MEMPERKASA WANITA

Posted by Tukya Labels:



Di Perbadanan Perpustakaan Awam Baling pada 23hb Jun 2003, Prof Madya Dr. Siti Hajar Che Man dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM menganggap novel ‘Harga Sebuah Maruah,’ tulisan Azizi Hj Abdullah sebagai sebuah karya yang cuba mengangkat wanita dan memperkasakannya.




Prof.Madya Dr.Siti Hajar CheMan


Kenapa?

‘Lazimnya wanita jarang mendapat tempat sebagai watak utama di kalangan penulis lelaki?’ kata Prof. Madya Dr. Siti Hajar ketika mengulas dan memperkatakan nobel Harga Sebuah Maruah. “Saya sendiri sedikit hairan dengan pilihan nama watak wanita utama yang menerajui seruluh perjalanan plot novel ini. Mengapa namanya Cah?

Bagaimana riaksi Cah?’ Tanya beliau.

Mengapa janda? Tanya lagi beliau.

Itu juga dipersoalkan oleh Prof Madya ini. Menurut beliau janda adalah satu istilah yang sangat murni dari sudut kaca mata Islam malangnya di kalangan masyarakat istilah ini dianggap satu connotation yang negatif.

Tapi apapun, ianya sangat menarik, tambah Prof. Madya Dr. Siti Hajar. Menarik kerana pengisian ceritanya. Novel ini amat berlainan dengan novel-novel Pak Azizi yang lain. Pak Azizi juga telah membebaskan wanita dari kepungan patriarki lalu membina watak Cah yang perkasa.

Menurut Prof. Madya ini lagi, Pak Azizi telah memperkukuhkan watak Cah sebagai seorang:
1.Pembuat keputusan (decision makers)
2.Perancangan strategi
3.Maruah tanah bendang adalah maruah dan nilai diri
4.Sawah bendang adalah indentiti Cah
5.Caj isteri solehah
6.Jiwa Cah tidak boleh dinilai dengan wang ringgit
7.Sawah bendang adalah profesionnya.
8.Cah adalah dwi-kerjaya.
9.Cah memiliki visi dan misi.
10.Cah wanita kental, berani, bertanggung jawab.
11.Cah tidak berpelajaran tetapi belajar dari mengacaman.
12.Tidak bersekolah tetapi belajar dari pengalaman
13.Kegusaran alam adalah kegusaran Cah dan lain-lain kehebatan.

Majlis Bicara Karya anjuran Persatuan Penulis Nasional Kedan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara sangat memberi makna kepada penduduk setempat.

Menurut Azizi Abdullah, penulis novel tersebut, apa yang didapati dari Bicara Karya itu?

Katanya, renungan seorang pengalanilsa, pengkritik tidak sama dengan penulis. Tetapi kehebatan penganalisa seperti Prof. Madya Dr. Siti Hajar dan Dr. Sakinah yang membicara buku puisi Renung karya Saari AB telah melangkaui pemikiran pengarang itu sendiri dan mereka sebenarnya penyelak yang sangat tajam, teliti dan cermat.



Kanak, Dato` Halim `R`, Dr. Sakinah dan Saari AB

Saya sendiri tidak terfikir begitu wanita yang saya angkat, seperti mana yang diselak selidik dan renungan pengulasnya, demikian kata Azizi.

‘Saya kagum dan terpesona dengan selak kajian mereka!’ demikian kata Azizi.

-Pengelola blog.

SEMOGA PEMIMPIN PAS TIDAK BERLIBIDO POLITIK

Posted by Tukya Labels:




Fasa 1:


“Malaysiakini jarang bohong!” demikian komen seorang bloger melalui SMS kepada saya apabila saya melepas senak kepala dan sesak nafas apabila membaca berita dalam Malaysiakini 17 Jun 2009, jam 11.14 pagi tentang press conference Dato’ Mustafa Ali kata tentang Kerajaan Perpaduan mesti libatkan DAP dan PKR.

Saya telah SMS kepada semua pemimpin Pas, AJK, Menteri Besar dan ahli semampu yang saya dapat nombor telefon. Saya tulis begini:

“Jika betul berita Malaysiakini, Mustafa Ali kata libatkan sama PKR,DAP dalam Kerajaan Perpaduan , ertinya Pas nak juga berpadu dengan Umno? Cis! Tahi kucing lebih wangi” -Azizi Hj Abdullah.

