah pusat bandaraya. Menyelak sedikit kain pelekat sampai nampak paha, menghisap rokok daun, setidak-tidaknya dia telah berjaya menunjuk kemewahan kemiskinan Melayu yang tidak pernah didukacita sejak dulu. Boria yang pernah disertainya, adalah bahasa kata dan bahasa badan ketika di pentas, tak siapapun mau menjeri tentang Melayu sudah cabut lari dari bandaraya.

‘Yeebaabbb!” Sirun masih gemar jeritan itu.

Setengah jam tadi Dali, cucu kesayangannya beritahu yang dia hendak tenguk-tenguk Keramat Times Square. Hendak jalan-jalan sekitar hadapan.

Sirun bukan main bangga. Pergilah, katanya. Pakai seluar Jean yang atuk beli, suruhnya. Pakai T Shirt yang ada lambang ‘Ghostbuster’ syornya.

Memang pun Sirun mahu begitu. Dia tidak mahu cucunya jakun macam rusa masuk kampung apabila berada di bandaraya yang pesat membangun. Dia mahu Dali kenal apa itu Keramat Times Square. Dia mahu Dali lihat betul-betul Texas Shoop. Dia mahu cucunya tahu apa itu Padini. Biar Dali kenal betul-betul antara KFC dengan MacDonald.

“Atukkk! Yeebabbbb!”

Sirun dengar suara jeritan itu. Dari bendul yang kakinya berjuntai di anak tangga, Sirun mendongak arah Keramat Times Square mencari suara yang memanggilnya. Tingkat satu hanya ada beberapa orang bangla yang buat kerja. Penghentak cerucuk sudah lama tidur. Tapi bila mendongak ke tingkat dua, yang kebetulan dari rumahnya itu, dia nampak Dali melambai-lambai tangan untuk memberitahu dia sudah ada di situ.

Dia pun membalas lambaian itu.

Hairan juga Sirun, masakan Dali boleh naik naik hingga ke tingkat tiga sedangkan pengawal keselamatan ada di situ. Masakan boleh naik kalau pembinaan belum selesai. Tapi mungkin Dali memberitahu kepada pengawal yang dia cucunya. Kalau Dali beritahu dia cucu Sirun, pasti pengawal tidak kisah. Dia dengan pengawal memang ngam kalau di kedai kopi Datok Keramat Road.

Maka semakin menjadilah mengelamun megahnya. Barangkali tidak ada cucu orang lain yang boleh bermegah macam cucunya. Dali tentu melilau sambil mendongak muka sana sini. Dali tentu melangkah bergaya sambil menyepak-nyepak bata pecah dengan kasut Reeboknya. Dua tangannya tentu menyeluk saku seperti samseng filen yang hendak bertarung.

Biarkan Dali melilau habis hingga ke tingkat lima. Kalau ada Pengawal Keselamatan tahan, beritahu saja cucu Sirun. Kalau tak benar juga, katakan yang Sirun rumahnya tepi tembok Keramat Times Square.

Balik nanti bolehlah Dali cerita banyak-banyak kepada bapanya, kepada emaknya, kepada abang kakaknya, kepada kawan-kawan sekolahnya, kepada sesiapa saja di Caruk Kudung bagaimana hebatnya Times Square. Bagaimana canggihnya pusat beli belah di pusat bandaraya. Kawan-kawannya tentu tercangak-cangak apabila mendengar nama Padini, Jean Texas, Reebok dan lain-lain. Kalau Dali sudah dewasa, Dali boleh minta jadi pengawal keselamatan. Tempat tinggal tidak payah sewa. Rumah atuk sudah ada.

Memang pun patut berbangga. Sirun akan berkata megah kepada anaknya Mohamad Haikal atau kepada menantu atau kepada keluarga yang tinggal di kampung bahawa rumahnya tepi Keramat Timse Square. Senang membeli belah. Rumahnya benar-benar tengah pusat bandar.

“Atukkk!”