Saya dapat jawapan. Di bawah saya perturunkan komen mereka:

1. ‘Ustaz Hadi lantik Cikgu Pa bukan nak menangi hati rakyat, tapi nak jadi ayam tambatan hadapi Nik Aziz. Apa punya visi pemimpin Pas sorang ni? Ahli jadi pening. Terasa sangat kehilangan Ustaz Fadzil Nor.”’1:26 ptg.

2. “Ana rasa maklumat Malaysiakini pun jangan dipercayai penuh. Fitnah ke atas PAS n PR yang akan datang lebih dahsyat. Umno-BN berhempas pulas nak wujudkan supaya PR hancur. Baru depa puas.”-1:29 ptg.

3.’Harap baca Berita Harian muka depan. Pelag punya Pas.’ 1:08 ptg

4. Jarum Halus Umno sudah jalan- jaga-jaga.’-2:02 ptg.

5.Betul Dato’ Pa buat PC tanpa consult naib-baib presiden.’ 2:39 ptg.

6. ‘Aku tak faham sesetengah sikap pemimpin. Lagi pun kita tidak dapat maklumat tepat. Surat khabar semua pro Umno. Nanti laporan Harakah dan Keadilan.’-1:13 ptg.

7. ‘Nanti nak baca dulu, tak buka internet lagi kalau betul memang karut betul.’ 2:28

8. ‘Silat pulut saja.’-1:15 ptg.
9.’ Pas akan hancur selagi ada Hadi, Nasha dan Pa Ali. Puak-puak ni jugalah yang hancurkan kerajaan Pas Terengganu…mangkok hayun semua tu. Pakat-pakat gila kuasa.’ 1:16 ptg

10. ‘Cakap kat Mustapa Ali, hebah kepada seluruh negara saya teringin nak jadi menteri. Habis cerita. Kita boleh buka buku baru tentang puak-puak yang kelihatan begitu laparkan pangkat ni. Dan jangan teruskan semua lagak dan perangai Mustapa Ali dan kroni ni. Sekarang pun dah timbul rasa was-was dan pelbagai fitnah. Boleh kalah Manik Urai.”

Catatan: Semalam jumpa Khalil Idham Lim, solat maghrib di surau saya. Katanya, ada perentah tertinggi, orang lain dari Kelantan tak boleh kempen di Manik Urai. Takut cakap lain dari loghat Kelantan, orang Manik Urai tak faham.

11. ‘Bagus cakap macam tu. Puak-puak ni lapar nak jadi menteri.’ 1:15 ptg.

12. ‘Ingat kot orang Kelantan saja yang meluat, rupa-rupanya orang Kedah juga serupa,’ 1:26

Fasa II:

Kerana saya bukan Subky Latif, saya tak mampu ingat tarikhnya. Tapi saya masih ingat peristiwa. Satu hari saya membawa Almarhum Tn.Hj Yusuf Rawa, Presiden Pas ketika itu hendak solat Jumaat di Masjid USM. Saya tak buka pintu kereta ketika beliau hendak turun. Dengan berseloroh beliau buat-buat marah kepada saya:
‘Bukalah pintu . Perdana Menteri ni nak turun!’ katanya dengan ketawa.

Saya berkata; ‘ Maaf ustaz, saya tak suka Pas menang. Biar macam ini pun cukup.’

Hj.Yusuf Rawa marah. Katanya: ‘Awat, hang pikiak Islam ni hak Pas sajakah?’ (Ketika itu pun ada ura-ura tentang perpaduan macam inilah)
Saya jelaskan, saya mahu jihad orang Pas berterusan dan berkobar-kobar. Kalau menang, kita tak mahu berjihad lagi, asyik rebut kuasa nak jadi pemimpin.

Fasa III:

Memang media menjadi kesangsian kita hendak percaya jika ada laporan dari Pas. Tapi jika di antara kita yang meneliti laporan media, seperti kata pengulas salah seorang bloger kepada saya, Malaysiakini agak boleh diterima.
Soalnya seperti yang saya pernah tulis dulu. Pemimpin Pas, lambat sua mikrofon, ada-ada saja nak buat kenyataan. Adakah kenyataan Mustafa Ali tentang Kerajaan Perpaduan ini dikilas atau tak betul. Kalau tak betul bacam mana berita ini boleh keluar dan dari kenyataannya juga?
Mustafa Ali pernah beri amaran, soal Kerajaan Perpaduan jangan ditimbul lagi sebelum Manik Urai selesai. Tiba-tiba beliau yang gatal mulut.

Kita bukan menentang perpaduan. Tidak. Tapi sejarah dan pengalaman sudah mengajar kita. Apapun buatlah keputusan secara berjemaah, bukan seorang, bukan dua orang. Tuan Guru Haji Hadi dilihat sekarang sebagai Presiden yang tidak mempunyai kekuatan politik tetapi hanya berilmu tinggi dalam hal agama.

Maka kerana itu beliau sudah diperalat dengan golongan cerdik pandai, yang kononnya dihebuh sekarang sebagai profesional, cerdik pandai.

Dengar khabar, kerana angkara ini Pas mungkin mengadakan Muktamar Khas. Bayangkan kerana karenah seorang dua ini seluruh jemaah jadi bercelaru.

Perpaduan memang bagus tetapi apa yang digila-gilakan oleh kumpulan ‘G7’ ini tidak mengikuti dasar. Lakukanlah kalau dasar begitu dan lakukanlah jika keputusan berdasarkan dasar Pas.

Memang tidak ada apa-apa kenyataan akhbar itu. Tapi bacaan politik lain. Disebalik itu ada sesuatu dan yang jelas Mustafa telah termakan puji bajak wangkang Perdana Menteri yang mengatakan niat Pas ikhlas.

Kita sebenarnya masih bangang dalam helah politik. Kononnya kerana Islam itu baik, telus, tidak dendam, baik sangka, pemaaf, berpadu, maka kita boleh buat apa saja kerana kita ini Islam.

Betulkah? Yang betul ialah bagi mereka yang tidak mahu Islam, melakukan sesuatu yang tidak Islamik dan yang tak betul ialah kita yang mahukan Islam, tetapi tidak Islamik.

Kita selalu membuat ukuran dalam politik mestilah ulama maka atas nama ini ditekanlah pula mesti kena walak. Walhal berapa ramai pemimpin yang tidak ulama, tidak Islam yang melakukan kerja politiknya lebih dari ulama.

Yang penting dalam politik ialah cerdik, bervisi, berwawasan manakala agamanya yang penting ialah mengawal visi, wawasan dan cerdiknya, diperkuat dengan kealimannya dan kewarakannya. Bukan kealiman dan keulamakan tetapi tidak punya wawasan, cerdik dan pintar.


Sekarang berlaku satu fenomena tradisi, iaitu apabila soal-soal kepincangan dalam Pas selalunya pemimpin menyalahkan media. Di pujuk ahli-ahli bawahan, jangan percaya media. Media musuh kita. Tetapi dalam masa yang sama beberapa hal yang berlaku, yang boleh melemahkan perjuangan dan semangat ahli dilakukan oleh mereka yang berpesan kena berhati-hati dengan media jugalah..

Jangan percaya kepada mediakah, kalau pihak atasan panggil media buat kenyataan. Jangan percaya kepada mediakah, kalau ada pemimpin yang sengaja tarik tangan repoter, minta siarkan kenyataan mereka? Tak percaya kepada media lagikah, kalau ada pemimpin yang syok nak jengol muka dalam TV walaupun ruangan itu perangkap atau menjeratkan mereka?

Kita kesal kerana soal yang diucapkan oleh Mustafa Ali soal dasar, soal yang bukan boleh diucap di depan dua pemberita tetapi ia mesti melibatkan kepusan jemaah atau jawatan kuasa pusat.

Jangan salahkan ahli-ahli jika ada tuduhan kegilaan ini adalah kegilaan mahu jadi menteri tidak penuh atau menteri penuh. Apakah Pas beranggapan atau penuh yakin ( bagi yang mahukan Kerajaan Perpaduan) jika berlaku Kerajaan Perpaduan Tuan Guru Hj Hadi akan jadi Timbalan Perdana? Mustafa Ali mungkin jadi Menteri Dalam Negeri atau lain-lain jadi menteri sepenuh masa?

Ditakdirkan jika diseret sama PKR dan DAP, redakah Pas dengan hati telus mulus, mardhotillah melihat Dato’ Sri Anuar Ibrahim jadi TPM, Karpal Sing jadi Ketua Hakim Negara, Lim Kit Siang jadi Menteri Undang-undang. Ketika itu Pas akan berontak lagi. Ketika itu tentu ayat Qur`an tentang amanah, zalim dan munafik terus di baca.