Sekali lagi Sirun mendengar namanya dipanggil. Kali ini sangat kuat jeritannya. Berlianan sekali bunyi suara, seperti jeritan lakunya. Tapi Sirun tidak peduli. Dali tentu seronok dapat menaiki tingkat lima walaupun tingkat itu belum siap. Dan dia akan berbangga sekiranya Dali balik nanti dapat bercerita hebatnya Keramat Times Square yang sedang dibina.

Beberapa minit selepas itu, Sirun jadi hairan. Mengapa ada dilihatnya orang ramai berlari-lari ke arah Keramat Time Square. Mengapa loceng di Kuil Subramaniam digoncang seperti ada kecemasan. Mengapa terdengar suara bising dari pekerja-pekerja di tingkat satu, tingkat dua, tingkat tiga. Dan akhirnya Sairun terdengar siren ambulan dan kemudian nampak ambulan itu membelum masuk ke Keramat Times Square yang belum siap itu.

Sirun tidak peduli pun. Memang di tengah pusat bandaraya begitu keadaannya. Orang ramai berpusu-pusu adalah kebiasaan. Bunyi siren ambulan juga perkara biasa. Sayang tembok di tepi rumahnya tinggi, jika tidak boleh saja dia menjenguk untuk memlihat apa yang berlaku.

“Sirun! Sirun!” tiba-tiba dia dipanggil dengan suara kuat.

Sirun tersentak dari lamunan. “Apa? Kenapa?” tanyanya apabila dilihat Mat Taha Pengawal Keselamatan Keramat Times Square melambai tangan kepadanya.

“Cepat datang!”

“Kenapa?” tanyanya lagi. Dia memang kenal Mat Taha Pengawal Keselamatan dan Mat Taha pun kenal Dali, cucunya.

“Cepatlah!” laung Mat Taha.
“Kenapa?”
“Dali, cucu kau!”

Sirun mengejap gulung kain pelekatnya. Dengan berbaju singlet dia bergegas turun dengan tenaga tua. Dia bangga kalau Dali dikenali ramai, fikirnya. Mendongak sekali ke tingkat lima Keramat Times Square, terasa juga tingginya. Dan entah mengapa ketika dia mengekori Mat Taha, setitik air mata penatnya jatuh. Entah apa yang hendak dilihatnya, dia tidak pasti.

SELESAI

_______________________________________________________
Catatan:
Cerpen: Ditulis pada 2 September 2009. Jam 9:45 pagi
Siap : 3 September 2009 Jam 1 tgh.
Siar : Disember 2009

Catatan Disember 2009

Posted by Tukya Labels:

11 Disember 2009





Peserta Ijtimak Wehdah




Peserta Wehdah



Di Mentalon, rumah Menteri Besar Kedah berlangsung Konvensyen WEHDAH satu-satunya badan induk NGO di Kedah dengan tema “Kedah Yang Kita Mahu”. Bagus juga inisiatif ini supaya Kerajaan Kedah yang diperintah oleh Pas sejak 8 Mac 2008 buka mata, buka telinga mendengar teguran dan saranan dari sebahagian rakyat.

Ucaputama Pengerusi Wehdah, Azmi Abdul Hamid baik sekali. Ucaputama yang mewakili pandangan berbagai NGO ini sepatutnya dijadikan landas muhasabah dan tindakan. Di antaranya Kedah Yang Kita Mahu ialah; Kedah yang bertaqwa, Kedah yang adil, Kedah yang mesra alam, Kedah yang pro rakyat,Kedah yang berilmu, Kedah yang makmur, Kedah yang mapan, Kedah yang berbudaya Islami, Kedah yang selamat, Kedah yang cekap dan berintegriti, Kedah yang berbudaya politik sihat dan Kedah yang terjamin keperluan makanan untuk rakyat.

Menurut ucaputama itu, hasrat ini hanya akan berjaya jika pra-syarat wujudnya keterbukaan kerajaan, kejujuran pimpinan, kesungguhan pentadbir dan kejernihan nurani rakyat.