Mahukah dan relakah pula dengan hati yang bersih, atas nama berjuang kerana Allah, Setiausaha Agung Pas akan jadi Setiausaha Agung Kerajaan Perpaduan manakala yang lain menjadi timbalan menteri? Atau bermimpikah Presiden Pas akan menjadi Perdana Menteri?

Hua...hua...hua....demikian ketawa Etong dalam Wayang Kulit Asun.

Sangat malu dan memalukan jika Pas yang didakwa parti yang mendukung Islam, yang kepala masamnya terdiri dari ‘ulama’ tiba-tiba antara Mursyid dengan Presiden tak sekata, Setiausaha dengan AJK tak sebulu. Nak melawan dikatakan tidak walak. Berdosa dijadikan alasan ‘tidak boleh melawan’.




Perkembangan terakhir yang kita dapat tahu, alangkah kecewannya sebanyak 8 cawangan di Perak yang hendak menyerah borang keahlian Pas, ditangguh kerana ‘Chaos’ kerana pengamal ‘Chaosophy’ kerana ‘Criminalis Perfectus’ yang membawa kepada ‘Ekstasi’ dan akhirnya menuju kepada konsep ‘Libodo politik’.

Tuhanku, maafkan hambaMu jika pemikiran ini salah.

Bisul-Bisul Dalam Serban Pas

Posted by Tukya Labels:

Orang Pas kata kepada Umno, busuk ikan bermula di kepala, bukan ekur. Ertinya kebobrokan Umno, kotor dan kelamkabutnya Umno adalah kerana pemimpin.

Pengikut Pas bertepuk tangan. Semua kata betul. Tetapi bagaimana pula kalau Umno kata, bisul-bisul Pas berada di kepala yang memakai ketayap atau serban?

Memang pun bisul tidak seperti ikan busuk yang bermula di kepala. Bisul boleh muncul dan bernanah di mana-mana, hata di kepala yang memakai serban.

Saya di antara pengikut dan ahli Pas sejak berusia 14 tahun, yang berkempen waktu itu sampai kena baling telur ayam kemuruk. Pemimpin yang saya ikuti dulu semua berserban, berketayap putih. Semua bermatlamat satu; berjihad menegak agama Allah dengan motto; Negara yang baik yang mendapat keampunan Allah.

Kini setelah 56 tahun hidupnya Pas, serangan demi serangan terhadap Umno diteruskan. Dikatakan Umno berkepentingan duniawi, rasuah, tidak adil, kepentingan pribadi, mengaut kekayaan, bertokak sama sendiri, melarikan wang, melarikan perempuan, banglo besar, kereta besar, munafik malah sampai kepada taghut, maha firaun dan lain-lain.

Apabila kemasukan cerdik pandai, peguam, profesor dan lain-lain ahli profesional ke dalam Pas, maka sedikit sebanyak nampak semacam sedikit tergugat golongan ulama. Lalu mereka pun bangkit dengan memberi alasan betapa ulama sebenarnya penting dalam perjuangan Pas. “ Jangan tinggalkan kami” , kata mereka.

Memang satu ketika dulu golongan profesional tidak ada tempat dalam Pas. Tetapi kini ulama pula nampak macam tergugat. Seperti dibimbangi akan ujud satu fenomena baru di mana Pas akan dikuasai oleh golongan profesional.

Secara peribadi, saya melihat golongan ulama di dalam Pas ialah golongan yang hanya bijak dalam soal-soal kupasan perkara ukhrawi, haram halal dan sunah makruh. Mereka tidak profesional. Beremosi. Pembakar semangat tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah. Ia tidak bersifat profesional keagamaan. Jadual atau atur cara antara golongan profesional dengan golongan ulama, golongan ulamalah yang paling tercorot. Jadual majlis jam 9, majlis bermula jam 10. Perkataan Insyaallah hanya sandaran menutup kelemahan.

Maka apabila dilihat golongan profesional ini semakin ramai, kemungkinan satu ketika lubang-lubang jawatan di dalam parti akan dimasuki oleh golongan profesional, lalu timbul tanda tanya, ke mana hendak pergi golongan ulama?

Di Pinggir Neraka?

Sebenarnya, sebelum ini pertanyaan patut dikemukakan: Mengapa harus ada golongan ulama dan profesional? Dalam satu jamaah Islamiah, bagi saya tidak penting adanya ulama dan profesional. Jamaah Islamiah yang mengambil politik sebagai landasannya dan sebagai dasar perjuangan ke arah jihad, apa pentingnya membahagi kepada dua kategori? Apakah ulama itu lebih baik dari profesional? Apakah gologan profesional, ilmu mereka tidak berguna? Apakah profesional tidak ada aqidah?

Istilah ‘walak, setia kepada pemimpin, wali,ulama’ menjadi satu kegerunan, seolah-olah siapa yang tidak membuktikan arah ini, ia sedang berada di pinggir neraka.

Kemunculan golongan profesional menjadikan sebahagian besar ulama merasa fobia. Sehingga ada kawasan dan negeri sangat mencurigai hendak melantik golongan profesional menjadi pemimpin. Kemudian apabila tiba muktamar tahunan, hal ini pun ditimbulkan. Akibatnya bergemalah puak profesional dan ulama. Ada yang meragui dan berkata, profesional saja tidak memadai dalam perjuangan Pas dan ulama juga tidak memiliki kecekapan dalam petadbirannya.


Wadah Pas ialah perjuangan dan dakwah, satu wadah yang meletak dasar tertinggi Al-Qur`an dan Hadis, Ijmak dan sebagainya. Mereka yang memasuki Pas ialah mereka yang yakin dengan dasar ini. Maka apabila seorang jurutera yang belajar bertahun-tahun, apakah ia seorang komunis atau athis ketika ia memohon menjadi ahli Pas dan perlukah kita bertanya, pengajian agama kamu setinggi mana? Tidak pernah terjadi, sebaliklnya kita berbangga.

Begitu juga kita berbangga sekarang ini bilamana ramai mereka yang bukan Islam, terutama golongan Cina yang sudah mulai mendekati Pas. Malangnya Pas yang dianggap kepimpinan ulama tidak pernah mengambil kata putus bagaimana kaedah untuk menerima mereka. Yang dilakukan ialah satu rancangan yang tidak disukai ramai, iaitu ‘Pemerintahan perpaduan.’

Kita hairan tentang gagasan yang tidak diterima ramai ini. Ada jalan atau uslub membolehkan Pas menjadi kuat dengan sokongan bukan Islam, tiba-tiba mahu melakukan sesuatu yang dibenci oleh ramai orang. Pas tidak pernah belajar sejarah. Kaedah apa yang dipakai, jika dulu, kini dan selamanya Umno dianggap musuh, tiba-tiba presidennya pula menganggap, di sanalah jalan perpaduan.

Apa Kayu Ukur Ulama?

Maka bergema dan berkumandanglah di media bagaimana pentingnya perpaduan tetapi malang Pas melalui pucuk pemimpinnya tidak sedar, setiap rancangan yang disiar, Pas menjadi batu loncatan, Pas diperbodoh dan Pas dimomok-momok.

Atas nama ulama, kita diajar sangka baik. Maka apapun tohmahan dan senda, kita menerimanya.

Apa kayu ukur ulama? Ini pun satu hal. Di dalam Pas, ukuran ulama berlainan dari ukuran biasa. Masakan sekadar lulus Azhar atau belajar di Jordan kita sudah boleh namakan ulama? Sekarang ini begitulah ukuran ulama di dalam Pas, selain dari syarat tersembunyi mesti berserban atau berjubah dan mesti ada sedikit janggot. Diperbesarkan soal janggut lalu ditekan sebagau Sunnah Nabi.

Maka sebab itu Pemuda dengan senang hati menerima Hasan Tantawi, kerana ia 100% berwatak ulama. Tetapi apakah ukuran ini, termasuk keluar dari universiti agama atau lulus syariah maka ia harus kita lebalkan sebagai ulama? Apapun yang terkesan sekarang, kita tersangat cepat melebalkan ulama terhadap seseorang yang pulang dari Mesir atau Timur Tengah dari seorang PhD agama di UKM atau di UIA.

Inilah satu tanggapan yang silap. Sehingga kini orang Pas tidak mengakui Tan Sri Hamid Othman, Nakhaie, Noh Gadot dan terakhir Hj Hairussani yang baru menerima anugerah Tan Sri sebagai ulama. Malah mufti-mufti sendiri bagi Pas, hanya Dato’ Ishak Baharum sahaja yang diakui ulama.

Inilah kesilapan kita.

Ulama Bukan Penghurai Masalah?

Maka atas kepercayaan ulama mempunyai bidang tersendiri, apabila ulama melakukan sesuatu, atau melontarkan idea sesuatu yang bersifat sekular, bersifat keduniaan maka orang tidak berapa ambil peduli hendak mempertikaikan, menolak atau menyanggah. Sebaliknya jika golongan profesional yang ingin melakukan sesuatu yang bersifat agama ia dipertikaikan.