Tapi malang kerana sebelumnya apabila YB dato’ Hj Ir. Phahrolrazi Hj. Zawawi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dalam Bicara Khas 1 dengan tajuk ‘Menterjemahkan Sebuah Manifesto Rakyat-Cabaran dan Harapan’ bagi saya tidak mencerminkan dasar dan manifesto Pas yang dicanangkan sebelum Pas memerintah. Huraian tentang politik dan apa yang ada pada sebuah kerajaan dengan hujjah dari Ibnu Khaldun tentunya tentang erti sebuah negara moden tidak menyungguhkan alasan apa yang dilakukan oleh kedah sekarang ini.

Fakta 77% orang Islam di Kedah dengan 2 veleu bagaimana soal haram bagi orang Islam dan tidak haram bagi orang bukan Islam sangat tidak menyenangkan saya.

Tertanya oleh ramai, jika begitu keadaan pemerintah Pas kini dengan apa dasar Pas dan manefesto sebelum mendapat kuasa, maka apakah kehebatannya dan kelebihannya rakyat memilih Pas daripada menolak BN dahulu.

Entahlah, mungkin tanggapan saya tersangat naif.


Salah sebuah masjid di kawasan pendalaman



Tergesa-gesa dengan seorang kawan mahu bersolat Jumaat di sebuah kampung pendalaman dengan tujuan membaca khutbah.

Ya Tuhan, rupa-rupanya orang Melayu Islam masih tidak banyak berubah, walaupun hal yang bersangkutan dengan ibadah.

Bayangkan, ketika khutbah sedang dibaca, masih ada yang seperti burung puyuh takut denak. Mereka tetap berbual di luar masjid dan hanya masuk hendak solat ketika imam mengangkat Takbiratul Ehram.

Ya Tuhan...tentang ‘lagho’ ketika khatib membaca khutbah masih belum difahami juga. Sungguh malang.


Berjumpa Tun, sahabat lama


Tun Abdul Hamid bersama anak bungsunya, pemidato antara bangsa



Di majlis kenduri di Permatang Tinggi Bakar Bata Kepala Batas, bertemu Tun Abdul Hamid Mohamad, Mantan Ketua Hakim Negara, sahabat dan bersaudara tahun 60an dulu. Saya menumpang di rumah kakak beliau ketika sekolah agama Hj Ahmad Badawi dulu.

Tak banyak berubah Tun ini. Pertemuan yang singkat, ketika berbual ternyata karektar sebagai seorang hakim masih tidak berubah. Masih pulun kalau memancing ke laut. Agak segan nak bertnya tentng kehakiman sekarang.

Yang menarik bagi saya ialah beliau seorang yang masih puluh dan kuat membaca. Sangka saya, novel-novel saya dari penulis kecil ini tentu tidak dipeduli oleh beliau tetapi tidak begitu.



Mereka berkerja demi dakwah



Beliau mampu mengingati apa yang saya tulis di dalam novel saya. Ditambah pula dengan anak perempuan bungsunya, yang satu ketika dulu menjadi juara pidato antarabangsa. Megahnya saya, walaupun dia anak didik orang undang-undang dan dia sendiri menjadi orang undang-undang, novel-novel Melayu menjadi air minumnya.

Kata anak bungsu Tun ini: “Orang Belanda kedekut walau pun mereka bangsa yang maju.” Beritahu pula Tun Abdul Hamid, orang Amerika sebenarnya bangsa yang tidak terbuka mindanya. Mereka kurang mengetahui dunia luar. Memang pun, katanya. George Bush sendiri, sebelum menjadi Presiden, hanya sekali ke luar negara. Anggota Senit Amerika, hampir separuh tidak ada pasport ke luar negara.

Haa..haa..haa....katak di bawah tempurunglah tu.


API

Malam berceramah dan berbengkel dengan Anggota Api, satu-satunya badan amal dan dakwah yang terdiri dari budak-budak U.

Kagum juga kerana mereka di antara anggota sukarelawan pendakwah yang sering turun padang memberentas gejala sosial anak-anak muda.

Sukar nak cari anak-anak muda seperti ini.