Ulama mestilah berhati-hati dan tidak boleh memandai-mandai dalam semua hal atas status ulamanya. Di awal tadi telah dikatakan, kebanyakan ulama ialah mereka yang hanya mampu dan bijak mentafsir dasar, bukan menjalankan dasar. Mereka mampu menghurai syarah dan tafsir Qur`an juzuk demi juzuk, tetapi mereka belum tentu mampu melaksanakan mengikut tafsir itu. Mereka mampu melihat isu dan masalah tetapi mereka bukan penghurai masalah.

Maka kerana itu, ulama yang sudah berada di peringkat atas, ia mestilah bijak mengawasi dasar dan ia perlu memelihara dasar, bukan mengubah dasar atau memandai-mandai menyimpang dari dasar.

Ingatlah, pemimpin ialah orang yang memelihara dasar, melaksanakan dasar tetapi bukan mengubah dasar, memandai-mandaikan dasar.

Kerajaan perpaduan

Presiden Pas, dalam ingatan saya sudah membuat percubaan pertama bagaimana hendak merealisasi ‘kerajaan perpaduan’ tetapi ia disanggah oleh ramai ahli dan pemimpin. Maka selepas muktamar beliau mengulangi lagi dan mencari celah dan ruang untuk menerangkannya.

Tetapi Presiden ini lupa dan tidak nampak bagaimana pengikut-pengikutnya melompat dan gelisah, bagaimana mereka menangis dan meraung sedih, menyumpah dan maki hamun kerana:
1. Itu bukanlah dasar Pas yang ditubuhkan sekian lama.
2. Apapun istilah, seakan nampak satu hambatan pelangi beberapa pemimpin Pas untuk duduk sama taraf dengan pemimpin Umno/BN.
3. Seakan nampak semakin hilang teras perjuangan Pas. Dinyatakan oleh mereka, perjuangan Pas bukan untuk menang bersama Umno/BN tetapi ialah perjuangan menegakkan dasar Pas itu sendiri dan mereka percaya dasar Pas akan diterima juga pada satu hari nanti.

“Apa untungnya mewujudkan ‘Pemerintahan Perpaduan?’ jika dengan Pakatan Rakyat sendiri kita sudah ada acuan perpaduan?” Begitu yang lain bertanya pula.

Bulu Roma Seorang Model!

Posted by Tukya Labels:


Kewujudan bulu roma di muka, kaki dan kawasan lain yang tidak diingini adalah sesuatu yang mengerikan bagi seorang wanita terutamanya yang berkerjaya sebagai model. Bagi seorang model, kelihatan cantik adalah sesuatu aset yang penting bagi mereka untuk meneruskan kerjaya. Jika terdapat bulu roma di muka seperti bibir atas, dagu dan cuping mahupun di betis adalah sesuatu yang memalukan dan akan kelihatan hodoh. Oleh yang demikian mereka mengambil keputusan tekad untuk membuang bulu roma tersebut dari tubuh mereka dengan secepat mungkin.

Bulu roma boleh dibuang melalui beberapa cara iaitu sama ada mencabut, mencukur, menggunakan bahan kimia tertentu atau laser. Namun, cara-cara ini sebenarnya boleh memberikan kesan negatif sama ada jangka pendek atau jangka panjang, yang pasti memang ia akan memberikan kesan yang tidak baik pada pengamalnya.

Kaedah mencabut merupakan kaedah yang paling mudah dan paling murah. Mereka hanya perlu memiliki penyepit kecil untuk membuang dan menarik bulu roma keluar. Oleh yang demikian mendapati bahawa kaedah mencabut ini merupakan kaedah yang sering digunakan untuk membuang bulu roma.

Memang tidak dinafikan bahawa dengan mencabut, bulu roma tersebut akan mengambil masa untuk tumbuh semula kerana dengan mencabut, bulu roma akan keluar berserta dengan akarnya. Walaupun kaedah ini nampak lebih selamat namun sebenarnya ia akan memberi kesan pada kulit. Kulit akan menjadi merah dan akan berasa sakit ketika mencabutnya.

Selain mencabut, kaedah mencukur juga amat popular dalam kalangan wanita terutama para model. Hal ini kerana ia boleh membuang bulu roma dengan mudah dan cepat tanpa perlu berjumpa dengan doktor dan sebagainya. Walau bagaimanapun ia hanyalah penyelesaian sementara kerana apabila bulu roma ini terkena dengan pisau cukur, bulu roma akan tumbuh dengan lebih lebat dan kasar daripada sebelumnya. Oleh yang demikian, mereka perlu mencukur dengan lebih kerap dan hal ini secara tidak langsung akan membuang masa kerana setiap hari atau 2 hingga 3 hari perlu meluangkan masa untuk mencukur bulu roma ini semula.

Bahan kimia yang khususnya untuk menanggalkan bulu roma memang banyak terdapat di pasaran pada hari ini. Sebenarnya, dengan menggunakan bahan kimia merupakan kaedah yang paling bahaya. Hal ini kerana ia boleh memberi kesan kepada kulit seperti alergi dan sebagainya. Oleh yang demikian, jika mahu menggunakan bahan kimia, adalah perlu untuk mendapat nasihat dan arahan daripada doktor.

Seterusnya ialah dengan menggunakan kaedah laser. Kini, kaedah ini adalah amat popular bagi yang berkemampuan kerana dipercayai bahawa penanggalan bulu romanya adalah sempurna dan kekal. Namun, kaedah ini mengambil masa yang agak panjang untuk membebaskan bulu roma dengan sepenuhnya. Ia perlu membuat rawatan beberapa kali bagi membuang bulu roma secara kekal dan selamat.

Bagi seorang model kaedah ini merupakan kaedah pertama yang menjadi pilihannya walaupun terpaksa mengeluarkan wang yang banyak. Dengan menggunakan kaedah laser, model ini perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana ia mengambil masa yang panjang untuk menghilangkannya secara kekal dan sempurna selain melaburkan wang yang banyak berbanding kaedah lain yang menyelesaikan kadar yang segera tetapi sementara sahaja.

–Ikuti Utusan Pengguna keluaran Julai/Ogos 2009

Suplemen dan Vitamin Kesihatan : Sejauh Mana Selamat Dan Berguna?

Posted by Tukya Labels:


Hari ini sekiranya anda masuk sahaja ke farmasi atau kedai makanan kesihatan, anda akan melihat pelbagai jenis suplemen kesihatan dan vitamin. Anda seperti dijamin dapat hidup seribu tahun lagi dengan kesihatan yang baik.

Brosur dan risalah memberitahu: Vitamin B komplek dan C boleh menghilangkan stres, Vitamin E akan meningkatkan ketahanan dan stamina, vitamin B12 boleh menghilangkan letih, jeli raja meningkatkan tenaga dan lain-lain lagi, seolah-olah di situ adalah rumah penambahbaik kesihatan seumur hidup anda.

Adakah suplemen kesihatan seperti ini wajar?
Adakah ia menyokong kehidupan yang menyihatkan?

Adakah anda fikir bagaimana penyakit kronik kini yang dideritai oleh ramai orang disebabkan oleh pemakanan yang tidak sihat, stres dan gaya hidup yang tidak sihat, boleh ditukar atau dicegah dengan menelan pelbagai suplemen pemakanan setiap hari?
Adakah pil vitamin memberi jawapan hidup anda akan lebih panjang dan bebas penyakit?

Sebenarnya semua ini adalah kerja iklan yang agresif, diikuti dengan masyarakat yang mencari penyelesaian secara cepat untuk penyakit mereka.

Hal ini menjadi amat popular di Malaysia. Kajian menunjukkan 1 setiap 2 rakyat Malaysia mengambil suplemen pemakanan.


Apa yang dapat kami beri jawapan ialah kebanyakan suplemen tidak berkesan dan banyak daripadanya toksik.. Beberapa kajian mendapati ramai yang “membuang masa dan wang”.

Ikuti ini di Utusan Pengguna keluaran Julai/Ogos 2009 nanti.

ITNM: YANG MERAH ITU SAGA

Posted by Tukya Labels:


Pertemuan ITNM dengan Sasterawan Negara & SEA Write Award pada 18 Mei 2008

Tak semena-mena 2hb Jun, Anwar, seorang pegawai ITNM (Institiut Terjemahan Negara Malaysia) telefon. Kemudian esoknya 3 Jun, ketika berada di kaki Gunung Bungsu bersama seorang pelajar UM yang nak buat PhDnya, telefon lagi.

Tanyanya, Pak Azizi nak bawa isteri tak? Kami nak tempah tiket, hotel dan jemput di KLIA pada 14 Jun untuk menonton teater ‘Mana Setangginya’ di Istana Budaya, beritahu Anuar. Saya jawab, saya malu nak makan belanja ITNM, sampai bawa bini.

Ini tentu Pengarah Urusannya, Mohd Khir Ngadiron suruh tanya, fikir saya.





Mohd Khir Ngadiron


Sebenarnya bukan kerana pelawaan ITNM setiap kali ada upacara lalu kepada semua penerima anugerah SEA Write Award, Sasterawan Negara dan lain-lain dijemput, maka saya menulis tentang ITNM ini.

Saya mengenali ITNM hanya pada 18 Mei 2008 tahun lalu di mana ITNM jemput semua sasterawan SEA Write Award/ Sasterawan Negara di Pan Pacific membincang apakah boleh novel-novel yang terpilih diterjemah ke bahasa asing. Kemudian setiap kali ada upacara yang bersangkutan buku, sehingga Majlis Tahlil untuk aruah SN juga saya dan sasterawan lain dijemput.

Terakhir di Hotel Sahangrila di Putrajaya, pelancaran buku terjemahan, yang dirasmikan oleh TPM.

Saya rasa ITNM ini telah memain peranan dan cukup merasa bertanggung jawab untuk memperkenalkan sastera Malaysia ke mata dunia dan berusaha pula menterjemah/menerbit buku-buku asing ke bahasa Malaysia.

Menunai tanggung jawab ini bukan mudah. Tetapi melalui Pengerusinya Dato’ Wan Hashim yang selalu melawak pasal saya ini orang Pas, dan daya usaha Pengarah Urusannya Mohd. Khir Ngadiron, ramai penulis dan saya sendiri melihat jangkauan ITNM ini harus dipuji.

“Bukan pasal banyak duit, tapi kami merasa bila lagi kalau kita sendiri tak lakukan,” kata Mohd Khir Ngadiron, yang selalu saya berseloroh: ITNM banyak duit.
Memang pun. Selain dari tanggung jawab terhadap sastera Malaysia ke mata dunia, ia satu usaha memertabatkan sasterawan Malaysia. Maka kerana itu buku-buku penulis Malaysia akan ada di pasaran antara bangsa. Dr. Mohamad Hj Salleh dan lain-lain penterjemah sudah lama pulun, merengkuh menterjemah.

Saya teringat Dewan Bahasa dan Pustaka. Bukan kerana tidak pernah dilakukan hal seperti ini, tetapi melihat dari sudut pengiktirafan, kawalselia sasterawan, nampaknya ITNM mungkin lebih ke hadapan.

Sudah puluhan buku-buku yang sudah diterjemah oleh ITNM dan ia tidak pula sia-sia. Bukanlah untung sangat dari segi komersial, tapi ia melegakan.

Ingin nak memuji Pengarah Urusannya. Bukan kerana baik dan menjemput sasterawan ke KL tetapi beginilah rasanya jika ia berterusan, Insyaallah ITNM akan menjadi satu institusi buku dan sastera Malaysia terkenal di mata dunia. Tetapi tentu akan terbantut kiranya tanggung jawab ini tidak diteruskan oleh orang seperti Mohd. Khir Ngadiron. Kerana itu secara peribadi, Pengarah Urusan seperti ini perlu dipanjangkan usia aktiviti dan kreativitinya.

Perlukah Dewan Bahasa turut memain peranan? Ini soal lain pengurusan dan pengarah. Tapi alangkah bagusnya kalau Dewan Bahasa juga memperkemas dan menyusun semula strukturnya. Pengarah baru Dewan Bahasa nampaknya orang yang mampu dan mahu, tapi itulah mungkin beliau hanya sekadar dua tahun.

Ini satu penyakit dasar kerajaan yang melantik atau menaik pangkat pegawainya. Kalau asyik sambung,sambung kemudian berhenti, ganti orang lain, sampai bila perancangan itu boleh berjalan lancar. Bukankah elok seseorang pegawai tingginya diletak kepada mereka yang mempunyai hayat kerja yang panjang untuk membuat perubahan dan kemajuan.
Sudut inilah yang menyebabkan saya menulis ini. ITNM perlu meneruskan usahanya dan penerusan ini mestilah dari mereka yang meneroka peringkat awal lagi.

Hahhh, tak pasal-pasal memuji ITNM, kenapa?

Bukan memuji tetapi ingin melihat usaha ini mesti diteruskan dan kepada sasterawan tidak dipandang sebelah mata. Amin!